Abdullah Ayub
Abdullah Ayub | |
---|---|
Ketua Setiausaha Negara ke-6 | |
Dalam jawatan 1 Januari 1979 – 30 November 1982 | |
Didahului oleh | Tun Abdullah Mohd Salleh |
Digantikan oleh | Tan Sri Hashim Aman |
Ketua Setiausaha Perbendaharaan Malaysia | |
Dalam jawatan 1976–1978 | |
Didahului oleh | Tun Abdullah Mohd Salleh |
Digantikan oleh | Tan Sri Thong Yaw Hong |
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia | |
Dalam jawatan 1972–1974 | |
Didahului oleh | Tun Syed Zahiruddin Syed Hassan |
Digantikan oleh | Tun Abdullah Mohd Salleh |
Maklumat peribadi | |
Lahir | 3 Januari 1927 Pasir Panjang Laut, Sitiawan, Perak |
Mati | 13 Disember 2018 Kuala Lumpur, Malaysia | (umur 91)
Tempat semadi | Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara |
Pasangan | Toh Puan Puteh Rafeah Arifin (m. 2001) Toh Puan Anna Abdul Ranee |
Tun Abdullah bin Ayub (3 Januari 1927 – 13 Disember 2018) merupakan bekas Ketua Setiausaha Negara Malaysia ke-6 (1 Januari 1979 – 30 November 1982).[1]
Kehidupan awal
[sunting | sunting sumber]Tun Abdullah Ayub telah dilahirkan pada 3 Januari 1927 di Pasir Panjang Laut, Sitiawan, Perak. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Pasir Panjang Laut dan di Anglo-Chinese School, Sitiawan, sebelum meneruskan persekolahan beliau di Sekolah King Edward VII di Taiping, Perak. Berkat dari ketekunan dan ketabahan beliau dalam pelajaran, Tun Abdullah telah mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan Cambridge School Certificate dan berjaya meneruskan pengajiannya ke Raffles College, Universiti Malaya, Singapura. Beliau lulus Ijazah B.A (Hons) dalam tahun 1953 dan telah dianugerahkan "Queen's Scholarship" kerana pencapaian yang amat cemerlang.[2][3]
Kerjaya
[sunting | sunting sumber]Kerjaya Tun Abdullah dalam pentadbiran bermula apabila beliau diterima masuk sebagai Pegawai Pelatih (Probationer Officer) Malayan Civil Service (M.C.S) pada 5 Januari 1954 dan ditempatkan sebagai Penolong Pesuruhjaya Buruh di Pejabat Buruh Selangor.
Selepas lulus Pengajian Bahasa Cina, Tun Abdullah telah ditempatkan di Pejabat Ketua Menteri dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri sebagai Setiausaha Sulit kepada Y.T.M. Tunku Abdul Rahman Putra mulai Ogos 1956. Beliau telah ditukarkan pula ke Kementerian Dalam dan Keadilan untuk membantu menyediakan persiapan perayaan Hari Merdeka dan Pertabalan Yang di-Pertua Agong yang pertama pada 31 Ogos 1957. Tun Abdullah kemudian telah dihantar untuk mengikuti Kursus Pentadbiran Awam di Universiti Cambridge, England selama setahun dari tahun 1958 hingga 1959.
Sekembalinya Tun Abdullah dari England, beliau telah ditugaskan di Kementerian Buruh dan Kebajikan Masyarakat sebagai Ketua Penolong Setiausaha dan selepas itu ke Jabatan Perdana Menteri Malaysia dan akhirnya ditukarkan ke Perbendaharaan di awal tahun 1961. Tun Abdullah mempunyai kerjaya yang lama di Perbendaharaan iaitu hampir 15 tahun (1961–1972, 1976–1978). Dalam tempoh itu, beliau telah memegang beberapa jawatan penting dalam kementerian dan telah dinaikkan pangkat daripada Tingkatan Tertinggi H hingga Turus A. Beliau telah menjadi Ahli Jawatankuasa Perancangan Pembangunan Negara (N.D.P.C.) selama beberapa lama dan kemudian menyandang jawatan pengerusinya.
Kecemerlangan yang ditunjukkan oleh Tun Abdullah semasa menjalankan tugas telah membawa beliau ke jawatan-jawatan yang lebih tinggi dan penting kepada negara Malaysia. Hal ini terbukti apabila beliau dilantik sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam pada 1 Julai 1972. Selain itu, beliau juga berkhidmat di Kementerian Kewangan sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan daripada Ogos 1976 hingga November 1978. Beliau juga telah dilantik sebagai Pengerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.
Kecemerlangannya sebagai seorang pentadbir mencapai kemuncaknya apabila Tun Abdullah dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara untuk mengetuai Perkhidmatan Awam di negara ini pada 1 Januari 1979. Dalam pada itu, beliau telah dilantik untuk menjadi Pengerusi Lembaga Letrik Negara. Sebaik sahaja bersara daripada Perkhidmatan Awam pada 30 November 1982, Tun Abdullah terus dilantik sebagai Pengerusi Tribunal Perkhidmatan Awam.
Anugerah
[sunting | sunting sumber]Jasa-jasa beliau dihargai dengan anugerah-anugerah darjah SPCM, SPMJ, DPMT, DPSK, PGDK yang diterima daripada beberapa buah negeri di Malaysia dan tidak ketinggalan di peringkat persekutuan dengan Anugerah-anugerah Bintang KMN, JMN dan Darjah PSM pada tahun 1974 dan Darjah PMN pada tahun 1979, yang kedua-duanya membawa gelaran Tan Sri. Pada tahun 2011, beliau telah dikurniakan Seri Setia Mahkota Malaysia (SSM) yang membawa gelaran Tun.
Meninggal dunia
[sunting | sunting sumber]Tun Abdullah Ayub meninggal dunia pada 13 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur. Beliau berusia 92 tahun.[4][5][6] Jenazah Allahyarham telah disembahyangkan di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara selepas solat zuhur dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara pada pukul 3 petang.[7][8]
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ "Mantan Ketua Setiausaha Negara". Pejabat Ketua Setiausaha Negara. Dicapai pada 28 Januari 2021.
- ^ Fatini Yaacob, (2014). Tun Abdullah Ayub, riwayat seorang pentadbir : Ketua Setiausaha Negara, 1979-1981. Anna Abdul Ranee, 1958-, Penerbit Universiti Teknologi Malaysia, (ed. 1st). Johor Bahru, Johor Darul Ta'zim, Malaysia. ISBN 978-983-52-0972-7. OCLC 891494939.CS1 maint: extra punctuation (link)
- ^ "Ucapan YAB Perdana Menteri di Majlis Perpisahan untuk Yang Berbahagia Tan Sri Abdullah Ayub, Ketua Setiausaha Negara, di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur pada 2hb Januari, 1981" (PDF). Yayasan Kepimpinan Perdana. 2 Januari 1981. Dicapai pada 28 Januari 2021.
- ^ "Tun Abdullah Ayub meninggal dunia". Berita Harian. 13 Disember 2018. Dicapai pada 28 Januari 2021.
- ^ "Bekas KSN Abdullah Ayub meninggal dunia". Sinar Harian. 13 Disember 2018. Dicapai pada 28 Januari 2021.
- ^ "Former KSN Abdullah Ayub passes away". New Straits Times (dalam bahasa Inggeris). 13 Disember 2018. Dicapai pada 28 Januari 2021.
- ^ "Jenazah Tun Abdullah Ayub selamat dikebumikan". Sinar Harian. 13 Disember 2018. Dicapai pada 28 Januari 2021.
- ^ "Former chief secretary to govt Abdullah Ayub buried". Malay Mail (dalam bahasa Inggeris). 13 Disember 2018. Dicapai pada 28 Januari 2021.
Penyandang Terdahulu | Ketua Setiausaha Perbendaharaan Malaysia 1976 – 1978 |
Penyandang Kemudian |
Y. B. M. Raja Tun Mohar Raja Badiozaman | Y. Bhg. Tan Sri Datuk Seri Utama Thong Yaw Hong |
- Penerima Seri Setia Mahkota
- Kelahiran 1927
- Kematian 2018
- Ketua Setiausaha Perbendaharaan Malaysia
- Orang dari Perak
- Ketua Setiausaha Negara Malaysia
- Penerima Panglima Mangku Negara
- Penerima Darjah Dato’ Sri Paduka Mahkota Johor
- Penerima Darjah Dato’ Paduka Mahkota Johor
- Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia
- Penerima Darjah Seri Paduka Cura Si Manja Kini