Ledukan
Ledukan, juga boleh dikenali sebagai ledosan[1] (bahasa Inggeris: implosion) ialah proses sesuatu objek dimusnahkan melalui runtuhan (atau himpitan) ke dalam diri objek itu. Bertentangan dengan proses letupan (yang melibatkan pengembangan isi padu), ledukan melibatkan pengurangan isi padu asal sesuatu objek dan menumpukan jirim dan tenaga. Ledukan sebenar biasanya melibatkan perbezaan sangat besar antara tekanan dalaman (yang lebih rendah) dan tekanan luaran (yang lebih tinggi), sehingga struktur sesuatu objek tersebut runtuh ke dalam diri objek itu sendiri, atau ke dalam ruang kosong yang dipenuhi oleh objek itu sekiranya objek tersebut bukannya bersifat pepejal penuh. Contoh-contoh ledukan termasuklah kapal selam yang dihancurkan dari luar oleh tekanan hidrostatik air di sekelilingnya[2] dan keruntuhan najam gergasi disebabkan tekanan gravitinya sendiri.
Ledukan berupaya untuk mencampakkan bahan sesuatu objek itu ke luar (contohnya: berpunca dari daya pantulan semula sejurus runtuhan dalaman sesuatu bahan, atau bahan periferal terlenting keluar apabila bahagian dalam runtuh), tetapi pencampakan bahan ini bukanlah ciri-ciri terpenting untuk berlakunya ledukan dan bukan semua jenis ledukan akan terhasilnya pencampakan bahan. Jika objek itu pada asalnya memang sudah pun pepejal, maka ledukan biasanya mengakibatkan sesuatu objek itu untuk mengambil bentuk yang lebih padat - menghasilkan sesuatu yang lebih pekat, lebih mampat, lebih tumpat, atau sehingga bahan sesuatu objek ditukar kepada bahan baharu yang lebih tumpat daripada bahan asalnya.
Etimologi
[sunting | sunting sumber]"Ledukan" merupakan kata terbitan dari kata dasar leduk (ejaan Jawi: لدوق) [3], yang merupakan kata pinjaman dari bahasa Jawa ꦊꦝꦺꦴꦏ꧀ lêdhok yang bermaksud "lubang".[4] "Ledosan" pula merupakan kata terbitan daripada kata kerja ledos (ejaan Jawi: لدوس) yang berasal dari bahasa Melayu Betawi, yang juga merupakan kata pinjaman dari bahasa Jawa iaitu ꦧ꧀ꦭꦼꦝꦺꦴꦱ꧀ balêdhos melalui kata kerja terbitan ꦄꦩ꧀ꦧ꧀ꦊꦣꦺꦴꦱ꧀ ambalêdhos yang bermaksud "meletus".[5]
Contoh
[sunting | sunting sumber]Senjata nuklear
[sunting | sunting sumber]Dalam reka bentuk senjata nuklear jenis ledukan, sfera plutonium, uranium, atau bahan boleh belah yang lain diledukkan oleh cas letupan yang disusun dalam bentuk sfera. Hal ini mengurangkan isi padu bahan dan dengan itu meningkatkan ketumpatannya dari dua sehingga tiga kali ganda, menyebabkan ia mencapai jisim kritikal dan menghasilkan letupan nuklear.
Dalam beberapa bentuk senjata termonuklear, tenaga hasil letupan ini kemudiannya digunakan untuk meledukkan sesuatu kapsul bahan api lakuran sebelum menyalakannya, sehingga menyebabkan tindak balas pelakuran (sila lihat reka bentuk Teller-Ulam). Secara amnya, penggunaan sinaran untuk meledukkan sesuatu, seperti dalam bom hidrogen atau dalam lakuran terkurung inersia dipacu laser, dikenali sebagai ledukan sinaran.
Dinamik bendalir
[sunting | sunting sumber]Peronggaan (pembentukan gelembung atau runtuhan dalam sesuatu bendalir) melibatkan proses ledukan. Apabila sesuatu gelembung peronggaan terbentuk dalam cecair (contohnya, oleh bebaling air berkelajuan tinggi), gelembung ini biasanya teruntuh atau diledukkan dengan laju oleh cecair sekeliling.
Astrofizik
[sunting | sunting sumber]Ledukan adalah bahagian terpenting dalam keruntuhan graviti bintang berjisim besar, yang boleh membawa kepada penciptaan supernova, bintang neutron dan lohong hitam.
Dalam kebanyakan situasi, bahagian paling dalam sesuatu bintang berjisim besar (yang dipanggil teras) berhenti terbakar dan tanpa sumber haba ini, daya yang memisahkan elektron dan proton tidak lagi cukup kuat untuk berbuat demikian. Teras tersebut runtuh ke dalam dirinya sendiri dengan sangat cepat, dan menjadi bintang neutron atau lohong hitam; lapisan luar bintang asal tersebut jatuh ke dalam dan mungkin melantun keluar dari bintang neutron yang baru dicipta (jika ada), sehingga terbentuknya supernova.
Perobohan struktur terkawal
[sunting | sunting sumber]Bangunan-bangunan besar yang terdiri dari pelbagai jenis struktur seperti kerja batu, rangka keluli atau konkrit bertetulang boleh berubah menjadi runtuhan bahan yang mudah diangkut keluar, melalui cara pemusnahan terpilih struktur sokongan sesuatu bangunan tersebut menggunakan proses letupan berurutan dan terbatas. Matlamat proses ini adalah untuk membataskan bahan sesuatu bangunan tersebut ke kawasan tertentu sahaja, biasanya untuk mengelakkan bahaya terhadap struktur bangunan berdekatan. Teknik ini melibatkan pencetusan sesuatu bahan ledakan yang diletakkan tepat di bahagian struktur bangunan tertentu dalam selang masa spesifik. Proses ini menggunakan graviti untuk menyebabkan pusat bangunan runtuh secara menegak sambil menarik struktur sisi bangunan tersebut ke dalam secara serentak. Proses ini juga seringkali diterangkan secara salah sebagai proses ledukan.
Ledukan tiub sinar katod dan lampu pendarfluor
[sunting | sunting sumber]Hampagas tinggi wujud dalam semua tiub sinar katod. Jika lapisan kaca luar retak, ledukan berbahaya mungkin berlaku. Disebabkan oleh kuasa ledukan, kepingan kaca boleh dilancarkan ke luar pada halaju berbahaya. Walaupun tiub sinar katod moden yang digunakan dalam televisyen dan paparan komputer mempunyai plat muka yang diselaputi oleh epoksi atau adanya langkah-langkah lain untuk mengelakkan lapisan kaca tiub itu pecah, tiub sinar katod yang dikeluarkan daripada peralatan mesti dikendalikan dengan berhati-hati untuk mengelakkan kecederaan pada diri sendiri.[6]
Lihat juga
[sunting | sunting sumber]- Supernova jenis II
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ "ledosan". Portal Maya Istilah Sains (ETISAS). Universiti Kebangsaan Malaysia. Diarkibkan daripada yang asal pada 24 Jun 2023. Dicapai pada 24 Jun 2023.
- ^ "Titanic sub: OceanGate co-founder fears there was an 'instantaneous implosion'". BBC News (dalam bahasa Inggeris). 2023-06-22. Dicapai pada 2023-06-22.
- ^ "leduk". Kamus Dewan. Dewan Bahasa dan Pustaka. 2017. Dicapai pada 6 Jun 2023 – melalui Pusat Rujukan Persuratan Melayu.
- ^ en Roorda, Gericke (1901). "lêdhok". Javaansch-Nederlandsch Handwoordenboek. 22: LaLa–LaNga. E. J. Brill: Leiden, Belanda. m/s. 2: 137 – melalui Sastra Jawa kelolaan Yayasan Sastra Lestari.
KN. hol, met een ingedeukte oppervlakte grooter dan lêkok, bv. van grond...
- ^ Lihat:
- "ledos". Kamus Dewan. Dewan Bahasa dan Pustaka. 2017. Dicapai pada 6 Jun 2023 – melalui Pusat Rujukan Persuratan Melayu.
- Wilkinson, Richard James (1932). "lĕdos". A Malay-English dictionary (romanised). II. Mytilini, Yunani: Salavopoulos & Kinderlis. m/s. 34 – melalui TROVE, Perpustakaan Negara Australia.
(Batav., from Jav.) to burst, of an overfull sack; to break under too great a weight...
- en Roorda, Gericke (1901). "balêdhos". ibid. 33: BaSa–BaNga. m/s. 2:724 "KN. klanknabootsing van het met een slag barsten, springen, knappen, knetteren, vrg. blêdhog. — ambalêdhos, met een slag barsten, uiteenbarsten, springen, ontploffen, als buskruid of kastanjes in het vuur..."
- ^ Bali, S.P. (1994-06-01). Colour Television: Theory and Practice. Tata McGraw-Hill. m/s. 129. ISBN 9780074600245. Diarkibkan daripada yang asal pada 2017-03-21.