Blemi
Blemi atau Blemmi (Jawi: بليمي ; Bahasa Yunani Kuno: Βλέμμυες atau Βλέμυες, Blémues [blé.my.es], Latin: Blemmyae) adalah suatu kaum yang tinggal di Gurun Timur yang muncul dalam catatan sejarah dari abad ke-7 SM hingga abad ke-8 TM.[1] Akhir abad ke-4, mereka menduduki Nubia Hilir dan mengasaskan sebuah kerajaan. Daripada inskripsi di kuil Isis di Filae, banyak yang dapat diketahui tentang struktur kerajaan Blemi.[2]
Blemi biasanya disamakan dengan salah satu komponen budaya kumpulan X dalam bidang arkeologi yang berkembang pesat pada Zaman Purba Lewat.[1] Penyamaan identiti mereka dengan orang Beja yang telah mendiami wilayah yang sama sejak Zaman Pertengahan umumnya diterima.[3][4]
Asal usul
[sunting | sunting sumber]Pada sekitar 1000 SM, sekumpulan orang yang dikenali sebagai kumpulan C berpindah dari Nubia Hilir (antara Aswan dan Wadi Halfa moden) ke Nubia Hulu (Lembah Nil utara dari Dongola di Sudan), di mana mereka menubuhkan kerajaan Napata sekitar 750 SM. Kerajaan ini juga memerintah Mesir untuk sementara waktu, yang dikenali sebagai Dinasti ke-25. Pada masa yang sama, kumpulan lain yang dikenali sebagai "orang kubur belanga" tinggal di kawasan itu. Mereka berkemungkinan mempunyai kaitan dengan nama Medjay yang disebut dalam catatan bertulis.[5] Tapak yang berkaitan dengan mereka telah ditemui di Khor Arba'at dan Erkowit di tengah-tengah Beja masa kini.[6] Orang-orang ini tinggal dalam komuniti kecil di Lembah Nil bersama orang Mesir dan kumpulan C, sering bekerja sebagai pengakap, pahlawan, atau pelombong.[5] Kebanyakan mereka mungkin orang batak, berpindah-randah dan menternak haiwan seperti keldai, biri-biri, dan kambing di gurun. Selepas 600 SM, dinasti Napata hilang kawalan terhadao Mesir dan Nubia Hilir menjadi kurang berpenghuni. Ini berkemungkinan disebabkan oleh ketiadaan air yang semakin teruk di wilayah itu, menyukarkan pertanian.[7] Disebabkan perubahan iklim, paras Nil telah jatuh. Sehingga abad pertama Masihi, dengan pembangunan kincir air saqiyah, barulah kawasan itu mula dibangunkan lebih banyak penempatan kekal semula.[8] Sehingga itu, ia kebanyakannya didiami oleh orang batak gurun dan dianggap tidak selamat untuk kafilah tanpa perlindungan yang kuat.[9]
Sejarah
[sunting | sunting sumber]Orang yang dipanggil dalam teks Yunani sebagai Blemi mungkin paling awal digelarkan Bwrꜣhꜣyw, dalam bahasa Mesir dalam stele pertabalan Kush untuk Raja Anlamani dari Kawa dari akhir abad ke-7 SM. Gambar Brhrm dalam petisyen dari El Hiba satu abad kemudian mungkin mencerminkan kata akar yang sama. Perkataan yang sama berulang-ulang dalam catatan Mesir dari abad-abad terkemudian dengan persamaan yang lebih ketara dengan etimon Yunani Blemmyes.[10] Dalam bahasa Qibti, Ⲃⲁⲗⲛⲉⲙⲙⲱⲟⲩⲓ, Balnemmōui, diterima secara meluas sebagai bentuk setara dengan Βλέμμυης, Blémmuēs dalam Yunani.[11]
Bahasa
[sunting | sunting sumber]Beberapa penyelidik telah mencadangkan bahawa bahasa Blemi adalah moyang bahasa Beja moden. Francis Llewellyn Griffith menganggap bahasa pada sekeping tembikar yang ditemui di Saqqara "mungkin dalam bahasa Blemmye."[12] Ahli kaji Nubia, Gerald M. Browne, dan ahli linguistik Klaus Wedekind telah cuba untuk membukti bahawa bahasa ini adalah nenek moyang bahasa Beja, dan kedua-duanya berpendapat bahawa ia adalah sebahagian daripada Mazmur 30.[13][14][15]
Ahli Mesirologi, Helmut Satzinger, telah menganalisis nama-nama Blemi dari sumber Mesir, Yunani, dan Qibti, dan juga membuat kesimpulan bahawa bahasa Blemi adalah nenek moyang bahasa Beja.[16][17]
Ahli kaji sejarah Meruwi dan pakar arkeologi Claude Rilly bersetuju:
Bahasa Blemi begitu hampir dengan bahasa Beja moden sehingga mungkin ia hanyalah dialek awal daripada bahasa yang sama. Dalam hal ini, Blemi boleh dianggap sebagai suku kaum tertentu Medjay.[18]
Budaya
[sunting | sunting sumber]Orang Blemi menduduki sebuah wilayah yang agak besar di Sudan moden. Terdapat beberapa bandar penting seperti Faras, Kalabsha, Ballana dan Aniba. Semua bandar ini mempunyai tembok dan menara yang mencampurkan unsur-unsur Mesir, Yunani, Rom dan Nubia.
Kalabsha berfungsi sebagai ibu kota negeri Blemi.[19] Budaya Blemi juga dipengaruhi oleh budaya Meruwi, dan agama mereka berpusat di kuil Kalabsha dan Filae. Bangunan-bangunan itu merupakan binaan seni yang besar, di mana dewa suria, seperti singa bernama Mandulis dipuja. Filae ialah tapak penziarahan, dengan kuil untuk Isis, Mandulis, dan Anhur. Di situ juga Maharaja Rom Augustus dan Traianus membuat banyak sumbangan dengan kuil, plaza dan karya tugu-tugu baharu.[20]
Agama
[sunting | sunting sumber]Kebanyakan maklumat yang ada tentang amalan keagamaan Blemi datang daripada inskripsi di kuil Filae dan Kalabsha, dan daripada catatan Rom dan Mesir tentang pemujaan Isis di Filae. Mandulis dipuja di Kalabsha. Kultus-kultus lain yang ada memuja dewa-dewa bernama Abene, Amati, dan Khopan.[21] Menurut sejarawan kuno Procopius, orang Blemi juga menyembah Osiris dan Priapus. Procopius juga mendakwa bahawa Blemi memberi korban manusia kepada matahari.[22]
Surat-surat daripada tapak arkeologi Gebelein dari awal abad ke-6 menunjukkan bahawa sebahagian daripada penduduk Blemi memeluk agama Kristian.[23]
Kerajaan Blemi
[sunting | sunting sumber]Inskripsi Blemi dalam bahasa Yunani dan catatan orang Yunani dan Rom mengatakan orang Blemi mempunyai βασιλισκοι dan βασιλῆς, yang istilahnya sering digunakan untuk merujuk kepada raja. Oleh sebab itu, orang Blemi dikatakan pernah mempunyai sebuah kerajaan. Beberapa ahli sejarah lain berasa skeptikal: László Török menulis, "istilah itu tidak boleh ditafsirkan dengan sempit, tidak yakin bahawa pernah wujud sebuah kerajaan orang Blemi sepusat; kemungkinan besar terdapat beberapa 'negeri' suku puak yang berkembang menjadi semacam kesatuan berhierarki"[24]
Catatan Blemi menyebutkan pelbagai pegawai diraja yang seolah-olah disusun dalam satu hierarki. Di bawah raja-raja adalah golongan pembesar, penghulu suku-suku. Pegawai lain termasuk penghulu rendah, pegawai istana, dan jurutulis. Raja-raja Blemi mempunyai kuasa untuk mengenakan cukai dan memberikan pengecualian serta kuasa ke atas wilayah itu.
Dari catatan sejarah, raja-raja Blemi berikut diketahui:[25]
- Tamal (awal abad ke-4 atau ke-5)
- Isemne
- Degou
- Phonen (sekitar tahun 450)
- Pokatimne
- Kharakhen
- Barakhia
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ a b Vassilios Christides (1980), "Ethnic Movements in Southern Egypt and Northern Sudan: Blemmyes-Beja in Late Antique and Early Arab Egypt until 707 A. D.", Listy filologické, 103 (3): 129–143, JSTOR 23464092. Ralat petik: Tag
<ref>
tidak sah, nama "VC" digunakan secara berulang dengan kandungan yang berbeza - ^ Derek Welsby (2002), The Medieval Kingdoms of Nubia: Pagans, Christians and Muslims Along the Middle Nile, British Museum, pp. 16–17.
- ^ Jitse H.F. Dijkstra (2013), Blemmyes, Wiley, m/s. 1145–1146.
- ^ Jitse H.F. Dijkstra (2018), Blemmyes, 1, Oxford University Press, m/s. 253.
- ^ a b Bietak 1986: 17 f
- ^ Arkell 1955: 78
- ^ Bietak 1986: 18-19
- ^ Carlsson and Van Gerven 1979: 55
- ^ DAHL, GUDRUN (2006). "Precolonial Beja: A Periphery at the Crossroads" (PDF). njas.helsinki. Diarkibkan (PDF) daripada yang asal pada 2007-06-10.
- ^ Barnard, Hans (2005). "Sire, il n'y a pas de Blemmyes: A Re-Evaluation of Historical and Archaeological Data". Dalam Starkey, Janet (penyunting). People of the Red Sea: Proceedings of Red Sea Project II Held in the British Museum October 2004. Oxford: Oxford University Press. m/s. 23–40. ISBN 1-84171-833-5.
- ^ Eide, Tormod; Hägg, Tomas; Pierce, Richard Holton; Török, László, penyunting (1998). Fontes Historiae Nubiorum, Vol. III: From the First to the Sixth Century AD. Bergen: Institutt for klassisk filologi, russisk og religionsvitenskap, Seksjon for gresk, latin og egyptologi, Universitetet i Bergen. m/s. 1108. ISBN 82-91626-07-3.
- ^ Quibell, J.E. (1909). Excavations at Saqqara (1907–1908). Cairo: L'Institut Français d'Archéologie Orientale. m/s. 109.
- ^ Browne, Gerald (2003). Textus Blemmyicus aetatis christianae. Champaign.
- ^ Browne, Gerald (March 2004). "Blemmyes and Beja". The Classical Review. 54 (1): 226–228. doi:10.1093/cr/54.1.226.
- ^ Wedekind, Klaus (2010). "More on the Ostracon of Browne's Textus Blemmyicus". Annali: Dipartimento Asia, Africa e Mediterraneo, Sezione Orientale. 70: 73–81.
- ^ Satzinger, Helmut (1992). "Die Personennamen von Blemmyern in koptischen und griechischen Texten: orthographische und phonetische Analyse". Dalam Ebermann, E.; Sommerauer, E.R.; Thomanek, K.E. (penyunting). Komparative Afrikanistik. Sprach-, geschichts- und literaturwissenschaftliche Aufsätze zu Ehren von Hans G. Mukarovsky anlässlich seines 70. Geburtstags. Vienna: Afro-Pub. m/s. 313–324. ISBN 3850430618.
- ^ Satzinger, Helmut (2012). "The Barbarian Names on the Ostraca from the Eastern Desert (3rd Century CE)". 'Inside and Out: Interactions between Rome and the Peoples on the Arabian and Egyptian Frontiers in Late Antiquity (200–800 CE). Ottawa.
- ^ Rilly, Claude (2019). "Languages of Ancient Nubia". Dalam Raue, Dietrich (penyunting). Handbook of Ancient Nubia. Berlin: De Gruyter. m/s. 133–134. ISBN 978-3-11-041669-5.
- ^ Engstrom, Barbie (1984). Egypt and a Nile Cruise (dalam bahasa Inggeris). Kurios Press. ISBN 978-0-916588-05-2.
- ^ Regula, DeTraci, 1960- (1995). The mysteries of Isis: her worship and magick (ed. 1st). St. Paul, Minn.: Llewellyn. ISBN 1-56718-560-6. OCLC 33079651.CS1 maint: multiple names: authors list (link)
- ^ Eide, Tormod; Hägg, Tomas; Pierce, Richard Holton; Török, László, penyunting (1998). Fontes Historiae Nubiorum: Textual Sources for the History of the Middle Nile Region between the Eighth Century BC and the Sixth Century AD, vol. III: From the First to the Sixth Century AD. Bergen: University of Bergen. m/s. 1132–1138. ISBN 82-91626-07-3.
- ^ Eide, Tormod; Hägg, Tomas; Pierce, Richard Holton; Török, László, penyunting (1998). Fontes Historiae Nubiorum: Textual Sources for the History of the Middle Nile Region between the Eighth Century BC and the Sixth Century AD, vol. III: From the First to the Sixth Century AD. Bergen: University of Bergen. m/s. 1191. ISBN 82-91626-07-3.
- ^ Eide, Tormod; Hägg, Tomas; Pierce, Richard Holton; Török, László, penyunting (1998). Fontes Historiae Nubiorum: Textual Sources for the History of the Middle Nile Region between the Eighth Century BC and the Sixth Century AD, vol. III: From the First to the Sixth Century AD. Bergen: University of Bergen. m/s. 1196–1216. ISBN 82-91626-07-3.
- ^ Eide, Tormod; Hägg, Tomas; Pierce, Richard Holton; Török, László, penyunting (1998). Fontes Historiae Nubiorum: Textual Sources for the History of the Middle Nile Region between the Eighth Century BC and the Sixth Century AD, vol. III: From the First to the Sixth Century AD. Bergen: University of Bergen. m/s. 1087. ISBN 82-91626-07-3.
- ^ Eide, Tormod; Hägg, Tomas; Pierce, Richard Holton; Török, László, penyunting (1998). Fontes Historiae Nubiorum: Textual Sources for the History of the Middle Nile Region between the Eighth Century BC and the Sixth Century AD, vol. III: From the First to the Sixth Century AD. Bergen: University of Bergen. m/s. 1131, 1198. ISBN 82-91626-07-3.