Het
Empayar Het Name: URUHa-at-ti ("Tanah Hatti") | |
---|---|
s. 1600 SM–s. 1180 SM | |
Cakera matahari Het, simbol kerabat diraja. | |
Ibu negara | Hattusa dan bagi satu tempoh singkat, Tarhuntasya |
Bahasa yang umum digunakan | Het, Luwia, Palai, Hurria, Asyur dan bahasa-bahasa Anatolia lain. |
Agama | Politeisme, dewa-dewa Anatolia. |
Demonim | Orang Het |
Kerajaan | Autokrasi |
Lugal | |
• s. 1586–1556 SM | Hattusili I |
• 1556–1526 SM | Mursili I |
• awal kurun ke-14 SM | Tudhaliya I |
• sekitar 1350–1322 | Suppiluliuma I |
• sekitar 1321–1295 | Mursili II |
• sekitar 1295–1272 | Muwattalli II |
Era Sejarah | Zaman Gangsa Akhir |
• Labarna I menakluk Hatti | s. 1600 SM |
• Serangan oleh bangsa laut dan kerajaan sekitar membawa penamat kepada Hatti | s. 1180 SM |
Empayar Het atau empayar Nesya ialah orang Anatolia purba yang pernah mengasaskan sebuah kerajaan yang berpusat di Hattusa (bahasa Het: URUḪattuša, "Hattusa") di tengah utara Anatolia sekitar 1600 SM. Empayar Het pada zaman kemuncaknya pada kurun ke-14 SM di bawah naungan Suppiluliuma I, merangkumi sebahagian besar Anatolia, barat laut Syria, sejauh muara Sungai Litani (sebuah wilayah dikenali sebagai Amqu), dan ke arah timur sehingga ke hulu Mesopotamia.
Antara abad ke-15 dan ke-13 SM, empayar negeri Hattusa, juga dipanggil Kerajaan Het, berkonflik dengan Kerajaan Baru Mesir, Asyur Pertengahan dan empayar Mitanni kerana mahu mengawal Asia Barat Jauh. Kerajaan Asyur akhirnya menjadi lebih kuat dan mengilhak banyak tanah Empayar Het, manakala yang selebihnya dijarah oleh pendatang dari Frigia. Selepas sekitar tahun 1180 SM, semasa kejatuhan Zaman Gangsa, kerajaan Het berpecah kepada beberapa negeri kota "Het Baharu" yang berdaulat. Beberapa antaranya wujud sehingga lewat abad ke-8 SM sebelum jatuh ke tangan Kerajaan Asyur Baharu.
Bahasa Het berasal daripada cabang bahasa Anatolia dalam rumpun bahasa Indo-Eropah, bersama-sama bahasa Luwi, dan merupakan bahasa Indo-Eropah tertua yang diketahui setakat kini.[1] Ia digelar oleh bangsa Het sendiri sebagai 'nešili' "perihal [berbahasa] Nesya (kini dipanggil Kültepe)". Bangsa Het memanggil nama negeri mereka sebagai Kerajaan Hattusa (Hatti dalam bahasa Akkadia), daripada orang Hatti, sebuah bangsa yang pernah duduk di rantau mereka sehinggalah awal alaf ke-2 dan bercakap bahasa lain bernama bahasa Hatti.[2] Nama "Hittite" datang daripada ahli arkeologi abad ke-19 yang mengaitkan bangsa yang ditemui mereka dengan yang disebut dalam Alkitab.
Kebanyakan sejarah ketamadunan Het yang diketahui datang daripada teks-teks tulisan pepaku yang ditemui di kawasan kerajaan mereka, juga daripada surat-surat diplomatik dan komersial dalam arkib-arkib kerajaan Asyur, Babilonia, Mesir, dan Asia Barat. Teks-teks tersebut juga penting dalam bidang sejarah linguistik Indo-Eropah. Angkatan tentera Het juga ada menggunakan rata.[3]
Perkembangan dalam bidang peleburan besi dikatakan datang daripada kerajaan Het di Anatolia sewaktu Zaman Gangsa Akhir, disebabkan mereka memang mahir dan telah memonopoli pertukangan besi. Namun pandangan "Het memonopoli" disangsikan dan tidak lagi diterima dalam kalangan pakar.[4] Berkaitan Zaman Gangsa Akhir/Zaman Besi Awal, kejatuhan Zaman Gangsa menyaksikan penggunaan besi secara meleluasa di rantau mereka. Barangan besi memang ada di Anatolia sewaktu Zaman Gangsa, tetapi jumlahnya di semua tempat adalah sama dan tidak banyak; besi tidak lazim digunakan sebagai senjata.[5] Bangsa Het tidak menggunakan proses peleburan besi, sebaliknya mereka menggunakan meteorit.[6]
Pada zaman klasik, dinasti etnik Het terdapat di kerajaan-kerajaan kecil dan tersebar di tanah Syria, Lubnan dan Israel. Setelah hubungan berkurangan dengan kerajaan Het, keturunan mereka terselerak dan akhirnya bergabung dengan penduduk-penduduk Syam, Turki, dan Mesopotamia.[7]
Pada tahun 1923, minat terhadap Het berkembang dengan pengasasan Republik Turki dan menarik perhatian ahli arkeologi seperti Halet Çambel dan Tahsin Özgüç. Pada zaman ini, bidang kajian baharu iaitu Hititologi (kaji bangsa Het, Hetologi) juga mempengaruh penamaan institusi-institusi Turki, seperti bank milik kerajaan Etibank ("bank Het"),[8] dan yayasan Muzium Ketamadunan Anatolia (Anadolu Medeniyetleri Müzesi) di Ankara, 200 kilometer barat dari ibu negeri Het yang menempatkan pameran artifak dan citra Het yang terbesar di dunia.
Etimologi
[sunting | sunting sumber]Ada yang memanggil kerajaan, bangsa, atau bahasa Het sebagai "Hittite". Hittite datang daripada bahasa Inggeris, yang diambil daripada Ibrani חִתִּי (ḫītī), daripada Het: 𒄩𒋾 (ḫati);[9][10] "Hiti" dari Ibrani ditambahkan imbuhan akhiran "-ite" untuk menunjukkan perkaitan. Kekeliruan tertimbul apabila nama Hatti dan Hitti mula digunakan dengan berbeza. Bangsa Hatti bagi bangsa yang berada di tengah Anatolia, manakala kerajaan Het datang daripada Alkitab dan ia diberi pula kepada kerajaan yang menggantikan kerajaan Hatti.
Bangsa Het sendiri memanggil diri mereka bangsa Nesya (𒉈𒅆𒇷 "nešili", perihal (orang) Nesya) merujuk kepada penempatan mereka. Kerajaan asing seperti Mesir memanggil mereka khita atau kheta, kemudian dalam bahasa Latin Lewat Hethaeus. Dengan itu, menamakan bangsa berkenaan sebagai bangsa Het atau Nesya lebih sesuai, supaya dapat dibezakan dengan bangsa Hati/Hatti/Hat.
Penemuan
[sunting | sunting sumber]Latar belakang Alkitab
[sunting | sunting sumber]Sebelum penemuan peradaban Het dalam bidang arkeologi, satu-satunya sumber maklumat tentang kaum Het datang daripada Perjanjian Lama. Francis William Newman memberi pandangan kritisnya, bahawa, "tiada satu pun raja Het dapat menandingi kuasa Raja Yudah...".[11]
Apabila kajian lanjut dilakukan pada separuh akhir abad ke-19, kerajaan Het ternyata adalah lebih besar. Archibald Sayce menyatakan bahawa, daripada dibandingkan dengan Yudah, Negeri Besi itu "layak dibandingkan dengan Kerajaan Mesir yang berbahagi", dan "tidak terpermanai berkuasanya berbanding Yudah."[12] Sayce dan cendekiawan-cendekiawan lain juga menyatakan bahawa kerajaan Yudah dan Het bukan seteru kepada satu sama lain dalam nas-nas agama Yahudi; dalam Kitab Raja-raja, kerajaan Het membekalkan Bani Israel dengan kayu pokok araz, rata, dan kuda, manakala dalam Kitab Kejadian mereka ialah rakan dan sekutu kepada Abraham. Uria si Het ialah seorang hulubalang dalam tentera Raja Daud dan dipanggil salah seorang daripada askar-askar terkemukanya dalam 1 Tawarikh 11.[13]
Penemuan awal
[sunting | sunting sumber]Charles Texier, seorang cendekiawan Perancis, menemui puing-puing Het pada tahun 1834 tetapi tidak mengenal pastinya sebagai Het pada waktu itu.[8][14]
Bukti arkeologi pertama kewujudan kerajaan Het datang daripada batu bersurat yang ditemui di karum (stesen perdagangan negeri Asyur) kota Kanesy (kini dinamai Kültepe), yang mengandungi rekod perdagangan antara para saudagar Asyur dan sebuah "negeri Hatti". Beberapa nama dalam batu bersurat bukan dalam bahasa Hat ataupun Asyur, tetapi jelas sekali ada kaitan dengan bahasa Indo-Eropah.[15]
Aksara pada sebuah tugu di Boğazkale oleh satu "Orang Hattusa" ditemui oleh William Wright pada tahun 1884 dan mirip sejenis aksara hieroglif dari Aleppo dan Hama di Utara Syria. Pada tahun 1887, ekskavasi di Amarna, Mesir terjumpa utusan diplomatik dari Firaun Amenhotep III dan putera baginda, Akhenaten. Dua daripada surat-suratnya datang dari "kerajaan Kheta" - yang terletak di kawasan sama yang negeri Mesopotamia panggil "negeri Hatti" - yang ditulis dalam tulisan pepaku Akkadia baku, namun dalam bahasa yang tidak diketahui; walaupun para ilmuan dapat tafsirkan bagaimana bunyi surat itu, tiada siapa dapat faham maknanya. Tidak berapa lama kemudian, Sayce mengusulkan bahawa Hatti atau Khatti di Anatolia serupa dengan "kerajaan Kheta" yang disebut dalam teks-teks Mesir, serta bani Het dalam Alkitab. Ada pula yang, contohnya Max Müller, setuju Khatti mungkin sama dengan Kheta, tetapi sebaliknya mengusulkan hubungannya dengan kerajaan Kitim daripada Alkitab (Daniel 11:30) dan bukan kerajaan Het. Pengecaman Sayce diterima secara meluas menjelang awal abad ke-20, dan nama "Hit" telah dihubungkaitkan dengan tamadun yang ditemui di Boğazköy.[perlu rujukan]
Sekali-sekala ekskavasi diadakan di Boğazköy (Hattusa), bermula pada tahun 1906. Ahli arkeologi Hugo Winckler terjumpa sebuah arkib diraja dengan 10 000 batu bersurat, ditulis dalam tulisan pepaku Akkadia dan juga bahasa yang tidak diketahui dalam surat-surat Mesir dari Kheta - maka identiti kedua-dua nama Kheta dan Het akhirnya disahkan. Beliau juga membuktikan bahawa puing-puing di Boğazköy merupakan peninggalan ibu negeri kerajaan yang pernah pada suatu masa mengawal utara Syria.
Di bawah kelolaan Institut Arkeologi Jerman, ekskavasi di Hattusa berlangsung sejak 1907, dan hanya tergendala semasa perang-perang dunia. Kültepe berjaya digali oleh Profesor Tahsin Özgüç dari 1948 hingga beliau meninggal pada 2005. Ekskavasi skala kecil juga dilaksanakan di sekeliling Hattusa, termasuklah tempat suci Yazılıkaya, yang penuh dengan ukiran batu timbul menggambarkan pemerintah-pemerintah Het dan dewata sembahan bangsa mereka.
Tulisan
[sunting | sunting sumber]Orang Het menggunakan satu aneka tulisan pepaku yang dipanggil tulisan pepaku Het. Kembara arkeologi ke Hattusa telah menemui berbagai set penuh arkib diraja dengan tulisan bersurat, yang ditulis dalam bahasa Akkadia, bahasa pengantara dan diplomatik ketika itu, ataupun dalam pelbagai loghat lain dalam kerajaan gabungan Het.[16]
Muzium
[sunting | sunting sumber]Muzium Ketamadunan Anatolia di Ankara, Turki kaya dengan koleksi artifak bangsa Het dan Anatolia.
Geografi
[sunting | sunting sumber]Kerajaan Het berpusat di tanah sekeliling Hattusa dan Nesya (Kültepe), dipanggil "tanah Hatti (URUHa-at-ti). Selepas Hattusa dijadikan ibu negeri, kawasan di lingkungan liku Sungai Kızılırmak (bahasa Het: Marasyantia) dianggap sebagai pusat negeri, dan beberapa undang-undang Het membuat batasan antara "belah sungai yang ini" dan "belah sungai yang itu". Contohnya, ganjaran penangkapan seorang hamba abdi yang lari melepasi sungai itu lebih tinggi daripada jika dia ditangkap sebelum itu.
Di barat dan selatan dari pusat wilayah ialah sebuah kawasan yang dikenali sebagai Luwia dalam teks-teks Het awal. Panggilan ini digantikan dengan nama Arzawa dan Kizzuwatna apabila kerajaan-kerajaan tersebut muncul.[17] Apapun, orang Het tetap menggelar bahasa yang datang dari kawasan mereka sebagai bahasa Luwia. Sebelum kebangkitan Kizzuwatna, jantung wilayah tersebut di Kilikia dipanggil oleh orang Het sebagai Adania.[18] Apabila ia memberontak dari kerajaan Het semasa zaman pemerintahan Ammuna,[19] nama Kizzuwatna ditadbirkan dan berkembang ke utara, merangkum Pergunungan Anti-Taurus bawah juga. Di utara tinggalnya orang pergunungan dipanggil orang Kaska. Di tenggara kerajaan Het ialah Empayar Mitanni milik bangsa Hurri. Pada zaman kemuncak, semasa Mursyili II memerintah, empayar Het berkembang dan mengilhak Arzawa di barat, Mitanni di timur, banyak wilayah Kaska di utara serta Hayasya-Azzi di timur laut jauh, dan selatan Kanaan sehingga sejauh sempadan selatan Lubnan.
Sejarah
[sunting | sunting sumber]Asal-usul
[sunting | sunting sumber]Kaum Het dijangkan datang ke Anatolia setidaknya sebelum 2000 SM.
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ "2006-05-02 Hittite". 7 Julai 2004. Diarkib dari asal pada 3 Februari 2017.
- ^ Ardzinba, Vladislav. (1974): Some Notes on the Typological Affinity Between Hattian and Northwest Caucasian (Abkhazo-Adygian) Languages. Dalam: "Internationale Tagung der Keilschriftforscher der sozialistischen Länder", Budapest, 23.-25. April 1974. Zusammenfassung der Vorträge (Assyriologica 1), m/s 10-15.
- ^ "Hittites". British Museum. London: Pemegang amanah Muzium British. Diarkib daripada yang asal pada 7 November 2014.
- ^ Muhly, James D. 'Metalworking/Mining in the Levant' in Near Eastern Archaeology ed. Suzanne Richard (2003), m/s 174–183.
- ^ Waldbaum, Jane C. From Bronze to Iron. Göteburg: Paul Astöms Förlag (1978): 56–58.
- ^ 'Irons of the Bronze Age'(2017), Albert Jambon.
- ^ Ancient History Encyclopedia. "Sea Peoples." September 2009. Diarkib dari asal pada 18 Jun 2018.
- ^ a b Erimtan, Can. (2008). Hittites, Ottomans and Turks: Ağaoğlu Ahmed Bey and the Kemalist Construction of Turkish Nationhood in Anatolia. Diarkib pada 22 September 2018, Anatolian Studies, 58, 141–171.
- ^ Hittite. Etymonline.com. Dicapai 2 April 2020.
- ^ Hittite. (2020, Mac 18). Wiktionary, The Free Dictionary. Dicapai 22:14, April 2, 2020.
- ^ Newman, F. W. (1853) A history of the Hebrew monarchy: from the administration of Samuel to the Babylonish Captivity. Edisi ke-2. John Chapman, London P 179 nota 2.
- ^ Sayce, A. H. (1888) "Introduction", The Hittites: The Story of a Forgotten Empire. Oxford: Queen's College.
- ^ 1 Taw. 11:10–47 [Alkitab Berita Baik]
- ^ Texier, Charles (1835). "Rapport lu, le 15 mai 1835, à l'Académie royale des Inscriptions et Belles-lettres de l'Institut, sur un envoi fait par M. Texier, et contenant les dessins de bas-reliefs découverts par lui près du village de Bogaz-Keui, dans l'Asie mineure" [Laporan 15 Mei 1835 kepada Akademi Inskripsi dan Susastera Diraja di Institut, berkenaan laporan En. Texier dan mengandungi lakaran ukiran-ukiran timbul yang ditemui oleh beliau berdekatan kampung Bogaz-Keui [kini: Boğazkale] di Asia Kecil]. Journal des Savants (dalam bahasa Perancis): 368–376. Diarkib dari asal pada 28 April 2019.
- ^ Kloekhorst, Alwin. "Personal names from Kaniš: the oldest Indo-European linguistic material".
- ^ The Hittite Empire. Bab V. Vahan Kurkjian.
- ^ A Short Grammar of Hieroglyphic Luwian, John Marangozis (2003)
- ^ Beal, Richard H, "The History of Kizzuwatna and the Date of the Šunaššura Treaty", Orientalia 55 (1986) pp. 424ff.
- ^ Beal (1986) m/s 426.
Bibliografi
[sunting | sunting sumber]- Akurgal, Ekrem - The Hattian and Hittite Civilizations; Publications of the Republic of Turkey; Ministry of Culture; 2001; 300 pages; ISBN 975-17-2756-1
- Trevor R. Bryce, "Life and Society in the Hittite World," Oxford (2002).
- Trevor R. Bryce, The Kingdom of the Hittites, Oxford (1999).
- C. W. Ceram, The Secret of the Hittites: The Discovery of an Ancient Empire. Phoenix Press (2001), ISBN 1-84212-295-9.
- Hans Gustav Güterbock, Hittite Historiography: A Survey, in H. Tadmor and M. Weinfeld eds. History, Historiography and Interpretation: Studies in Biblical and Cuneiform Literatures, Magnes Press, Hebrew University (1983) pp. 21–35.
- J. G. Macqueen, The Hittites, and Their Contemporaries in Asia Minor, revised and enlarged, Ancient Peoples and Places series (ed. G. Daniel), Thames and Hudson (1986), ISBN 0-500-02108-2.
- George E. Mendenhall, The Tenth Generation: The Origins of the Biblical Tradition, The Johns Hopkins University Press (1973), ISBN 0-8018-1654-8.
- Erich Neu, Der Anitta Text, (StBoT 18), Otto Harrassowitz, Wiesbaden (1974).
- Louis L. Orlin, Assyrian Colonies in Cappadocia, Mouton, The Hague (1970).
- The Hittites and Hurrians in D. J. Wiseman Peoples of the Old Testament Times, Clarendon Press, Oxford (1973).
- O.R. Gurney, The Hittites, Penguin (1952), ISBN 0-14-020259-5
- Kloekhorst, Alwin (2007), Etymological Dictionary of the Hittite Inherited Lexicon, ISBN 90-04-16092-2O
- Patri, Sylvain (2007), L'alignement syntaxique dans les langues indo-européennes d'Anatolie, (StBoT 49), Otto Harrassowitz, Wiesbaden, ISBN 978-3-447-05612-0
- J. Freu et M. Mazoyer,
Des origines à la fin de l'ancien royaume hittite, Les Hittites et leur histoire 1, Paris, 2007 ; Les débuts du nouvel empire hittite, Les Hittites et leur histoire 2, Paris, 2007 ; L'apogée du nouvel empire hittite, Les Hittites et leur histoire 3, Paris, 2008.
Pautan luar
[sunting | sunting sumber]Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan Het |
- Video lecture at Oriental Institute - Tracking the Frontiers of the Hittite Empire
- Hattusas/Bogazköy
- The Hittite Home Page Diarkibkan 2009-11-15 di Wayback Machine
- Arzawa, to the west, throws light on Hittites
- Pictures of Boğazköy, one of a group of important sites
- Pictures of Yazılıkaya, one of a group of important sites
- Der Anitta Text (at TITUS)
- Tahsin Ozguc Diarkibkan 2007-03-01 di Wayback Machine
- Hittites.info
- Hittite Period in Anatolia
- Hethitologieportal Mainz, by the Akademie der Wissenschaften, Mainz, corpus of texts and extensive bibliographies on all things Hittite