Banjir lumpur Pos Dipang 1996
Tarikh | 29 Ogos 1996 |
---|---|
Masa | 6:00 petang WPM |
Lokasi | Perkampungan Penempatan Orang Asli Pos Dipang, Kampar, Perak, Malaysia |
Penyebab | Hakisan tanah akibat hujan lebat berterusan |
Kematian | 44 (termasuk 5 yang hilang) |
Banjir lumpur Pos Dipang 1996 ialah insiden banjir lumpur yang berlaku pada 29 Ogos 1996, jam 6 petang (waktu Malaysia), di Perkampungan Penempatan Orang Asli Pos Dipang, Kampar, Perak. Kejadian ini berlaku dua hari sebelum sambutan ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-39. 44 orang telah terkorban dalam kejadian ini, termasuk lima lagi yang masih hilang.[1][2][3]
Sejarah
[sunting | sunting sumber]Perkampungan itu mempunyai kira-kira 60 buah rumah yang dibina dengan bantuan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) dan didiami kira-kira 1,500 penduduk. Penempatan itu dibuka pada 1978 apabila dusun buah-buahan yang diusahakan penduduk di kawasan tersebut mengeluarkan hasil. Sebelum ini penduduk tinggal di Batu 19 Jalan Cameron Highlands, tidak jauh dari kawasan itu.[4]
Kejadian
[sunting | sunting sumber]Pada 29 Ogos 1996, sebuah tragedi banjir lumpur melanda Perkampungan Orang Asli Pos Dipang, Kampar, Perak, menyebabkan kemusnahan besar dan kehilangan nyawa. Hujan lebat yang berterusan selama lebih daripada enam jam mengakibatkan runtuhan tanah dan banjir lumpur dari kawasan bukit berhampiran, menghanyutkan rumah-rumah dan menyebabkan arus deras yang memusnahkan kampung tersebut. Kerosakan termasuk sebanyak 30 buah rumah yang musnah dan 20 buah rumah lagi yang rosak.
Operasi mencari dan menyelamat segera dilancarkan melibatkan seramai 400 anggota dari pelbagai agensi termasuk polis, bomba, Rejimen Renjer Diraja, dan Pasukan Polis Hutan. Usaha pencarian menghadapi kesukaran akibat arus deras, bekalan elektrik yang terputus, dan cuaca gelap. Mayat pertama ditemui sekitar jam 1.30 pagi pada keesokan harinya, dan operasi mencari diteruskan. Sehingga 30 Ogos 1996, sebanyak 15 mayat ditemui, manakala 27 lagi masih hilang.
Operasi pencarian diteruskan hingga 11 September 1996, mencatatkan sebanyak 39 orang terkorban, termasuk bayi berusia tujuh bulan hingga penduduk berusia 70 tahun. Lima lagi mangsa masih hilang dan gagal ditemui, manakala sebahagian daripada mayat dijumpai sejauh Sungai Kinta, Malim Nawar, kira-kira 48 kilometer dari lokasi kejadian.[4]
Punca
[sunting | sunting sumber]Tragedi banjir lumpur yang melanda telah menyebabkan kehilangan 39 nyawa. Air sungai yang sebelum ini jernih menjadi deras dan berlumpur, menyebabkan paras air melimpah hingga 1.5 meter dari tebing.
Pasukan penyiasat khas yang terdiri daripada pakar geologi dan jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengenal pasti tiga faktor utama penyebab bencana ini: iklim, topografi, dan geologi kawasan tersebut. Rekod JPS menunjukkan peningkatan drastik hujan pada Ogos 1996 dengan 461 mm berbanding tahun-tahun sebelumnya. Kawasan berbukit curam di hulu Sungai Dipang menyebabkan tanah runtuh yang seterusnya menghasilkan timbunan lumpur dan pasir, meningkatkan kuasa aliran sungai hingga menyebabkan hakisan dan pencabutan pokok besar.
Timbunan kayu dan pokok yang terkumpul membentuk empangan sementara di beberapa alur sempit sungai. Pada hari kejadian, empangan tersebut pecah akibat tekanan air hujan lebat, menghanyutkan pokok dan menghancurkan perkampungan Orang Asli itu.
Sebagai tindakan susulan, kerajaan negeri mengarahkan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) mengenal pasti penempatan Orang Asli yang berisiko terhadap bencana. Sebuah penempatan baru berukuran 1.5 hektar dengan 53 rumah dibina berhampiran lokasi asal, menjadikannya contoh penempatan yang selamat melalui kajian.[5]
Mitos di sebalik tragedi
[sunting | sunting sumber]Dewa Dipang
[sunting | sunting sumber]Selepas tragedi banjir lumpur yang melanda Pos Dipang, isu keselamatan dan penempatan Orang Asli mula mendapat perhatian daripada pelbagai pihak. Menurut kepercayaan masyarakat Orang Asli, banjir lumpur tersebut dipercayai berpunca daripada kemurkaan Dewa Dipang, yang tinggal di pergunungan berhampiran. Mereka percaya bahawa aktiviti pembalakan yang berleluasa telah mengganggu kediaman Dewa Dipang, menyebabkan kemarahannya dan seterusnya mengakibatkan banjir lumpur yang memusnahkan kampung dan mengorbankan nyawa.[6]
Mangsa
[sunting | sunting sumber]Tragedi banjir lumpur di Pos Dipang mengakibatkan kematian 44 orang, termasuk lima lagi yang dilaporkan hilang. Hampir semua mangsa adalah penduduk Orang Asli, kecuali enam orang daripada keluarga Cina yang tinggal di kawasan Bah Hon Hin, kira-kira enam kilometer dari Perkampungan Orang Asli Pos Dipang.
Dalam budaya masyhur
[sunting | sunting sumber]TV3 menerusi rancangan Detk Tragik telah menyiarkan episod mengenai tragedi ini, dengan tajuk episod.[7]
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ Md. Zain, Siti Mariam (7 Mei 2011). "Tragedi pos Dipang". Utusan Malaysia. Diarkibkan daripada yang asal pada 2017-08-13. Dicapai pada 6 Mei 2016.
- ^ Mohd Saiful Sahak (1 Julai 2019). Tragedi Pos Dipang ragut 40 nyawa Utusan Malaysia. Dicapai pada 28 Ogos 2019.
- ^ Freddie Aziz Jasbindar (28 Februari 2019). Tragedi Pos Dipang, bencana banjir lumpur di Kampar tahun 1996 Orang Perak. Dicapai pada 28 Ogos 2019.
- ^ a b Anis, Nik Mazwin Binti Nik. "Survivors recollect the Pos Dipang mudslide tragedy after 27 years". The Star (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 2024-11-13. Dicapai pada 2024-11-13.
- ^ "Laporan Siasatan Tragedi Pos Dipang" (PDF). Perdana Leadership Foundation. Diarkibkan (PDF) daripada yang asal pada 2024-11-08. Dicapai pada 2024-11-08.
- ^ AHMAD, JAMILAH; LATEH, HABIBAH (October 2014). "Landslides and Orang Asli in Malaysia" (PDF). International Review of Social Sciences. 2 (10): 437–438. Diarkibkan (PDF) daripada yang asal pada 2020-07-13.
- ^ "Detik Tragik' - Paparan Eksklusif Tragedi & Bencana Di Malaysia". Tonton Extra. 12 Mei 2015. Diarkibkan daripada yang asal pada 2016-06-02. Dicapai pada 2016-05-05.