Location via proxy:   [ UP ]  
[Report a bug]   [Manage cookies]                
Pergi ke kandungan

Bandar Kluang

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Kluang
Pusat bandar Kluang
Pusat bandar Kluang
Cogan kata: Kluang Maju Sejahtera, Bandar Berdaya Huni
Kluang yang terletak di Semenanjung Malaysia
Kluang
Kluang
Koordinat: 2°2′1″N 103°19′10″E / 2.03361°N 103.31944°E / 2.03361; 103.31944Koordinat: 2°2′1″N 103°19′10″E / 2.03361°N 103.31944°E / 2.03361; 103.31944
Negara Malaysia
Negeri Johor
Daerah Kluang
Penubuhan1915
Diberi status perbandaran8 Mei 2001
Pentadbiran
 • JenisKerajaan tempatan
 • BadanMajlis Perbandaran Kluang
 • PresidenAzurawati Binti Wahid
Keluasan
 • District2,852 km2 (1,101 batu persegi)
 • Bandar
126.57 km2 (48.87 batu persegi)
Penduduk
 (2022)
 • District323,762
 • Kepadatan113.5/km2 (294/batu persegi)
 • Bandar
204,964
 • Luar bandar
19,340
Zon waktuUTC+8 (Waktu Piawai Malaysia)
 • Musim panas (DST)UTC+8 (Tidak dicerap)
Poskod
86000
Kod panggilan+6-07
Pendaftaran kenderaanJ
Laman sesawangwww.mpkluang.gov.my
Majlis Perbandaran Kluang
Jenis
Jenis
Sejarah
Diasaskan8 Mei 2001
Kepimpinan
Presiden
Azurawati Binti Wahid
Setiausaha
Mohamad Yazid Baharudin[1]
Moto
Maju Sejahtera

Bandar Berdaya Huni
Tempat persidangan
Wisma Majlis Perbandaran Kluang, Jalan Kota Tinggi, 86000 Kluang, Johor
www.mpkluang.gov.my
sunting
Lihat pendokumenan templat ini
Lihat pendokumenan templat ini

Kluang (Jawi: كلواڠ) merupakan nama sebuah bandar yang terletak di Daerah Kluang, Johor, Malaysia. Bandar rel ini terletak 105 km di utara Johor Bahru, tenggara Batu Pahat, barat Mersing dan selatan Segamat. Bilangan penduduk daerah Kluang kini melebihi 350,000 orang dan kawasan bandar itu sendiri mempunyai 200,000 penduduk. Kluang merupakan bandar ketiga terbesar dalam negeri Johor, dan merupakan pusat perniagaan dan komersial utama di tengah Johor.

Asal-usul nama

[sunting | sunting sumber]
Seekor keluang

Nama Kluang berasal daripada perkataan Melayu 'keluang', yang bermaksud sejenis kelawar besar ataupun kelawar buah. Haiwan-haiwan sebegini pernah wujud dalam bilangan yang banyak di daerah Kluang beberapa dekad yang lalu; tetapi kini hampir tiada lagi disebabkan aktiviti pemburuan dan pemusnahan habitat semulajadinya.

Latar belakang

[sunting | sunting sumber]
Majlis Perbandaran Kluang

Asal-usul pembukaan Kluang

[sunting | sunting sumber]

Orang-orang tua di Kluang bersependapat bahawa nama bandar ini terbit daripada nama sejenis mamalia yang terbang di waktu malam mencari buah-buahan, iaitu keluang (nama saintifik Pteropus vampyrus linnaeus) dianggap sebagai sejenis kelawar yang terbesar di dunia. Terdapat juga cerita yang mengisahkan begitu banyak sekali jumlah binatang yang menyerang kebun buah-buahan sehingga terpaksa dipanggil dukun bagi menghalau mereka, tetapi cerita ini tidak dapat disahkan oleh orang-orang lama di sini. Yang jelas sebuah perkampungan bernama Kampung Kluang telah wujud sebelum tahun 1910 berdekatan bandar Kluang ini. Kehadiran kelawar-kelawar besar ini mungkin disebabkan oleh penebangan hutan di tengah-tengah Johor bagi tujuan membina jalan kereta api dan juga penempatan di Kluang.

Menurut Datuk Haji Mohd Said, seorang tokoh penulisan Johor yang terkenal, Kluang mendapat namanya daripada Sungai Kluang, tetapi pada hakikatnya tidak ramai orang yang tahu adanya sungai ini di Kluang. Sungai Melantai kadang-kala dipanggil sedemikian keranan melintasi Kluang Kampung. Dalam peta topo moden tercatat nama Sungai Kluang pada sebuah cawangan Sungai Mengkibol yang berpunca dari kaki bukit Gunung Lambak.

Orang Jakun ataupun biasa dipanggil orang Ulu oleh orang Melayu Endau merupakan penghuni kawasan hutan rimba di pedalaman Johor ini. Henry Lake yang telah menjelajahi kawasan ini telah menyusuri Sungai-sungai Endau, Sembrong, Selai, Kahang dan cawangannya bersama rombongannya pada tahun 1892 dalam rangka menetapkan sempadan antara negeri Johor dengan Pahang.

Lake dan pembantunya HI Kelsal telah menemui orang Jakun bekerja dengan orang Melayu Endau dalam usaha mencari rotan terutamanya dari jenis Sentawa, kapur barus di kawasan Kahang, getah perca, damar dan hasil hutan yang lain. Hasil rotan di bawa ke Endau dan daripada situ dijual di Singapura.

Mereka juga menyatakan bahawa telah terdapat penempatan-penempatan orang Melayu ditebing sungai Sembrong-Endau dan Kahang di mana penghulunya bernama Che Ma Hassain (Encik Mat Hussain) banyak membantu Lake dan rakan-rakannya. Menurut Lake lagi , sebuah penempatan bernama Londang 75 km daripada stesen kerajaan di Kuala Sembrong didiami oleh Penghulu Che Ma Dagang bersama-sama beberapa orang Melayu. Londang terletak berhampiran bandar Kluang lebih kurang 10 km ke utaranya di pertemuan Sungai Paloh dan Sungai Melantai-Mengkibol dengan Sungai Sembrong. Kawasan di antara Londang dengan kawasan Sungai Melantai (Meletir) ialah kawasan bandar Kluang sekarang ini. Ia tidak didiami orang kecuali beberapa orang jakun yang merayau-rayau di sini. Terdapat juga sebatang lorong hutan yang menghubungi kawasan ini dengan kawasan Sembrong, Batu Pahat yang sudah pun diterokai oleh pekebun-pekebun gambir dan lada hitam Cina.

Oleh itu, pada tahun 1892 belum wujud lagi sebuah penempatan bernama Kluang jika berpandukan kepada pemerhatian Lake dan Kelsall. Lake juga menyebut bahawa 'trace' jalan kereta api Johor merentasi kawasan berpaya ini.

Penanam-penanam gambir Teochew yang telah membuka kangkar-kangkar di sungai-sungai Johor, Sungai Skudai, Sungai Sedih, Sungai Sembrong, Sungai Batu Pahat Sungai Muar dan lain-lain nmapaknya tidak berminat mendirikan kangkar di kawasan yang dibincangkan ini kerana masih diliputi hutan dan paya tropika yang tebal. Penempatan paling hampir, dibuka sebelum 1893 ialah kawasan pinggiran di Sungai Sembrong-Batu Pahat.

Di Sungai Kahang terdapat sebuah kangkar yang dipercayai didirikan kemudian daripada tahun 1893. Bagaimanapun di sekitar tapak bandar Kluang sudah terdiri penempatan-penempatan kecil didiami orang Melayu dan jakun yang berfungsi sebagai pengkalan memungut hasil hutan terutamanya rotan yang dikenali sebagai Londang dan Pengkalan Pan. Tempat terakhir di sebelah tebing kanan Sungai Sembrong, 20 km dari Kuala Kahang di mana Lake telah menemui seorang peniaga Cina dan beberapa orang Melayu.

Pembukaan Kluang berhubung rapat dengan usaha pembinaan jalan kereta api Johor. Kerajaan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (NNMB) di bawah Swettenham ketika itu bercadang menyambung sistem kereta api Negeri-negeri Melayu Bersekutu (NNMB) dengan Singapura. Menjelang penghujung abad ke-19 jalan kereta api dari Kuala Lumpur sedang dibina merentasi sempadan Johor, sementara di Singapura cadangan membina jajaran landasan ke Selat Tebrau telah diluluskan. Oleh kerana terdapat sedikit masalah tentang siapakah yang harus menguasaj jalan kereta api ini, maka pada tahun 1904 satu persefahaman kereta api diwujudkan yang melibatkan penguasaan bersama di bawah satu lembaga yang terdiri daripada pegawai-pegawai jahar dan NMB. Pada 1909 jalan kereta api Johor dibuka untuk laluan. Kdth Sinclair berpendapat bahawa pembinaan landasan ini telah membawa banyak kesan perubahan, termasuk penghijrahan tenaga buruh dari ladang-ladang getah ke kawasan pembinaan jalan kereta api kerana kadar upah yang ditawarkan oleh kontraktor-kontraktor jalan kereta api lebih tinggi daripada yang ditawarkan oleh pihak ladang.

Dengan terbinanya jalan kereta api ini, kawasan-kawasan di utara dan tengah johor mula dihujani kemasukan modal luar terutamanya dari Negeri-negeri Selat dan Britain. Harga getah yang semakin meningkat naik dan memuncak pada tahun 1910, mendorong syarikat-syarikat getah melabur dan mendapatkan konsesi tanah bagi tujuan menanam getah. Tambahan pula, stesen-stesen kereta api kecil telah didirikan sepanjang perjalanan dari utara ke selatan. ini termasuklah stesen-stesen Batu Anam, Segamat, Labis, Paloh, Chamek, Niyor, Mengkibol, Renggam, Layang-layang, Kulai, Tebrau dan terminal utamanya di Johor Bahru.

Memandangkan tanah hutan di sekitar Mengkibol sedang diusahakan bagi penanaman getah maka NMB bercadang untuk membina sebuah stesen kereta api di kawasan tersebut dalam tahun 1910. Cadangan ini dipersetujui oleh pihak Berkuasa di Johor Bahru dan dengan demikian stesen kereta api yang dinamakan Stesen Kluang siap di bina pada tahun berikutnya.

Pada tahun 1910 juga sistem pemilikan tanah telah disesuaikan dengan sistem tanah NMB apabila Enakmen Tanah Johor dikuatkuasakan sejajar dengan matlamat kerajaan Johor memodenkan jentera pentadbiran tanah dan bagi menarik pelaburan ke Johor. Kerajaan juga menawarkan sewa dan premium tanah yang rendah kepada pengusaha-pengusaha. Bagi 6 tahun yang pertama sewa tahunannya ialah 50 sen seekar selanjutnya $ 2.50 setahun dengan mendapat rebet $1.50 untuk tanah yang ditanam dengan kelapa dan pokok buah-buahan. Premium ialah $3.00 seekar sekiranya tanah menghadap jalan raya dan $2.00 sebaliknya.

Orang Melayu yang terawal memohon tanah di Kluang terdiri daripada Penghulu Dollah Ariff dengan anak buahnya daripada Kluang Kampung. Penghulu dipercayai mewakili anak buahnya yang berasal dari keturunan Inderagiri yang juga dari Endau. Semua permohonan mereka diluluskan kerana menurut pihak berkuasa mereka ini memang telah lama menetap di kawasan tersebut.. Boleh dikatakan bahawa mereka merupakan antara penghuni-penghuni yang terawal di Kluang. Keturunan mereka yang masih menetap di Kluang menyatakan bahawa kebanyakan mereka berasal dari sebuah penempatan bernama Tanjung Gemuk di Endau dan Inderagiri adalah baik dan dirapatkan lagi melalui ikatan perkahwinan.

Rekod Commissioner Of Laild And Mines (CLM) menunjukkan orang Cina adalah kumpulan yang memulakan kegiatan berkebun di sini. Mereka mendapatkan tanah di sekitar stesen Mengkibol dan Nyior tidak jauh dari Kluang. Di antara taukeh-taukeh ini ialah Goh Yew Sing, Lew Lye Sang dan Leong Fong Chew dari Singapura yang membeli tanah seluas 1,200 ekar di Nyior. Taukeh Yow Ngan Pan telah memohon tanah seluas 2,000 ekar di Mengkibol. Pada tahun berikutnya Yeo Kim Swee dari Riverside, Melaka telah mengusahakan penanaman getah dan ubi kayu di tempat yang sama.

Dalam tahun 1911 juga sebuah balai polis telah didirikan bagi mempertingkatkan perkhidmatan polis di Kluang di samping mengawal keselamatan memandangkan semakin ramai buruh-buruh yang bekerja menebang dan membersihkan hutan di Kluang bagi membina jalan antara Batu Pahat dengan Mersing. Untuk kemudahan pegawai-pegawai kerajaan dan pengusaha-pengusaha ladang getah Eropah sebuah 'Rest House' didirikan berhampiran stesen Kereta api Kluang. Orang-orang Cina pula telah mula mendirikan kedai-kedai atap dan beberapa orang Melayu telah menyewakan rumah-rumah kedai ini kepada peniaga Cina.

Pembangunan Kluang

[sunting | sunting sumber]

Bandar Kluang telah wujud seawal tahun 1910. Polisi kerajaan negeri yang menggariskan rancangan membangunkan tengah Johor dan Kluang sebagai pusat komunikasi telah menjadikan Kluang sebagai pusat pertumbuhan baru.[2] Pembukaan ladang-ladang dan pembinaan landasan keretapi mendorong lebih ramai penduduk berhijrah dan mendiami bandar Kluang.

Pada tahun 1920, dengan mempunyai 5,000 orang penduduk, Lembaga Bandaran Kluang telah ditubuhkan dengan diketuai oleh seorang Merinyu Kesihatan. Mulai tahun 1932, Pegawai Daerah Kluang menyandang jawatan Presiden Lembaga Bandaran Kluang.

Dalam tahun 1957, Lembaga Bandaran Kluang telah dinaik taraf kepada Majlis Bandaran Kluang dengan Pegawai Daerah Kluang sebagai Yang Dipertua. Lima tahun kemudian pada tahun 1962, 5 buah Majlis Tempatan telah di tubuhkan iaitu Majlis Tempatan Kampung Paya, Majlis Tempatan Kampung Gajah, Majlis Tempatan Sri Lalang, Majlis Tempatan Chamek dan Majlis Tempatan Paloh.

Dengan langkah penyusunan semula Majlis Tempatan, maka pada 1 Januari 1997 Majlis Bandaran Kluang telah disatukan dengan 5 Majlis Tempatan yang lain bagi membentuk Majlis Daerah Kluang Utara di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171). Pentadbiran Majlis Daerah Kluang Utara telah diperluaskan dengan merangkumi kawasan seluas 126.5 m persegi dengan penduduknya melebihi 65,000 orang.

Bandar Kluang terus berkembang maju di bawah pentadbiran Majlis Daerah Kluang Utara. Dengan perlaksanaan projek-projek pembangunan di bawah rancangan Malaysia Lima Tahun dan komitmen kerajaan Negeri untuk membangunkan daerah Kluang, peranan Bandar Kluang sebagai pusat pertumbuhan kawasan tengah Johor semakin nyata. Sektor-sektor ekonomi semakin berkembang dengan pesat. Selain penempatan awal penduduk yang sedia ada, taman-taman perumahan baru terus dibangunkan. Pembinaan ompleks perniagaan di Pusat Bandar Kluang, pembangunan taman-taman perumahan baru dan pembukaan kawasan perindustrian menjadi penyumbang utama kepada perkembangan Bandar Kluang. Bilangan premis kediaman, perdagangan dan perindustrian bertambah dengan pesat. Bilangan keseluruhan pegangan terus meningkat dari 20,500 dalam tahun 1988 kepada 42,455 pegangan dalam tahun 2000. Peningkatan bilangan pegangan ini terus menyumbang kepada pertambahan hasil Majlis dari RM7.72 juta dalam tahun 1988 meningkat kepada RM16.6 juta dalam tahun 2000.

Pembangunan sektor perdagangan dan perindustrian pula telah menjadikan Kluang sebagai destinasi baru pelabur tempatan dan luar negara. Lebih dari 500 buah kilang berbagai jenis yang mengeluarkan produk untuk kegunaan tempatan dan eksport memenuhi 9 buah kawasan perindustrian utama. Di antara kilang-kilang gergasi yang sedang beroperasi ialah kilang membuat jubin, kilang elektronik dan kilang membuat pakaian. Kini Kluang terkenal sebagai pengeluar jubin bermutu tinggi yang terbesar di Malaysia disamping produk elektrik dan elektronik dan pakaian berjenama antarabangsa untuk pasaran dalam negeri dan eksport.

Perkembangan sektor perumahan, industri, perdagangan dan perkhidmatan telah mewujudkan banyak peluang-peluang pekerjaan yang menjadi punca kebanjiran penduduk di Bandar Kluang. Pada tahun 2000, penduduk Kluang telah meningkat kepada 155,000 orang. Untuk memenuhi keperluan penduduk yang bertambah, penyediaan kemudahan asas terus dipertingkatkan. Selain menaik taraf jalan-jalan raya utama dan rangkaian jalan bandar, sebuah terminal pengangkutan awam berharga RM5 juta telah dibina. Dibawah program penswastaan kerajaan Negeri, sebuah stadium sukan berharga RM 24 juta telah didirikan.

Pembangunan pesat Bandar Kluang tidak dapat dibendung lagi. Penduduk Bandar Kluang terus menagih perkhidmatan yang cekap dan berkesan. Struktur pentadbiran Majlis Daerah Kluang Utara memerlukan perubahan. Sebagai langkah merintis kearah perubahan corak pengurusannya, jawatan yang Di pertua telah diisi dengan sepenuh masa oleh seorang pegawai tadbir Negeri Johor mulai 1.3.1999. Setelah memenuhi kriteria yang telah ditetapkan oleh Ketua Pengarah Kerajaan Tempatan dengan persetujuan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia maka Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri melalui ringkasan Mesyuarat Bil.86/2001 bertarikh 31 Januari 2001 telah mengambil keputusan menaik taraf Majlis Daerah Kluang Utara kepada Majlis Perbandaran yang dikenali dengan nama Majlis Perbandaran Kluang.

Pemandangan menghadap Gunung Lambak, puncak tertinggi di bandar Kluang.

Bandar Kluang terletak di tengah-tengah negeri Johor. Topografi umum kawasan sekitar Kluang adalah terdiri kawasan tanah rendah yang beralun-alun. Titik tertinggi di bandar ini ialah puncak Gunung Lambak (510 m), manakala puncak Gunung Belumut (1,010 m) pula adalah titik tertinggi bagi seluruh Daerah Kluang.

Pertanian

[sunting | sunting sumber]

Pada asalnya, Kluang berkembang sebagai suatu daerah penanaman getah. Tetapi kini, tanaman-tanaman lain seperti kelapa sawit dan nanas telah menggantikan status getah sebagai tanaman utama.

Infrastruktur dan kemudahan

[sunting | sunting sumber]
Sekolah Tinggi Kluang

Kluang memiliki sebuah hospital daerah, sebuah balai polis daerah dan sebuah balai bomba. Terdapat banyak sekolah rendah, beberapa sekolah menengah dan satu perpustakaan awam. Mengikut sumber, setakat ini terdapat 90 buah sekolah rendah dan 22 sekolah menengah di seluruh daerah Kluang. Sekolah Menengah Sains Johor, sebuah sekolah kerajaan berasrama penuh telah dibina di pinggiran Kluang pada tahun 1970-an, di sepanjang Jalan Batu Pahat. Beberapa buah sekolah menengah juga kini dalam pembinaan di sekitar daerah Kluang.

Kemudahan Sukan

[sunting | sunting sumber]

Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Kluang

Siap dibina pada akhir tahun 1996. Kos pembinaan keseluruhan RM 22 juta oleh Program Penswastaan dengan Tetuan Johbase Development Sdn. Bhd. Keluasan tapak 30 ekar (13.6 hek),mula diambilalih pada tahun 2005, sebelum ini diurus tadbir oleh Majlis Sukan Negeri.

Kemudahan luaran

  • Padang
  • Skrin papan mata
  • Lampu limpah
  • Litar trek
  • Tempat duduk penonton
  • Ruang pejabat
  • Tandas lelaki/wanita
  • Stor
  • Gerai
  • Bilik suis
  • Gelanggang tenis

Kemudahan dalaman

  • Gelanggang Sepak Takraw
  • Gelanggang Futsal
  • Gelanggang Badminton
  • Gelanggang bola keranjang
  • Gelanggang bola jaring
  • Gimnasium

Kemudahan kesihatan dan keselamatan

[sunting | sunting sumber]
Klinik Kesihatan Jalan Mengkibol

Bagi kemudahan kesihatan, Kluang mempunyai sebuah Hospital Daerah terletak di Jalan Hospital yang dilengkapi dengan 244 katil untuk kemudahan pesakit. Hospital ini mempunyai seramai 421 kakitangan dimana 17 adalah doktor dan 81 adalah jururawat. Kluang juga mempunyai beberapa buah pusat kesihatan. Kluang mempunyai sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah di Jalan Sekolah. Terdapat enam buah Balai Polis iaitu Balai Polis Kluang, Balai Polis Kahang, Balai Polis Kampong Gajah, Balai Polis Sungai Lalang, Balai Polis Layang-layang dan Balai Polis Paloh manakala Pondok-pondok Polis pula terdapat di Chamek, Niyor, Ulu Belitong, Bukit Permai dan Kluang Baru. Anggota-anggota Polis yang berkhidmat pula terdiri dari 29 orang Pegawai, 392 orang Anggota dan 13 orang Kakitangan Awam.

  1. Hospital Enche' Besar Hajjah Kalsom (Jalan Kota Tinggi)
  2. Hospital Angkatan Tentera (Jalan Hospital)
  3. Putra Specialist Hospital
  4. Kluang Utama Specialist Hospital (KPJ Health Care)
  5. BP Health Care Medical Centre

Kemudahan Perpustakaan Awam

[sunting | sunting sumber]

Pada masa kini Kluang mempunyai sebuah perpustakaan awam yang terletak di Jalan Pejabat Kerajaan. Perpustakaan awam ini dikelolakan oleh Majlis Perbandaran Kluang. Perpustakaan ini memiIiki Iebih 100, 000 koleksi buku yang terdiri daripada buku-buku rujukan, buku kanak-kanak dan bacaan umum. Perpustakaaan ini beroperasi tiap-tiap hari dari jam 8.30 pagi hingga 5.00 petang.

Kemudahan Bomba

[sunting | sunting sumber]
Balai Bomba dan Penyelamat Kluang

Kluang mempunyai sebuah balai bomba Kelas A iaitu Balai Bomba Daerah bertempat di Jalan Haji Manan dengan anggota seramai 85 orang. Ia mempunyai tapak seluas 0.4 hektar. Balai bomba tersebut memberi perkhidmatan kepada seluruh penduduk daerah Kluang dan dilengkapi dengan 2 'bay', bilik sedia dan pejabat pentadbiran. Perkhidmatan pasukan bomba sukarela juga terdapat di Paloh dan Kahang.

Kemudahan Pos

[sunting | sunting sumber]

Bersesuaian dengan peranannya selaku pusat yang menjadi tumpuan orang ramai, sebuah pejabat pos dibina di Jalan SuItanah yang menyediakan perkhidmatan pos dengan kakitangan seramai 80 orang. Ia beroperasi di atas tapak seluas 0.4 hektar. Di samping itu juga Kluang mempunyai 3 buah mini pos yang bertempat di pekan Sri Lalang, Taman Desa dan Taman Kluang Barat. Mini pos tersebut masing- masing mempunyai seorang kakitangan dan beroperasi di bangunan kedai. Terdapat juga wakil pos yang beroperasi di Pasar Borong Kampung Gajah, Batu 8, Jalan Mersing yang memberi khidmat pembayaran bil kepada penduduk sekitar dan mengumpul surat- surat dari luar untuk kegunaan sekolah berdekatan. Ia juga digunakan sebagai alamat rasmi surat menyurat untuk Kampung Orang Asli Pengkalan Tereh yang terletak kira- kira 8 kilometer dari jalan utama.

Kemudahan Internet

[sunting | sunting sumber]

Internet dapat diakses melalui langganan perkhidmatan melalui Telekom Malaysia. Telekom Malaysia menyediakan perkhidmatan Streamyx dan Unifi di Kluang.

Perkhidmatan Agensi-agensi Kerajaan

[sunting | sunting sumber]

Kemudahan untuk berurusan dengan jabatan-jabatan kerajaan sememangnya diutamakan. Lantaran itu sebuah Bangunan Gunasama Persekutuan dibina di KM 4 Jalan Batu Pahat yang menempatkan 13 agensi-agensi kerajaan yang berlainan fungsi.

Agensi-agensi kerajaan tersebut ialah Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Tenaga Rakyat, Jabatan Perindustrian dan Perusahaan, Jabatan Pembangunan Koperasi, Jabatan Hal Ehwal Orang Ash Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Bim Penerangan, Ikatan Relawan Rakyat Kluang, Jabatan Belia dan Sukan, Jabatan Perpaduan, Jabatan Perikanan, Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta dan Pejabat Pembahagi Harta Pusaka, Dengan penyatuan jabatan-­jabatan di bawah satu bumbung ini, penduduk Kluang tidak perlu lagi bersusah payah untuk berurusan dengan jabatan­-jabatan kerajaan ditempatkan beberapa jabatan-jabatan kerajaan seperti Jabatan Pertanian, RISDA, Pejabat Buruh, Jabatan Kastam, Jabatan Kerja Raya, Mahkamah dan tidak dilupakan Pejabat Pegawai Daerah Pejabat Pegawai Daerah merupakan tulang belakang kepada pembangunan dan kemajuan daerah ini, Bangunan Pejabat Daerah juga menempatkan dua agensi kerajaan yang lain iaitu Pejabat Tanah dan Pejabat Hutan.

Berbagai-bagai jabatan lain ditempatkan di jalan Pejabat Kerajaan di antaranya ialah Pejabat Daerah Kluang yang merupakan tulang belakang jentera pentadbiran dan peneraju pembangunan Daerah Kluang jabatan-­jabatan lain ialah Jabatan Pertanian, RISDA, Pejabat Buruh, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Kastam Dan Eksais Di Raja, Mahkamah dan Pejabat Hutan Daerah.

Kemudahan Pengangkutan

[sunting | sunting sumber]
Stesen Keretapi Kluang

Stesen Keretapi Kluang

  • Perkhidmatan Kereta Api Antarabandar

Semua perkhidmatan kereta api antarabandar dari selatan ke utara dan pantai timur mahupun dari pantai timur dan utara ke selatan, akan berhenti mengambil dan menurunkan penumpang di stesen keretapi Kluang.

  • Senarai Perkhidmatan KTM Antarabandar
  1. Ekspres Rakyat Timuran (JB Sentral - Kluang -Tumpat)
  2. Ekspres Selatan (JB Sentral - Kluang - Gemas)

Terminal Bas Kluang

Terminal Bas Ekspres Kluang

Jalan Bakawali, 86000, Kluang City Centre (Nearby BCB Plaza)

  • Perkhidmatan Bas Ekspres
  1. S&S International Express
  2. Mayang Sari Ekspres
  3. Super Nice Grassland Express
  4. StarMart Express
  5. KKKL Express
  6. Cepat Ekspres
  7. Satria Express
  8. Five Stars Express
  9. Konsortium E-Mutiara Ekspres
  • Perkhidmatan Teksi Bandar dan Antarabandar also depart in this terminal.

Jalan Bakawali, 86000, Kluang City Centre (Nearby BCB Plaza)

  • Perkhidmatan Bas Antarabandar
  1. Bas Muafakat Johor - Perkhidmatan bas percuma kepada penduduk Kluang
  2. Johore Motor Bus Sdn. Bhd.

Sejarah siaran radio

[sunting | sunting sumber]

Dari segi penyiaran radio di Kluang pada satu ketika dahulu, siaran Radio Malaysia tidak jelas di Kluang. Pendengar Radio di Kluang hanya dapat menerima dengan jelas siaran dari Radio Singapura yang menggunakan gelombang FM.

Sebelum tahun 1985 Kluang tidak mempunyai stesen pemancar radio RTM . Siaran hanya boleh diikuti melalui SW 5965khz dan menerima siaran AM dari Johor Bahru 576 Khz dan Batu Pahat 603 khz untuk Rangkaian Nasional. Namun demikian penerimaan gelombang-gelombang ini tidak jelas dan agak teruk pada waktu malam. Sebelum tahun 1985 ada penduduk Kluang tidak mengetahui kewujudan RTM Johor Bahru dan siarannya kerana mereka lebih gemar mendengar siaran dari Radio Singapura yang lebih jelas.

Keadaan mula berubah apabila kerajaan telah menyiapkan stesen pemancar FM dari Gunung Ledang pada pertengahan tahun 1985 yang mana siaran RTM lebih jelas. Hal ini menyebabkan para pendengar di Kluang mula meninggalkan siaran dari Singapura kerana tertarik dengan rancangan Radio Malaysia yang jarang diikuti sebelum ini. Pada hari ini Radio Media Corp Singapura tidak lagi dapat menembusi siarannya ke kawasan Johor Tengah dan Utara. Terbinanya pemancar FM Gunung Ledang Radio Malaysia terpaksa bersaing sesama sendiri khususnya RTM Melaka dengan RTM Johor Bahru.

Pada pertengahan tahun 1985 penduduk di Kluang hanya dapat menerima siaran daerah kawasan selatan Rangkaian Nasional mulai jam 3.30 petang sehingga jam 5.00 petang sahaja melalui FM Mono 93.6 Mhz kerana selepas itu siaran RTM Melaka mula ke udara sehingga jam 7.45 malam dan dihantar ke Kuala Lumpur selepas Siaran Tempatan Melaka tamat jam 7.45 malam. Keadaan menjadi agak gawat apabila Stesen AM Batu Pahat 603Khz hanya beroperasi pada waktu siaran RTM Johor Bahru ke udara dan pendengar terpaksa menukar semula ke gelombang FM untuk meneruskan siaran.

Stesen Pemancar FM gunung Ledang dibawah kendalian RTM Melaka dengan kerjasama pihak telekom. Untuk mengatasi kemerosotan pendengar RTM Johor Bahru,mulai tahun 1987 [[Siaran Rangkaian Biru] yang beroperasi FM 97.4Mhz untuk pendengar di kawasan utara Johor dan Melaka dipotong siarannya bagi memberi laluan siaran RTM Johor Bahru. Pendengar rangkaian Biru di Melaka terpaksa menukar sementara ke gelombang AM 1161 khz bagi mengikuti siaran Rangkaian Biru dalam masa pemotongan itu.

Ramai pendengar Rangkaian Biru tidak berpuas hati pemotongan ini tetapi dijelaskan hanya untuk sementara sehingga frekuensi baru untuk Johor Utara yang siarannya dari Johor Bahru siap dibina. Mulai tahun 1992 pemotongan Rangkian Biru melalui FM 97.4Mhz telah dihentikan ekoran siapnya frekuensi baru bagi siaran Radio 3 Johor Bahru (sekarang Johor FM)

Pelancongan

[sunting | sunting sumber]
UK Farm Agro Resort
Hutan Lipur Gunung Lambak
Taman Tema Air Gunung Lambak

Di Kluang juga terdapat pelbagai tempat pelancongan

  • Gunung Lambak
    • Hutan Lipur Gunung Lambak
    • Taman Tema Air Gunung Lambak
    • Gunung Lambak World Rainforest Resort
  • Gunung Belumut
  • Kluang Rail Coffee
  • Kolam Renang Taman Kluang Barat
  • Taman Rekreasi MARDI
  • Taman Rekreasi Padang Tembak
  • UK Farm Agro Resort

Bandar kembar

[sunting | sunting sumber]
  1. ^ "Directory". Dicapai pada 21 May 2023.
  2. ^ "History of Kluang". Diarkibkan daripada yang asal pada 2003-07-08. Dicapai pada 2014-11-06.

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]