Location via proxy:   [ UP ]  
[Report a bug]   [Manage cookies]                

Laporan Bulan Kemerdekaan

Unduh sebagai doc, pdf, atau txt
Unduh sebagai doc, pdf, atau txt
Anda di halaman 1dari 2

Laporan Bulan Kemerdekaan

Sekolah anda telah mengadakan aktiviti Sepanjang Bulan Kemerdekaan bagi melahirkan
semangat cinta akan tanah air kepada para pelajar. Sehubungan dengan itu, anda
ditugaskan untuk menyediakan satu laporan lengkap tentang Sambutan Bulan
Kemerdekaan yang telah dianjurkan untuk dimuatkan dalam ruangan majalah sekolah. Tulis
laporan itu selengkapnya.

Laporan Bulan Kemerdekaan


Sekolah Menengah Satria Perdana, Sungkai, Perak
Sepanjang bulan Ogos 2017, Sekolah Menengah Kebangsaan Satria Perdana,
Sungkai, telah mengadakan Sambutan Bulan Kemerdekaan. Program tersebut diadakan
bertujuan mencetus dan menanamkan semangat cinta akan tanah air dalam kalangan
pelajar. Hal ini ditegaskan oleh Tuan Haji Nasri Abidin, Pengetua Kanan Sekolah Menengah
Satria Perdana, Sungkai, ketika merasmikan majlis yang bersejarah itu pada 10 Ogos 2017
di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Satria Perdana, Sungkai. Tuan pengetua juga
mengharapkan aktiviti yang dijalankan dapat meningkatkan jati diri, menanamkan rasa
keinsafan dan perasaan bersyukur dalam kalangan pelajar. Mereka sewajarnya menghargai
pengorbanan para pejuang tanah air yang berjuang dengan serba kekurangan, tanpa
senjata moden, tanpa alat komunikasi canggih dan tanpa kekayaan harta benda. Mereka
hanya memiliki tulang empat kerat untuk menggalas perjuangan bak kata pepatah tiada
rotan, akar pun berguna.
Upacara perasmian, Sambutan Bulan Kemerdekaan Sekolah Menengah Satria
Perdana, Sungkai, dimulakan dengan menaikkan Jalur Gemilang. Apabila tirai pentas
dibuka, kumpulan koir Bulan Kemerdekaan Sekolah Menengah Satria Perdana, Sungkai,
telah bersedia untuk menyanyikan lagu "Bahtera Merdeka" dan "Tanggal 31". Mereka
menyanyi dengan penuh semangat. Setelah tamat persembahan koir, pementasan drama
patriotik yang bertajuk "Peristiwa Bukit Kepong" nukilan Puan Hasliza Manap seorang guru
Sejarah sekolah ini telah dipentaskan. Drama ini mengisahkan tentang serangan pengganas
komunis terhadap Balai Polis Bukit Kepong, Muar yang terkenal dalam sejarah Malaysia.
Persembahan drama yang bertemakan berpantang mati sebelum ajal begitu menyentuh jiwa
dan perasaan guru-guru dan para pelajar.
Selain itu, pihak sekolah juga menjemput seorang tokoh akademik, iaitu Dr. Amira
Azman untuk menyampaikan ceramah yang bertajuk "Perjuangan Pemimpin Menuntut
Kemerdekaan dan Implikasinya terhadap Negara". Kehadiran Dr. Amira Azman ibarat sirih
pulang ke gagang kerana beliau merupakan bekas murid sekolah ini. Dalam ceramahnya,
beliau mengupas senario perjuangan tokoh-tokoh kemerdekaan seperti Tok Janggut, Datuk
Bahaman, Mat Kilau dan Dato' Maharajalela dan sebagainya. Bagi Dr. Amira, pejuang-
pejuang kemerdekaan tersebut umpama lilin yang membakar diri untuk menerangi orang
lain. Beliau menasihatkan para pelajar supaya berusaha gigih dalam pelajaran demi menjadi
manusia yang berguna dan menguasai ilmu pengetahuan bagi mengisi kemerdekaan
negara. Beliau juga menasihatkan para pelajar supaya tidak menjadi seperti kacang lupakan
kulit.
Pada 12 Ogos 2017, Pertandingan Deklamasi Sajak Patriotik telah mengisi atur cara
sambutan. Pertandingan tersebut melibatkan pelajar-pelajar Tingkatan 5. Peserta yang
mengambil bahagian ternyata amat bersemangat sewaktu mendeklamasikan sajak mereka.
Bakat peserta yang mengambil bahagian tidak kurang hebatnya. Mereka telah menyampai-
kan sajak dengan pelbagai gaya dan kreativiti. Pelajar-pelajar yang tidak mengambil
bahagian dalam pertandingan deklamasi sajak diminta menyiapkan biografi tentang tokoh--
tokoh kemerdekaan. Mereka dimestikan mendapat maklumat tentang tokoh-tokoh tersebut
dengan melayari Internet. Biografi yang telah dihasilkan oleh para pelajar akan dipertanding-
kan. Keputusan pertandingan akan diumumkan pada Majlis Penutupan Sambutan Bulan
Kemerdekaan Peringkat Sekolah.
Pihak sekolah juga pada 15 dan 16 Ogos 2017 telah menganjurkan lawatan sambil
belajar ke tempat-tempat bersejarah di Muar, Johor. Antara tempat yang dilawati ialah Balai
Polis Bukit Kepong, Makam Sultan Alauddin Riayat Syah di Kampung Raja Pagoh dan
Hutan Lipur Gunung Ledang. Lawatan ini bertujuan mendedahkan para pelajar untuk
melihat kesan dan bukti sejarah yang terdapat di kawasan sendiri. Balai Polis Bukit Kepong
merupakan sebuah balai polis yang pernah melalui detik hitam dalam sejarah negara, iaitu
peristiwa pertempuran pasukan polis dengan pengganas komunis. Manakala Makam Sultan
Alauddin Riayat Syah merupakan makam salah seorang sultan dalam Kesultanan Melayu
Melaka. Gunung Ledang pula merupakan satu tempat yang mempunyai kaitan yang rapat
dengan sejarah Kesultanan Melayu Melaka apabila Sultan Mahmud ingin memperisterikan
Puteri Gunung Ledang pada suatu ketika dahulu.
Sebagai acara kemuncak, pada 30 Ogos 2017, telah diadakan Majlis Perarakan dan
Mengibarkan Jalur Gemilang Peringkat Sekolah. Majlis yang dimulai pada pukul 8.00 pagi
itu mendapat sambutan di luar dugaan daripada kalangan warga sekolah dan Persatuan Ibu
Bapa dan Guru. Setiap individu yang terlibat diberi Jalur Gemilang bersaiz kecil untuk
dikibarkan semasa perarakan. Para pelajar membawa sepanduk yang ditulis dengan kata-
kata semangat seperti "Cintai dan Sayangi Malaysia", dan "Malaysia, Di sini Lahirnya
Sebuah Cinta" mengikut kreativiti pelajar. Majlis perarakan sejauh 2.5 kilometer itu bermula
dari dataran perhimpunan dan berakhir di tempat yang sama. Setelah tamat acara
perarakan, program pada pagi tersebut diteruskan dengan ucapan penutupan program oleh
Tuan Haji Nasri Abidin, Pengetua Kanan Sekolah Menengah Satria Perdana, Sungkai.
Dalam ucapannya beliau menyatakan perasaan gembira dan amat berpuas hati dengan
perjalanan Sambutan Bulan Kemerdekaan pada kali ini. Beliau mengucapkan terima kasih
dan tahniah kepada semua pihak yang terlibat bagi menjayakan majlis yang amat bermakna
terutama kepada para pelajar. Selepas itu, Tuan Pengetua menyampaikan hadiah kepada
para pemenang Pertandingan Deklamasi Sajak dan Pertandingan Menulis Biografi Tokoh
Kemerdekaan. Majlis yang penuh warna-warni dan bersejarah itu melabuhkan tirainya tepat
pukul 11.30 pagi dengan nyanyian lagu "Negaraku".

Laporan disediakan, 10 SEPTEMBER 2017

( ALI)
Tingkatan 5 SC1,
Sekolah Menengah Satria Perdana, Sungkai.

Anda mungkin juga menyukai