Location via proxy:   [ UP ]  
[Report a bug]   [Manage cookies]                

Pedekatan, Kaedah Dan Teknik Pengajaran

Unduh sebagai docx, pdf, atau txt
Unduh sebagai docx, pdf, atau txt
Anda di halaman 1dari 16

TUGASAN 1

PENDEKATAN, KAEDAH DAN TEKNIK PENGAJARAN KEMAHIRAN BAHASA.

1. STRATEGI PENGAJARAN

Strategi adalah hasil campuran daripada tiga elemen iaitu pendekatan, kaedah
dan teknik. Strategi adalah perkara yang amat penting bagi seorang guru bagi
menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran.
Selain itu, strategi juga dikatakan sebagai satu pelan tindakan yang terancang
untuk mencapai hasil pembelajaran yang dirancang. Pelan tindakan yang dimaksudkan
mestilah mengandungi aktiviti pengajaran dan mengandungi langkah-langkah yang
berurutan yang dilaksanakan dari semasa ke semasa. Selain itu, aktiviti pengajaran
mestilah mengambil kira tahap kebolehan, kecerdasan pelbagai, integrasi kemahiran
generik dan gaya belajar murid.
Di samping melihat kepada aktiviti pengajaran, kemahiran mengajar juga perlu
dititikberatkan. Antaranya ialah penyoalan, memberi arahan dan cara memberi maklum
balas kepada terhadap jawapan murid yang disepadukan dalam strategi pengajaran.
Pengajaran pengurusan pengajaran, contohnya susunan kelas, pembentukan kumpulan
belajar dan kaedah interaksi juga tidak dipandang enteng.
Dengan adanya pelbagai cara penggunaan media pengajaran juga akan
membuatkan murid-murid merasai iklim pembelajaran yang kondusif dan berkesan.
Namun, strategi yang dicadangkan telah dibahagikan kepada beberapa bahagian dalam
strategi iaitu strategi pemusatan guru, pelajar dan bahan.

1.1 Strategi Pemusatan Guru


Strategi pemusatan guru menunjukkan bahawa guru berperanan utama dalam
semua segi. Dalam strategi ini, guru akan menguasai dan mengawal segala aktiviti
sewaktu proses pengajaran dan pembelajaran. Pelajar hanya bertindak sebagai
penonton dan pendengar setia terhadap penerangan guru. Oleh yang demikian,
komunikasi yang berlaku hanyalah komunikasi sehala.
Guru bertindak secara autokratik dan memberikan arahan kepada pelajar supaya
dilaksanakan. Pelajar tidak diberi peluang untuk memberikan idea mereka. Suasana
tegang sering berlaku dalam sesi pengajaran dan pembelajaran seperti ini.
Strategi ini juga banyak menggunakan teknik hafalan dan pelajar perlu banyak
mengingat daripada membuat interpretasi. Guru terlalu mementingkan pengajaran
keseluruhan kelas dan tidak mengambil kira ciri-ciri perbezaan pelajar seperti kebolehan
dan minat yang wujud. Akibatnya, pelajar kurang kreatif, dan tidak berinisiatif meneroka
ilmu-ilmu baharu. Walau bagaimanapun, strategi ini mungkin sesuai digunakan dalam
teknik bercerita yang mana guru perlu mengawal sepenuhnya jalan cerita. Namun,
sekiranya tujuan guru bercerita untuk membina pemikiran kreatif pelajar, maka pelajar
perlu juga dilibatkan dalam sesi penceritaan tersebut.

1.2 Strategi Pemusatan Pelajar


Strategi pemusatan pelajar merujuk kepada penglibatan aktif para pelajar,
manakala guru bertindak sebagai fasilitator. Apabila guru bertindak sebagai fasilitator,
corak komunikasi yang digunakan akan lebih aktif yakni apabila adanya interaksi antara
guru-pelajar dan pelajar-pelajar.
Selain itu, guru akan mengamalkan corak kepemimpinan demokratik dan pelajar
bebas bertanya serta memberi pendapat. Guru juga menggalakkan pelajar terlibat
secara aktif mencuba dan melakukan aktiviti pembelajaran sendiri. Perkara yang diberi
perhatian adalah objektif pembelajaran. Banyak teknik perbincangan dijalankan bagi
memupuk semangat kerjasama dan toleransi dalam kalangan pelajar yang mempunyai
pelbagai kebolehan dan minat.
Guru juga boleh mengetahui dan mengesan kelemahan mereka di peringkat
awal lagi. Langkah-langkah mengatasi kelemahan dapat dijalankan dengan cepat.
Hasilnya, pelajar dapat berkembang mengikut kesediaan mereka.

1.3 Strategi Pemusatan Bahan


Strategi pemusatan bahan lebih memberi penekanan kepada alat-alat bantu
yang digunakan bagi memudahkan pelajar memahami pengajaran guru. Alat-alat
tersebut dibahagikan kepada dua jenis iaitu bahan pengajaran dan bahan pembelajaran.
Bahan pengajaran termasuklah semua bahan yang digunakan oleh guru manakala
bahan pembelajaran merujuk kepada semua bahan yang disediakan untuk kegunaan
pelajar. Kedua-dua jenis bahan digunakan semata-mata bagi memudahkan guru
mengendalikan pengajarannya dan membantu pembelajaran pelajar.
Perkara utama yang diambil kira sewaktu penyediaan bahan adalah
penggunaannya dapat meningkatkan minat dan kefahaman pelajar. Kemahiran
menggunakan bahan juga perlu. Hal ini kerana penggunaan bahan yang banyak dalam
sesuatu masa juga akan mengakibatkan isi utama pembelajaran mungkin terganggu.
Selain itu, bahan pengajaran terancang yang disediakan dapat membantu
pelajar mengikuti pelajaran tanpa kehadiran guru. Peranan guru menjadi dominan
apabila menggunakan bahan seperti ini kerana merekalah yang akan mengendalikan
aktiviti pembelajaran. Pelajar hanya perlu memberi tindak balas kepada aktiviti atau
soalan-soalan yang disediakan.
Strategi ini dapat memupuk sifat berdikari dalam kalangan pelajar di samping
melatih diri mereka menjadi satu pasukan pemain yang saling bekerjasama bagi
memastikan suatu projek atau tugasan yang diberikan dapat disiapkan dengan betul dan
sempurna mengikut masa yang telah ditetapkan.

2. PENDEKATAN PENGAJARAN

Berdasarkan teori-teori pemerolehan dan huraian bahasa, terdapat empat jenis


pendekatan yang dilahirkan daripadanya untuk pengajaran bahasa. Antara pendekatan
yang berjaya dirungkai itu termasuklah pendekatan induktif, pendekatan deduktif,
pendekatan eklektik, dan pendekatan komunikatif. Kesemua pendekatan ini digunapakai
oleh warga pendidik bagi memudahkan konsep serta isi utama sesuatu tajuk difahami
secara konseptual.

2.1 Pendekatan Induktif


Pendekatan induktif merupakan satu pendekatan mengajar yang memulakan
suatu kajian itu dengan melihat penggunaan unsur-unsur bahasa yang diajar melalui
contoh-contoh yang dikemukakan. Perkara ini dilakukan sebelum guru itu membuat
pengitlakan terhadap unsur-unsur tadi.
Pendekatan ini menggunakan kaedah pencarian yang melihat, mengkaji,
menganalisa sesuatu aspek tertentu pada awalnya dan membuat keputusan mahupun
kesimpulan berdasarkan apa yang diperhatikannya. Dalam erti kata lain, guru
membimbing murid untuk memikir, mengkaji, mengenalpasti dan mentafsir segala
maklumat untuk membuat generalisasi berdasarkan data yang dikaji.
Dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa, pendekatan ini digunapakai
terutamanya dalam menyusun isi, yang mana pendekatan sebegini mengutamakan
contoh-contoh pada awal pengajaran dan dibuat generalisasi daripadanya. Dalam
penghuraian isi pelajaran, guru-guru tidak digalakkan menyatakan definisi, penerangan
terhadap peraturan-peraturan, isi atau kandungan keseluruhan pembelajaran yang
hendak disampaikan atau memberikan objektif pengajaran pada awal pengajarannya.
Namun begitu, guru perlu mengemukakan soalan-soalan, bertanya, berbincang,
memerhati, mengkaji, membentuk contoh-contoh dan sebagainya tentang isi pengajaran
supaya murid-murid dapat berfikir tentang apa yang akan diajar oleh guru mereka.
Maka, atas dasar inilah, perasaan tertanya-tanya akan timbul dalam diri mereka. Hal
inilah yang akan membentuk daya fikir yang positif ke arah objektif pengajaran apabila
mereka cuba untuk menjana idea tentang pengajaran tersebut.
Bagi generalisasi pula, ia dibuat kemudian. Hal ini berupaya menghapuskan sesi
pengajaran dan pembelajaran yang berasaskan suapan. Pendekatan sebegini
menunjukkan bahawa guru amat mementingkan komitmen, usaha, fokus, tumpuan serta
perhatian daripada murid-murid agar mereka tidak hanya menerima bulat-bulat isi
pengajaran, tetapi berupaya memberi tindak balas, memberi respons positif serta
mampu menunjukkan penguasaan dan pemahaman mereka terhadap isi pengajaran
pada hari tersebut.
Oleh yang demikian, konsep yang cukup mudah, pendekatan ini melihat kepada
pemberian contoh pada awalnya dan seterusnya barulah menyatakan rumus pengajaran
tentang tajuk pengajaran yang disampaikan dalam bilik darjah.

2.2 Pendekatan Deduktif


Pendekatan deduktif adalah bersifat lawan kepada pendekatan induktif. Hal ini
kerana pendekatan deduktif ini merupakan satu pendekatan mengajar yang memulakan
sesuatu kajian itu dengan melihat secara keseluruhan aspek pembelajaran itu pada
awal sebelum kesimpulan-kesimpulan spesifik tentangnya dilakukan.
Pendekatan ini juga menerangkan bahawa kita mempelajari sesuatu situasi itu
secara keseluruhan sebelum kita mempelajari elemen-elemen situasi itu.
Dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa, pendekatan ini digunapakai
terutamanya dalam menyusun turutan isi, yang mana pendekatan sebegini
mengutamakan generaisasi dibuat di bahagian awal pengajaran dan kemudian
dikemukakan contoh-contoh selepasnya. Biasanya, berdasarkan pendekatan ini,
pengajaran akan dimulakan dengan aktiviti memperkenalkan huraian undang-undang
bahasa sebelum guru memberi contoh-contoh menggunakan peraturan-peraturan itu
dalam ayat.
Dalam penghuraian isi pelajaran, guru-guru digalakkan menyatakan definisi,
penerangan terhadap peraturan-peraturan, isi atau kandungan keseluruhan
pembelajaran yang hendak disampaikan atau memberikan objektif pengajaran pada
awal pengajarannya.
Namun begitu, pendekatan ini dianggap kompleks kerana murid perlu
memperolehi kefahaman yang mendalam serta berupaya memilih rumus, teorem,
hukum peraturan yang telah dipelajari dengan tepat untuk diaplikasikan dalam contoh-
contoh khusus.
Bagi generalisasi, ia dibuat awal yakni di awal pengajaran. Hal ini berupaya
membentuk gambaran jelas kepada murid tentang isi pengajaran yang akan
disampaikan. Pendekatan sebegini juga menunjukkan bahawa guru amat
mementingkan komitmen, usaha, fokus, tumpuan serta perhatian daripada murid-murid
agar mereka tidak hanya menerima bulat-bulat isi pengajaran, tetapi berupaya memberi
tindak balas, memberi respons positif serta mampu menunjukkan penguasaan dan
pemahaman mereka terhadap isi pengajaran pada hari tersebut melalui pemberian
contoh-contoh, serta aplikasi sesuatu isu dan isi dalam aspek kehidupan harian.
Oleh yang demikian, konsep yang cukup mudah, pendekatan ini melihat kepada
penyataan rumus pada awalnya dan seterusnya barulah memeberikan contoh bagi
meneguhkan lagi pemahaman murid terhadap isi pengajaran yang disampaikan dalam
bilik darjah.

2.3 Pendekatan Eklektik


Eklektik bererti pemilihan dan juga bermakna bercampur. Maka, jika dikatakan
pendekatan eklektik, ini merujuk kepada penggunaan dua pendekatan ataupun
membuat gabungan pendekatan. Gabungan pendekatan yang dimaksudkan adalah
dengan menggabungkan pendekatan induktif dengan pendekatan deduktif.
Biasanya, gabungan pendekatan ini dibuat bagi menghasilkan satu strategi
pengajaran yang kreatif dan berkesan. Misalnya, guru bahasa itu memulakan
pengajarannya dengan memberi contoh-contoh yang berkaitan dengan tajuk pengajaran
dan kemudian mendapatkan contoh-contoh daripada murid-murid. Selepas itu, murid ini
pula akan dipandu langkah demi langkah untuk sampai kepada undang-undang bahasa
yakni rumus bahasa itu sendiri. Akhirnya mereka didorong pula untuk memberikan
contoh-contoh yang sesuai dengan contoh-contoh yang diberikan oleh guru tadi yang
membolehkan konsep generalisasi berkenaan diterapkan.
Cara yang satu lagi ialah guru memulakan pengajarannya dengan menyatakan
undang-undang bahasa iaitu rumus bahasa yang diajar. Kemudian, contoh-contoh yang
kuat diberi oleh guru dan murid-murid menerangkan generalisasi berkenaan. Selepas
itu, murid-murid pula perlu memberikan contoh-contoh penguat lain yang menunjukkan
bahawa mereka sudah menguasai tajuk pengajaran tersebut. Dan akhirnya, undang-
undang itu digunakan dalam konteks yang hampir sama.
Tuntasnya, pendekatan eklektik ini menunjukkan bahawa pendekatan ini merujuk
kepada gabungan pendekatan induktif dan deduktif yang disesuaikan dan diselaraskan
mengikut keupayaan murid. Pendekatan ini menggunakan model-model penekanan
kepada induktif iaitu dari contoh yang guru beri kepada murid kepada generalisasi dan
murid akan memberikan contoh yang lain. Dan yang kedua ialah penekanan kepada
deduktif yang melibatkan generalisasi yang dibuat oleh guru beralih kepada contoh yang
diujar juga daripada guru.tetapi kemudiannya guru akan memina murid membuat
generalisasi mereka sendiri berkaitan tajuk yang dipelajari.

a) Penekanan kepada pendekatan induktif :


Contoh Generalisasi Contoh

b) Penekanan kepada pendekatan deduktif :


Generalisasi Contoh Generalisasi

2.4 Pendekatan Komunikatif


Pendekatan komunikatif dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa bermula
daripada satu teori yang menganggap bahasa sebagai satu komunikasi. Matlamat
pengajaran bahasa mengikut pendekatan ini ialah untuk membentuk apa yang
dimaksudkan sebagai keupayaan berkomunikasi yang diujarkan oleh Hymes pada
tahun 1972.
Mengikut ahli-ahli bahasa yang mempelopori pendekatan ini, pengetahuan
tentang struktur bahasa dan kebolehan membina ayat-ayat yang betul sahaja belum
boleh menjamin murid-murid untuk berkomunikasi dengan lebih berkesan. Tetapi
kecekapan berbahasa dan berkomunikasi itu harus menitikberatkan unsur-unsur lain
yang boleh mempengaruhinya seperti faktor-faktor sosiolinguistik, psikolinguistik, dan
paralinguistik.
Tujuan utama pengajaran dan pembelajaran bahasa berasaskan pendekatan ini
ialah murid-murid boleh menggunakan bahasa yang sesuai untuk tujuan komunikasi.
Pendekatan ini juga disusun berdasarkan fungsi-fungsi bahasa termasuklah bahasa
untuk mendapatkan barang-barang, untuk mencipta interaksi dengan orang lain, untuk
mendapatkan maklumat dan sebagainya.
Pendekatan komunikatif ini juga menyarankan supaya murid-murid diberi
peluang menggunakan bahasa itu dalam konteks dan situasi sosial tertentu di dalam
kelas. Mereka didedahkan kepada kecekapan sosiolinguistik iaitu pengetahuan
peraturan penggunaan bahasa. Hal ini penting kerana penggunaan bahasa itu akan
lebih betul dan bermakna sifatnya jika ujaran itu sesuai dengan situasi bahasa itu
digunakan. Oleh itu, guru mestilahmewujudkan situasi sebenar di dalam kelasyang
memerlkan murid-murid berkomunikasi sesama mereka.
Pendekatan komunikatif ini juga meminta guru-guru agar mengajarkan struktur-
struktur bahasa yang betul kepada murid-murid mereka. Murid-murid perlu tahu akan
peratura-peraturan bahasa untuk membolehkan mereka berbuat demikian. Perkara ini
akan menjadikan mereka lebih berkeyakinan untuk bertutur dan berkomunikasi dengan
orang di sekeliling mereka apabila mereka berjaya menguasai cara komunikasi dengan
betul.

3. KAEDAH PENGAJARAN

Pengajaran yang baik juga ada menyelitkan kaedah yang terbaik mengikut
kemampuan murid-muridnya berdasarkan kesesuaian tajuk dan keadaan.
Mangantar Simanjuntak (1982) menyatakan bahawa kaedah merujuk kepada
satu rencana mahupun prosedur yang menyeluruh untuk mengajar sesuatu bahan
bahasa, yang secara keseluruhannya mestilah didasarkan kepada pendekatan yang
digunakan. Parera (1986) pula berpendapat bahawa kaedah merupakan satu rancangan
menyeluruh untuk menyampaikan secara teratur bahan-bahan bahasa, tidak ada
bahagian-bahagiannya yang saling bertentangan dan semuanya berdasarkan kepada
pendekatan, manakala Ishak Ramly (2006) pula, mengatakan bahawa kaedah ialah satu
rancangan tentang apa yang akan dilaksanakan sesuai dengan situasi bagi mencapai
sesuatu objektif pengajaran.
Oleh itu, kaedah pengajaran bolehlah diklasifikasikan sebagai suatu prosedur
atau rangkaian-rangkaian yang membolehkan pelaksanaan satu pengajaran dan
pembelajaran yang teratur, kemas dan sistematik. Kaedah ini juga berkesinambungan
dan perlu dituruti dengan saksama bagi mencapai sesuatu objektif pengajaran dan
pembelajaran berdasarkan langkah-langkah yang tersusun rapi.
Namun, mengikut Kamaruddin Hj. Husin, kaedah pengajaran telah
menyenaraikan beberapa cadangan kaedah yang boleh digunapakai dalam sesi
pengajaran dan pembelajaran. Antaranya ialah kaedah natural atau semula jadi, kaedah
terus, ajuk hafaz, linguistik, oral-aural, kod kognitif, dan banyak lagi.

3.1 Kaedah Semula Jadi (Natural)


Kaedah ini hampir sama dengan kaedah terus. Mengikut kaedah ini, pengajaran
akan dimulakan dengan soalan-soalan yang berhubung dengan objek, gambar dan
ilustrasi. Perkataan-perkataan baharu diterangkan menggunakan perkataan-perkataan
yang telah diketahui oleh murid-murid. Bahasa ibunda mahupun terjemahannya tidak
langsung digunakan.
Cara pembelajaran kaedah semula jadi ini juga adalah sama dengan cara kanak-
kanak mempelajari bahasa pertama. Penyampaiannya disusun dan diperingkat-
peringkatkan. Keempat-empat kemahiran yang hendak dikuasai perlu mengikut
prosedurnya iaitu didahului dengan aktiviti lisan, kemudian bertutur dan seterusnya
barulah membaca dan menulis.

3.2 Kaedah Terus


Kaedah ini dipelopori oleh dua oang pakar Pedagogi iaitu Michell West dan
Harald Palmer pada tahun 1920-1935. kaedah ini sebenarnya mengutamakan prinsip-
prinsip mengajar yang berdasarkan psikologi kanak-kanak ini, didapati serupa dengan
kaedah tentera atau askar kerana ia pernah digunakan untuk melatih pegawai tentera
dan diplomat dalam Perang Dunia Kedua pada masa dahulu.
Kaedah ini bertujuan membolehkan kanak-kanak menguasai keempat-empat
kemahiran bahasa itu secara berkesan dan membolehkan mereka menggunakan
bahasa yang dipelajari itu dalam masyarakat yang berkenaan.
Kaedah ini boleh diajarkan berpandukan kepada lunas-lunas kanak-kanak
mempelajari bahasa ibunda mereka iaitu mengutamakan bahasa lisan, yakni kemahiran
mendengar harus mendahului kemahiran bertutur, murid-murid dihubungkan terus
dengan bahasa yang hendak diajar iaitu terjemahan tidak digunakan langsung, tidak
mempelajari sebarang undang-undang tentang bahasa yang hendak dipelajari, sebutan
yang betul diutamakan, ulangan dan pengukuhan perlu diperbanyakkan, harus
mempelajari sesuatu secara keseluruhan, dan harus mempelajari sesuatu yang mudah
dahulu dan kemudian bergerak kepada yang lebih rumit.
Kaedah seperti ini sangat sesuai digunakan untuk mempelajari bahasa kerana
sifatnya sama dengan cara kanak-kanak menguasai bahasa ibunda mereka. Pembinaan
habit bahasa dapat disegerakan leh guru memandangkan kaedah ini tidak
menggunakan terjemahan. Kaedah secara terus ini membolehkan mereka
menggunakan bahasa secara aktif dan seterusnya membolehkan mereka cepat dapat
bertutur dengan lancar dan fasih.
Namun, kaedah ini agak rumit tambahan pula dalam menerangkan maksud bagi
perkataan yang bersifat abstrak. Oleh itu, guru akan mengambil masa yang lama untuk
menerangkan kepada mereka. Kesannya, penerimaan fahaman makna bagi sesuatu
perkataan berbeza dan hal ini akan menyebabkan berlakunya kekeliruan sepanjang
pengajaran guru. Oleh yang demikian, guru perlulah jelas dengan makna dan
penggunaan kata mengukut situasi dan keadaan. Pengetahuan semantik perlu
diperkukuh agar murid tidak mengalami kekeliruan makna dan kosa kata.

3.3 Kaedah Kod Kognitif


Kaedah kognitif ini berasaskan pendapat J.B.Carroll berpendapat kaedah kod
kognitif merupakan pembaharuan dan pengubahsuaian terhadap kaedah nahu
terjemahan manakala Chomsky berpendapat bahawa bahasa merupakan sistem rumus-
rumus bahasa yang ternyata melalui bentuk linguistik. Mengikut pendapat golongan
Mentalis, mereka memandang bahasa sebagai satu kreativiti mental. Dalam pengajaran
dan pembelajaran bahasa, kaedah ini menekankan bentuk dan makna.hal ini bermakna,
mereka yang hendak mempelajari bahasa perlulah mengetahui hukum-hukum serta
sistem dalam ilmu tatabahasa itu sendiri.

Di samping itu, kaedah ini mengutamakan beberapa ciri penting terhadap


pembelajaran iaitu :
Dalam sesi pengajaran, lisan tidak diutamakan. Perkara yang ditekankan ialah
bacaan dan tulisan yakni dari aspek sintaksis, morfologi dan diikuti oleh fonologi.
Pembelajaran tatabahasa diterap secara langsung menggunakan pendekatan
deduktif. Perkara yang penting ialah murid ada sedikit pengetahuan tentang
tatabahasa yang hendak dipelajari.
Sesi pengajaran mesti menggalakkan murid gunakan sebanyak mana
kemampuan kreatif mereka.
Makna amat dipentingkan. Atas dasar inilah, penerangan perlu diwujudkan.
Dalam menghuraikan bahasa, kaedah ini menggunakan aplikasi tatabahasa
transformasi-generatif.

Antara aktiviti yang boleh dilakukan oleh guru untuk sesi pengajaran dan
pembelajaran berdasarkan kaedah ini ialah membandingkan struktur-struktur ayat yang
mengandungi imbuhan akhiran-kan dan akhiran-i bagi membolehkan murid-murid
memahami imbuhan transitif dan transitif lokatif. Apabila murid-murid memahami
huraian unsur-unsur tatabahasa yang diajar, barulah mereka diberi latihan pengayaan
bagi memastikan mereka benar-benar menguasai topik tersebut.

3.4 Kaedah Oral-Aural (Mendengar dan Bertutur)


Kaedah oral-aural ini menggunakan dialog untuk dihafaz dan diikuti secara
ajukan. Kaedah ini dikenali juga sebagai kaedah mendengar dan bertutur, dan kaedah
ini bermula dengan sebutan lisan. Dialog itu dianggap realistik dan ia dilatih tubi secara
berulang kali. Latih tubi dan dialog dijalankan dengan memberi perhatian kepada
intonasinya yang betul. Perkara yang menjadi objektif bagi kaedah ini ialah sebutan
penutur jati bahasa itu. Bahan pita rakaman boleh digunakan sepenuhnya, lebih-lebih
lagi, jika guru yang mengajar mata pelajaran tersebut bukan penutur jati bahasa yang
diajar itu.
Alat pandang-dengar digunakan dengan luasnya. Aktiviti latih tubi semuanya
dilakukan dalam situasi yang realistis yakni disertai dengan bahan pandang dengar yang
lengkap dan berkesan. Selain itu, latihan menyebut dan membaca bahan dikawal oleh
bahan yang telah disusun rapi. Sistem tatabahasa yang diberi kepada pelajar
diperkenalkan secara induktif dan dengan pemeringkatan yang teratur. Perbendaharaan
kata juga diberi sedikit demi sedikit pada awalnya dan biasanya dalam konteks yang
bermakna. Kata-kata yang diberi itu adalah bukan sahaja berdasarkan frekuensi tetapi
juga kepada kegunaannya.
Apabila murid menguasai bacaan, mereka beralih kepada latihan menulis yang
dikawal dan seterusnya menulis secara bebas.

3.5 Kaedah Terjemahan


Kaedah ini melibatkan terjemahan daripada bahasa kedua kepada bahasa
ibunda atau sebaliknya. Terjemahan yang dilakukan memungkinkan terjemahan tersebut
dilakukan secara kata demi kata ataupun secara ayat demi ayat.
Biasanya, kaedah ini lebih gemar menyediakan petikan ataupun bahan-bahan
tambahan yang lain, dan tiap-tiap satunya akan disertakan dengan satu soal jawab dan
diikuti dengan latihan terjemahan dua hala. Murid-murid akan diminta untuk membaca
dan menghafaz perkataan-perkataan tersebut. Selepas diajar perkataan-perkataan itu,
mereka akan diberi rangka-rangka ayat dan terjemahannya sekali. Kaedah ini adalah
secara ringkas dan ia sering dianggap sebagai cara tradisi.

4. TEKNIK PENGAJARAN

Menurut kamus Dewan edisi keempat, teknik ialah pengetahuan yang berkaitan
dengan pembuatan barang-barang hasil industri serta mencipta sesuatu hasil seni
seperti muzik, karang-mengarang dan sebagainya. Mengikut pendapat Edward M.
Antony pula, teknik ini adalah satu muslihat atau strategi ataupun taktik yang digunakan
oleh guru untuk mencapai segera hasil yang maksimum pada waktu mengajar sesuatu
bahagian bahasa tertentu dan Kamaruddin Hj. Husin serta Siti Hajar Hj. Abdul Aziz
berpendapat bahawa teknik pengajaran merupakan pengendalian suatu organisasi yang
benar-benar berlaku di dalam bilik darjah yang mana ia digunakan untuk mencapai
sesuatu objektif pembelajaran.
Teknik adalah satu bentuk pelaksanaan aktiviti yang direalisasikan di dalam bilik
darjah dan ia berlaku pada peringkat pelaksanaan. Biasanya, ia bertujuan untuk
membolehkan sesuatu objektif pengajaran itu dicapai dengan segera. Dalam pengajaran
dan pembelajaran bahasa, pelbagai teknik boleh digunakan. Keberkesanannya
bergantung kepada sejauh mana guru dapat memahami peranan mereka serta
merancangkan isi, memilih aktiviti, memilih bahan dan mengenal pasti alat serta contoh-
contoh yang akan digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Antara teknik-teknik yang disenaraikan sebagai cadangan dalam pengajaran dan
pembelajaran murid ialah teknik main peranan, latih tubi, bercerita, inkuiri, perbahasan,
kuiz, sumbang saran, soal jawab, simulasi, drama, perbincangan, forum, dialog,
permainan bahasa, menyanyi, perbualan telefon, penyelesaian masalah, tunjuk cara,
penyampaian berita, penyampaian laporan, bersyarah, berpuisi dan bermesyuarat.

4.1 Teknik Simulasi


Teknik simulasi ditakrifkan sebagai suatu situasi yang diwujudkan hampir
menyerupai keadaan sebenar yang memerlukan pelajar berinteraksi sesama sendiri
berdasarkan peranan masing-masing bagi membuat keputusan menyelesaikan
masalah, isu atau tugasan.
Melalui teknik ini, murid-murid dapat menggunakan kemahiran belajar seperti
mengumpul maklumat, menjalankan temuramah dengan individu tertentu, mencatat isi-
isi penting dan sebagainya. Semasa dalam proses ini, murid-murid digalakkan untuk
memberi pendapat, cadangan, membuat keputusan dan menyelesaikan masalah
berdasarkan peranan yang dipertanggungjawabkan.
Guru juga akan memberi peluang kepada pelajar mengalami sendiri situasi dan
masalah yang dialami. Melalui teknik ini juga, pelbagai kemahiran dapat
digabungjalinkan dan dipertingkatkan terutamanya dalam kemahiran lisan, membaca
dan menulis. Dengan menggunakan teknik ini guru dapat melakukan pelbagai aktiviti
menarik yang menjadi sumber motivasi kepada murid-murid untuk meneruskan proses
pengajaran dan pembelajaran mereka.

4.2 Teknik Soal Jawab


Teknik soal jawab merupakan salah satu teknik yang paling lama dan paling
popular digunakan dalam bidang pendidikan di Malaysia. Pemilihan teknik ini bukan
sahaja ia mudah dilaksanakan, tetapi ia adalah bentuk yang berupaya mewujudkan
interaksi guru dengan murid secara berkesan.
Teknik ini pada kebiasaannya dilaksanakan dengan cara guru mengemukakan
soalan-soalan yang berkaitan dengan isi pelajaran kepada murid, dan murid dikehendaki
memberi tindak balas yang sewajarnya dengan memberi jawapan yang sesuai. Oleh itu,
soalan-soalan yang dikemukakan oleh guru menggalakkan murid-murid untuk berfikir di
samping dapat menguji dan menilai isi pengajaran yang diajar pada hari tersebut.
Tujuan utama teknik soal jawab ini dijalankan dalam proses pengajaran dan
pembelajaran ialah untuk mengesan pengetahuan berbahasa murid di samping
menggalakkan pelajar berfikir secara kreatif, inovatif, logik dan kritis. Ia juga berperanan
untuk mendorong pelajar menyusun dan menghuraikan bahan yang diajar.

Penyediaan soalan yang terancang dan bermutu dapat membantu menajamkan


pemikiran pelajar di samping dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih
dinamik dan berkesan. Hal ini menyebabkan minda dan pemikiran para pelajar lebih
teransang untuk mengetahui maklumat yang lebih banyak.

4.3 Teknik Sumbang Saran


Teknik ini dikenali juga sebagai percambahan fikiran atau brainstorming yang
merupakan satu sesi perbincangan yang membolehkan setiap individu atau ahli
kumpulan menyumbangkan pendapat serta idea mereka.
Teknik ini boleh di kelaskan sebagai aktiviti permainan bahasa pada peringkat
sekolah rendah dan berkembang menjadi aktiviti perbincangan yang lebih kompleks
pada peringkat sekolah menengah, universiti, dan peringkat tertinggi. Teknik ini
memastikan murid-murid dapat menjanakan idea secara bernas daripada pembelajaran
dan bukan hanya pembelajaran secara analitis.
Tujuan teknik sumbangsaran diperkenal supaya setiap topik perbincangan
perlulah sesuai dengan kebolehan dan minat murid. Apa yang dilakukan oleh guru ketika
menjalankan teknik ini haruslah ringkas dan jelas, dan semua cadangan serta idea yang
dikemukakan haruslah dicatat untuk dibincangkan dalam sesi umum. Jika aktiviti
dijalankan secara berkumpulan, maka, setiap ahli diberi peluang untuk mengemukakan
pandangan. Suasana perbincangan tidak formal hendaklah diwujudkan. Jika guru
menggunakan teknik ini semasa sesi pengajaran, guru harus menggalakkan murid
menggunakan prinsip 5W 1H iaitu What, Why, Who, Where dan How.

4.4 Teknik Drama


Seterusnya ialah teknik drama. Teknik ini sering digunakan dalam kaedah
komunikatif dan kaedah yang berasaskan pendekatan induktif iaitu kaedah terus, eklektif
dan audiolingual. Tujuan utama teknik drama adalah untuk melatih pelajar
menggunakan unsur bahasa, unsur paralinguistik iaitu yang mengandungi jeda, nada
dan intonasi dan bukan linguistik iaitu mimik muka, gerak tangan, kepala dan
sebagainya dengan berkesan dalam sesuatu interaksi bahasa atau perbuatan.
Penggunaan teknik ini dapat mendorong dan meransang murid untuk menghubungkan
perasaan dengan mata pelajaran yang dipelajarinya. Pelajar juga bebas meluahkan
sesuatu, membuat penemuan, memberi dan berkongsi sesuatu dan drama itu sendiri
berperanan sebagai ragam pembelajaran iaitu sebagai salah satu alat bantu pengajaran
dan pembelajaran. Teknik ini juga dapat menimbulkan keseronokan dan keberkesanan
pembelajaran kepada pelajar, di samping dapat menyuburkan sahsiah pelajar jika
diselitkan dengan nilai murni, akhlak serta etika dan peraturan hidup.

4.5 Teknik Main Peranan

Teknik main peranan pula bermaksud melakonkan sesuatu situasi, masalah atau
peristiwa yang dianggap penting. Dalam teknik ini murid-murid diberi peranan dan
bertindak sebagai watak-watak yang ditentukan dalam satu situasi yang disediakan.
Main peranan ialah dramatisasi yang tiada kaitan atau penghafalan skrip, yang mana
pelakon-pelakon cuba menyelesaikan atau menjelaskan situasi kepada pelajar-pelajar
lain supaya mempraktikkan kepada diri mereka berdasarkan peranan yang dimainkan
secara spontan. Proses ini biasanya dimulakan dengan pemikiran masalah yang sesuai.
Masalah ini dikemukakan kepada murid dengan cara membacakannya atau
memperlihatkannya melalui filem, televisyen, mendengar rakaman dan bahan bantu
mengajar yang lain.

4.6 Teknik Inkuiri

Teknik ini dikenali sebagai teknik tinjau siasat. Ia merangkumi aspek-aspek soal
selidik untuk mendapatkan jawapan atau kesimpulan yang berorientasikan masalah.
Biasanya teknik seperti ini dapat menimbulkan daya refleksi dalam kalangan pelajar.
Teknik ini juga merupakan satu kaedah pengajaran bahasa yang dinamik untuk
menimbulkan minat dan daya kreativiti dalam kalangan pelajar kerana pelajar sering
mengemukakan soalan bagaimana. Oleh itu, ia dapat melatih pelajar mengemukakan
pelbagai soalan. Ciri-ciri lain yang terdapat dalam teknik ini juga termasuklah memberi
latihan yang sebenar dalam proses kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis. Teknik ini
juga menunjukkan kaedah pengendalian teknik inkuiri iaitu dengan cara memproses
mengenali masalah, mengkaji ramalan, mengumpul maklumat, menganalisis, dan
membuat rumusan.

4.7 Teknik Perbincangan


Teknik perbincangan boleh didefinisikan sebagai satu aktiviti mengeluar dan
mengulas pendapat tentang sesuatu tajuk. Tujuannya untuk melatih pelajar
mengeluarkan fikiran dan pendapat dengan bernas, mengikut Kementerian Pendidikan
1990:85. Teknik perbincangan juga adalah satu aktiviti pengajaran dan pembelajaran
berbentuk perbualan dan ia dilakukan dalam kalangan pelajar di bawah penyeliaan dan
kawalan seorang guru.
Teknik ini melibatkan aktiviti perbincangan antara pelajar secara bekerjasama
dalam mengeluarkan pandangan masing-masing mengenai sesuatu perkara atau topik
yang diberi. Misalnya bermesyuarat, forum, seminar, bengkel, bahas dan debat. Dalam
perbincangan ini akan memberi peluang dan ruang bagi mereka untuk bercakap
terutama dalam aktiviti separa formal. Latihan sebegini bukan sahaja sekadar
mempertajam minda, malah dapat melatih kepetahan pelajar untuk bercakap dan
mengeluarkan pendapat. Oleh itu, peranan guru akan berubah-ubah kerana aktiviti ini
dikendalikan oleh pelajar sendiri.

4.8 Teknik Forum


Teknik forum merupakan satu sesi perbincangan yang melibatkan beberapa ahli
panel untuk mencanai fikiran dan mengemukan pendapat tentang sesuatu tajuk, yang
mana ia dijalankan secara formal. Teknik berforum merupakan salah satu aktiviti lisan
yang sesuai, yang mana pelajar akan berkongsi pengetahuan dan pengalaman secara
langsung untuk meningkatkan kemahiran menyampaikan idea dan fikiran dengan jelas,
objektif, kreatif dan rasional. Untuk menjayakan aktiviti ini, tajuk forum yang dipilih
haruslah mudah, menarik dan mencabar selaras dengan kemahiran, pencapaian serta
peringkat umur pelajar. Namun, persediaan yang rapi perlu dibuat sama ada sebelum,
semasa dan selepas aktiviti.

4.9 Teknik Perbahasan


Bahas ialah pengucapan sama ada menyokong atau membangkang sesuatu
pendirian dengan alasan yang logik dan idea yang tersusun. Teknik perbahasan ini
sesuai diajar untuk semua peringkat pelajar di sekolah menengah. Antara manfaat
teknik ini ialah memperkembangkan kecekapan berkomunikasi dengan berkesan,
melatih berfikir dengan pantas dan melahirkan buah fikiran dengan tepat dan teratur,
menguasai kemahiran berbahasa dengan menggunakan struktur ayat yang betul dan
laras bahasa yang sesuai.
Selain itu, pelajar juga dapat mengemukakan hujah secara rasional, kritis dan
kreatif, melatih kemahiran mendengar, menaakul, berhujah dan membidas. Guru perlu
mengambil inisiatif sendiri untuk memupuk kebolehan berbahas di kalangan pelajar.
Perkembangan kebolehan berbahas dengan sendirinya akan membawa kepada
perkembangan kemahiran berbahasa, perkembangan mental yang positif, peningkatan
ilmu dan pemupukan sifat-sifat kepimpinan.

4.10 Teknik Kuiz


Teknik kuiz ini diperkenalkan pada tahun 1940 di England melalui Perbadanan
Penyiaran British (B.B.C). Aktiviti kuiz bermula di negara ini setelah dimasukkan dalam
masa pembelajaran Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah Inggeris dan diikuti di sekolah-
sekolah Melayu.
Tujuannya ialah untuk mengukuhkan pengajaran dan memantapkan pemahaman
pelajar mengenai topik-topik tertentu. Pelajar juga dapat mengulangkaji sambil
bergembira, melupakan permasalahan mereka dengan mengemukakan soalan-soalan
secara teka-teki. Pelajar juga dapat belajar kaedah cara berfikir yang baharu.
Selain itu, ia membantu pelajar memahami sistem Bahasa Melayu terutama dari
segi bentuk, makna dan penggunaan bahasa yang tepat. Terdapat 2 bentuk pengajaran
dan pembelajaran bahasa melalui teknik ini iaitu ia dijalankan secara spontan pada
peringkat permulaan, perkembangan dan penutup. Ini bermakna kuiz dapat dijadikan
sebagai aktiviti rangsangan, pengayaan, pemulihan dan pengukuhan. Kuiz juga sebagai
aktiviti pertandingan meliputi pertandingan antara pelajar.

Anda mungkin juga menyukai