Location via proxy:   [ UP ]  
[Report a bug]   [Manage cookies]                
Pergi ke kandungan

Kota Cornwallis

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Fort Cornwallis di Padang Kota, Pulau Pinang
Peta 1799 menunjukkan bandar awal Pulau Pinang bercirikan Kota Cornwallis di timur laut.

Kota Cornwallis adalah kota lama berbentuk bintang 4 bucu yang terletak di timur laut Pulau Pinang. Ia dibina pada tahun 1786, dan dinamakan sempena Gabenor Jeneral India masa itu - Charles Earl Cornwallis. Ia didirikan di Padang Kota Lama, Georgetown,Pulau Pinang. Satu ketika dahulu bahagian ini dinamakan Tanjung.

Pembinaan

[sunting | sunting sumber]

Ia dibina oleh Kapten Francis Light pada mulanya dengan menggunakan kayu nibong tanpa binaan kekal yang melitupi kawasan seluas 416.6 kaki persegi.

Pada tahun 1804, kota ini dibina semula dengan batu-bata dan batu dengan menggunakan tenaga buruh tahanan India semasa perkhidmatan Kolonel R.T. Farquhar sebagai Gabenor Pulau Pinang. Kota Cornwallis siap sepenuhnya pada tahun 1810 semasa perkhidmatan Norman Macalister sebagai Gabenor Pulau Pinang dengan kos sebanyak $80,000. Ia bertujuan bagi mempertahankan kepentingan British dari serangan Perancis.Dinding-dinding kebunya,yang setinggi 10 kaki,dibina dalam bentuk bintang.Pada hari ini, kawasan ini hanya tinggal batu luar tetapi di dalam kubu masih terdapat beberapa struktur asal yang dibina lebih seabad yang lalu,termasuk sebuah gereja kecil ,sel-sel penjara ,bilik tahanan,kawasan storan senjata dan peluru,tiang bendera asal dan kira-kira 17 meriam gangsa lama,salah satu daripada meriam Belanda ini bernama Seri Rambai,yang bertarikh 1603. Meriam ini pada asalnya adalah kepunyaan Syarikat Hindia Timur Belanda (VOC), yang dihadiahkan oleh Belanda kepada Sultan Johor sebelum ia berpindah tangan dari satu kerajaan kepada kerajaan lain akibat peperangan. Sekarang, jata syarikat 'VOC' tersebut masih jelas tertera pada meriam Sri Rambai itu.

Pelancongan

[sunting | sunting sumber]

Kini matlamat utama kota ini adalah sebaliknya, ia kini merupakan tumpuan pelancong utama di Georgetown, Pulau Pinang, Malaysia. Pada masa kini ia memiliki galeri sejarah, dan kedai cendera hati. Di dalam kota itu juga terletak meriam Sri Rambai yang merupakan salah satu meriam yang masyhur yang digunakan oleh Francis Light semasa tempoh pemerintahannya di Pulau Pinang.

Sungguhpun kota ini pada asalnya dibina bagi kegunaan tentera dan pasukan artileri Diraja, dalam sejarah, fungsinya lebih kepada pentadbiran berbanding pertahanan. Sepanjang sejarahnya, kota ini tidak pernah terbabit dalam sebarang pertempuran. Selain digunakan oleh pasukan artileri Diraja United Kingdom, kota ini pernah diduduki oleh Polis Sikh Negeri-negeri Selat pada tahun 1920-an. Kini, ia merupakan salah satu tarikan pelancong utama Pulau Pinang.

Pada hari ini, tapak bersejarah yang diuruskan secara persendirian ini popular di kalangan pengunjung. Ia dilengkapi dengan kiosk informasi pelancong, sebuah kafe, dewan terbuka, galeri sejarah, pusat cenderamata serta jurupandu yang boleh membawa pelancong-pelancong melawati kawasan kubu sambil memberi penerangan tentang sejarahnya.


Pautan luar

[sunting | sunting sumber]

Kategori berkenaan Kota Cornwallis di Wikimedia Commons Koordinat: 5°25′13″N 100°20′38″E / 5.42035°N 100.343783°E / 5.42035; 100.343783