Location via proxy:   [ UP ]  
[Report a bug]   [Manage cookies]                
Pergi ke kandungan

Tauhid: Perbezaan antara semakan

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Kandungan dihapus Kandungan ditambah
Yosri (bincang | sumb.)
k Membalikkan suntingan oleh 60.48.215.149 (Perbincangan) kepada versi terakhir oleh WikitanvirBot
PixelBot (bincang | sumb.)
k r2.7.2) (bot menambah: kk:Таухид
Baris 385: Baris 385:
[[fr:Tawhid]]
[[fr:Tawhid]]
[[it:Tawhid]]
[[it:Tawhid]]
[[kk:Таухид]]
[[mk:Тевхид]]
[[mk:Тевхид]]
[[ml:തൗഹീദ്‌]]
[[ml:തൗഹീദ്‌]]

Semakan pada 07:31, 29 Mac 2012

Tauhid (bahasa Arab: توحيد) merupakan konsep monoteisme Islam yang mempercayai bahawa Tuhan itu hanya satu. Tauhid ialah asas Aqidah. Dalam bahasa Arab, "Tauhid" bermaksud "penyatuan", sedangkan dalam Islam, "Tauhid" bermaksud "menegaskan penyatuan dengan Allah". Lawan untuk Tauhid ialah "mengelak daripada membuat", dan dalam bahasa Arab bermaksud "pembahagian" dan merujuk kepada "penyembahan berhala".

Tauhid menurut bahasa ertinya mengetahui dengan sebenarnya Allah itu Ada lagi Esa. Menurut istilah, tauhid ialah satu ilmu yang membentangkan tentang wujudullah (adanya Allah) dengan sifat-Nya yang wajib, mustahil dan jaiz (harus), dan membuktikan kerasulan para rasul-Nya dengan sifat-sifat mereka yang wajib, mustahil dan jaiz, serta membahas segala hujah terhadap keimanan yang berhubung dengan perkara-perkara sam’iyat, iaitu perkara yang diambil dari Al-Quran dan Hadis dengan yakin.

Sebahagian ulama mentakrifkan ilmu tauhid sebagai berikut:

"Ilmu tauhid ilmu yang menerangkan hukum-hukum syarak dalam bidang i’tiqad yang diperoleh dari dalil-dalil yang qat’i (pasti) yang berdasarkan ketetapan akal, Al-Quran dan Hadis."

Persoalan ‘Apa itu tauhid?’ seringkali dijawab dengan ayat-ayat yang bermaksud bahawa puncak kenyataan tauhid adalah ucapan kalimah syahadah, dan sering juga berlaku apabila jawapan itu diungkap tanpa sedikit pun mengetahui makna ucapan itu. Jika yang ditanya mempunyai lebih pengetahuan, maka padanya, Tuhan itu ialah yang menciptakan sendiri kerajaan-Nya, dan jawapan yang diberi akan berkait rapat dengan tauhid rububiyah sahaja.

Kalimah ‘laa ilaha illallah’ bermaksud tidak ada Tuhan selain Allah. Kalimah ini menunjukkan bahawa manusia tidak ada tempat bersandar, berlindung dan berharap kecuali Allah. Tidak ada yang menghidupkan dan mematikan, tiada yang memberi dan menolak melainkan Allah. Zahirnya syariat menyuruh kita berusaha beramal, sedang hakikatnya syariat melarang kita menyandarkan diri pada amal usaha itu supaya tetap bersandar pada kurnia Allah. Konsep ini melahirkan konsep tawakkal, dimana selepas kita berusaha, tetap kita perlu kepada Allah.

Tauhid bukanlah sekadar ucapan ‘laa ilaha illallah’, walaupun ucapan tersebut merupakan sebahagian daripadanya. Tetapi tauhid itu adalah nama untuk pengertian yang agung dan ucapan yang mempunyai erti yang besar, lebih besar dari semua pengertian. Tauhid ialah pembebasan terhadap penyembahan kepada semua yang bukan kepada Allah dan penerimaan dengan hati serta pengibadahan kepada Allah semata.

Allah berfirman
“Sedangkan Tuhan kamu ialah Tuhan Yang Maha Esa, tidak ada Tuhan melainkan Dia Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang” (QS 2:163)
Dan Allah berfirman lagi
“Hai kaumku, bagaimanakah kamu, aku menyeru kamu kepada keselamatan, tetapi kamu menyeru aku kepada neraka? Kenapa kamu menyeruku supaya kafir kepada Allah dan menyekutukan-Nya dengan apa yang tidak aku ketahui, padahal aku menyeru kamu beriman kepada Yang Maha Perkasa lagi Maha Pengampun?” (QS 40:41-42)

Ayat-ayat begini banyak dalam Al-Quran dan menerangkan bahawa erti dua kalimah syahadah adalah bebas dari penyembahan kepada selain Allah, dan mengkhususkan Allah sahaja untuk penyembahan itu. Inilah petunjuk dalam beragama dan untuk perkara inilah Allah mengutus para rasul-Nya dan untuk perkara inilah juga Allah menurunkan semua kitab-Nya.

Orang-orang musyrik sebenarnya percaya dengan kewujudan Allah, dan mereka mencari perantara untuk mendekatkan diri mereka kepada Allah lalu diharapkan kepada rahmat-Nya dan takut akan siksa-Nya. Ibn Abbas berpendapat bahawa yang mereka seru dengan doa ialah Isa, Maryam dan Uzair. Athaa’ dan ad-Dhahhaq pula berpendapat mereka menyeru pada para malaikat.

Yang dibenarkan dalam Islam bukanlah berdoa kepada malaikat atau nabi atau perantara lainnya. Islam menuntut kita agar hanya rasa takut dan berharap kepada Allah kerana itu hak Allah kepada hambanya. Suatu kisah terjadi dizaman Rasulullah s.a.w, dimana seorang pencuri telah dipotong tangannya, lalu dia berkata kepada Nabi, “Allahumma Ya Allah! Sesungguhnya aku bertaubat kepada Allah dan aku tidak bertaubat kepada Muhammad.” Nabi s.a.w langsung bersabda, “Dia mengetahui yang hak bagi yang berhak.” Perkara ini menunjukkan bahawa yang patut ditakuti, digeruni, diharapkan dan dipanjatkan doa ialah Allah, dan Allah semata.

Demikianlah para ahli tafsir, dengan bukti-bukti seperti di atas, menyatakan:

"Maka teranglah bahawa erti tauhid dan syahadat laa ilaha illallah ialah meninggalkan perbuatan orang-orang musyrik, iaitu berdoa kepada orang-orang saleh, atau malaikat atau jin dalam meminta pertolongan Allah untuk menghilangkan bahaya atau mendapatkan rahmat."

Orang Islam mempercayai bahawa Allah tidak boleh disamakan dengan makhluk atau konsep yang lain. Monoteisme Islam adalah mutlak, bukannya relatif atau majmuk dalam semua erti kata perkataan ini. Oleh itu, orang Islam menolak konsep Triniti yang dipegang oleh kebanyakan orang Kristian yang memerihalkan Tuhan sebagai tiga makhluk.

Tauhid Rububiyah

Makna Tauhid Rububiyah

Rububiyah berasal dari perkataan rabb. Kalimah ini mempunyai beberapa pengertian seperti pemimpin, pemilik, penguasa dan pemelihara. Namun pengertian rububiyah tidak mencakupi semua yang di atas, dan sifat yang sempurna hanyalah milik Allah s.w.t. Rububiyah ialah tuhan yang mengatur segala sesuatu. Maka tauhid rububiyah berkisar mengenai cara-cara seorang hamba mengesakan Allah sebagai tuhan yang satu dalam konteks Tuhan yang menguruskan keperluan-keperluannya.

Tauhid Rububiyah bermaksud Allah ialah Tuhan pengatur segala sesuatu, Dia pemiliknya, Dia pencipta aturannya dan pemberi rezekinya. Sesungguhnya Dia yang menghidupkan, yang mematikan, yang memberi manfaat, yang mendatangkan hukum mudarat dan Dia menerima doa terutama dalam kesukaran. Semua perkara adalah bagi-Nya, ditangan-Nya terletak seluruh kebaikan, Dia berkuasa atas apa sahaja yang Dia kehendaki dan tidak ada sekutu bagi-Nya dalam hal ini, termasuklah qada’ dan qadar seseorang. Semua hamba-Nya berhajat kepada Allah sahaja.

Allah berfirman
“Hai manusia, kamulah yang berkehendak kepada Allah; dan Allah Dialah Yang Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) lagi Maha Terpuji.” (QS 35:15)

Namun tauhid ini sahaja tidak cukup untuk menjamin seseorang hamba bahawa dia ialah seorang Muslim, tetapi perlu disusuli dengan tauhid uluhiyah iaitu mengesakan Allah dalam ketuhanan-Nya, kerana orang musyrik juga mempercayai Allah dalam tauhid rububiyah, namun tidak mengabdikan diri kepada-Nya.

Allah berfirman
“Tanyakanlah: siapakah yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi? Atau siapakah yang berkuasa sanggup menciptakan pendengaran dan penglihatan? Siapakah yang mengeluarkan yang hidup dari yang mati dan yang mati dari yang hidup? Dan siapakah yang mengatur segala urusan? Maka mereka akan menjawab: Allah. Maka katakanlah: Mengapa kamu tidak bertakwa?” (QS 10:31)
Dan firman Allah
“Dan sesungguhnya jika kamu bertanya kepada mereka: Siapakah yang menciptakan mereka? Nescaya mereka menjawab: Allah” (QS 43:87)
Allah berfirman lagi
“Dan sesungguhnya jika kamu tanyakan kepada mereka: Siapakah yang menurunkan air dari langit, lalu menghidupkan bumi dengan air itu sesudah matinya? Tentu mereka akan menjawab: Allah” (QS 29:63)

Ketiga-tiga ayat diatas merupakan antara ayat-ayat yang menunjukkan bahawa orang musyrik mengakui kewujudan Allah, namun menyekutukan-Nya dengan sesuatu yang lain.

Bukti-bukti Tauhid Rububiyah

Bukti-bukti kewujudan Allah amat banyak. Dia adalah Tuhan yang sebenarnya, tiada yang menyerupai-Nya baik pada zat, sifat mahupun perbuatan. Tiada yang terlepas dari kekuasaan Allah baik dari sekecil-kecil sampai sebesar-besarnya, dan semuanya tunduk mengakui Allah sebagai Tuhannya. Kerana itu, Dialah Tuhan yang sebenarnya bagi alam semesta. Akal manusia pasti tidak dapat menerima bahawa alam semesta ini terjadi dengan sendirinya, dan teratur pula, jika tiada pencipta dan pengaturnya. Mana mungkin sebuah rumah boleh siap hanya dengan air hujan melekukkan gunung hingga terjadi rumah yang siap cantik dengan bilik-biliknya. Jika perkara begini tidak dapat diterima akal, masakan alam yang luas ini dapat terjadi dengan sendiri, lalu mengatur semua hidupan-hidupannya.

Kerana itu nyatalah bahawa Allah itu Tuhan yang sebenarnya, dialah yang menciptakan segala sesuatu. Bukti tentang adanya penciptaan nyata jelas sehingga setiap orang dapat menemuinya dengan akalnya yang sederhana tanpa perlu panjang fikirnya. Lagipun, sudah menjadi sifat semula jadi manusia untuk percaya kepada adanya pencipta, baik mereka itu beriman ataupun tidak.

Allah s.w.t berfirman
“Dan jika kamu tanyakan kepada mereka siapakah yang menciptakan langit dan bumi? Nescaya mereka akan menjawab semuanya diciptakan oleh Yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui.” (QS 43:9)

Kafir dan Musyrik dan Tauhid Rububiyah

Sebenarnya orang-orang kafir dan musyrik pada umumnya percaya bahawa Allah memang sebagaimana yang diungkap ayat-ayat Quran diatas, namun dengan mempercayai sahaja belum cukup untuk menjamin mereka sebagai orang Islam.

Allah berfirman:

“Dan sebahagian besar mereka tidak beriman kepada Allah, melainkan dalam keadaan menyekutukan-Nya.” (QS 12:106)

Mujahid menyatakan ayat ini menceritakan tentang iman mereka kepada Allah hanyalah ucapan di lidah sahaja: sesungguhnya Allah menciptakan kami, memberi rezeki kepada kami dan mematikan kami. Namun mereka tetap menyekutukan Allah dalam ibadah mereka. Diriwayatkan dari ibn Jarir, ibn Abi Hasim dan dari ibn Abbas, Athaa’ dan Dhahhak, amat jelas bahawa orang kafir itu mengetahui Allah, pengaturan-Nya, kerajaan-Nya dan kekuasaan-Nya. Malahan mereka beribadat pula kepada-Nya seperti ibadah haji, sedekah, korban dan doa diwaktu kesukaran dan sebagainya. Ada yang mendakwa perbuatan mereka berdasarkan agama Nabi Ibrahim, dan ada juga yang percaya dengan hisab, qada’ dan qadar. Dua keratan puisi Arab dibawah merupakan bukti kepercayaan mereka.

"Dia mengakhirkan dan berkehendak diletakkan di dalam kitab. Atau dia segera akan merasakan siksa pada hari berhisab"
"Hai Abla ke mana anugerah yang sirna
Tuhanku di langit menetapkan qadha"

Seorang yang waras dan sihat akalnya pasti tertanya apa yang mendorong mereka menulis syair-syair sebegini rupa, dan dari mana mereka memperoleh pengetahuan mengenai hisab dan sebagainya. Pertanyaan ini mudah dijawab: mereka syirik dalam tauhid ibadah dan mereka melanggar peng-Esaan Allah dalam beribadah.

Syirik dalam Tauhid Rububiyah

Syirik dalam rububiyah ini adalah mempersekutukan Allah dalam pengaturan-Nya terhadap seluruh makhluk. Terdapat dua jenis syirik rububiyah:

1. Syirik ta’thil Syirik ta’thil adalah syirik yang menidakkan Allah sebagai Rabbul Alamin. Syirik ini adalah sejelik-jelik syirik, seperti syiriknya Firaun, kerana Firaun berkata :

"Apa Tuhan pemelihara segenap alam itu?" (QS 26:23)

Ahli falsafah pula menjadi syirik apabila mereka berpendapat seperti yang berikut:

"Alam itu adalah kekal dan qadim, dan bukanlah alam itu berasal dari ketiadaan. Alam tidak akan berkurang atau hilang lenyap. Kejadian yang baru pula adalah bersebab dan dapat dicari sebab itu, kerana asal sebab itu adalah akal fikiran dan jiwa."

Begitu juga dengan orang-orang yang menganut atheisme (tidak bertuhan), pantheisme (tuhan dan makhluk ciptaannya sama) dan politeisme (menyembah banyak tuhan).

2. Syirik bahawa berserta Allah ada tuhan lain Syirik ini percaya bahawa disamping adanya Allah ada lagi tuhan yang lain. Inilah ajaran yang dipegang orang-orang Kristian, Hindu dan Majusi. Kristian menjadi orang musyrik kerana percaya dengan trinity atau tiga tuhan. Penganut Hindu pula bertuhankan dengan tuhan Trimurti, juga dengan tiga tuhan. Orang Majusi pula yakin bahawa yang baik itu datang dari cahaya (terang) manakala perkara buruk dikaitkan dengan kegelapan, sedangkan segala yang baik mahupun yang buruk datang dari Allah jua.

Tauhid Uluhiyah

Makna Tauhid Uluhiyah

Jika rububiyah berasal dari perkataan rabb yang bermaksud Tuhan yang mengatur alam dan segala isi-isinya, uluhiyah pula berasal dari perkataan ilah yang bermaksud Tuhan yang patut disembah. Maka dari itu terbitlah pengertian bahawa tauhid uluhiyah ialah mengesakan Allah sebagai tuhan yang satu dalam konteks ikhlas beribadah kepada-Nya.

Tauhid Uluhiyah adalah peng-Esaan Allah dalam ketuhanan. Ketauhidan ini dibina atas dasar ikhlas kerana Allah semata-mata, bersama rasa cinta, takut, mengharap, tawakal, gemar dan hormat secara menyeluruh hanya kepada Allah. Tauhid uluhiyah itu mengesakan Allah dalam ketuhanan, kerana dasar aqidahnya dibangun atas keikhlasan bertuhan. Dan dalam mendapatkan keikhlasan itu perlu pula kepada cinta yang amat sangat kepada Rabbul Izzah Allah Maha Esa.

Allah berfirman
“Hanya kepada Engkau kami menyembah dan hanya kepada Engkau kami memohon pertolongan” (QS 1:4)
Dan Allah berfirman
“Jika mereka berpaling dari keimanan maka katakanlah: Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain Dia, hanya kepada-Nya aku bertawakal, sedang Dia adalah Tuhan pemilik Arasy yang agung” (QS 9:129)
Sampai kepada firman Allah
“Dan bertawakallah kepada Allah yang hidup kekal yang tiada mati dan bertasbihlah memuji-Nya. Dan cukuplah Dia Maha Mengetahui dosa-dosa hamba-Nya” (QS 25:58)

Tauhid uluhiyah juga dipanggil tauhid ubudiyah kerana ubudiyah berasal dari perkataan abd yang bermaksud hamba. Oleh kerana ilah bermaksud tuhan yang patut disembah, maka yang paling sesuai menyembah-Nya pastilah hamba-Nya sendiri. Tauhid ini juga digelar tauhid iradah atau tauhid kehendak, kerana setiap hamba itu berkehendak kepada beribadah terhadap tuhan. Sifat ‘berkehendak kepada tuhan’ ini merupakan sifat yang memang semula jadi wujud dalam diri manusia, dan Maha Bijaksana Allah apabila Dia menurunkan nabi-nabi dan rasul-rasul untuk menunjukkan manusia cara yang betul untuk beribadah. Pendek kata, tauhid ini dibina atas rasa ikhlas beramal semata-mata kerana Allah.

Allah berfirman
“...maka sembahlah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya” (QS 39:2)
Dan Allah berfirman
“...katakanlah:Maka terangkanlah kepadaku tentang apa yang kamu seru selain Allah. Jika Allah hendak mendatangkan kemudaratan kepadaku, adakah mampu berhala-berhala kamu menghilangkan mudarat itu? Atau jika Allah mahu menurunkan rahmat-Nya kepadaku, adakah dapat berhala kamu menahan turunnya rahmat-Nya?...” (QS 39:38)
Sampai kepada firman-Nya
“Katakanlah: Apakah kamu menyuruh aku menyembah selain Allah hai orang-orang yang tidak berpengetahuan? Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepada kamu dan kepada nabi-nabi sebelum kamu, jika kamu menyekutukan Allah, nescaya hapuslah amalmu dan tentulah kamu termasuk golongan yang merugi. Kerana itu maka hendaklah Allah sahaja yang kamu sembah dan hendaklah kamu termasuk orang-orang yang bersyukur” (QS 39:64-66)

Tauhid Uluhiyah adalah ajakan para Rasul

Tauhid adalah awal dan akhirnya agama serta batin dan lahirnya agama manakala tauhid uluhiyah ini pula awal ajakan semua rasul termasuk Rasulullah s.a.w dan akhir ajakan mereka juga, kerana mereka mahukan semua umatnya beribadah kepada Allah.

Allah berfirman
“Dan Kami tidak mengutuskan seorang rasul pun sebelum kamu, melainkan telah Kami wahyukan kepadanya bahawasanya tidak ada Tuhan melainkan Allah, maka sembahlah olehmu sekalian akan Aku” (QS 21:25)
Allah berfirman lagi
“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Nuh kepada kaumnya. Maka ia berkata: Hai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah (kerana) sekali-kali tdak ada Tuhan bagimu selain Dia. Mengapa kamu tidak bertaqwa kepada-Nya?” (QS 23:23)
Dan Allah berfirman
“Dan (Kami telah mengutus) kepada kaum ‘Ad saudara mereka Hud. Ia berkata: Hai kaumku sembahlah Allah sekali-kali tidak ada Tuhan bagimu selain-Nya. Mengapa kamu tidak bertakwa kepadanya?” (QS 7:65)

Sesungguhnya Al-Quran banyak menyebut tentang tauhid ini. Adakalanya ajakan itu untuk menyembah Allah, tidak ada sekutu bagi-Nya dan mengajak meninggalkan segala penyembahan selain kepada-Nya. Atau adakalanya ayat itu memerintahkan beribadah sesuai dengan kemampuan tetapi tidak pula melarang keringanan dalam beribadah itu. Jelas terlihat disini konsep tauhid yang terlibat. Yang pertama berkisar tauhid uluhiyah iaitu peng-Esaan Allah dalam ketuhanan manakala yang kedua berkisar tauhid ubudiyah iaitu peng-Esaan Allah dalam pengibadahan.

Manusia sombong dan Tauhid Uluhiyah

Rasul adalah seorang lelaki baik-baik yang diutus Allah untuk mengajak dirinya dan umatnya menyembah Allah melalui wahyu yang disampaikan Jibril. Sejak dari zaman Adam a.s sehingga Muhammad s.a.w, banyak rasul telah diutuskan. Dalam satu riwayat, dikatakan bilangan rasul mencapai 313 orang. Namun, sehingga hari ini, tetap ada orang-orang yang membuat kerosakan di muka bumi ini. Apakah seruan para rasul dari dulu sehingga kini tidak membuahkan apa-apa hasil ?

Sebenarnya, keingkaran manusia kepada adanya Pencipta hanya kerana kesombongan dan ketakburan, bukan bererti fitrah manusia menolak adanya Pencipta. Kerana itu apabila telah hilang penutup dan selaput yang menutupi fitrah ini, dan sifat sombong dan takbur telah terkikis, maka tanpa disedari manusia pada satu masa terpaksa menyerah diri kepada Allah dan meminta tolong kepada-Nya.

Manusia yang melupakan tuhannya atau belum pernah terlintas dalam ingatannya pada Tuhannya, pada suatu saat dia pasti, sama ada secara paksa atau rela hati, mengakui adanya Yang Maha Kuasa, yang kekuasaan-Nya mengatasi kekuasaannya sendiri sehingga dia terpaksa menyerah diri kepada Tuhannya. Pemikiran seorang yang sedang terlantar sakit terkujur di tempat pembaringan, seorang doktor dalam bilik operasinya sedang menjalankan pembedahan, ataupun penumpang kapal terbang yang tahu kenderaannya dalam bahaya hanya tertuju kepada Tuhan, meminta tolong dan diselamatkan. Kepada Tuhan mereka menghadapkan diri dan menyerahkan dirinya kepada kehendak Tuhan.

Allah berfirman
“Apabila mereka dilambung ombak yang besar seperti gunung mereka menyeru Allah dengan mengikhlaskan ketaatan kepada-Nya. Tetapi tatkala Allah menyelamatkan mereka sampai didaratan, maka sebahagian mereka sahaja yang tetap menempuh jalan yang lurus ” (QS 31 :32)

Tauhid Rububiyah Melahirkan Tauhid Uluhiyah

Tauhid rububiyah adalah merupakan keyakinan yang bulat dalam bentuk pengakuan bahawa Allah adalah sumber penciptaan. Dari keyakinan demikian lahirlah tauhid uluhiyah dalam bentuk pengakuan bahawa yang wajib disembah hanyalah Allah, kerana Allah sumber penciptaan, dan ciptaan perlu patuh pada penciptanya. Tidak ada sesuatu yang lain yang berhak disembah melainkan Allah. Malahan ayat-ayat yang mengingatkan kaum musyrikin tentang tauhid uluhiyah juga mencakupi peringatan tentang tauhid rububiyah dan sebaliknya.

Allah berfirman
“Apakah mereka menyekutukan Allah dengan berhala-berhala yang tidak dapat menciptakan sesuatupun? Sedangkan berhala-berhala itu sendiri buatan orang.” (QS 7:191)
Dan Allah berfirman lagi
“Apakah Allah yang menciptakan itu sama dengan yang tidak dapat menciptakan apa-apa? Mengapa kamu tidak mengambil pengajaran?” (QS 16:17)
Sampai kepada firman-Nya
“Hai manusia! Telah dibuat perumpamaan, maka dengarlah olehmu perumpamaan itu. Sesungguhnya segala yang kamu seru selain dari Allah sekali-kali tidak dapat menciptakan walau seekor lalat sekalipun, walaupun mereka bersatu untuk menciptakannya. Dan jika lalat-lalat itu merampas sesuatu dari mereka, tidaklah dapat mereka merebutnya kembali dari lalat itu. Amat lemahlah yang menyembah dan amat lemahlah pula yang disembah.” (QS 22:73)

Dalam ayat ketiga, amat jelas kaitan antara tauhid rububiyah (Allah sebagai satu-satunya Pencipta) dan tauhid uluhiyah (Allah sebagai satu-satunya sembahan manusia). Ayat-ayat diatas dengan jelas menerangkan kepada kaum musyrikin bahawa apa yang mereka sembah selain Allah itu lemah, tidak dapat membuat sesuatu sekalipun lalat, begitu juga kalau hatta seekor lalat menyerang persembahannya, tidak dapat berhala itu menghindarkan dirinya dari serangan lalat tadi. Kerana itu akal yang sihat tidak dapat menerima sembahan selain kepada Allah dan tidak dapat menerima yang lain dari Allah itu disamakan dengan Allah. Allah adalah Pencipta, sedang yang lainnya adalah ciptaan-Nya yang mempunyai serba-serbi sifat kekurangan.

Allah berfirman
“Katakanlah: Kepunyaan siapakah bumi ini dan semua yang ada padanya jika kamu mengetahui? Mereka akan menjawab kepunyaan Allah. Katakanlah: Maka mengapa tidak kamu ingat? Katakanlah: Siapa yang empunya langit yang tujuh dan yang empunya Arasy yang besar? Mereka akan menjawab: Kepunyaan Allah! Katakanlah: Maka mengapa kamu tidak juga bertakwa (kepada-Nya)? Katakanlah: Siapakah yang ditangan-Nya berada kekuasaan atas segala sesuatu sedang Dia melindungi, tetapi tidak ada yang dapat melindngi dari(azab)-Nya jika kamu mengetahui? Mereka menjawab: Kepunyaan Allah. Katakanlah: Maka dari jalan manakah kamu ditipu? Bahkan kami sebenarnya telah membawa kebenaran kepada mereka, tetapi mereka itu sesungguhnya adalah orang-orang yang berdusta.” (QS 23:84-90)

Al-Quran menunjukkan pengakuan orang-orang musyrik yang mengatakan Allah sebagai pemilik langit dan bumi, dan Dia juga yang mengaturnya. Kerana itu, hendaknya mereka menyembah Allah dan jangan sekali-kali menyembah selain Allah.

Syirik Ketuhanan dan Syirik Ibadah

Jenis syirik ini pada syirik dalam tauhid uluhiyah dan tauhid ibadah. Al-Qurthubi mengatakan: Asal syirik yang diharamkan adalah kepercayan adanya sekutu bagi Allah dalam ketuhanan. Dan inilah syirik yang besar. Demikian itulah syirik Jahiliyah.

Dan bersamaan besar syiriknya dalam tingkatan-tingkatan syirik adalah kepercayaan adanya sekutu bagi Allah dalam perbuatan. Hal ini tergambar pada pendapat orang yang mengatakan bahawa sebenarnya yang maujud ini, apa-apa selain Allah, adalah bebas merdeka tentang kejadiannya, perbuatannya dan manfaatnya. Mereka mempercayai kewujudan Tuhan, tetapi melepaskan diri dari Tuhan. Begitulah pendapat Al-Qurthubi.

1. Syirik bahawa Allah ada tandingan Syirik ini ialah bahawa Allah itu ada tandingan (taghut, andad) lalu diserunya seperti menyeru kepada Allah dan meminta syafaat kepadanya seperti memohon kepada Allah. Orang syirik yang semacam ini mengharap kepada andad itu sebagaimana mengharap kepada Allah. Dia mencintai seperti mencintai Allah dan ditakuti bagaikan takutnya kepada Allah. Pokoknya dia memperlakukan Allah itu ada saingan yang disembahnya seperti dia menyembah allah, dan ini adalah syirik yang amat besar.

Allah berfirman
“Sembahlah Allah dan janganlah menyekutukan-Nya dengan sesuatu” (QS 4:36)
Dan Allah berfirman
“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus rasul kepada tiap-tiap umat dengan tujuan: Sembahlah Allah dan jauhilah taghut” (QS 16:36)

2. Syirik kecil (riya’) Pendapat ini diambil dari ibn Qayim dan lain-lainnya. Syirik kecil ini terjadi apabila seseorang itu beribadah tidak ikhlas kerana Allah, bahkan beramal untuk kepentingan sendiri, mencari keuntungan dunia, kedudukan atau pangkat di hadapan manusia. Maka menurut pengertiannya setiap amal dan ibadahnya perlu ada habuan. Perbuatan begini adalah syirik dan menyekutukan Allah.

Tauhid Asma Wa Sifat

Makna Tauhid Asma Wa Sifat

Asma adalah jama’ kepada kata ism. Oleh itu asma bermaksud nama-nama. Tauhid asma wa sifat (nama-nama dan sifat) adalah pengesaan Allah melalui nama-nama dan sifat-Nya.

Dengan lebih terperinci, tauhid asma wa sifat ialah beriman kepada nama-nama Allah dan sifat-Nya, sebagaimana yang diterangkan dalam Al-Qur'an dan Sunnah Rasul-Nya menurut apa yang sesuai bagi Allah s.w.t, tanpa ta'wil dan ta'thil(menafikan), tanpa takyif (mempersoalkan) dan tamtsil (menyerupakan). Boleh juga dikatakan bahawa tauhid ini adalah beriman bahwa Allah memiliki nama dan sifat baik (asma ul-husna) yang sesuai dengan keagungan-Nya. Umat Islam mengenal 99 asma ul-husna yang merupakan nama sekaligus sifat Allah.

Firman Allah
“Tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan Dia, dan Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (QS 42:11)

Allah menafikan jika ada sesuatu yang menyerupai-Nya, dan Dia menetapkan bahwa Dia Maha Mendengar dan Maha Melihat. Maka Dia diberi nama dan disifati dengan nama dan sifat yang Dia berikan untuk diri-Nya dan dengan nama dan sifat yang disampaikan oleh Rasul-Nya. Al-Qur'an dan As-Sunnah dalam hal ini tidak boleh dilanggar, karena tidak seorang pun yang lebih mengetahui Allah daripada Allah sendiri, dan tidak ada sesudah Allah orang yang lebih mengetahui Allah daripada Rasul-Nya.

Maka barangsiapa yang mengingkari nama-nama Allah dan semua mahupun sebahagian sifat-Nya atau menamakan Allah dan menyifati-Nya dengan nama-nama dan sifat-sifat makhluk-Nya, atau menta'wilkan dari maknanya yang benar, maka dia telah berbicara tentang Allah tanpa ilmu dan berdusta terhadap Allah dan Rasul-Nya.

Allah berfirman lagi
“Siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah?” (QS 18:15)

Tauhid asma dan sifat adalah pernyataan ikrar bahawa sesungguhnya Allah Maha Tahu keadaan segala sesuatu, Maha Kuasa, sesungguhnya Dia Maha Hidup, Dia tidak tidur dan tidak lupa. Dia Maha Mendengar, Maha Melihat, Maha Belas, Maha Kasih, Dia Maha Suci, Maha Sejahtera, Maha Memelihara dan Maha Perkasa. Maha Suci Allah daripada apa-apa yang disamakan dengan-Nya.

Tauhid ini belum cukup untuk memastikan seseorang itu menjadi seorang Muslim, bahkan mesti disertai dengan tauhid rububiyah iaitu peng-Esaan Allah dalam pengaturan dan tauhid uluhiyah iaitu peng-Esaan Allah dalam ketuhanan.

Tauhid Asma Wa Sifat dan Orang Kafir

Orang kafir pada umumnya mengakui tauhid asma dan sifat, walaupun memang ada yang mengingkarinya, kadang kala kerana kebodohan mereka sendiri, atau memang kerana mereka golongan yang ingkar. Mereka berdalih dengan mengatakan, “Kami tidak mengetahui Ar-Rahman selain Rahmanul Yamamah.” Tentang hal ini, telah turun satu ayat.

Allah berfirman
“Padahal mereka kafir kepada Ar-Rahman (Yang Maha Pemurah)” (QS 13:30)

Ibn Katsir menyatakan, “Pada lahirnya pengingkaran mereka sebenarnya adalah berisi penolakan dan iri, dalam kekafirannya mereka mengingkari Ar-Rahman.” Perihal pengakuan mereka akan kewujudan tauhid asma wa sifat jelas dalam syair-syair mereka.

"Apa yang dikehendaki Ar-Rahman mengikat dan mutlak"
"Perhatikan Sibiran Ar-Rahman Tuhanku adalah sumpah"
"Maka bagi Allah tiada tersembunyi apa dalam dirimu
Perkara apa pun yang tersembunyi Allah selalu tahu"

Perkara ini menunjukkan mereka mengetahui kewujudan Allah sebagai Ar-Rahman, namun mereka masih mengingkari-Nya. Jika mereka tidak menolaknya, pasti dari awal lagi orang kafir dan musyrik Makkah tidak menolak agama bawaan Nabi Muhammad s.a.w kerana agama Islam merupakan agama yang diturunkan Allah Ar-Rahman. Ayat-ayat Makkiyah penuh dengan tauhid ini, kerana ingin memperbetulkan penggunaan dan menyucikan nama-nama Allah dan semua sifat-Nya.

Allah berfirman
“Apakah dia menjadikan tuhan-tuhan yang banyak itu menjadi satu Tuhan sahaja? Sungguh ini memang satu kejutan!” (QS 38:5)

Sifat-Sifat Allah

Sifat Maksud
Sifat Wajib
Wujud Allah itu Ada
Qidam Allah itu Sedia
Baqa' Allah itu Kekal
Mukhalafatuhu Lilhawadisi Bersalahan Allah dengan yang baru
Qiyamuhu Binafsih Berdri Allah dengan sendiri
Wahdaniyah Allah itu Esa
Qudrah Allah itu Berkuasa
Iradah Allah itu Berkehendak
Ilmu Allah itu Berilmu
Hayyun Allah itu Hidup
Sama' Allah itu Mendengar
Basar Allah itu Melihat
Kalam Allah itu Berkata-kata
Kaunuhu Taala Qadiran Allah keadaan-Nya Berkuasa
Kaunuhu Taala Iradan Allah keadaan-Nya Berkehendak
Kaunuhu Taala Aliman Allah keadaan-Nya Berilmu
Kaunuhu Taala Hayyan Allah keadaan-Nya Hidup
Kaunuhu Taala Sami'an Allah keadaan-Nya Mendengar
Kaunuhu Taala Basiran Allah keadaan-Nya Melihat
Kaunuhu Taala Mutakalliman Allah keadaan-Nya Berkata-kata
Sifat Maksud
Sifat Mustahil
'Adam Tiada
Hudus Baru
Fana Tidak kekal
Mumasaluhu Lilhawadis Bersamaan dengan yang baru
Ihtiyaju Lighairih Tidak berdiri dengan sendiri
Ta'addud Berbilang-bilang
'Ajzun Lemah
Karahiyah Terpaksa
Jahlu Bodoh
Mautu Mati
Shaumu Pekak
'Amaa Buta
Bukmun Bisu
Kaunuhu Taala 'Ajizan (Mustahil) Allah itu keadaan-Nya Lemah
Kaunuhu Taala Mukrahan (Mustahil) Allah itu keadaan-Nya Terpaksa
Kaunuhu Taala Jahilan (Mustahil) Allah itu keadaan-Nya Bodoh
Kaunuhu Taala Mayyitan (Mustahil) Allah itu keadaan-Nya Mati
Kaunuhu Taala 'Ashamma (Mustahil) Allah itu keadaan-Nya Pekak
Kaunuhu Taala 'Amaa (Mustahil) Allah itu keadaan-Nya Buta
Kaunuhu Taala Abkam (Mustahil) Allah itu keadaan-Nya Bisu

Terdapat satu lagi sifat Allah, iaitu sifat jaiz (harus) kepada Allah. Allah bebas berbuat sekehendak-Nya, yakni jikalau Allah mahu, boleh saja Dia membuatkan hari ini hujan sepanjang hari, atau boleh saja Dia menghalang hujan dari turun. Inilah sifat jaiz bagi Allah.

Syirik dalam Penamaan Allah dan Sifat-Nya

Syirik peng-Esaan nama dan peng-Esaan sifat-sifat Allah kurang berat jika dibandingkan dengan syirik rububiyah atau uluhiyah. Namun, perlulah diingat bahawa semua syirik adalah sama. Hal ini boleh disamakan dengan tangga. Rang tangga yang dibawah sekali ialah syirik peng-Esaan nama dan peng-Esaan sifat-sifat Allah manakala rang tangga yang paling tinggi ialah syirik ta’thil, namun ia tetap merupakan tangga, tidak kira di atas atau di bawah. Syirik ini juga ada dua jenis:

1. Syirik penyerupaan Khaliq dengan makhluk Syirik penyerupaan Khaliq dengan makhluk ialah seperti mana seseorang yang menyatakan pendapatnya bahawa Allah itu mempunyai tangan yang sama dengan tangan manusia, atau deria dan cara Allah mendengar adalah seperti manusia. Syirik ini ialah syirik golongan Musyabbihat yang dikenali dengan nama Mujassimah atau Karamiyah.

Pada penghujung abad pertama hijrah, telah muncul fahaman Jahmiyah yang menolak sifat-sifat Allah yang menyerupai manusia seperti Ilmu dan Hayyun kerana ingin membezakan Allah dengan manusia, dan fahaman ini dikuatkan oleh fahaman Mu’tazilah yang muncul dizaman Abbasiyah. Maka Muhammad ibn Karam Abu Abdullah As-Sijistaniy telah muncul untuk melawan fahaman yang sesat ini. Namun dalam melawan golongan Jahmiyah dan Mu’tazilah, mereka menetapkan secara berlebih-lebihan sehingga menyerupakan Allah itu berjisim. Maka mereka yang berpegang dengan hujah ini telah dihukum syirik oleh Ahlu As-Sunnah wa Al-Jamaah.

2. Syirik penamaan Allah secara batil (salah) Syirik ini memberikan Allah nama yang batil ataupun menyingkirkan Allah dari nama-nama yang hak kepada-Nya. Golongan musyrik sering melakukan perkara ini. Mereka merubah Ar-Rahman kepada Rahmanul Yamamah seperti yang telah disebut di atas. Mereka juga memberi nama berhala mereka dengan nama-nama Allah yang telah mereka ubah. Ibn Abbas berkata:

"Mereka (orang Jahiliyah) mengumpat Allah pada nama-Nya, mereka menyekutukan-Nya. Daripada-Nya mereka namakan Latta dari kata Ilah dan Uzza dari kata Aziz."

Hal ini amat dibenci Allah. Dalam Al-Quran, beberapa kali Allah menyentuh tentang perkara ini.

Allah berfirman
“Dialah Allah, tidak ada Tuhan melainkan Dia. Dia mempunyai asma al-husna (nama-nama yang baik).” (QS 20:8)
Dan Allah berfirman
“Serulah Allah atau serulah Ar-Rahman. Dengan nama yang mana saja kamu seru, Dia mempunyai asma ul-husna, dan janganlah kamu mengeraskan suaramu dalam solat dan janganlah pula kamu rendahkan dan carilah jalan tengah di antara kedua itu.” (QS 17:110)
Sampai kepada firman Allah
“Allah mempunyai asma ul-husna, maka bermohonlah kamu kepada-Nya dengan menyebut asma ul-husna itu dan tinggalkanlah orang-orang yang menyimpang dari kebenaran dalam menyebut nama-Nya. Nanti mereka akan mendapat balasan terhadap apa yang mereka kerjakan.” (QS 7:180)

Hamka menulis dalam tafsirnya mengenai ayat surah Al-A’raf ayat 180. Menurut beliau, ayat tersebut bermaksud ‘janganlah dihiraukan orang-orang yang menyembah Allah dengan nama-nama yang tidak sesuai dengan sifat-sifat dan keagungan Allah, atau memakai asma ul-husna, tetapi dengan maksud menodai nama Allah atau menggunakan asma ul-husna untuk selain Allah’.