Si Capik
Si Capik merupakan sebuah siri drama televisyen Malaysia 2009 arahan dan skrip oleh Yusof Haslam terbitan Skop Productions.[1]
Si Capik | |
---|---|
Genre | Drama, konflik, kekeluargaan |
Pencipta | Yusof Haslam |
Ditulis oleh | Panel Skrip Skop Productions |
Pengarah | Datuk Yusof Haslam |
Dibintangi oleh | |
Penggubah lagu tema | James Baum |
Lagu pembukaan | "Si Capik" oleh James Baum dan Ieda Majid |
Lagu penutup |
|
Negara asal | Malaysia |
Bahasa | Melayu |
Bilangan musim | 4 |
Bilangan episod | 104 (Senarai episod) |
Penerbitan | |
Penerbit eksekutif |
|
Penerbit | Datuk Yusof Haslam |
Penyunting |
|
Lokasi | |
Tempoh siaran | 40–50 minit |
Syarikat penerbitan | Skop Productions |
Penyiaran | |
Saluran asal | TV2 |
Format gambar | |
Format audio | Stereo |
Siaran asal | 12 Mei 2009 – 16 Ogos 2011 |
Dibintangi oleh Zachery Francis sebagai watak tajuk, Erry Putra, Sheera Iskandar, Hetty Sarlene, ia berkisarkan tentang Reza, seorang pemuda yang mengalami separa kecacatan di bahagian kaki kiri digelar sebagai Si Capik. Lagu tema siri drama ini yang bertajuk sama dinyanyikan oleh James Baum dan Ieda Majid.[2][3]
Ia merupakan drama Melayu pertama yang dirakamkan menggunakan teknologi video definisi tinggi dan disiarkan di TV2 dari 12 Mei 2009 sehingga 16 Ogos 2011 sebanyak 4 musim dan 104 episod (selama 2 tahun 3 bulan dan 5 hari bertayangan) dengan siaran ulangan sejak 2012.[4][5] Ia juga disiarkan melalui Mediacorp Suria di Singapura.
Sinopsis
suntingMusim 1 (2009)
suntingReza, seorang pemuda digelar sebagai Si Capik, kerana ketidaksempurnaan sifatnya yang mengalami kecacatan sebelah kakinya. Namun kecacatan sebelah kaki tidak menghalang Reza untuk menjalani kehidupan sebagai seorang pelajar kolej yang cemerlang dalam akademik.
Sayu melihat kecekalan ayahnya, Malik yang kurang sihat mencari rezeki menguatkan semangat Reza untuk berjaya dalam pelajaran bagi mengubah nasibnya sekeluarga. Dalam pada itu Reza bernasib baik kerana memiliki dua orang teman rapat, Farish dan Mira yang banyak membantunya malah cukup memahami keadaan dirinya.
Semangat cekal Reza menghadapi penghinaan masyarakat terutama pelajar-pelajar di kolejnya mendapat sokongan penuh Farish dan Mira yang tidak jemu-jemu untuk membelanya. Mira amat bersimpati dan cukup prihatin dalam permasalahan yang dihadapi Reza.
Hari demi hari kesihatan Malik semakin terganggu apatahlagi dirinya disahkan doktor menghidap penyakit jantung. Tuan Hazim majikannya menyarankan supaya Malik menjalani pemeriksaan doktor pakar dan kosnya ditanggung oleh pihak syarikat.
Zahid pula menghabiskan masanya setiap hari dengan berfoya-foya tanpa menghiraukan nasihat kedua ibu bapanya. Zahid tidak mengendahkan teguran bapanya, Tuan Hazim yang melarangnya berpoya-poya di kelab malam dan pulang ke rumah dalam keadaan mabuk. Sementara itu, Reza gembira apabila menerima panggilan telefon dari datuk dan neneknya di kampung yang amat merinduinya.
Sherin teman sekuliah mereka mengajak Mira, Farish dan Reza untuk mengadakan ‘study group’ di rumahnya. Namun Reza keberatan untuk menyertainya kerana merasakan dirinya tidak layak untuk belajar bersama anak majikan bapanya.
Musim 2 (2009–2010)
suntingDalam musim kedua, Reza kini meniti fasa baharu dalam hidupnya apabila berkahwin dengan Sherin dan menjadi sebahagian daripada keluarga Datuk Hazim. Mira merajuk dan membawa dirinya pergi jauh setelah mendapat tahu Reza telah berkahwin dengan Sherin.
Bagaimanapun, Datin Faridah dan Zahid enggan menerima Reza sebagai ahli keluarga mereka walaupun Reza tinggal sebumbung dengan mereka. Zahid terkejut mendapat tahu teman wanitanya, Liza telah disahkan hamil. Zahid enggan bertanggungjawab dan memutuskan hubungannya dengan Liza. Zahid kemudian berkenalan dengan Nurul semasa mereka bertemu di kafe. Dalam serba kekalutan, Liza terpaksa menanggung penderitaan apabila hamil bayi luar nikah dan mahu Zahid bertanggungjawab.
Razali, yang muncul kembali selepas lama menghilang, kecewa kerana bekas teman wanitanya, Sherin telah berkahwin dengan Reza. Datuk Hazim menjemput Malik dan Nora makan malam bersama di banglo mereka, namun Datin Faridah enggan melayan mereka. Pada masa yang sama, Farish mengharapkan agar Mira terbuka hatinya untuk berkahwin dengannya, namun Mira tidak mahu memikirkan soal kahwin buat masa ini.
Reza menjemput datuknya ke banglo keluarga mertuanya, namun Datuk Hazim kecewa dengan layanan isteri dan anak lelakinya terhadap datuk Reza. Bagi menyejukan hati datuknya, Reza dan Sherin melawat datuknya di kampung dan kehadiran mereka disambut baik oleh datuk dan nenek Reza. Datuk Hazim bimbang jika dia menyerahkan kuasa penuh syarikat Jaya Holdings kepada Zahid apabila bersara nanti, Zahid tidak dapat memikul tanggungjawab.
Tindakan Zahid mengupah dua lelaki untuk membunuh bekas teman wanitanya membawa padah apabila beliau mendapat mimpi buruk setiap malam dan takut dengan jelmaan Liza. Iskandar, abang kepada Liza menuntut keadilan atas ‘kehilangan’ misteri adiknya dan membuat laporan polis.
Rumahtangga Reza dan Sherin mula retak apabila bekas teman lelakinya, Razali datang mengganggunya, malah turut mengatakan Reza tidak layak menjadi suami Sherin.
Musim 3 (2010)
suntingFarish dan Mira telah diijabkabulkan sebagai suami isteri. Reza termakan hati dengan sikap Razali yang cuba menganggu Sherin. Meskipun diberi amaran, Razali tetap meneruskan niatnya untuk menghancurkan rumah tangga Sherin dan Reza.
Kerana terlalu membenci Reza, Datin Faridah berjumpa dengan bomoh dengan niat untuk memusnahkan kebahagiaan rumah tangga Sherin dan Reza tanpa pengetahuan suaminya. Sherin kecewa dengan tindakan ibunya berjumpa dengan bomoh untuk memisahkannya dengan Reza setelah dia menjumpai sesuatu yang mencurigakan di dalam biliknya. Bengang kerana tidak menghormati kedudukannya sebagai anak kepada pengerusi Jaya Holdings, Zahid bertindak kasar terhadap Reza kerana membuat keputusan tanpa berbincang dengannya terlebih dahulu.
Datin Faridah akan terus memulaukan Reza selagi dia menjadi suami kepada Sherin. Zahid bengang apabila bapanya menyerahkan kuasa kepada Reza secara bulat-bulat. Zahid dan Liza menuju ke kampung halaman Liza untuk menjenguk anak mereka, Syamil yang dijaga oleh Mak Limah.
Menyesali dengan kesilapan lalunya, Datin Faridah berubah menjadi baik dan menerima Reza dengan hati terbuka, tetapi Zahid terus menaruh kebenciannya terhadap Reza. Farish menjumpai diari peribadi isterinya, Mira dan hatinya mula terbakar setelah terbaca luahan perasaan isterinya terhadap Reza. Farish kecewa kerana Mira berlaku curang terhadapnya.
Bagi menebus kesalahannya terhadap menantu dan besannya, Datin Faridah menjemput Nora dan Malik makan tengahari bersama-sama. Reza gembira apabila keluarganya dan keluarga mertuanya bersatu. Datuk Hazim melantik Reza sebagai CEO Jaya Holdings. Zahid membantah keras keputusan bapanya kerana berasa dipinggirkan di syarikat keluarganya sendiri.
Farish terlibat dalam kemalangan jalan raya yang menyebabkannya lumpuh dan terpaksa berkerusi roda. Sejak itu, sikapnya banyak berubah dan sering mencari kesalahan Mira. Zahid bertambah runsing setelah Liza datang ke rumahnya tanpa pengetahuannya untuk menceritakan perkara sebenar kepada Datuk Hazim dan Datin Faridah. Mereka berdua mengetahui bahawa Zahid mempunyai anak bersama Liza.
Dalam keadaan terburu-buru, Farish bertindak menceraikan Mira dan ini membuatkan Mira tertekan. Zahid bertindak melanggar Nurul kerana tidak tahan dengan ugutan demi ugutan yang diterimanya dan ditangkap oleh polis. Selepas abang iparnya, Zahid dipenjarakan, Reza mahu buktikan bahawa dia telah memiliki kuasa penuh di Jaya Holdings.
Musim 4 (2011)
suntingKehidupan Reza mula berubah setelah dia memegang tampuk kepimpinan dalam menerajui syarikat Jaya Holdings setelah bapa mertuanya bersara. Reza telah mengalami satu transformasi, dia mulai bersikap ego dan tidak mudah mengaku kalah. Kesabarannya terhadap Zahid telah bertukar menjadi dendam yang tiada penghalangnya.
Tindakan Zahid melanggar Nurul telah menyebabkan dia menanggung akibat di atas perbuatan kejamnya, dia dijatuhi hukuman penjara selama 3 tahun.
Dalam kesibukan Reza mengendalikan syarikat, dia terpaksa menghadapi tekanan besar. Akibat perbuatan tidak bertanggungjawab Zahid dia telah diburu oleh ‘Along’ yang menuntut hutang berjumlah RM500,000.00 yang ditinggalkan Zahid sebelum dia dipenjarakan.
Kekecohan berlaku apabila ‘Along’ sering mengganggu Reza di pejabat dan di rumah. Namun begitu dia enggan bersetuju dengan perjanjian yang telah ditandatangani Zahid dengan ‘Along’ untuk melangsaikan hutang.
Perasaan benci dan dendam Reza terhadap Zahid kian membara ekoran bebanan hutang yang terpaksa ditanggungnya. Sudah hilang sifat ‘lembut hati’ dalam diri Reza yang sebelum ini sering mengalah dengan Zahid.
Dalam serba kekalutan, Mira yang telah diceraikan oleh Farish menjalani kehidupan dengan penuh kesedihan setelah perkahwinannya berakhir di pertengahan jalan.
Akan tetapi yang lebih parah lagi apabila Farish mula menyesali tindakan terburu-burunya menceraikan Mira. Dia mengalami kekecewaan dan menyedari kesilapannya. Kerinduannya terhadap Mira merupakan satu penyeksaan dalam dirinya. Sebagai sahabat sejati, Reza amat bersimpati dengan penderitaan yang ditanggung Farish, dia sanggup menghulurkan bantuan membiayai kos rawatan perubatan kaki Farish hingga pulih.
Sementara itu, sepanjang ketiadaan Zahid yang merengkok dalam penjara, Liza dan anaknya, Syamil telah berpindah ke banglo dan tinggal bersama dengan ibu bapa mertuanya.
Pelakon
suntingPelakon utama
sunting- Zac Zafranz[6][7] sebagai Reza/Si Capik (musim 1–4)
- Erry Putra[8] sebagai Farish (musim 1–4)
- Hetty Sarlene[9] sebagai Mira (musim 1–4)
- Sheera Iskandar[10] sebagai Sherin (musim 1–4)
Pelakon pembantu
sunting- Aziz Singah sebagai Datuk Hazim, bapa kepada Zahid dan Sherin (musim 1–4)
- Raja Noor Baizura sebagai Datin Faridah, ibu kepada Zahid dan Sherin (musim 1–4)
- Riz Amin sebagai Zahid, abang kepada Sherin dan abang ipar kepada Reza dan suami kepada Liza dan Nurul (musim 1–4)
- Rizal Ashreff sebagai Razali, teman lelaki (kemudian bekas) Sherin dan kawan Zahid (musim 1–3)
- Z. Zamri sebagai Zarul, rakan karib dan pembantu peribadi Zahid (musim 1–4)
- Fathil Dani sebagai Malik, bapa Reza dan pemandu kepada Datuk Hazim dan Datin Faridah (musim 1–4)
- Aznah Hamid sebagai Nora, ibu Reza (musim 1–4)
- A. Galak sebagai Hussein, datuk Reza (musim 1–4)
- Aripah Damanhuri sebagai Shima, nenek Reza (musim 1–4)
- Hanny Harmi[11] sebagai Liza, teman wanita Zahid kemudian menjadi isteri (musim 1–4)
- Huda Ali sebagai Nurul, teman wanita Zahid kemudian menjadi isteri kedua (musim 2–4)
- Connie Ahmad sebagai Aishah, ibu Mira (musim 1–4)
- Es Hairee sebagai Hairee (musim 2–4)
- Hashim Abdul Rahman sebagai Karim, bapa Mira (musim 1–4)
- Azie Yahaya sebagai Diana (musim 4)
- Lydia Othman sebagai Ida (musim 1–4)
- Salina Saibi sebagai Rita, setiausaha kepada Reza (musim 4)
- Mak Jah sebagai Mak Limah, pengasuh Syamil dan penjaga Liza semasa pemulihan (musim 3–4)
- Raykarl Iskandar sebagai Syamil, anak Zahid dan Liza (musim 4)
Penampilan khas
sunting- Afzan A. Rahman sebagai Amir (musim 1)
- Izreen Azminda sebagai Nadia (musim 1)
- Mohd Fadil Abd Latiff sebagai Abu, majikan Reza (musim 1)
- Abby Aziz sebagai Mat (musim 1)
- Ahya Rosli sebagai Rizman (musim 2)
- Shah Iskandar sebagai Iskandar, abang Liza (musim 2–3)
- C. Kumaresan sebagai Inspektor Mohan (musim 2–3)
- Din Sabari sebagai Nordin, abang Nurul (musim 4)
- ASP Saiful Anwar Razali sebagai pegawai trafik (kameo) (musim 3)
- Nizen Ayob sebagai rakan karib Farish (musim 3)
- Farid Amirul sebagai Ah Boon, Ketua sindiket pinjaman wang (musim 4)
- Azad Jasmin sebagai Danial, teman lelaki Rita (musim 4)
- Anna Halim sebagai Ruby (musim 4)
Penerbitan
suntingPenggambaran dijalankan selama lebih 160 hari di Kuala Lumpur dan Lembah Klang. Penggambaran turut dijalankan di Kuantan (musim 3) dan Seremban (musim terakhir).
Ini merupakan projek drama pertama lakonan bersama Zachery Francis dan Riz Amin sebelum kembali bekerjasama menerusi Metro Skuad musim kedua.
Musim terakhir siri ini, iaitu musim keempat difilemkan dalam format definisi tinggi dan menyaksikan penambahan barisan pelakon baharu seperti Salina Saibi dan Farid Amirul. Watak Razali yang dilakonkan oleh Rizal Ashreff dalam 3 musim terdahulu dimatikan dalam musim terakhir.
Episod
suntingMusim | Episod | Tarikh siaran di TV2 | ||
---|---|---|---|---|
Episod pertama | Episod terakhir | |||
1 | 26 | 12 Mei 2009 | 3 November 2009 | |
2 | 26 | 10 November 2009 | 4 Mei 2010 | |
3 | 26 | 6 Julai 2010 | 28 Disember 2010 | |
4[12][13] | 26 | 22 Februari 2011 | 16 Ogos 2011 |
Muzik
sunting- "Si Capik" - James Baum, Ieda Majid
- "Sahabat" - Aizat Amdan
- "Hanya Kau Yang Mampu" - Aizat Amdan
- "Lagu Kita" - Aizat Amdan
- "I'tiraf" - Raihan
- "Jangan Ada Benci" - Casey Subramaniam
- "Tak Ada Logika" - Agnez Mo
- "PadaMu Ku Bersujud" - Afgan Syahreza
- "Menyesal" - Ressa Herlambang
- "Dealova" Once Mekel
Anugerah
suntingTahun | Anugerah | Kategori | Penerima/Karya tercalon | Keputusan |
---|---|---|---|---|
2010 | Anugerah Skrin 2010 | Drama Berantai | Si Capik | Tercalon |
Rujukan
sunting- ^ Budiey (12 Mei 2009). "Drama Si Capik Lakonan Ery Putra, Zack X Factor". budiey.com. Sensasi Selebriti. Diarkibkan daripada yang asal pada 2009-05-15. Dicapai pada 2 Jun 2017.
- ^ "Kisah ketabahan Si Capik di TV2 setiap Selasa". Berita Harian. 19 Mei 2009. Dicapai pada 21 Oktober 2021.
- ^ Raja Nurfatimah Mawar Raja Mohamed (31 Mei 2009). "Kisah sedih jejaka capik di TV2". Berita Minggu. Dicapai pada 21 Oktober 2021.
- ^ "Drama Si Capik Musim Ke-Tiga". budiey.com. Sensasi Selebriti. 28 Februari 2011. Diarkibkan daripada yang asal pada 2011-03-03. Dicapai pada 2 Jun 2011.
- ^ "Kisah Si Capik Kembali Di RTM2". mStar Online. 18 Februari 2011. Diarkibkan daripada yang asal pada 2021-07-13. Dicapai pada 2 Jun 2017.
- ^ Murshid Eunos (1 Ogos 2010). "Prinsip Zack". Metro Ahad. Dicapai pada 30 Oktober 2019.
- ^ "'Si Capik' serlah sisi berbeza Zack X-Factor". Utusan Malaysia. 13 Mei 2009.
- ^ "Ingin pegang watak psiko". Metro Ahad. 8 November 2010. Dicapai pada 30 Oktober 2019.
- ^ Wan Asrudi Wan Hasan (18 Mei 2009). "Positif terhadap persaingan". Harian Metro. Dicapai pada 30 Oktober 2019.
- ^ Ramlah Zainal (22 Januari 2010). "Kekosongan hati kini terisi". Harian Metro. Dicapai pada 30 Oktober 2019.
- ^ Ramlah Zainal (24 Jun 2009). "Kerja keras tonjol bakat". Harian Metro. Dicapai pada 14 Januari 2021.
- ^ "Konflik kian mencengkam dalam Si Capik musim ketiga". Berita Harian. 18 Februari 2011. Dicapai pada 24 Oktober 2021.
- ^ "Si Capik jadi ego". Harian Metro. 18 Februari 2011. Dicapai pada 24 Oktober 2021.