PENDEKATAN SOSIOTERMINOLOGI
DALAM PENGISTILAHAN SENI KRAF MELAYU
Hasnah Mohamad
Norazlina Haji Mohd. Kiram
(Malaysia)
Abstrak
Istilah biasanya terbentuk dalam pelbagai sekitaran, seperti di dalam makmal penyelidikan,
bengkel pembuatan, pejabat, atau dalam sebarang situasi apabila manusia memerlukan
suatu pernyataan baharu. Bidang seni kraf secara umumnya memperlihatkan penciptaan
istilah yang disertai inovasi saintifik dan teknologi dalam satu komuniti linguistik, dan
bukannya penciptaan istilah berserta pemindahan ilmu saintifik dan teknologi daripada satu
komuniti kepada satu komuniti lain. Justeru, sebahagian besar istilah seni kraf didapati
terbentuk secara spontan oleh masyarakat setempat. Kajian ini menggunakan pendekatan
sosioterminologi yang menegaskan bahawa pembentukan istilah dipengaruhi oleh bidang
sesuatu istilah, keadaan tabii manusia yang terlibat dan asal usul rangsangan pembentukan
istilah. Menurut Temmerman (2000), sosioterminologi ialah bidang yang mengkaji tentang
terminologi dalam masyarakat bahasa yang sebenar. Sesuai dengan kaitannya dengan
masyarakat pengguna sebenar, kajian ini lebih bersifat deskriptif. Sosioterminologi
diperkenalkan dalam peristilahan untuk menjawab beberapa persoalan yang selama ini tidak
terungkaikan oleh teori konsep atau teori tradisional peristilahan. Sejumlah kira-kira
2000 istilah seni kraf Melayu daripada sepuluh subbidang dianalisis menggunakan
pendekatan sosioterminologi. Kajian menunjukkan bahawa pengistilahan seni kraf Melayu
sebahagian besarnya memanfaatkan bahasa Melayu sebagai sumber, baik bahasa yang
terdapat dalam alam Melayu sendiri, iaitu dialek-dialek Melayu, bahasa Melayu Klasik, atau
bahasa serumpun. Hanya sebahagian kecil sahaja kata yang diserap dari bahasa-bahasa
yang datang dari luar. Setiap sumber istilah bahasa Melayu tersebut mempengaruhi
perkembangan bahasa Melayu dari segi inventori ilmu dan pengalaman peradabannya.
Latar Belakang
Istilah merupakan kata atau frasa yang mengungkapkan konsep-konsep khusus yang
diperlukan oleh bidang ilmu tertentu (Pedoman Umum Pembentukan Istilah Bahasa Melayu
(PUPIBM), 2004). Sesuatu istilah itu mempunyai makna yang tepat dalam konteks
bidangnya, justeru dapat diberikan takrif yang tetap. Sejajar dengan kemajuan dunia,
perkembangan bidang ilmu akan terus berlaku dari semasa ke semasa. Kemasukan
peristilahan antarabangsa melalui wahana bahasa Inggeris, bahasa Arab dan bahasabahasa lain dimanfaatkan bagi mengungkapkan pemikiran dalam bahasa Melayu dalam
bidang tertentu. Keadaan ini lazimnya lebih banyak melibatkan penciptaan istilah pinjaman
kerana melibatkan bidang yang dibawa masuk daripada komuniti lain ke dalam bahasa
Melayu. Hal ini berbeza dengan bidang seni kraf yang secara umumnya memperlihatkan
penciptaan istilah yang dibuat berdasarkan inovasi saintifik dan teknologi dalam komuniti
linguistik Melayu sendiri. Tambahan pula bahasa Melayu itu sendiri mempunyai kosa kata
yang begitu kaya dan boleh dimanfaatkan, selain kosa kata sedia ada dalam bidang seni
kraf memandangkan adanya berbagai-bagai bentuk seni kraf Melayu.
Kajian ini menggunakan data Glosari Seni Kraf terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka
(DBP) yang terdiri daripada sepuluh subbidang, iaitu Seni Tembikar, Corak dan Motif, Seni
Tenun, Seni Tekat dan Sulam, Seni Anyam, Seni Batik, Seni Ukir, Keris, Permainan
Tradisional Gasing dan Wau, serta Seni bina Tradisional Negeri Sabah. Sejumlah entri
dipilih secara rawak untuk dianalisis bagi mengenal pasti dan menghuraikan beberapa
perkara seperti pengaruh bahasa Melayu dalam pembentukan istilah ilmu jati, sumbangan
peristilahan dalam perkembangan bahasa Melayu serta pengungkapan pemikiran Melayu
melalui istilah, khususnya istilah seni kraf.
Pembentukan Istilah Bahasa Melayu
Berbeza daripada kata umum yang asal usulnya jarang diselidik, istilah merupakan hasil
penciptaan yang dibuat secara sedar. Dalam sejumlah medan dan bidang yang ditakrifkan
dengan baik, penciptaan istilah berlaku mengikut rancangan yang khusus dan boleh
menimbulkan spekulasi teori (Sager, 1995). Misalnya, jika kita menemui sejumlah besar
persamaan dalam pola penamaan teks yang berhubung dengan butir leksikal, dianggap
bahawa kita telah berjaya melaksanakan perkara yang berikut;
i.
mentafsirkan peraturan penamaan yang boleh diterapkan pada sesuatu bidang.
ii.
mewujudkan peraturan bagi penamaan untuk masa depan.
iii.
kemungkinan mengaitkan motivasi pola penamaan pada motivasi penciptaan
konsep.
1
Seterusnya kita juga boleh melihat proses pemikiran yang terlibat dalam pembentukan
konsep jika pola penamaan diperlihatkan seperti dalam istilah kompleks yang dikembangkan
berdasarkan asas pemilihan bersistem sesetengah sifat dan ciri bagi dimasukkan ke dalam
bentuk suatu istilah.
Di samping itu, tidak dapat dinafikan juga bahawa usaha yang dijalankan untuk
membentuk istilah yang sesuai diukur mengikut keperluan pencipta, dan bukannya mengikut
keperluan pendengar atau pengguna akan datang. Misalnya, ahli sains bersusah payah
menamakan sesuatu konsep dengan cara yang konsisten dan memilih penentu atau
penjelas bagi kata nama yang menyatakan ciri sesuatu konsep yang dianggapnya sesuai,
namun tiada bukti menunjukkan dalam keadaan tersebut, usaha turut dibuat untuk
menguraikan unit istilah pada unsur-unsur supaya lebih mudah difahami. Banyak istilah khas
dicipta dengan memperkenalkan fungsi khusus suatu objek yang penting bagi konsep
baharu, contohnya;
OBJEK
FUNGSI
ISTILAH BAHARU
agen
menyangga
agen penyangga
bahan
menambah
bahan tambah
talian
mengumpul
talian pengumpul
baris
memasang
baris pemasangan
enjin
membakar
enjin pembakaran
Perincian lanjut dapat menghasilkan entiti yang lebih kompleks, seperti “bahan tambah
simen” atau “enjin pembakaran dalam”. Perincian tersebut boleh menggunakan pelbagai
kriteria contohnya;
2
JENIS PERINCIAN (KRITERIA)
CONTOH
Fungsi : kotak peralatan, surat
kotak alat, kotak surat
Bahan : kotak diperbuat daripada keluli
kotak keluli
Tempat : kotak di bawah tingkap
kotak tingkap
Sifat : kad berwarna merah, kuning
kad merah, kad kuning
Pola Pembentukan Istilah
Objek dan kaedah penelitian setiap bidang menentukan setiap konsep yang wujud,
manakala pemadanan memerlukan konsep-konsep tersebut. Semua istilah baharu dalam
bidang-bidang yang dibawa masuk dari komuniti lain, misalnya bidang sains dan teknologi
biasanya memerlukan objek baharu, bahagian-bahagian objek dan proses baharu. Tiga
pendekatan utama dalam penciptaan pemadanan baharu adalah seperti yang berikut
(PUPIBM Edisi Baharu, 2004);
i.
Penggunaan sumber sedia ada. Misalnya, bidang seni bina Melayu mempunyai
begitu banyak kosa kata bahasa Melayu berdasarkan kepelbagaian bentuk
rumah Melayu serta seni pertukangannya. Oleh itu, istilah-istilah tersebut boleh
dimanfaatkan untuk membentuk istilah baharu dalam bidang berkaitan.
ii.
Pengubahsuaian sumber sedia ada. Misalnya, dengan pengubahsuaian ejaan
istilah bahasa asing mengikut sistem ejaan bahasa Melayu. Pengubahsuaian ini
boleh dibuat secara keseluruhan atau sebahagian kata atau imbuhan istilah
berkenaan.
iii.
Penciptaan entiti linguistik yang baharu. Bagi konsep yang benar-benar baru
muncul, maka entiti linguistik yang baharu boleh dicipta menggunakan kata-kata
sedia ada. Misalnya, “virus nipah” ialah istilah yang dicipta untuk sejenis varian
bagi virus yang ditemui oleh pakar mikrobiologi Malaysia tidak lama dahulu.
3
Penerapan Sosioterminologi dalam Peristilahan Melayu
Sosioterminologi ialah kajian terminologi dalam masyarakat bahasa yang sebenar
(Temmerman, 2000). Sosioterminologi diperkenalkan dalam peristilahan adalah untuk
menjawab beberapa persoalan yang selama ini tidak terungkaikan oleh teori konsep atau
teori tradisional peristilahan. Sosioterminologi menekankan pendekatan deskriptif terhadap
terminologi bagi menggantikan pendekatan preskriptif yang digunakan dalam terminologi
tradisional. Pertamanya, pendekatan deskriptif menggabungkan kajian sinonimi dan polisemi
yang bertentangan dengan kumpulan tradisional yang berpegang pada pendekatan
preskriptif tentang keunggulan monosemi. Kedua, tiada pembahagian jelas antara
subbidang, dan ketiga berlakunya perkembangan diakronik sesuatu istilah serta kefahaman
tentangnya. Seterusnya, prinsip tradisional peristilahan menekankan bahawa konsep dapat
ditakrifkan secara intensi dengan menyatakan konsep superordinat dan ciri pembeza.
Sebaliknya menurut sosioterminologi, takrif lebih bergantung pada jenis unit kefahaman
serta aras dan jenis pengkhususan penghantar dan penerima dalam komunikasi. Keadaan
ini mengakibatkan maklumat yang lebih penting atau kurang penting bagi sesuatu takrif itu
menjadi berbeza-beza.
Temmerman (2000) seterusnya menyarankan bahawa penerapan pendekatan yang
diambil oleh ahli sosioterminologi adalah lebih sesuai dalam menangani takrif istilah
berbanding dengan pendekatan takrif istilah secara
tradisional. Pihkala (2006) pula
menghuraikan secara terperinci perbezaan sosioterminologi dengan terminologi tradisional.
Menurut beliau, pendekatan sosioterminologi memperoleh asasnya apabila ahli-ahli
terminologi menghadapi masalah yang tidak dapat diselesaikan menggunakan teori
dominan peristilahan yang diasaskan oleh Wüster (1995). Kritikan ahli-ahli terminologi
tersebut berkisar sekitar lima perkara yang berasaskan prinsip teori tradisional peristilahan,
dinyatakan seperti yang berikut;
4
Prinsip Peristilahan Tradisional
Pendekatan Sosioterminologi
Terminologi bermula daripada konsep, Bahasa memainkan peranan
tanpa mengambil kira bahasa.
pembinaan konsep dan kategori.
dalam
Konsep dan sistem konsep mempunyai Banyak kategori yang kabur dan tidak
batas yang jelas secara logik dan dapat dikelaskan secara mutlak dari segi
logik dan ontologi.
ontologi.
Semua konsep dapat diberikan takrif Kadangkala takrif intensi bagi sesuatu
intensi.
konsep tidak dapat atau tidak perlu
dibuat.
Setiap konsep hanya merujuk pada satu Polisemi dan sinonimi
istilah dan satu istilah hanya boleh bahasa khusus.
merujuk pada satu konsep.
Konsep bagi sesuatu istilah adalah kekal.
wujud
dalam
Kategori sentiasa berevolusi, istilah pula
boleh berubah makna, dan pemahaman
manusia tentang sesuatu istilah sentiasa
berkembang.
Seterusnya Pihkala (2006) menerangkan lagi bahawa menurut ahli sosioterminologi, bahasa
tidak sesuai untuk distandardkan kerana bahasa merupakan struktur abstrak yang
mengalami perubahan berterusan. Penggunaan bahasa itu menggambarkan pengetahuan
pengguna, pendapat, status sosial dan profesional serta hubungan kuasa antara unsurunsur tersebut.
Pengistilahan Seni Kraf Melayu
Sesuatu hasil seni itu tidak lahir daripada kosong, sebaliknya lahir daripada sejarah
peradaban dan kehidupan masyarakat pendukungnya (Anwar, 2008). Masyarakat Melayu
Malaysia begitu kaya dengan warisan seni kraf yang diwarisi sejak zaman-berzaman.
Memandangkan hubungan rapat antara hasil seni masyarakat Melayu dan istilah yang
menghuraikan konsepnya, maka sudah pasti istilah tersebut menggambarkan budaya
masyarakatnya. Tenunan, sulaman, tekat, batik dan ukiran merupakan antara seni kraf yang
5
begitu sinonim dengan masyarakat Melayu. Kreativiti dan kehalusan seni begitu jelas
terpancar dalam setiap hasil kerja tangan tradisional ini. Misalnya, penggunaan pelbagai
tumbuh-tumbuhan tropika dalam menghasilkan pelbagai bentuk barangan seni anyaman
tidak dapat dipisahkan daripada cara hidup tradisional masyarakat di Nusantara. Motif pula
ialah corak-corak hiasan yang digunakan dalam proses melukis atau menerap batik. Bentukbentuk motif batik dihasilkan dalam dua bentuk utama, iaitu motif organik dan motif
geometrik. Motif organik berunsurkan alam semula jadi seperti awan larat, tumbuhtumbuhan, bunga-bungaan, dan haiwan. Contoh motif organik ialah motif ayam, bunga
buluh, bunga kerak nasi, bunga orkid, bunga raya, daun sirih, pucuk rebung, rama-rama,
dan siput. Manakala contoh motif geometrik pula ialah motif pucuk rebung dan bunga kotak
bercampur. Jadual 1 memaparkan entri seni kraf Melayu dan huraian yang sedikit sebanyak
dapat menggambarkan pemikiran Melayu dalam pembentukan istilah berkenaan.
Jadual 1 Beberapa contoh entri seni kraf Melayu berserta huraian.
Bil.
Entri
Huraian
1.
anyam tapak bintang
Teknik menganyam tapak atau dasar bakul atau
raga yang berbentuk bulat, biasanya anyaman
yang dihasilkan berbentuk kelarai.
2.
awan larat
Reka corak ukiran berunsur tumbuhan yang
mempunyai peraturan-peraturan dan falsafah
khusus yang bentuknya berangkai, bermula dari
satu tempat dan berkembang hingga memenuhi
ruang seperti awan larat jawa, awan larat boyan,
awan selimpat, awan telipuk dan lain-lain.
3.
bunga cempaka
Motif ukiran berunsur tumbuhan berbentuk bunga
cempaka.
4.
burung
Motif tekat berunsur makhluk yang mengambil
bentuk burung.
5.
itik pulang petang
Motif ukiran berunsur haiwan berbentuk itik berjalan
berderetan, lazimnya diukir mengiringi motif besar.
6
Seni dan Orang Melayu
Seni merupakan paparan budaya milik bangsanya, dijelmakan dengan identiti, nilai, adat
resam, kepercayaan dan sistem hidup yang tersendiri (Anwar, 2008). Karya seni biasanya
dihasilkan secara terancang dengan pengisian tertentu yang menggambarkan identiti
pencipta dan masyarakat yang mengawalnya. Lazimnya, seni dikaitkan dengan keindahan
dan kecantikan meskipun wujud seni yang tidak memberikan rasa indah kepada
penontonnya. Di sinilah letaknya daya tarikan seni itu sendiri dalam keupayaannya
menimbulkan pelbagai rasa, tafsiran, fikiran dan persoalan. Seni Melayu pada hari ini
menitikberatkan persoalan kesan dan tidak lagi terikat pada ciri-ciri yang digariskan
(Rahmah dan Nor Azlin, 2004). Makna “cantik” atau “tidak cantik” juga dilihat daripada
persepsi yang berbeza dan meluas serta lebih pada konsep kesenian Barat. Misalnya,
terdapat karya seni yang kasar, tidak cantik dan tidak harmoni tetapi dianggap mempunyai
nilai dan karya seni yang tinggi oleh orang Melayu. Secara asasnya, kesenian Melayu
menekankan ciri-ciri seperti:
i.
Kesan kehalusan
ii.
Keberukiran
iii.
Keseimbangan
iv.
Keharmonian
v.
Keindahan
vi.
Ketenangan
Maknanya, orang Melayu hari ini melihat konsep kesenian dalam bentuk yang berbeza
iaitu tertumpu pada aspek estetika (falsafah tentang keindahan). Selanjutnya, tumpuan juga
adalah lebih terhadap sesuatu yang tersirat berbanding dengan yang tersurat. Menurut
Mahyudin (2004), melalui pengertian estetika, konsep kesenian Melayu dinilai berasaskan
pada penghayatan, tanggapan, rasa senang, terharu, menenangkan, bergetar jiwa, syahdu,
7
tersentuh, terdorong untuk bertafakur dan berfikir, merenung, terkesan dan berasa peka
(terhadap sejarah, kemanusiaan, kemasyarakatan, alam, ketuhanan dan sebagainya).
Penilaiannya
berasaskan
pada
penaakulan
(cognition),
iaitu
proses
pengalaman,
pengetahuan dan cita rasa yang sedia wujud atau dimiliki dalam ingatan seseorang
terhadap sesebuah karya seni. Selain itu, keindahannya juga terpancar melalui penonjolan
motif dan penyusunannya sebagai pola dan corak tertentu. Dalam hubungan ini, orang
Melayu sering memerhatikan alam sekeliling untuk mencari idea dan ilham bagi mengisi
kesenian. Hubungan akrab orang Melayu dengan alamnya membuahkan inspirasi bagi
menghasilkan sesuatu barangan yang indah daripada pelbagai sumber. Berasaskan sumber
inspirasi inilah, masyarakat Melayu mencipta motif, corak dan pola yang cantik sifatnya.
Seterusnya, hasil ciptaan ini diberi nama atau istilah berdasarkan bahan yang digunakan
dalam penciptaan seni tersebut. Misalnya, “tikar mengkuang”, “tikar rotan”, dan “tikar buluh”
merujuk hasil seni anyaman yang sama, tetapi menggunakan bahan daripada unsur alam
flora yang berbeza. Begitu juga dengan penggunaan istilah-istilah lain seperti, ukiran motif
“itik sekawan” berdasarkan unsur alam fauna, motif batik “pucuk rebung” menggunakan
unsur alam flora, dan corak “kuih putu” yang menggunakan unsur kuih tradisional Melayu.
Secara asasnya, kesenian Melayu bermatlamatkan ketaakulan terhadap penciptanya
dan mempunyai interaksi yang baik sesama manusia dan alam. Ini bermakna, pencipta seni
kraf harus memahami makna dan falsafah yang terkandung di dalam setiap motif yang
diciptanya. Ini penting supaya mereka mampu menyerat dan menghayati nilai-nilai yang
dimaksudkan, menyebarluaskan, dan menempatkan motif itu sesuai menurut alur dan
patutnya. Apatah lagi budaya Melayu itu sendiri sangat sebati dengan ajaran Islam. Dalam
seni kraf Melayu misalnya, corak seperti bentuk segi empat dikaitkan dengan sahabat Nabi
Muhammad s.a.w. yang berempat, bentuk segi lima dikaitkan dengan rukun islam, bentuk
segi enam dikaitkan dengan rukun iman, bentuk wajik dikaitkan dengan sifat Allah SWT
8
yang Maha Pemurah, bentuk bulat dikaitkan dengan sifat Allah SWT yang Maha Mengetahui
dan Penguasa alam semesta, dan sekitarnya.
Analisis Istilah Seni Kraf Melayu
Masyarakat Melayu dikatakan tidak lari daripada alam sekelilingnya semasa menghasilkan
seni kraf. Keintiman mereka dengan alam semula jadi ini bukanlah satu perbuatan yang siasia sebaliknya dapat meningkatkan lagi daya kreativiti dalam penciptaan seni kraf yang luar
biasa mutunya. Pada asasnya, persepsi orang Melayu terhadap alam sekeliling tergambar
dalam penamaan istilah seni kraf seperti contoh yang berikut;
a)
Istilah berasaskan flora
Penggunaan motif yang berunsurkan flora banyak mempengaruhi daya kreativiti orang
Melayu dalam penghasilan seni kraf. Fenomena ini berlaku kerana adanya hubungan
rapat antara orang Melayu dengan alam sekitar sehingga disebatikan dan
diperlihatkan secara harmoni dalam kesatuan sifat rupa dan bentuk. Tumbuhtumbuhan yang sering dijadikan motif hiasan termasuklah bunga teratai, bunga melur,
dan bunga tanjung. Selain itu, ada juga jenis tumbuh-tumbuhan dan bunga yang
berbentuk herba dan biasanya mempunyai nilai perubatan tradisional seperti bunga
cengkih dan bunga melati. Pemilihan hiasan ini secara tidak langsung menunjukkan
kefahaman masyarakat Melayu tentang maklumat mengenai fungsi tumbuh-tumbuhan
dan bunga itu sendiri seperti yang dihuraikan dalam contoh berikut;
•
bunga melati – melambangkan kesucian. Bunga ini selalu digunakan dalam
pelbagai upacara keramaian, adat istiadat dan keagamaan.
•
sulur bayung – keistimewaan sulur bayung kelihatan pada sifat bahagian
tumbuhan tersebut yang mempunyai alunan gerak balas. Salah satu sulur akan
kelihatan tumbuh dan bergerak ke luar, manakala yang satu lagi akan
melengkung ke arah berlawanan dan kemudian disambung lagi dengan
9
lengkungan yang mengarah ke luar. Rentak pergerakan ini juga seolah-olah
menyerupai gerakan bunga seni silat yang turut melambangkan identiti Melayu.
Asal sulur bayung yang tumbuh dari satu punca pula dikaitkan dengan
kepercayaan masyarakat Melayu bahawa Allah itu Maha Esa, iaitu semua
makhluk terikat dengan punca yang satu.
•
bunga tanjung – melambangkan keramahan dan sifat meraikan tetamu dalam
kalangan masyarakat Melayu. Bunga ini sering digunakan semasa menyambut
ketibaan para tetamu.
•
bunga setaman – motif pada batik dan songket yang mengandungi nilai dan
falsafah tentang keluhuran dan kehalusan budi serta keakraban yang bersebati
dengan kedamaian alam.
•
pucuk rebung – dikaitkan dengan kesuburan dan kesabaran berdasarkan sifat
pucuk rebung yang berkembang biak secara perlahan-lahan.
•
awan larat – melambangkan sifat gadis Melayu yang lemah lembut, bersopan
santun serta berbudi bahasa tinggi.
b)
Istilah berasaskan fauna atau haiwan
Motif haiwan turut menjadi sebahagian daripada perlambangan dalam seni kraf
Melayu, terutamanya sebelum kedatangan agama Islam. Kebiasaannya haiwan yang
kerap menjadi motif hiasan ialah haiwan yang ingin diteladani sifat semula jadinya
seperti berani, suci, pelindung keluarga, dan pembawa tuah baik. Penghayatan
masyarakat Melayu terhadap sifat baik ini menggambarkan pengharapan mereka
terhadap kesejahteraan dan kerukunan dalam kehidupan. Antara haiwan yang sering
ditonjolkan ialah burung bangau, ayam, gajah, kerbau, merpati, lebah dan semut.
Contoh penggunaan haiwan tersebut dan falsafah di sebalik pemilihannya dijelaskan
seperti yang berikut;
10
•
semut beriring – melambangkan sifat disiplin, bekerjasama dan saling bantumembantu dalam kalangan semut demi kesejahteraan dan keharmonian
komuniti haiwan berkenaan.
•
lebah bergantung – lebah bergantung ialah motif yang mengambil bentuk sarang
lebah yang mengandungi madu lebah yang dapat dikaitkan dengan ketekunan
dan kesungguhan dalam melaksanakan tugas secara berkumpulan sehingga
membuahkan hasil yang dapat dimanfaatkan bersama demi kebaikan komuniti.
•
itik sekawan, dan itik pulang petang – melambangkan sifat bersatu hati,
kerukunan dan ketertiban yang tergambar dalam kalangan haiwan itik yang
keluar serentak pada waktu pagi dan pulang ke kandang pada waktu senja.
Pemilihan sifat ini menggambarkan penghayatan masyarakat Melayu terhadap
sifat baik yang dapat diteladani dalam menjalani kehidupan.
•
burung – motif burung-burung berterbangan di sebalik awan biru merupakan
metafora kedamaian dan kebebasan, kesenangan setelah melalui ranjau dan
halangan.
c)
Istilah berasaskan kosmos
Alam kosmos seperti bulan, bintang, matahari, dan awan yang turut menjadi sumber
inspirasi orang Melayu dalam menghasilkan seni kraf menggambarkan daya kreativiti
yang tinggi dalam kalangan masyarakat Melayu. Beberapa contoh penggunaan unsur
kosmos dalam pengistilahan seni kraf Melayu adalah seperti yang berikut;
•
matahari bersinar – motif matahari bersinar kerap ditonjolkan pada ukiran-ukiran
kayu di tebar layar, iaitu sudut yang menemukan kedua-dua bumbung di
penghujungnya.
•
bulan dan bintang – motif bulan dan bintang dipilih berdasarkan penghayatan
masyarakat terhadap agama Islam. Lazimnya motif ini diletakkan pada ukiran
11
kisi-kisi rumah ataupun diletakkan di puncak bumbung dan menara masjid,
melambangkan penghayatan masyarakat yang begitu tinggi terhadap agama
Islam.
•
gunungan – motif tiga gunung yang selari, gunung yang di tengah biasanya lebih
tinggi daripada gunung yang di kiri dan kanannya. Motif ini merupakan motif
ukiran kayu yang sering diletakkan di atas pintu atau tingkap rumah orang
Melayu. Pemilihan motif ini menggambarkan sifat kepimpinan yang mulia dan
dapat dicontohi.
d)
Istilah berasaskan bentuk geometrik
Corak geometrik terbahagi kepada dua, iaitu corak geometrik tulen dan corak
geometrik yang berasaskan alam sekeliling, seperti tumbuh-tumbuhan dan haiwan.
•
bunga tampuk manggis – merupakan corak geometrik berasaskan tumbuhtumbuhan. Corak ini dihasilkan dalam bentuk yang mirip geometri terutamanya
pada tenunan songket Melayu. Selain itu corak ini juga kerap dilihat pada
anyaman kelarai, tikar mengkuang, tudung saji atau pelbagai barangan lain.
Pemilihan corak-corak ini menunjukkan penghayatan masyarakat Melayu
terhadap struktur biologi tampuk manggis yang dicipta begitu unik dan sistematik
oleh Allah SWT.
•
kelarai belah ketupat – motif ini dikatakan dipengaruhi oleh unsur makanan
tradisional ketupat daun palas yang dibelah. Motif ini sangat terkenal dalam seni
kraf anyaman. Hal ini menunjukkan bahawa orang Melayu mempunyai
pengamatan yang tinggi terhadap alam sekelilingnya sehinggakan boleh
menghasilkan rekaan yang cukup kreatif berasaskan makanan tradisional.
12
f)
Istilah berasaskan Al Quran, Hadis dan kata-kata hikmah
Pengaruh Islam sering dilihat pada motif ukiran kaligrafi Arab yang lazimnya disebut
kalimah. Ukiran ini biasanya diletakkan di tempat yang tinggi, terutamanya di atas
ambang pintu, di mimbar dan dinding. Pemilihan ayat-ayat biasanya dilakukan oleh
orang yang ahli dan kemudian barulah diukir oleh pengukir. Antara ayat-ayat yang
lazimnya dipilih ialah Surah Al-Ikhlas, dan Al-Fatihah.
Pemanfaatan Pelbagai Bahasa dalam Pembentukan Istilah Seni Kraf Melayu
Kajian juga membuktikan bahawa pengistilahan seni kraf Melayu sebahagian besarnya
memanfaatkan bahasa Melayu sebagai sumber, baik bahasa yang terdapat dalam alam
Melayu sendiri, iaitu dialek-dialek Melayu, bahasa Melayu klasik, atau bahasa suku kaum.
Hanya sebilangan kecil sahaja yang menggunakan istilah serapan bahasa asing. Beberapa
contoh istilah tersebut termasuklah sinumandak, ayam den lapeh, dan biskut.
•
sinumandak – iaitu kata yang berasal daripada bahasa suku kaum Murut yang
maksudnya mempunyai kaitan dengan gadis sunti (takrif lengkap: Motif anyaman
berunsur geometri berbentuk retin yang menjadi asas pembelajaran menganyam oleh
gadis sunti dalam budaya kaum Murut.)
•
ayam den lapeh – penggunaan istilah yang berasal daripada dialek Minangkabau ini
menunjukkan betapa kreatifnya pemikiran masyarakat Melayu dalam penciptaan
sesuatu istilah. Istilah ayam den lapeh menghuraikan corak batik berunsur tumbuhan
berbentuk bunga atau daun tanpa rintik, terdapat pada batik sarung atau batik lepas.
•
berus – merujuk pada alat daripada bulu binatang dan mempunyai pemegang
daripada buluh atau kayu yang digunakan untuk menconteng atau mewarnakan kain.
Pemilihan kata berus yang merupakan kata serapan daripada bahasa asing (brush
diubah suai ejaannya ke dalam bahasa Melayu) perlu dibuat kerana maksud yang
13
telah mantap dalam bahasa asal dan telah diterima masyarakat, penukaran pada
istilah lain hanya akan menyebabkan kekeliruan kepada pengguna.
Kesimpulan
Bidang seni kraf secara umumnya memperlihatkan penciptaan istilah yang disertai dengan
inovasi saintifik dan teknologi dalam satu komuniti linguistik, dan bukannya penciptaan
istilah berserta pemindahan ilmu saintifik dan teknologi daripada satu komuniti kepada satu
komuniti lain. Hal ini menyebabkan pembentukan sebahagian besar istilah seni kraf berlaku
secara spontan oleh masyarakat tempatan. Kajian menunjukkan bahawa pengistilahan seni
kraf Melayu merupakan satu sistem yang sebahagian besarnya terdiri daripada kosa kata
bahasa Melayu, baik bahasa yang terdapat dalam alam Melayu sendiri, iaitu dialek-dialek
Melayu, bahasa Melayu klasik, atau bahasa serumpun, dan hanya sebahagian kecil sahaja
menggunakan bahasa-bahasa yang datang dari luar. Setiap sumber istilah bahasa Melayu
tersebut mempengaruhi perkembangan bahasa Melayu dari segi inventori ilmu dan
pengalaman peradabannya.
14
Bibliografi
Anwar Din (pnyt.), 2008. Asas Kebudayaan dan Kesenian Melayu. Bangi: Penerbit UKM.
Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu, 2004. Pedoman Umum Pembentukan Istilah Bahasa
Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mahyudin Al Mudra, 2004. Rumah Melayu Memangku Adat Menjemput Zaman. Balai Kajian
Dan Pengembangan Budaya Melayu Jogyakarta: Adicita Karya Nusa.
Pihkala, T., 2006. Socioterminology. http://www.tsk.fi/fi/ti/ti101_teksti.html.
Rahmah Bujang dan Nor Azlin Hamidon, 2004. Kesenian Melayu. Kuala Lumpur: Akademi
Pengajian Melayu, Universiti Malaya.
Sager, J. C., 1995. Kursus Amali dalam Pemprosesan Istilah (terj.), Sulaiman Masri. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Temmerman, R., 2000. Towards New Ways of Terminology Description. The Sociocognitive
Approach. Amsterdam: John Benjamins Publishing Company.
Wuster, E., 2001. The Machine Tool – An Interlingual Dictionary of Basic Concepts.
Terminologie Und Wissensordnung. Austria: TermNet Publisher.
Zubaidah Shawal, 1994. Busana Melayu. Kuala Lumpur: Jabatan Muzium Dan Antikuiti,
Malaysia.
15