Kapri
Sebahagian daripada siri |
Aparteid |
---|
Kapri (juga kaffir, caffre, atau cafri dalam bahasa Inggeris)[1] ialah satu kata cacian yang digunakan untuk merujuk kepada orang kulit hitam di Afrika Selatan. Dalam bahasa Arab, perkataan kāfir asalnya bermaksud orang musyrik yang tidak memeluk Islam dan kemudiannya digunakan khusus terhadap orang kulit hitam Afrika pagan yang diperhambakan. Semasa Zaman Penjelajahan di Eropah pada awal zaman moden, varian perkataan ini daripada Latin, cafer (jamak, cafri) digunakan terhadap orang Bantu bukan Islam, walaupun jika mereka menganut agama monoteis. Ia akhirnya digunakan dalam bahasa Afrikaans, kaffer, bagi mana-mana orang kulit hitam semasa era Aparteid dan Pasca-Aparteid. Bermula dari pertengahan abad ke-20, ia menjadi kata hinaan dan ucapan kebencian yang sangat buruk. Pada tahun 2000,[2] parlimen Afrika Selatan meluluskan Akta Penggalakan Pencegahan Diskriminasi Tidak Adil untuk menghukum menggunakan perkataan tersebut. Ia kini disebut dalam bahasa halus sebagai perkataan K dalam Bahasa Inggeris Afrika Selatan.[3]
Etimologi
[sunting | sunting sumber]Perkataan ini berasal daripada perkataan Arab kāfir (كافر ), biasanya diterjemahkan kepada "kafir" atau "orang yang tidak beragama".[4] Perkataan ini digunakan tanpa terikat kepada kaum, tetapi dalam beberapa konteks ia digunakan dengan khas untuk orang janggi, kaum pagan yang tinggal di pesisiran Swahili, yang menjadi sasaran orang Arab yang memperdagang hamba.[5] Penjelajah Portugis yang tiba di pantai Afrika Timur pada tahun 1498 dalam perjalanan ke India terdengar orang Arab menggunakannya di pantai Afrika Timur, sementara penduduk tempatan Swahili Muslim lebih suka menggunakan perkataan washenzi ("tidak bertamadun") untuk orang pagan di pedalaman. Penyair Portugis, Camões, menggunakan bentuk jamak "cafres " dalam kanto kelima karya tahun 1572 terkenal beliau, Os Lusíadas. Ia kemudian tersebar ke beberapa kawasan bukan Islam, menjadi khapri dalam bahasa Sinhala dan kaapiri dalam Malayalam, di mana ia digunakan di India Barat dan Sri Lanka tanpa maksud negatif untuk "orang musyrik". Dalam bahasa Inggeris, Portugis, Sepanyol, Perancis, Belanda dan Afrikaans, ia menjadi istilah umum untuk etnik-etnik di Afrika Selatan dari abad ke-17 hingga awal abad ke-20. Walau bagaimanapun, dalam Inggeris, kaffir, dan Afrikaans, kaffer , ia menjadi kata hinaan bagi orang Bantu dan kaum-kaum kulit hitam yang lain, termasuk warga Tanjung Berwarna semasa era Aparteid di Afrika Selatan. Kini, ia merupakan ucapan benci di bawah undang-undang Afrika Selatan.
Penggunaan dalam sejarah
[sunting | sunting sumber]Zaman Inggeris Awal
[sunting | sunting sumber]Pada abad ke-16, seorang penjelajah bernama Leo Africanus menyatakan bahawa orang Cafri ialah kaum "negro" bukan Islam, dan salah satu daripada lima kumpulan penduduk majoriti di Afrika. Menurut beliau, mereka sangat gelap dan amat tinggi, mungkin berketurunan Yahudi; tetapi telah menjadi penyembah berhala. Leo Africanus percaya orang Cafri tinggal di tempat terpencil di selatan Afrika, yang beliau panggil Cafraria.[6]
Selain Leo Africanus, Richard Hakluyt juga menamakan orang ini "Cafar" dan "Gawar", yang bermaksud orang kafir atau sesat.[7][8] Hakluyt memanggil hamba abdi sebagai Cafari ("slaues called Cafari") dan suatu penduduk Habsyah yang berdagang dengan mereka sebagai Cafar ("and they vse to goe in small shippes, and trade with the Cafars") dengan dua nama yang berbeza tetapi serupa. Perkataan ini juga digunakan bagi sebahagian pantai Afrika ("tanah Cafraria").[9] Dalam peta-peta lama Eropah dari abad ke-16 dan ke-17, barat laut Afrika Selatan yang berhampiran dengan orang Khoikhoi dilabelkan sebagai Cafreria.
Zaman jajahan
[sunting | sunting sumber]Perkataan Kapri digunakan bagi kaum-kaum monoteistik (khususnya kumpulan etnik Nguni) di Afrika Selatan, yang bukan beragama Kristian atau mempunyai latar belakang Muslim, tanpa konotasi yang menghina, semasa zaman penjajahan Belanda dan British sehingga awal abad kedua puluh. Ia muncul dalam banyak catatan sejarah oleh ahli antropologi, mubaligh dan pemerhati lain, serta dalam penulisan akademik. Contohnya, Muzium Pitt Rivers di Oxford pada asalnya melabelkan banyak artifak Afrika berasal daripada orang "Kapri". Ensiklopedia Britannica 1911 kerap menggunakan istilah tersebut, sehingga mempunyai rencana dengan tajuk itu.[10]
H. Rider Haggard, seorang penulis novel dari akhir abad ke-19 ke awal abad ke-20, sering menggunakan istilah "kapri" dalam novelnya tentang Afrika gelap, terutamanya dalam novel tentang seorang pemburu berkulit putih, Allan Quatermain, sebagai nama bukan makian bagi orang kulit hitam rantau itu.[perlu rujukan]
Penggunaan perkataan ini yang tidak digunakan untuk menghina juga terdapat dalam novel John Buchan Prester John dari tahun 1910.
Afrika Selatan era Aparteid
[sunting | sunting sumber]Semasa pilihan raya umum Afrika Selatan pada tahun 1948, penyokong penubuhan rejim aparteid berkempen di bawah slogan yang berbaur perkauman "Die kaffer op sy plek " ("Si kapri mesti sedar diri").[11]
Dalam kes Butana Almond Nofomela, semasa bekerja sebagai polis yang menyamar pada awal 1980-an, Nofomela menikam seorang petani British hingga mati, Lourens. Nofomela ingin merompak petani kaya itu tetapi Lourens datang membawa senjata api dan memanggilnya kapri. Ini membangkitkan kemarahan Nofomela, yang kemudian membunuh petani itu.[12]
Perkataan Afrikaans Kaffir-boetie (Saudara Kapri) juga sering digunakan bagi orang kulit putih yang bersaudara atau bersimpati dengan perjuangan komuniti kulit hitam.[13][14]
Namibia
[sunting | sunting sumber]Sama seperti di Afrika Selatan, istilah ini digunakan sebagai panggilan hinaan untuk orang kulit hitam. Laporan 2003 oleh Institut Sumber dan Penyelidikan Buruh Namibia menyatakan:[15]
Kapri dalam konteks Namibia merupakan istilah hinaan yang secara amnya merujuk kepada orang kulit hitam tetapi lebih khususnya pekerja kulit hitam sebagai orang yang langsung tidak mempunyai hak dan juga tidak patut mengharapkan apa-apa faedah kecuali kemurahan yang bos ('baas') mereka mungkin tunjukkan atas budi bicara mereka sendiri.
Penggunaan moden
[sunting | sunting sumber]Afrika Selatan pasca-Aparteid
[sunting | sunting sumber]Pada tahun 2000, parlimen Afrika Selatan menggubal Akta Penggalakan Pencegahan Diskriminasi Tidak Adil. Objektif utama Akta ini termasuk pencegahan istilah ucapan kebencian, seperti kapri:
*Menggalakkan kesamarataan
- Melarang dan mencegah diskriminasi yang tidak adil (sama ada berdasarkan umur, bangsa, jantina, kekurangan upaya, bahasa, agama, budaya, dll.)
- Menegah ucapan benci (cth. memanggil orang dengan perkataan kapri/kaffir, kuli, hotnot, dll.)
- Mencegah pengharuan[16]
Pada Februari 2008, terdapat kontroversi di Afrika Selatan selepas Irvin Khoza, pengerusi jawatankuasa penganjur Piala Dunia FIFA 2010, menggunakan perkataan itu semasa taklimat akhbar tentang seorang wartawan.[17][18][19][20]
Kenyataan yang dibuat semasa sidang Parlimen Afrika Selatan pada 5 Mac 2008 menunjukkan bagaimana penggunaan perkataan itu dipandang hari ini:[21]
Kita harus berhati-hati jangan menggunakan kata-kata hinaan yang digunakan untuk merendahkan orang kulit hitam di negara ini. Perkataan seperti Kapri, kuli, Boesman, hotnot dan lain-lain lagi ada konotasi negatif dan masih menyinggung perasaan kerana kata-kata ini telah digunakan untuk merendahkan, menjatuhkan dan merampas kemanusiaan dan maruah orang Afrika Selatan.
Frasa perkataan K kini sering digunakan untuk mengelak menggunakan perkataan itu, serupa dengan perkataan N, digunakan untuk menggantikan negro[3] atau perkataan K di Malaysia untuk perkataan keling.
Pada tahun 2012, seorang wanita dipenjarakan semalaman dan didenda selepas mengaku bersalah atas crimen injuria kerana menggunakan perkataan itu sebagai hinaan rasis di sebuah gimnasium.[22]
Pada Julai 2014, Mahkamah Rayuan Agung mengekalkan sabitan 2012 bagi kesalahan crimen injuria dan serangan yang berkaitan dengan pertengkaran tentang tempat letak kereta, yang mana seorang lelaki menggunakan perkataan itu. Penghakiman menyatakan:[23]
Perkataan kapri adalah kata kesat yang berunsur perkauman dan menghina serta digunakan dalam erti kata yang melukai ... di negara ini, ia bukan sahaja dilarang digunakan tetapi juga boleh diambil tindakan. Dalam sejarah kita yang rasis ia digunakan untuk menyakiti, mengaibkan, memburukkan dan menyahmanusiakan orang Afrika. Perkataan yang menjijikkan ini telah menyebabkan duka dan perit yang tidak terperi kepada perasaan dan maruah orang Afrika di negara ini.
Pada Mac 2018, Vicki Momberg menjadi wanita pertama yang disabitkan dengan bahasa rasis kerana menggunakan istilah itu lebih daripada 40 kali kepada dua orang polis Afrika Selatan.[24]
Contoh
[sunting | sunting sumber]Beberapa contoh:
- Mahatma Gandhi : "Akhbar-akhbar terbaru dari Afrika Selatan, malangnya untuk Kerajaan Natal, menekankan lagi kenyataan saya bahawa orang India sedang dianiaya dengan kejam berada di Afrika Selatan ... Sekumpulan kanak-kanak Eropah menggunakan budak-budak lelaki India dan Kapri sebagai sasaran dan menembak muka mereka, mencederakan beberapa orang kanak-kanak yang tidak berdaya." – Surat kepada editor The Times of India, 17 Oktober 1896.
- Winston Churchill, semasa Perang Boer, menulis tentang betapa beliau "sakit hati bahawa orang Kapri dibenarkan untuk menembak lelaki berkulit putih".[25]
- Suite konsert John Philip Sousa tahun 1914 "Tales of a Traveler", yang digubah selepas lawatan kugiran beliau ke Afrika Selatan, mengandungi lagu bertajuk "The Kaffir on the Karoo [Kapri di Penara Karoo]".[26]
- Pada permulaan filem Sherlock Holmes 1946, Terror by Night, tukang cerita bercakap tentang sebutir berlian terkenal "Mula-mula disentuh oleh jari seorang kapri yang rendah..." sementara seorang lelaki kulit hitam ditunjukkan mengutip batu dari tanah.
- Kaffir ialah tajuk lagu hit 1995 oleh artis kulit hitam dari Johannesburg, Kwaito Arthur Mafokate. Liriknya berkata, "don't call me a kaffir [jangan panggilku kapri]". Lagu ini dianggap sebagai salah satu hit pertama genre Kwaito, dan dikatakan telah memulakan perjuangan generasi pasca-aparteid untuk menggabungkan muzik tarian dengan kebebasan bersuara yang baharu di Afrika Selatan.[27]
- Kaffir Boy ialah tajuk autobiografi Mark Mathabane, yang dibesarkan di perbandaran Alexandra, mengembara ke Amerika Syarikat dengan biasiswa tenis, dan menjadi pengarang yang berjaya di tanah air angkatnya.
- Dalam filem Lethal Weapon 2, penjenayah Afrika Selatan Arjen Rudd (lakonan Joss Ackland), rakan sekerjanya Pieter Vorstedt (lakonan Derrick O'Connor) dan pengikut-pengikut mereka kerap memanggil watak Danny Glover, Roger Murtaugh, yang orang Afrika Amerika seorang kapri. Pasangan dia Detektif Martin Riggs (Mel Gibson) dipanggil "pencinta kapri". Pada penghujung filem apabila Riggs dan Murtaugh membunuh watak penjahat (yang menyeludup dadah terlarang yang disembunyikan dalam kopi), Murtaugh berkata mereka telah "de-kaffirnated [dinyahkaprina]".
- Pemain kriket Afrika Selatan mengadu bahawa mereka dilontarkan kata-kata rasis oleh beberapa penonton semasa perlawanan Ujian Disember 2005 melawan negara tuan rumah, Australia, yang diadakan di Perth. Makhaya Ntini, pemain berkulit hitam dalam pasukan itu, diejek dengan perkataan "kapri". Pemain kulit putih lain seperti Shaun Pollock, Justin Kemp, Garnett Kruger mendapat jeritan kaffirboetie, perkataan Afrikaans yang bermaksud "saudara kapri".[28]
- Pemain tenis Australia Brydan Klein didenda $16,000 selepas perlawanan kelayakan di Eastbourne International, Jun 2009, kerana berkelakuan tidak kesukanan selepas didakwa memanggil lawannya dari Tanjung Berwarna Afrika Selatan, Raven Klaasen, seorang "kapri".[29]
- Dalam filem Blood Diamond (2006), watak Leonardo DiCaprio Danny Archer memanggil watak Djimon Hounsou, Solomon Vandy sebagai orang kapri, menimbulkan pergaduhan yang teruk.
"Kaffir" lime
[sunting | sunting sumber]"Kaffir lime" atau limau purut ialah sejenis limau yang berasal dari negara tropika di Asia Selatan dan Tenggara. Etimologinya tidak pasti, tetapi kemungkinan besar pada asalnya digunakan oleh orang Islam sebagai nama tempat pokok limau itu tumbuh, iaitu negara-negara orang bukan Islam (penganut Hindu dan Buddha). Mengikut tafsiran ini, nama pokok itu berkongsi asal usul dengan perkataan Afrika Selatan tadi dan kedua-duanya berasal daripada kafir, perkataan Arab untuk "orang yang tidak beragama". Nama buah itu tidak pernah mempunyai konotasi yang menghina, tetapi disebabkan konotasi negatif "kaffir" pada masa ini, The Oxford Companion to Food[30] menyarankan nama alternatifnya "makrut lime" (daripada nama Thai pokok itu มะกรูด makrut) digunakan apabila bercakap tentang buah ini.
Lihat juga
[sunting | sunting sumber]Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ "SEAlang Library Malay Lexicography". SEAlang.net. Kapri. Dicapai pada 2024-03-11.
- ^ "Press Statement: Public awareness campaign on Equality Courts" (PDF). Jabatan Kehakiman dan Pembangunan Perlembagaan, Republik Afrika Selatan. 27 November 2004. Diarkibkan daripada yang asal pada 11 Mac 2012. Dicapai 18 Oktober 2017.
- ^ a b Onishi, Norimitsu (27 October 2016). "Jail Time for Using South Africa's Worst Racial Slur?". The New York Times – melalui NYTimes.com.
- ^ Harper, Douglas (2001–2010). "Kaffir". Online Etymological Dictionary.
- ^ "AN OPEN LETTER TO UCT: The hidden history of Arab slavery in Africa, and why UCT should not ignore it". 4 Ogos 2019.
- ^ Africanus, Leo (1526). The History and Description of Africa. Hakluyt Society. m/s. 20, 41, 53, 65 & 68. Dicapai pada 27 July 2017.
- ^ The Principal Navigations, Voyages, Traffiques and Discoveries of the English Nation, sebuah buku elektronik bebas di Projek Gutenberg
- ^ Karya-karya oleh Richard Hakluyt di Projek Gutenberg
- ^ The Principal Navigations, Voyages, Traffiques and Discoveries of the English Nation – Volume 09, sebuah buku elektronik bebas di Projek Gutenberg
- ^ Chisholm, Hugh, penyunting (1911). Encyclopædia Britannica (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-11). Cambridge University Press. .
- ^ Aikman, David (2003). Great Souls: six who changed the century. Oxford: Lexington Books. m/s. 81. ISBN 9780739104385. OCLC 1035309760 – melalui The Internet Archive.
Orang-orang Afrikaner juga berasa bahawa kemunculan masyarakat kulit hitam Afrika yang berpendidikan akan mengancam cara hidup mereka, yang telah dibina atas buruh murah dan ideologi bahawa orang putih lebih unggul daripada orang hitam. Atas sebab ini, kempen pilihan raya 1948 bersifat rasis dengan terbuka, kadangkala langsung tanpa belas kasihan. Dua daripada slogannya ialah 'Die kaffer op sy plek' ('Si negro mesti kenal tempatnya') dan 'Die koelies uit die land' ('Si kuli [orang India] keluar dari negara ini').
- ^ "Former Vlakplaas Man Killed Farmer Who Called Him a Kaffir". South African Press Association. 2 Januari 1997. Diarkibkan daripada yang asal pada 1 September 2009. Dicapai pada 26 Oktober 2008.CS1 maint: bot: original URL status unknown (link)
- ^ "Human Rights Violations – Case: EC131/96 – Mdantsane". Truth and Reconciliation Commission. 1 Jun 1997. Dicapai pada 26 Oktober 2008.
- ^ "CASE NO: CT/00001". Truth and Reconciliation Commission. 2 April 1996. Dicapai pada 26 Oktober 2008.
- ^ "Promoting Worker Rights and Labour Standards: The Case of Namibia" (PDF). Labour Resource and Research Institute. November 2003. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 22 Julai 2011. Dicapai pada 26 Oktober 2008.
- ^ "Press Statement: Public awareness campaign on Equality Courts" (PDF). Department of Justice and Constitutional Development, Republic of South Africa. 2004-11-27. Diarkibkan daripada yang asal pada 11 Mac 2012. Dicapai pada 18 Oktober 2017.CS1 maint: bot: original URL status unknown (link)
- ^ Makatile, Don. "Kollapen battles for equality". Sowetan. Diarkibkan daripada yang asal pada 7 September 2009. Dicapai pada 26 Oktober 2008.
- ^ Mabaso, Thabo (2 Februari 2008). "Khoza's k-word opens a can of worms". Independent Online. Dicapai pada 26 Oktober 2008.
- ^ "We will take K-word Khoza to court, says HRC". Independent Online. 2 Februari 2008. Dicapai pada 26 Oktober 2008.
- ^ "Apologise for using the k-word or else: SAHRC". Independent Online. 2 Februari 2008. Dicapai pada 26 Oktober 2008.
- ^ "Statement on Cabinet Meeting of 5 March 2008". South African Department of Foreign Affairs. 5 Mac 2008. Dicapai pada 26 Oktober 2008.
- ^ Erasmus, Jonathan (16 Mac 2012). "Fine for racist insult". The Witness. Diarkibkan daripada yang asal pada 15 Julai 2014. Dicapai pada 15 Julai 2014.
- ^ Grobler, Andre (15 Julai 2014). "Man loses appeal over k-word". SAPA. Diarkibkan daripada yang asal pada 15 Julai 2014. Dicapai pada 15 Julai 2014.
- ^ "Vicki Momberg sentenced for racism". BBC News. 28 Mac 2018.
- ^ Johann Hari (27 October 2010). "Not his finest hour: The dark side of Winston Churchill". The Independent. Dicapai pada 30 March 2018.
- ^ "Tales of a Traveler: (a) The Kaffir on the Karoo". Washington D.C.: Library of Congress. 29 March 2018.
- ^ Mhlambi, Thokozani (2004). "'Kwaitofabulous': The study of a South African urban genre". Journal of the Musical Arts in Africa. 1: 116–127. doi:10.2989/18121000409486692.
- ^ "Call for life bans after Kaffir slurs". The Sydney Morning Herald. 21 Disember 2005. Dicapai pada 11 April 2022.
- ^ Pearce, Linda (5 October 2010). "Klein stripped of coaching support". The Age. Dicapai pada 5 Oktober 2010.
- ^ (ISBN 0-19-211579-0)
Pautan luar
[sunting | sunting sumber]- Kaffir di Sri Lanka: Keturunan orang Afrika yang diperhambakan
- Transkrip Pendengaran & Penyerahan Suruhanjaya Kebenaran dan Rekonsiliasi Pelanggaran Hak Asasi Manusia mengandungi sejumlah besar rujukan kepada penggunaan perkataan kaffir semasa era Apartheid Afrika Selatan.
- Asal-usul istilah 'Kafir' di Afrika Selatan dan tanggapan Permulaan oleh Gabeba Baderoon
- A Dictionary of South African English on historical principles. Oxford University Press, in Association with the Dictionary Unit for South African English. 1996. ISBN 0-19-863153-7. OCLC 35662626.
- Encyclopædia Britannica (dalam bahasa Inggeris). 15 (ed. ke-11). 1911. m/s. 627–629. .
- Mark Mathabane (1998). Kaffir Boy. Sagebrush Education Resources. ISBN 0-8335-0211-5.
- Takrif sejarah istilah dari Nutall Encyclopedia, 1907
- [1]
- Articles with Project Gutenberg links
- Rencana Wikipedia yang menggabungkan petikan dari Ensiklopedia Britannica tahun 1911 dengan rujukan Wikisumber
- Rencana yang mengandungi teks bahasa Sinhala
- Rencana yang mengandungi teks bahasa Afrikaans
- Semua rencana dengan kenyataan tidak bersumber dari May 2015
- Bahasa Inggeris Afrika Selatan
- Perkauman anti-kulit hitam di Afrika Selatan
- Kata makian anti-Afrika dan anti-kulit hitam
- Rencana dengan pautan Projek Gutenberg