Location via proxy:   [ UP ]  
[Report a bug]   [Manage cookies]                
Pergi ke kandungan

Hikayat Pinggir Air

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Hikayat Pinggir Air[nota 1], juga dikenali sebagai Hikayat Penjahat-penjahat dari Paya (Cina Tradisional: 水滸傳, Cina Ringkas: 水浒传, pinyin: Shuǐhǔ Zhuàn) ialah salah satu daripada Empat Novel Klasik Agung dalam kesusasteraan Cina. Dikatakan ditulis oleh Shi Naian, dengan sesetengah orang mempercayai ia ditulis oleh Luo Guanzhong, novel ini memerihalkan dugaan dan kesengsaraan 108 orang penjahat pada zaman pertengahan Dinasti Song.

Konteks dan perkembangan sejarah

[sunting | sunting sumber]
Sebuah ilustrasi novel

Sebahagian kecil Hikayat Pinggir Air  berdasarkan penjahat sejarah, Song Jiang, berserta 36 orang rakannya. Gerombolan ini aktif di kawasan Sungai Huai, tetapi akhirnya menyerahkan diri kepada askar-askar kerajaan pada tahun 1119. Mereka dicatatkan dalam sejarah rasmi Dinasti Song (宋史), dengan nama Song Jiang muncul dalam bab mengenai Maharaja Huizhong, dan kegiatan gerombolannya dalam bab mengenai Zhang Shuye (張叔夜).

Cerita-cerita budaya rakyat mengenai Song Jiang tersebar semasa Dinasti Song Selatan. Teks pertama yang menamai 36 orang rakannya ialah karya Guixin Zashi  yang ditulis pada abad ke-12. Antara 36 orang rakan itu ialah Lu Junyi, Guan Sheng, Ruan Xiaoer, Ruan Xiaowu, Ruan Xiaoqi, Liu Tang, Hua Rong dan Wu Yong. Sesetengah watak yang kemudian dikaitkan dengan Song Jiang juga muncul pada sekitar masa ini. Mereka termasuk Sun Li, Yang Zhi, Lin Chong, Lu Zhishen, dan Wu Song.

Salah satu perintis langsung kepada Hikayat Pinggir Air  ialah karya Da Song Xuanhe Yishi  (大宋宣和遺事, peristiwa-peristiwa lama pada zaman Xuanhe dalam Dinasti Song) yang muncul pada sekitar pertengahan abad ke-13. Teks itu pada dasarnya menepati versi para pencerita lisan yang mendasarkan peristiwa-peristiwa sejarah secara kurang tepat. Ia dibahagikan kepada sepuluh bab, dan lebih kurang meliputi sejarah Dinasti Song dari awal abad ke-11 sehingga pengasasan rejim Song Selatan pada tahun 1127. Bab keempat meliputi pengembaraan Song Jiang dan 36 orang rakannya sehingga kekalahan mereka pada akhirnya kepada Zhang Shuye (張叔夜). Sesetengah cerita dan watak yang lebih terkenal dalam Hikayat Pinggir Air  dapat ditemukan dalam karya ini, termasuk "Yang Zhi menjual pedangnya", "Mencuri hadiah hari jadi", Song Jiang membunuh abdi perempuannya", "Berlawan dengan Fang La", dan sebagainya. Ia berlatarkan pengembaraan Song Jiang dan rakan-rakannya di Gunung Taihang, dengan gerombolannya terdiri daripada bermacam-macam orang, termasuk nelayan, bekas pelatih tentera empayar, pemilik rumah penginapan, dan sebagainya.

Cerita-cerita tentang penjahat-penjahat dari Gunung Liang merupakan salah satu jalan cerita yang popular dalam drama Dinasti Yuan. Sejak dari masa itu, bahan-bahan yang mendasarkan Hikayat Pinggir Air  telah berkembang menjadi bentuk masa kini. Bilangan penjahat Song Jiang juga telah ditambahkan menjadi 108 orang, dan walaupun mereka berasal daripada latar belakang yang berbeza, mereka akhirnya mendiami di Gunung Liang.

Terdapat sebuah teori yang mengatakan bahawa Hikayat Pinggir Air  menjadi popular semasa Dinasti Yuan kerana orang ramai berasa geram terhadap para pemerintah Mongol. Mempromosikan Hikayat Pinggir Air  yang menonjolkan pemberontakan Song Jiang tidak menimbulkan sebarang bahaya kerana novel ini mengkritik Dinasti Song pada zahirnya, walaupun ia secara tersirat juga menyeru para penduduk supaya menentang semua kerajaan yang korup.

Pengarang dan edisi-edisi awal

[sunting | sunting sumber]

Terdapat banyak pertikaian tentang siapakah penulis Hikayat Pinggir Air  yang sebenar. Kebanyakan orang menganggap 70 buah bab yang pertama ditulis oleh Shi Nai'an, manakala 30 buah bab yang terakhir ditulis oleh Luo Guanzhong, penulis karya Hikayat Tiga Kerajaan.  Luo mungkin merupakan murid Shi Nai'an. Bagaimanapun, terdapat juga cadangan bahawa Shi Nai'an bukannya penulis lain tetapi merupakan nama samaran Luo Guanzhong sendiri. Kunci-kunci dalam teks membayangkan bahawa penulisnya berasal dari provinsi Zhejiang (kedua-dua Luo dan Shi adalah anak Zhejiang) dan tidak mempunyai banyak pengetahuan tentang China utara. Dalam sebuah persidangan pada tahun 2006, para cendekiawan utama yang mengkaji karya ini bersetuju bahawa Shi dan Luo mungkin merupakan orang yang sama kerana nama Shi Nai'an, jika disongsangkan menjadi "an nai shi", akan membawa pengertian "Itulah saya lagi."

Bagaimanapun, tidaklah jelas betapa serupanya edisi Luo dengan edisi masa kini. Edisi Hikayat Pinggir Air  terawal yang masih wujud ialah sebuah teks tercetak 100-bab yang wujud sejak dari pertengahan abad ke-16 lagi. Lagi sebuah edisi, dengan 120 buah bab yang ditulis oleh Yang (楊定見) telah dikekalkan sejak zaman Maharaja Wanli (15731620). Edisi-edisi lain yang telah diterbitkan sejak dari zaman ini sehingga awal Dinasti Qing termasuk sebuah edisi 70-bab oleh Jin Shengtan.

Garis kasar bab

[sunting | sunting sumber]

Bab pertama bermula dengan pembebasan 108 makhluk halus, dengan bab kedua menghuraikan kebangkitan Gao Qiu, antagonis utama bagi 108 makhluk tersebut. Selepas bab kedua itu diikuti cerita-cerita tentang berbagai-bagai penjahat. Pada mula-mulanya, cerita ini kelihatan merupakan banyak cerita yang berasingan dan dari satu segi, ini adalah benar. Hubungan antara watak-watak amat kabur. Tetapi cerita itu akhirnya kelihatan berpadu menjelang sekitar Bab 40, semasa pembuangan dan penyelamatan Song Jiang yang kemudian menjadi ketua kepada 108 penjahat itu. Sebaik sahaja watak-watak utama berkumpul di paya yang terletak di Gunung Liang, cerita ini menghuraikan pertempuran-pertempuran dengan dinasti Song. Song Jiang tetap menonjolkan kesetiaannya kepada maharaja dan selepas memenangi banyak pertempuran terhadap angkatan tentera empayar, gerombolan penjahat itu ditawarkan pengampunan dan dijemput oleh maharaja untuk menjadi sebuah angkatan tentera rasmi. Song Jiang menerima jemputan itu dengan rela, tetapi Gao Qiu yang tidak gembira akan mereka, menghantar mereka untuk melawan musuh-musuh dinasti dengan penghabisan yang penuh tragedi.

Garis kasar bab-bab yang berikut berdasarkan edisi 100-bab. Edisi 120-bab yang ditulis oleh Yang termasuk kempen-kempen para penjahat yang lain yang dilakukan bagi pihak dinasti Song, manakala edisi 70-bab oleh Jing tidak memasukkan bab-bab mengenai penerimaan pengampunan oleh para penjahat serta kempen-kempen mereka yang menyusul.

1 Marsyal Hong membebaskan 108 makhluk halus
2 Kebangkitan Gao Qiu
2–3 Cerita tentang Shi Jin
3–7 Cerita tentang Lu Zhishen
7–12 Cerita tentang Lin Chong
12–13 Cerita tentang Yang Zhi
13–20 Perampasan hadiah-hadiah hari jadi yang diketuai oleh Chao Gai dan "7 yang asal"
20–22 Cerita tentang Song Jiang
23–32 Cerita tentang Wu Song
32–35 Cerita tentang Hua Rong
36–43 Pembuangan dan penyelamatan Song Jiang
44–47 Cerita tentang Shi Xiu dan Yang Xiong
47–50 Tiga serangan ke atas Desa Keluarga Zhu
51–52 Cerita tentang Lei Heng dan Zhu Tong
53–55 Para penjahat menyerang Gaotangzhou; mencari Gongsun Sheng
55–57 Serangan empayar yang pertama ke atas Paya Liangshan (diketuai oleh Huyuan Zhuo)
57–59 Para penjahat menyerang Qingzhou
59–60 Para penjahat menyerang Gunung Mangdang
60 Serangan pertama ke atas Desa Keluarga Zeng; kematian Chao Gai
60–67 Cerita tentang Lu Junyi; para penjahat menyerang Damingfu; serangan empayar yang kedua ke atas Paya Liangshan (diketuai oleh Guan Sheng)
67 Serangan empayar yang ketiga ke atas Paya Liangshan (diketuai oleh Shan Ting-gui dan Wei Ding-guo)
68 Serangan kedua ke atas Desa Keluarga Zeng
69–70 Para penjahat menyerang Dongpingfu dan Dongchangfu
71–74 108 orang pahlawan berhimpun dengan sepenuhnya; telatah Li Kui yang lawak tetapi boleh membawa maut
75–78 Maharaja menawarkan pengampunan buat pertama kali; Serangan empayar yang keempat ke atas Paya Liangshan
78–80 Serangan empayar yang kelima ke atas Paya Liangshan (diketuai oleh Gao Qiu)
81–82 Para penjahat diberikan pengampunan
83–89 Para penjahat menyerang kaum Tatar Liao
90–99 Para penjahat menyerang pemberontak selatan (Fang La)
100 Pembubaran para penjahat dari Paya yang tragik

Versi dilanjutkan memasukkan ekspedisi-ekspedisi gerombolan penjahat terhadap dua orang ketua pemberontak yang terkenal, iaitu Tian Hu di Hebei dan Wang Qing di Szechuan, sebelum gerombolan tersebut terhadap Fang La.

Senarai 108 pahlawan

[sunting | sunting sumber]
Watak Hikayat Pinggir Air
Pengasas
Chao Gai
36 Makhluk dari Syurga
Song Jiang | Lu Junyi | Wu Yong | Gongsun Sheng | Guan Sheng | Lin Chong | Qin Ming | Huyuan Zhuo | Hua Rong | Chai Jin | Li Ying | Zhu Tong | Lu Zhishen | Wu Song | Dong Ping | Zhang Qing | Yang Zhi | Xu Ning | Suo Chao | Dai Zhong | Liu Tang | Li Kui | Shi Jin | Mu Hong | Lei Heng | Li Jun | Ruan Xiaoer | Zhang Heng | Ruan Xiaowu | Zhang Shun | Ruan Xiaoqi | Yang Xiong | Shi Xiu | Xie Zhen | Xie Bao | Yan Qing
72 Setan Duniawi

Zhu Wu | Huang Xin | Sun Li | Xuan Zan | Hao Si-wen | Han Tao | Peng Qi | Shan Ting-gui | Wei Ding-guo | Xiao Rang | Pei Xuan | Ou Peng | Deng Fei | Yan Shun | Yang Lin | Ling Zhen | Jiang Jing | Lu Fang | Guo Sheng | An Dao-quan | Huangfu Duan | Wang Ying | Hu San Niang | Bao Xu | Pan Rui | Kong Ming | Kong Liang | Xiang Chong | Li Gun | Jin Da-jian | Ma Lin | Tong Wei | Tong Meng | Meng Kang | Hou Jian | Chen Da | Yang Chun | Zheng Tian-shou | Tao Zong-wang | Song Qing | Yue He | Gong Wang | Ding De-sun | Mu Chun | Cao Zheng | Song Wan | Du Qian | Xue Yong | Shi En | Li Zhong | Zhou Tong | Tang Long | Du Xing | Zou Yuan | Zou Run | Zhu Gui | Zhu Fu | Cai Fu | Cai Qing | Li Li | Li Yun | Jiao Ting | Shi Yong | Sun Xin | Gu Dasao | Zhang Qing | Sun Er Niang | Wang Ding-liu | Yu Bao-si | Bai Sheng | Shi Qian | Duan Jing-zhu


  1. ^ Tajuk yang dipakai dalam terjemahan Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia[1]
  1. ^ "Hikayat Pinggir Air Jilid 1 - SHI NAI'AN". Dewan Bahasa dan Pustaka. Dicapai pada 10 Februari 2019.

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]