Vol. 3, No. 4 (2020)
E-ISSN: 2637-0271
PEMIKIRAN ZA‘BA DAN KESANNYA KEPADA KEBANGKITAN
PERJUANGAN NASIONALISME MELAYU
[EAST THOUGHT IT MEANS TO RISE AND THE STRUGGLE
NASIONALISME ENGLISH]
1 AHMAD
NABIL AMIR
nabiller2002@gmail.com
*2TASNIM
ABDUL RAHMAN
tasnimrahman@unisza.edu.my
1
International Institute of Islamic Thought and Civilization (IIUM-ISTAC)
2
Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin.
*Corresponding Author
ABSTRACT
The paper discusses the influential ideas and works of Pandita Za‘ba (16 Sept 1895-23 Ogos 1973)
that defines his profound aspirations and struggle to defend the Malay nation and the unprecedented
intellectual tradition it left behind. This was derived from his accomplished works on Malay
intellectual history that reflected his progressive ideas in formulating ways to advance and raise up
the standards and dignity of the Malay people. The paper uses descriptive, analytical and historical
approaches. It looks into his historical works that gave critical and rational impression on the poverty
of the Malays and some radical efforts to raise the new consciousness and confidence of the Malays
from its unfortunate plight and predicament. The finding suggests that Za‘ba has brought forth
unprecedented sense of national consciousness that identify the Malay interest for prestige and
development and the continuing hope of upliftment and the ideal of national struggle aspiring for
reform and independence of the nation.
Keywords: Za‘ba, Malay people, poverty, nationalism
ABSTRAK
Makalah ini cuba membincangkan pemikiran dan penulisan-penulisan Pendeta Za‘ba (16 Sept 189523 Ogos 1973) yang berpengaruh yang ditinggalkannya dari warisan pemikiran dan bekas-bekas
perjuangan intelektualnya yang bersejarah. Ini diangkat dan dirumuskan dari pergerakan dan usahausahanya dalam mengangkat darjat dan harakat bangsa Melayu. Makalah ini bersifat deskriptif,
analitis dan historis. Ia meninjau legasi dan warisan intelektual yang ditinggalkan Za‘ba dan
menggarap aspirasi perjuangan dan keyakinan intelek yang tinggi yang dibawanya dan paham-paham
pembaharuan yang berpengaruh yang dimanfaatkannya untuk mengangkat dan membangkitkan
kesedaran orang-orang Melayu. Kajian merumuskan bahawa dari kecekalan dan kesungguhannya, ia
berhasil menggembling harakat perubahan dan ijtihad dan meniupkan kesedaran nasionalisme di
kalangan bangsa Melayu.
Kata kunci: Za‘ba, Orang Melayu, Kemiskinan, Kebangsaan
61
Vol. 3, No. 4 (2020)
E-ISSN: 2637-0271
PENDAHULUAN
Tulisan ini menelusuri ide-ide dan penulisan Pendeta Za‘ba (16 Sept 1895-23 Ogos 1973) yang
berpengaruh yang ditinggalkannya dari warisan pemikiran dan bekas-bekas perjuangan
intelektualnya yang bersejarah dalam usahanya mengangkat darjat dan harakat bangsa. Ini ditinjau
dari legasi dan keyakinan intelek yang tinggi yang dibawanya dan faham-faham pembaharuan yang
berpengaruh yang dimanfaatkannya untuk mengangkat dan membangkitkan kesedaran dan
menggembleng harakat perubahan dan ijtihad. Kesedaran ini dibawakan dalam banyak penulisan dan
makalah yang dikarangnya seperti ‘Jalan Keselamatan Bagi Orang-Orang Melayu’ yang berusaha
membangkitkan kesedaran dan aspirasi penting dalam perjuangan orang Melayu untuk mencapai
kemajuan. Menurutnya, orang Melayu ini telah lama dijajah dan dikikis habis hasil mahsulnya oleh
bangsa penjajah, dan pemerasan selama beratus tahun itu bertanggungjawab atas nasib buruknya yang
terpuruk dalam kemiskinan, yang meranapkan segala kebaikan maslahatnya yang membawa pada
cemuh dan lesu pada segenap seginya. Kemiskinannya ini tidak hanya dipandang Za‘ba pada
kekurangannya pada wang ringgit dan harta benda, malah ia juga telah sangat ketinggalan dan miskin
pada akal budi, pengetahuan dan pelajaran yang asas, nilai-nilai pemikiran dan sifat-sifat
keperangaian yang mulia, sehingga ia tertinggal jauh dari pencapaian bangsa-bangsa yang besar.
Kerana kebodohan dan kemiskinan akal budi ini juga orang Melayu bersikap pesimis dan
mulai berserah buta sahaja, bergantung pada usaha orang lain, tanpa daya juang dan keyakinan atas
ikhtiar yang dituntut agama untuk merubah dan menentukan nasibnya sendiri. Kejahilan yang parah
ini telah membawa pada kepercayaan yang tidak-tidak, pada amalan-amalan syirik, dan bacaan Qul
Huwallah dan doa-doa dan sedekah tahlil sebagai penebus dosa ketika mati kelak. Tegas Za‘ba, nilai
agama dan kekuatan ajarannya terletak pada dorongan dan keyakinan yang diilhamkannya, bersendiri
pada amalan dan perbuatan yang dikerjakan sendiri. Tuhan tidak pernah menyuruh kita berserah buta
mengharapkan pemberian sedekah dan fidyah, mengemis dan mengharap usaha yang dibanting orang
lain. Segala pekerjaan ibadat itu harus dikerjakan sendiri, yang diwajibkan atas setiap orang, tanpa
boleh diwakilkan pada orang lain.
Dalam mengungkapkan pemikirannya, ia sangat keras menentang kebodohan dan
memperlihatkan ketegasan yang bukan main dalam kritikannya terhadap kenaifan dan kebodohan
nasib pengikut-pengikut fikiran-fikiran lapuk. Ia menganggap orang-orang Melayu ini, dari satu
keturunan kepada satu keturunan, mewarisi sikap dan pemikiran yang sama. Orang-orang alimnya,
mahupun orang-orang jahilnya sama saja, hidup sebagai katak di bawah tempurung. Orang-orang
alimnya hanya tahu kulit-kulit agama, tidak pernah terbayang adanya ilmu-ilmu pengetahuan yang
lebih luas dari yang telah diketahui sedikit-sedikit itu, sedang pengikut-pengikutnya yang jahil
menyangka tuan-tuan guru mereka adalah alim-alim besar belaka, tiada lagi orang-orang lain yang
lebih alim daripada tuan-tuan syeikh dan guru-guru tarekat mereka yang keramat itu.
Tantangan terhadap kebobrokan ini sebagai diungkapkan oleh Hamka (1983, 537) dalam
perbahasannya yang mendalam tentang faham dan kepercayaan lapuk yang di bantah akal, yang
ditekankan dalam bukunya Membahas Kemusykilan Agama: “kerana pada zaman yang sudah-sudah
orang hanya diwajibkan taqlid (menurut sahaja), dengan tidak boleh mempergunakan akalnya,
sehingga kepercayaan agama telah dicampur adukkan dengan dongeng dan ketololan.”
Rumusan Hamka tentang sikap berserah buta dan bertaklid tanpa soal dan kepercayaankepercayaan yang bebal dan tolol ini turut diperkukuhkan oleh Za‘ba, yang menguraikannya dalam
konteks zamannya, yang jauh lebih terpuruk: “maka sebanding lah mereka dengan katak kolam yang
62
Vol. 3, No. 4 (2020)
E-ISSN: 2637-0271
tiada pernah melihat laut dalam cerita perumpamaan itu, iaitu beberapa pun dinyatakan dan
diceritakan kepadanya oleh katak laut peri kebesaran dan keluasan laut maka dibandingkannya
dengan kolam kecil tempat ia tinggal itu juga!”
PEMIKIRAN ZA‘BA
Pemikiran Za‘ba yang tinggi dan luar biasa telah mendapat pengiktirafan yang meluas dari sarjanasarjana besar dunia. Dalam kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Malaya ketiga di Johor Bahru
pada 16-21 September 1956, beliau telah dianugerahkan gelaran pendeta oleh pejuang-pejuangnya.
Kongres yang dirancang oleh Angkatan Sasterawan ’50 (ASAS ’50) itu memberinya anugerah berupa
songkok, yang disampaikan oleh Cikgu Muhammad Noor bin Ahmad, naib pengerusi kongres, yang
memasyhurkan perisytiharan anugerah pendeta yang bermakna itu. Dalam melakarkan penghargaan
ini, Usman Awang telah diminta untuk mendrafkan kata-kata penghargaan terhadap Za‘ba, “yang
akan dianugerahkan gelaran ‘Pendeta’, kerana gelaran itu dicipta untuk memberikan pengiktirafan
konkrit kepada pejuang bahasa dan sumbangan mereka yang juga menjadi ‘lambang dari perjuangan
Bahasa dan Persuratan Melayu di Tanah Air kita yang amat kita junjung tinggi ini.” (Muhammad
Haji Salleh, 2017, 109)
Ungkapan yang puitis yang dilakar Usman Awang itu melafazkan: “Di antara deruan angin
selat Melaka, di antara kocakan ombak dan air yang memisahkan dengan kepulauan Indonesia, maka
dengan ini kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Malaya menganugerahkan kehormatan dengan
meletakkan lambang dan tonggak Bahasa dan Kesusasteraan Melayu kepada Tuan Haji Zainal Abidin
Ahmad (Za‘ba) (Utusan Melayu, 22.9.1956)
Tetapi ini tidak diharapkan oleh Za‘ba yang tidak memandang keperluan pada gelar pangkat
dan gembar gembur, kerana memandang kerja-kerja politik dan gembar gembur sepertinya tak dapat
dipertanggungjawabkan untuk membina bangsa yang besar. Ini dibayangkan dalam suratnya kepada
O.T. Dussek bertarikh 20.10.1936, yang menegaskan:
“The Johor Society of Malay literature wished to acknowledge my help in this Dictionary of
theirs by conferring on me the ‘title’ of Pendeta Bahasa Johor; but I politely and factfully declined
it, as I am not out for such petty ‘titles’ and ‘honours’. The glitters of ephemeral greatness and honour
never appeals to me.” (Adnan Haji Nawang, 1994, 147).
Menurutnya, tanggungjawab yang dipikulnya dalam mengangkat harakat dan darjat bahasa
tidak memerlukan bintang penghargaan dan gembar gembur dan membuat heboh kerana
keyakinannya bahawa kesan yang lebih berpanjangan adalah perjuangan seseorang dalam
mempengaruhi pemikiran yang menentukan masa depan bangsa dan kemanusiaan:
“To me a man’s value is only estimated by grandeur of his ideas dan his achievements as
influencing the thought and destinies of mankind for good, not by the grandeur of his ‘titles’ or by his
own estimate of himself. The kind of greatness that, I always admire is that of the enduring and
imperishable type, undetectable from its owner even by his death.”
Menurut Za‘ba, tanggungjawab memajukan dan mengangkat darjat bahasa dan
pengembangannya jauh lebih mendesak daripada gembar gembur yang menjadi permainan dan
percaturan politik pihak yang berkepentingan, dan merupakan tinggalan adat feudal yang lapuk.
Pandangan ini dilahirkannya dalam suratnya bertarikh 8.9.1958 kepada Muhammad Noor bin Ahmad
(yang bertanggungjawab menyuntingkan gelar pendeta itu):
63
Vol. 3, No. 4 (2020)
E-ISSN: 2637-0271
“Adat mengurniakan bintang dan gelar itu adalah adat feudal dan simbol penjajah yang tidak sayugia
dikekalkan; dan memakai gelar dan bintang itu pada perasaan ayahanda ialah seperti burung
kesayangan memakai kalong emas yang diberi oleh tuannya…walau bergelar walau tidak ayahanda
begini juga. Kalau dikatakan yang memberinya itu rakyat, ayahanda pun rakyat juga, dan tidak ingin
jadi lain daripada itu.” (Adnan Haji Nawang, 1994, 170).
Kerana beliau memandang tidaklah sayugia sekadar bermegah dengan pangkat, kerana yang
dipentingkan bukanlah meraih barang yang rendah, dan gembar gembur yang tak berfaedah,
sebaliknya keasyikan pada sesuatu yang menjadi sebutan yang berkekalan, yang terhasil daripada
perjuangan dan kekuatan pemikiran-pemikiran dan penghasilan-penghasilan yang dikerjakan diamdiam, yang lebih layak dan berguna. Ini dijelaskan oleh Za‘ba kepada Muhammad Noor bin Ahmad,
pada akhir 1958, setelah beliau meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Tetap Kongres
(LTK): “…hati ayahanda tidak sekali-kali tertarik kepadanya dan kekuatan ayahanda tidak cukup
hendak mengerjakan tugas-tugasnya. Kalau tertonggok jadi pengerusi sahaja tetapi tidak bekerja
maka sangatlah ayahanda malu. Istimewa pula jika tidak menghasilkan buah-buah yang ayahanda
inginkan, hanya bermesyuarat, bercakap, membuat heboh berjumpa menteri ke sana ke mari, dan
mengeluarkan kenyataan dalam suratkhabar! Apa lagilah kalau kerja-kerja yang dijalankan atas nama
ayahanda itu perkara yang ayahanda sendiri tiada bersetuju. Umpamanya ayahanda tidak suka sangatsangat jikalau ayahanda hendak digunakan orang sebagai alat politik – untuk ‘memperjuangkan’ itu
dan ini. Ayahanda lebih suka bekerja diam-diam daripada bercakap dan membuat heboh atau
bermegah-megah pada hal kosong dan tak sampai ke mana.”
Pada 1947 (dalam usia 52 tahun) Za‘ba melanjutkan pengajiannya ke University of London
dan mengajar bahasa Melayu di Sekolah Kajian Ketimuran dan Afrika [SOAS] kepada bakal penjabat
Inggeris di Tanah Melayu. Beliau menduduki peperiksaan diploma Bahasa Arab klasik pada 1949
dan lulus. Setelah pulang beliau dilantik sebagai pensyarah kanan, sekali gus memegang kedudukan
ketua jabatan di Jabatan Pengajian Melayu di Universiti Malaya, Singapura yang disandangnya
sebagai yang pertama ditunjuk ke jabatan itu dari bulan April 1953 sehingga Januari 1959, dan
berkesempatan membentuk persekutuan bahasa Melayu pada 29 Januari 1955 –yang dirancang
bersama Profesor Diraja Ungku Aziz. Pencapaian ini sangat dibanggakan sebagai anak Melayu
pertama yang memangku jabatan penting yang mengkaji dasar bahasa dan sastera mereka sendiri.
Kenyataan ini sebagai disoroti oleh Muhammad Haji Salleh (2017, 114), yang mengupas pengalaman
dan pencapaian yang signifikan yang diraihnya ini:
“Pada waktu ini, Za‘ba ialah Ketua Jabatan Pengajian Melayu, pensyarah tempatan yang
pertama memegang jawatan itu, yang baru pulang dari England pada tahun 1953. Apabila beliau
diangkat maka rasanya seperti terselamat maruah orang melayu. Sekarang, sekurang-kurangnya anak
melayu mengetuai jabatan yang mengkaji bahasa dan sastera mereka sendiri. ‘Kita sampai setingkat
lagi dalam proses mencari diri dan mengembalikan harga diri’, kata Usman. Za‘ba masih agak muda
pada waktu beliau dilantik sebagai ketua. Beliau pendek dan gemuk, dengan kaca mata berbingkai
bulat. Tetapi apabila beliau bersyarah maka disulamnya dengan kelakar, dengan salutan telor Negeri
Sembilan. Walaupun ada unsur seksual tetapi nuansanya dijalin dengan agak halus. Dalam kelakarnya
itu Za‘ba membawa semangat nasionalis, yang memperjuangkan bangsa dan jati diri.”
Dalam membangunkan kekuatan intelek, tulisan-tulisannya cuba menghimbau fikiran-fikiran
kritis yang berpengaruh terhadap daya pemikiran dan pengembangan tradisi akliah dan pencerahan
dan menolak taklid buta yang sembarangan. Hal ini banyak diangkat dalam karyanya Perangai
Bergantung Kepada Diri Sendiri. Menurutnya pada zaman-zaman terakhir Islam ini, kira-kira akhir
64
Vol. 3, No. 4 (2020)
E-ISSN: 2637-0271
abad ke 18 dan 19, kekuatan semangat kesendirian dan ijtihad dalam tradisi akliah sudah hampir
hilang dan melenyap dan umat hanya bersandar pada teks yang dikarang ulama-ulama terdahulu.
Perbahasan-perbahasan yang bersendiri tentang fiqh dan hukum hakam syariat yang dipelopori ahliahli mazhab sudah pudar, hanya memakai ijtihad dan kesimpulan pendahulu-pendahulu, dan
kebanyakannya dan di mana-mana orang-orang hanya bertaklid buta pada pendapat-pendapat lama.
Ini dipersulit oleh sikap reaksioner golongan tua, yang mengongkong dan menentang sebarang
pemikiran baru yang hendak mencabar dan mengganggu gugat keputusan-keputusan dan fatwa-fatwa
fiqh yang tertua yang dianggap putus. Orang yang berani mencabar dan membantah penafsiranpenafsiran lama dianggap penyesat. Yang sebetulnya menurut Za‘ba (2009, 33) fikirannya sudah
jumud, dan terlempar dari semangat al-Qur’an dan hadith yang asal:
“Yang betulnya duduklah juga membeku di tempat yang ada itu!! Mungkin juga kerana mereka
sendiri tiada upaya membuatnya maka mereka tiada suka kalau ada orang lain pula dapat berbuat.”
Perbahasan yang krusial yang dilontarkannya cuba mengetengahkan pandangan rasional dan
mengajukan nilai-nilai pembaharuan yang mengesankan dalam sejarah dan tradisi intelek. Usaha
yang signifikan untuk memaknai dan menggembleng idea-idea yang bermakna dalam tradisi
pemikiran yang moden. Ia bermaksud hendak membuka pandangan dan ufuk pemikiran terhadap
nilai-nilai yang segar dan mengetengahkan fikiran-fikiran baru yang hidup yang dapat dibuktikan
kebenarannya secara empirik mengikut ujian akliah dan ilmu pengetahuan yang sebenar. Tulisannya
tuntas menolak cara lama yang kolot dan fikiran-fikiran yang membatu dan jumud yang berpaut pada
kepercayaan-kepercayaan lama yang usang yang tidak dapat dipertahankan oleh akal dan
penyelidikan yang saksama.
Ia menzahirkan tekad dan kesedaran terhadap perjuangan hendak membebaskan umat dari
kepincangan dan ketertindasan dan daripada terpuruk dalam kedaifan dan kemiskinan yang parah.
Dalam menzahirkan aspirasi ini, ia mengajak kita mempertimbangkan dengan akal fikiran yang sihat
pendapat-pendapat nenek moyang dan jalan-jalan orang-orang dahulu yang berlawanan dengan
pertimbangan-pertimbangan akliah yang sebenar. Tuhan sendiri mencela kita mengikut membuta tuli
dan serampangan pendapat-pendapat dengan tidak diperhalusi betul-betul menurut neraca akal.
Tuhan mencela keras kita mengikut-ikut kebiasaan-kebiasaan yang dibuat-buat tanpa dasar dan
landasan fikiran yang sebenar, yang menuntut pertimbangan dan penilikan dengan pengetahuan yang
hakiki terhadap keabsahan dan kesahihannya.
Dalam mengungkapkan keperluan bangsa bersaing dengan kemajuan dunia moden, Za‘ba
merumuskan aspirasi penting terhadap keupayaan pendidikan kelas dunia, dalam usaha mengejar
kepantasan perubahan dan ketangkasan sejagat. Kepentingan mempelajari dan mencapai kemajuan
setanding dengan bangsa-bangsa yang maju dalam merempuh cabaran dan bangkit dari
keterbelakangan dan keterpurukan dalam mengejar perubahan yang pantas. Keadaan kita yang
tersangkut dari arus moden dan keterbelakangan dari pelajaran kelas dunia ini dihuraikannya dengan
berkesan: “Adapun pelajaran yang betul banyaknya cukup sukatannya itu pula bagi masa kita
sekarang ini ialah kadar sebanyak yang melayakkan orang yang berpelajaran itu berdiri sama-sama
bersaing pada nisbah otak dan kawasan pengetahuan dengan orang-orang yang terpelajar di negeri
Barat dan pada nisbah hal yang lain-lain layak bersaing dan setanding tiada kurang dengan orang
baik-baik di dalam dunia dengan barang mana jua kaum.”
Beberapa tema terkait dengan nilai kemerdekaan dan pembebasan yang dibawakannya
memperlihatkan kekentalan dan keghairahannya dalam memperjuangkan dan mempertahankan
identiti bangsa dan membela nasib Melayu yang buruk dan pincang kerana ditekan dan diperas oleh
65
Vol. 3, No. 4 (2020)
E-ISSN: 2637-0271
kaum penjajah dan pemerintah. Kesan-kesan ini sebagaimana diungkapkan dalam makalahnya
“Kemiskinan orang Melayu” (al-Ikhwan, 1927), yang menzahirkan penyesalannya atas nasib bangsa
Melayu ini yang beratus-ratus tahun telah kena picit dan peras oleh penjajah Inggeris dan diteruskan
pula oleh pemerintah dari bangsa mereka sendiri yang memunggah hasil mahsulnya dan memerah
keringatnya dan memperkecil-kecilkan nilainya sebagai bangsa yang bermaruah.
Pandangan-pandangan yang penting yang dirumuskan dalam tulisan-nya menyingkapkan
idealisme kebebasan dan cita-cita perubahan yang mendalam yang menekankan kekuatan daya juang
dan pemulihan kekuatan akliah dan ijtihad sebagai diilhamkan dalam al-Qur’an dan berkembang
dalam tradisi Islam: “Segala seruan dan ajaran di dalam Qur’an adalah dihadapkan Tuhan kepada
manusia dari pintu akalnya dan pengenalan mata hatinya. Tuhan sentiasa menyuruh kita
menggunakan akal dan timbangan kita sendiri dan di dalam Qur’an kita dapati berulang-ulang pada
beberapa banyak tempat perkataan-perkataan seperti Afala Ta‘qilun dan Afala Tatafakkarun ertinya,
“Tidakkah kamu menjalankan akal! Tidakkah kamu menimbang dengan fikiran kamu sendiri?”
(2009, 29)
Dalam mengajarkan filsafat kemerdekaan dan pembaharuan, Za‘ba sering menekankan
kekuatan dan kepentingan bahasa dan kedudukannya yang penting dalam membangun budaya dan
memperjuangkan kepentingan bangsa, sebagai dilontarkan dalam Pelita Bahasa Melayu Penggal III.
Dalam pengantar kitab ini, beliau menzahirkan harapannya kiranya karangannya ini dapat
menghidupkan dan mengilhamkan kecintaan yang mendalam pada bahasa di kalangan anak-anak
Melayu dan dapat menghargai dan merasai keindahan dan kelebihannya yang tersendiri. Pelajaran
bahasa ini dipandang tinggi olehnya, yang telah menghabiskan kudratnya untuk mempertahan dan
memajukan harakat dan pemahamannya di kalangan bangsa, di mana bahasa Melayu inilah yang
menjadi penyantun cita-cita bangsa yang harus diangkat dan dimartabatkan sebagai bahasa pengantar
dan bahasa rasmi pemerintahan dalam negeri ini.
Ia menekankan kecintaan yang tinggi terhadap bahasa dengan latihan kepengarangan yang
digaris bawahi dengan tuntas, sebagaimana terungkap dalam Pelita Bahasa Melayu Penggal III
(2000): “mudah-mudahan dapat-lah kitab ini jadi suatu panduan kepada anak-anak sekolah dan
“pemuda-pemudi” Melayu berlatih mengarang dengan betul dan elok dalam bahasa mereka sendiri,
sa-hingga cukup tahu akan salah betul sa-suatu ayat, terang atau tiada terang-nya, dan sedap atau tiada
sedap-nya sa-suatu karangan itu”.
Pemikiran kritis yang dibawanya ini menjadi titik tolak yang penting yang cuba ditegakkan
dalam penulisannya yang berusaha mengajak kepada pengerahan akliah dan pencarian intelektual
yang kritis seperti tercatat dalam pengenalan bukunya Chanai Bachaan (1924: iv). Ia
menghuraikannya sebagai karya penulisan yang menghimpunkan cerita-cerita klasik dari hikayathikayat Melayu yang purbakala. Cerita-cerita pendek yang dicabut daripada hikayat-hikayat asalnya
ini diberhentikan pada ketika sedap membacanya, bagi menggalakkan murid-murid untuk
mencarinya sendiri dalam hikayatnya yang asal bagi melatihnya menghargai khazanah dan hikayathikayat lama dalam keasyikannya membaca karya-karya lama dan hikayat-hikayat yang panjang.
Kitab Canai Bacaan ini disusun oleh Za‘ba sebagai bahan bacaan murid-murid tahun empat di
sekolah-sekolah Melayu yang diusahakannya sewaktu bekerja di pejabat karang mengarang di SITC.
Beliau turut menghasilkan beberapa karya penting yang lain yang melakar pemahaman dan
kesedaran baru dalam perbahasan nahu dan ejaan jawi dan latihan kepengarangan yang asas.
Penghasilan yang signifikan dalam perkembangan pelajaran di Tanah Melayu sebelum merdeka,
seperti dirumuskan dalam Ilmu Bahasa Melayu (1927), Ilmu Mengarang Melayu (1934), Rahsia
66
Vol. 3, No. 4 (2020)
E-ISSN: 2637-0271
Ejaan Jawi (1929), Bahasa Melayu: Kelebihan dan Kekurangannya (himpunan lapan buah
makalahnya yang dikeluarkan dalam majalah Qalam, 1950-an, edisi Rumi diterbitkan pada 2013 oleh
Akademi Jawi Malaysia), dan Pelita Bahasa Melayu, yang menampilkan pemikiran-pemikiran asas
tentang pengetahuan bahasa, falsafah dan keindahan ilmu persuratan Melayu dan seni
kepengarangannya. Karya-karya besar ini disusun sebagai teks latihan mengarang murid-murid
peringkat tinggi di sekolah-sekolah Melayu dan pengajian tinggi di kolej-kolej perguruan. Antara
buku-bukunya yang terakhir yang dikarangnya ialah Tawarikh Tanah Melayu (1961), dan Kalong
Bunga I dan II.
MELAYU TOTOK
Membayangkan dirinya sebagai Melayu totok, beliau berazam menegakkan kepercayaan dan
keyakinan bangsanya terhadap nilai budaya dan peradabannya sendiri dan menyedarkan masyarakat
bangsanya terhadap keperibadian Melayu yang sebenar dan ketinggian idealisme dan identiti bangsa
yang berbudaya ini: “Penulis ini sendiri seorang Melayu, seorang Melayu yang penuh totok darah
melayannya, bukannya Melayu jawi pekan atau yang berdarah campur tetapi ialah Melayu kampung
yang sejati hati asal Melayu…seorang yang telah melalui dan merasa segala pangkat-pangkat
kehidupan yang biasa dirasa oleh orang-orang Melayu kampung yang tiada tahu menulis dan
membaca dan tiada pernah merdeka daripada sengsara kepapaannya itu.”
Keyakinannya dalam mempertahankan idealisme dan menggerakkan harakat perjuangan
bangsa ini telah memperluaskan pengaruhnya sebagai patriot dan pelopor perjuangannya yang kritis
yang kental membela idealisme dan mempertahankan kemuliaan dan maruah bangsanya.
Kecekalannya mengusung ide-ide perubahan telah meninggalkan legasinya yang berpengaruh
dalam menggerakkan kesedaran untuk membela dan memperbarui nasib bangsanya yang lemah dan
terpuruk. Ia memberikan inspirasi baru dalam membangkitkan usaha untuk mempertahankan dan
mengangkat maruah dan hak kedaulatan bangsa yang dirampas. Perjuangannya telah memberi
kesannya dalam mengilhamkan perjuangan anak-anak melayu untuk menggembleng kemajuan dan
mempertahankan aspirasi perjuangannya yang kental dalam menuntut perubahan dan ketinggian
bangsanya.
PERANGAI BERGANTUNG KEPADA DIRI SENDIRI
Pada tahun 2009, DBP telah mengeluarkan bukunya yang disunting oleh Asmah Haji Omar - Perangai
Bergantung Kepada Diri Sendiri – di mana Za‘ba mengungkapkan pandangannya yang kritis tentang
sikap dan pandangan hidup orang Melayu yang agak sederhana dalam pencapaian hidup, kerana
dibelenggu kelemahan dan kekurangan yang ketara dalam nilai keyakinan dan pergantungan kepada
ikhtiar sendiri.
Kritikan dan pukulannya yang keras terhadap keteledoran dan kebangkrutan bangsanya
menyebabkan buku ini tidak sampai diajukannya kepada mana-mana penerbitan. Usaha percetakan
dan penerbitannya hanya diupayakan 8 tahun selepas pemergian Za‘ba, – pada tahun 1982. Ia
diserahkan kepada DBP oleh warisnya, Zaharah Za‘ba (1920-1988) dari khazanah penulisannya yang
tersimpan dalam bentuk manuskrip.
67
Vol. 3, No. 4 (2020)
E-ISSN: 2637-0271
Karangan ini dianggap sebagai penyambungan dari Risalah Pertamanya bertajuk Umbi Kemajuan
atau Falsafah Takdir (1932). Risalah Pertama ini telah diharamkan oleh Pemerintah Perak ketika itu
dan ditentang hebat oleh golongan agama dan ulama-ulama tua yang lapuk dan reaksioner –
menyebabkan Risalah Keduanya ini tidak diterbitkan - berikutan bantahan keras dan penentangan
yang memuncak itu. Bukunya dikatakan disogok dengan pandangan agama yang kontroversial dan
telah membangkitkan polemik yang sengit dengan tanggapan-tanggapannya yang sinis terhadap
praktik ugama yang diwarisi turun temurun serta bertolak belakang dengan pandangan Islam yang
konvensional dan normatif.
Edisi khas yang dikeluarkan pada tahun 2009 oleh pihak DBP ini disediakan dalam edisi
Melayu rumi, dan jawi, serta Inggeris – bertajuk Habits of Self-Reliance (diterjemahkan oleh Wan
Ahmad Hulaimi) – yang ditangani dan diselenggarakan oleh Prof Asmah Haji Omar. Prof Asmah
telah memberikan pengenalan yang signifikan tentang latar penulisan dan tema-tema sejarah dan
pemikiran yang diangkatnya dan kekuatan faham pembaharuan yang diilhamkan daripada karangan
ini. Ia turut memuatkan pengantar yang ringkas yang ditulis oleh Datuk Haji Hassan Ahmad.
Buku ini terdiri daripada dua bahagian, Risalah Kedua dan Risalah Ketiga yang masingmasing merangkumi empat bab. Risalah Kedua dengan tajuk kepalanya “Perangai Bergantung kepada
Diri Sendiri” menerangkan bab-bab berikut: (1) Wajibnya bagi mendapat kejayaan (2) Kekurangan
kita dalam sifat ini (3) Fikiran, kepercayaan dan pegangan agama (4) Bersendiri pada ilmu dan
amalan. Risalah Ketiga pula yang mengupas tentang kebajikan dan kejahatan dan asas-asas
penghujahannya memuatkan bab-bab berikut: (1) Fahaman yang luas (2) Baik dan jahat tetap ada (3)
Fahaman yang sempit (4) Kejatuhan umat Islam dan jalan kepulihannya.
Pada asasnya, buku ini membawa penghujahan al-Qur’an dan hadith yang menganjurkan
kepada sikap berdikari (al-i‘timad ‘ala al-nafs) tanpa mengharapkan pertolongan orang lain. Ini
ditakrifkannya sebagai bersendiri dalam menyempurnakan pekerjaan. Menurutnya, yang dikatakan
pergantungan atas diri sendiri itu ialah kemandirian dan kesendirian dalam berbuat, dan kesanggupan
untuk memikul sendiri beban tanggungjawab yang diakibatkan dari perbuatannya. Pekerjaan yang
dilakukan atas pertimbangan dan penilikan sendiri terhadap hal-hal yang bersangkut dengan
pekerjaan itu, dan menanggung kesan-kesan buruk dan baiknya, tanpa bergantung manfaatnya dari
orang lain.
NILAI KEMAJUAN
Nilai yang diperjuangkannya dalam buku ini adalah iltizam dan kepercayaan terhadap usaha sendiri.
Pekerjaan yang dibanting dengan tenaga dan keringat sendiri, kekuatan himmah dan sikap
pergantungan kepada diri inilah faktor penentu dalam mengangkat atau menjatuhkan nilai sesuatu
bangsa, dan yang menginsafi bahawa kelemahan dan kenaifan peribadi itulah pokok puncanya yang
mengakibatkan lemah dan jatuhnya sesuatu bangsa.
Kebergantungan kepada diri sendiri ini dirumuskan dari keinsafannya terhadap keunggulan
dan ketinggian peradaban yang dicapai pada zaman awal dan pertengahan Islam, di mana semangat
kesendirian ini menjadi sikap dan prasyarat pokoknya dalam pencapaian-pencapaian yang
mengagumkan yang ditunjukkan oleh pelopor-pelopor Islam yang awal. Sikap bersendiri ini kini telah
kering dan mereput, dan orang-orang alim Islam yang belakangan jaranglah punyai himmah yang
tinggi dalam menyelidik sesuatu persoalan yang melayakkannya memakai fikiran sendiri dalam
68
Vol. 3, No. 4 (2020)
E-ISSN: 2637-0271
memutuskan persoalan, di mana kebanyakannya mengambil hukum hakam dengan hanya menurutnurut saja perkataan orang-orang dahulu dan bertaklid pada fatwa para imam.
Kelemahan dan kemunduran fikiran inilah yang diselarnya dalam upaya mendobrak dan
merobohkan benteng taklid, yang mengikat kebebasan akal dan menyebabkan kebodohan dan
ketertinggalan orang Melayu dan kemiskinannya yang mengharapkan fidyah dan syafaat penebus di
akhirat, sedekah tahlil dan bacaan Qulhuwallah setelah mati. Sikap permisif (mengalah) dan
menyerah kepada nasib tanpa ikhtiar dan daya juang inilah yang telah membelenggu pemikiran tanpa
memahami maqasid sebenar daripada ibadah yang menyuruh bersendiri dalam penyempurnaannya,
yang memberi nilai pada perbuatan dan pada ketinggian akal budi dan peri kemanusiaan yang
sebenar. Ketundukan dan kepatuhan membuta tuli pada kebiasaan-kebiasaan yang teradat inilah
“yang membawa tersimpang dari jalan yang betul” yang dianjurkan agama.
Sesungguhnya saranan-saranan yang konkrit yang diutarakan dalam buku Perangai
Bergantung Kepada Diri Sendiri ini telah melantarkan asas penting bagi menegakkan perubahan
budaya dan peradaban. Pencerahan akliah yang meyakinkan yang menggarisbawahi usaha
pemberdayaannya dalam memperkukuh dan membina jati diri dan keyakinan dan membentuk
ketinggian himmah dan sahsiahnya. Pemikiran yang radikal yang dibawanya ini berupaya membakar
semangat dan menggilap daya juang dalam meninggikan harakat dan kemuliaannya dan
mempesatkan kemajuan bagi orang Melayu.
KADHA DAN KADAR
Dalam perbahasannya seputar persoalan Kadha dan Kadar dan kemusykilan-kemusykilan terkait
perbahasan sifat dan perbuatan Tuhan (yang dipertentangkan oleh mazhab-mazhab kalam), Za‘ba
cenderung kepada pendirian Muktazilah, atau yang dikenal ahl al-‘adl wa al-tawhid yang menegaskan
prinsip kebebasan berkehendak (al-hurriyah dan al-ikhtiyar). Ini diperlihatkan dalam tulisantulisannya yang bernafaskan falsafah yang diterjemahkan daripada karya-karya Arab dan Inggeris,
seumpama kitab Umbi Kemajuan atau Falsafah Takdir (Sukatan Azali) dalam Agama Islam (1932);
dan Pendapatan Perbahasan Ulama pada Kejadian Perbuatan dan Perusahaan Hamba (yang
diterjemahkan daripada kitab Arab Sharh ‘Aqa’id as-Safaraini, dan ditashih oleh Shaykh Tahir
Jalaluddin, Jelutong Press, 1934) yang jelas menolak faham al-Jabariyah dan pegangan mazhab ahl
al-sunnah wal-jamaah yang menyalahi iktikad Imam al-Asy‘ari dan bertentangan dengan faham
Muktazilah yang bersendiri dalam masalah ini.
Menurut Za‘ba: “Bahwa sesungguhnya segala keadaan yang demikian inilah yang telah
menarik perhatian ahli “nasib” (Jabariyah) itu mengatakan bahwa tiap-tiap hal adalah karena terpaksa
berlaku dengan tidak dapat disalahi atau dihindarkan lagi…Agama Islam mencibir pikiran yang
bodoh dan palsu ini.”
Beliau turut menolak pendirian ahl al-sunnah dengan mempertikaikan: “Nampak nyata dalam
kitab ini, ada uraian-uraian yang tidak sependapat dengan pandangan al-Imam Abu Hasan al-Asy‘ari
rahimahullah yang jadi pengasas mazhab Ahli Sunnah…masih banyak lagi perselisihan lain, dapat
diperhatikan dalam isi kitab ini.” Ia tuntas mempertahankan prinsip asas bahawa pemahaman asas
dari i‘tiqad taqdir yang sebenarnya ialah kebebasan ikhtiar manusia (Taqdir (sukatan Azali) dalam
Ugama Islam, al-Ikhwan 1928, penggal 8, jilid 2, April 1928 - al-Ikhwan penggal 11, jilid 3, julai
1929).
69
Vol. 3, No. 4 (2020)
E-ISSN: 2637-0271
Ketinggian pemikirannya telah meraih pengiktirafan yang tinggi dan mendapat penghormatan yang
meluas dari kaum cendekiawan dan sarjana dan orientalis Barat. Yang menzahirkan penghargaan atas
ikhtiar dan kesungguhannya dalam menggembleng harakat perubahan dan mempelopori dan
mempertahankan dasar bahasa dan meninggikan harakat bangsa dan perbaikan ekonominya sejak
1920-an. Antaranya yang diungkapkan oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas (1976), “Ketahuilah
bahawa sebelum pakar-pakar ekonomi muncul melaungkan peri kemiskinan orang Melayu, lama
sebelum golongan-golongan sosialis memukul gendang anti-feudalisme, Za'ba yang bukan pakar
ekonomi atau sosialis telah dengan beraninya mengulas, membidas dan melaberak punca-punca dan
akar umbi masalah ini”.
Al-Attas melahirkan kekagumannya terhadap keberanian Za‘ba membidas sistem-sistem
ekonomi dan sosial penjajah yang tempang dan analisis-analisisnya yang tajam yang menyerang
kebobrokan dasar sosialis dan kapitalis dan kebijakan ekonominya yang menindas dan mengabaikan
penderitaan dan kemiskinan orang Melayu. Ia turut menjelaskan usahanya dalam menggerakkan
paham kebangsaan dan kepeloporannya dalam membangkitkan kesedaran dan menggembleng
perjuangan nasionalisme: “Dialah pemukul rebana kalbu masyarakat kita dalam Dewan Persuratan
dan nyaring debarannya masih terdengar ke hari ini.” (1976)
Hamka (1976) dalam tinjauannya turut menegaskan kekuatan pengaruh dan sumbangan
penting Za‘ba yang krusial sebagai pelopor kesusasteraan Melayu, dengan menyatakan, “Za‘ba
adalah derma termahal yang diberikan Islam ke dalam kesusasteraan Melayu moden. Za'ba adalah
laksana jambatan yang menghubungkan antara perbendaharaan Melayu lama dengan perkembangan
bahasa yang moden”.
Hamka (1982) turut menyingkapkan keluasan tinjauan Za‘ba tentang pemikiran sejarah dan
kesulitan usaha yang ditempuhnya dalam penyelidikan bahan-bahan lama, yang diuraikan dalam
bukunya Dari Perbendaharaan Lama, tatkala menyebut tentang pengembara Arab yang pertama:
“Akan tetapi, seorang ulama tua yang berminat besar kepada sejarah Islam di tanah air kita, Indonesia
dan Semenanjung Tanah Melayu, yaitu Mufti Kerajaan Johor Said Alwi bin Taher al-Hadad,
menganut pendapat bahwa sebelum zaman Khalifah Yazid bin Muawiyah, sudah pernah datang
pengembara Islam, yaitu di zaman Khalifah Utsman bin Affan. Beliau menunjukkan nomor-nomor
sumber buku bacaannya dalam Museum Jakarta, sehingga Za’Ba, sarjana dan ahli bahasa Melayu
yang terkenal itu, pada tahun 1956, dengan sengaja datang ke Jawa dan mencari buku tersebut di
museum. Namun sayang, tidak beliau jumpai.”
Dalam bukunya Kenangan-Kenanganku di Malaya Hamka (2019, 201) turut menzahirkan
kekagumannya terhadap kekuatan pengaruh pemikiran Za‘ba yang signifikan dan keluasan
pengaruhnya dalam dunia persuratan Melayu Islam: “Pendeta Za‘ba dari tulisan-tulisannya selama
ini saya kenal sebagai seorang pendeta Bahasa Melayu yang berwarna dan berjiwa Islam.”
Hamka (2019, 217) turut merakamkan penghargaannya kepada Za‘ba yang mengundangnya
ke Kongres Bahasa Melayu di Istana Johor sebagai penghormatan dan penghargaan besar kepada
perjuangan bangsa ini: “Saya ucapkan tahniah kepada Tuan atas kehormatan yang diberikan oleh
umat Melayu atas diri Tuan dengan gelar ‘Pendeta’ Bahasa Melayu, dan terima kasih pula atas
jemputan Tuan kepada diri saya, dan sudilah Tuan mengetahui, bahawa jika pun di atas puncak
Gunung Ledang ada Kongres Bahasa Melayu, jika saya tahu, saya akan memohon dijemput juga.”
Penghargaan tertinggi terhadap perjuangan dan perubahan yang signifikan yang dibawa Za‘ba
turut dizahirkan oleh DS Anwar (1989, 88-89) dalam bukunya Menangani Perubahan: “Kesedaran
kebangsaan umat Melayu pada awal abad ini yang dipimpin oleh tokoh-tokoh seperti Syed Sheikh al-
70
Vol. 3, No. 4 (2020)
E-ISSN: 2637-0271
Hadi, Sheikh Tahir Jalaluddin, Dato Onn bin Jaafar, Dr. Burhanuddin al-Helmy dan Pendeta Za‘ba
telah berjaya menggerakkan semula orang-orang Melayu daripada kelesuan akibat belenggu penjajah.
Kesedaran ini selain menyentuh soal agama dan politik telah dengan sendirinya membantu
meyakinkan umat akan keupayaan bahasanya sendiri.”
Dan cita-cita besar yang ditegakkannya dalam membela maruah perjuangan dan harakat
bangsanya dan kemuliaan dan ketinggian budayanya ini sebagai diungkapkan A Samad Said dalam
lakaran puisinya yang mengasyikkan, berjudul “Di Tanah Za‘ba”:
Di pentas Za’ba ini budi hiasan batin yang jujur,
menghantar getar pepatah pusaka memoyang terluhur.
RUJUKAN
Abdullah Fahim, Pendeta Za‘ba, Tokoh Bahasa Disegani Ramai. Subang Jaya, Selangor: Pustaka
Seri Idaman, 2010.
Abdullah Hussain, Khalid M. Hussain, Pendeta Za‘ba dalam Kenangan. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka, 2000.
Adnan Haji Nawang, Za’ba: Patriot dan Pendeta Melayu. Kuala Lumpur, Yayasan Penataran Ilmu,
1994.
Adnan Hj. Nawang, Za‘ba dan Melayu. Kuala Lumpur: Berita Publishing, 1998.
Adnan Hj. Nawang, Memoir Za‘ba. Tanjong Malim, Perak: Penerbit UPSI, 2005.
Adnan Hj. Nawang, Za‘ba dan Melayu. Tanjong Malim, Perak: Penerbitan UPSI, 2007.
Al-Attas, Syed Muhammad Naquib, “Pendita Za‘ba: Suatu Penghormatan” (Bahasa, Kesusasteraan
dan Kebudayaan Melayu: Esei-Esei Penghormatan kepada Pendita Za‘ba). Kuala Lumpur:
Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan, 1976.
Anwar Ibrahim, Menangani Perubahan. Kuala Lumpur: Berita Publishing, 1989.
Hamka, Sejarah Umat Islam. Kuala Lumpur: Pustaka Antara, 1965.
Hamka, “Pengaruh Islam dan Kebudayaan Melayu” (Kertas Kerja Seminar Kebudayaan 25-28 Julai
1976). Kuala Lumpur: Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan.
Hamka, Dari Perbendaharaan Lama. Jakarta: Pustaka Panjimas, 1982.
Hamka, Membahas Kemusykilan Agama. Shah Alam: Pustaka Dini, 1983.
Hamka, Kenangan-Kenanganku di Malaya. Kajang: Jejak Tarbiah, 2019.
Mark Twain, Anak Raja dengan Anak Papa: iaitu suatu cerita untuk anak-anak dan budak-budak
sekolah daripada segala tingkatan umurnya. Diterjemahkan oleh Za‘ba. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka, 2001.
Muhammad Haji Salleh, Seorang Penyair, Sebuah Benua Rusuh Biografi Usman Awang. Petaling
Jaya: SIRD, 2017.
Za‘ba, Pelita Bahasa Melayu Penggal I-III. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2000.
Za‘ba, Ilmu Mengarang Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2002
Za‘ba, Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2009.
Za‘ba, Bahasa Melayu: Kelebihan dan Kekurangannya. Bandar Baru Bangi, Selangor: Klasika
Media-Akademi Jawi Malaysia, 2013.
71