Location via proxy:   [ UP ]  
[Report a bug]   [Manage cookies]                
Pergi ke kandungan

Losar

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Losar (skrip Tibet: ལོ་གསར་Wylie: lo-gsar; Cina ringkas: 洛萨Cina tradisional: 洛薩) bermaksud "tahun baru" dalam bahasa Tibet: lo[1] bererti "tahun"; sar[2] bererti "baru". Losar merupakan perayaan paling utama di Tibet.[3] Losar disambut selama 15 hari, termasuk keraian terbesar pada tiga hari pertama. Perayaan Losar didahului oleh amalan Vajrakilaya selama lima hari. Losar biasanya jatuh pada hari yang sama dengan Tahun Baru Cina (tetapi sekali-sekala berbeza satu hari atau satu bulan qamari).

Selain orang Tibet, Losar juga disembut oleh kaum Yolmo, Sherpa, dan rakyat Bhutan, tetapi kaum-kaum ini mempunyai amalan tahun baru yang tersendiri.

Adat resam

[sunting | sunting sumber]
Persembahan Gompa di Lachung pada musim perayaan Losar.

Takwim Tibet terdiri daripada 12 bulan qamari, maka Losar bermula pada tarikh 1 hari bulan 1. Di biara, sambutan Losar bermula pada tarikh 29 hari bulan 12, iaitu hari sebelum Malam Tahun Baru Losar. Pada hari itu, para biarawan mengadakan upacara pemujaan dewa pelindung serta memulakan persiapan untuk sambutan Losar. Pada 29/12 juga, masanya untuk memasak mi guthuk istimewa yang terdiri daripada sembilan ramuan berbeza, termasuk keju kering dan beraneka biji-bijian. Selain itu, diedarkannya bebola doh yang diisi ramuan yang berlainan, sama ada cili, garam, bulu, nasi, arang atau lain-lain. Ramuan yang diisi dalam bebola itu merupakan tanda pandangan pemberi terhadap perwatakan penerima. Jika bebola diisi cili, maka penerimanya mulut murai; jika diisi benda putih seperti garam, bulu atau nasi, penerima itu mesti baik orangnya; jika arang pula, penerimanya dipandang keji.

Hari terakhir dalam setahun adalah masa untuk membersih rumah dan bersiap untuk Tahun Baru.[4] Biara-biara dihiasi perhiasan terbaik dan menyediakan sembahan mewah yang bergelar "Lama Losar". Pada awal subuh hari ini, para sami Biara Namgyal menyembahkan "kuih korban" (Tibetan: tor ma)[5] di atas kuil utama (Potala di Tibet) kepada pelindung Dharma tertinggi, iaitu dewi Palden Lhamo. Diketuai oleh Dalai Lama, para ketua tiga biara terbesar, para lama, tulku, pegawai kerajaan dan orang-orang terhormat menyertai upacara untuk bersembahyang sambil bertakafir, sementara para sami Biara Namgyal membaca mantera Palden Lhamo. Selepas selesainya upacara ini, mereka semua berhimpun di dewan Keunggulan Samsara dan Nirvana untuk majlis ucapan rasmi. Semua orang mengambil tempat duduk di atas kusyen masing-masing sambil saling mengucapkan "Tashi Delek" (Bahasa Tibet: བཀྲ་ཤིས་བདེ་ལེགས, "rahmat dan tuah").

Untuk mengucapkan semoga berjaya kepada Dalai Lama pada tahun akan datang, "pil suci" (ril bu) yang diperbuat daripada doh barli panggang disembahkan kepada beliau oleh wakil-wakil tiga biara utama, dua Badan Tantra, dsb. Kemudian, penghibur (garma) dibawa masuk untuk mempersembahkan tarian ucap semoga berjaya, diikuti oleh perbahasan falsafah Buddha di antara dua orang sami kanan yang diakhiri dengan sembahyang bertuah yang digubah khusus untuk acara ini. Para penyambut membuat hajat kepada Dalai Lama dan semua pembesar agama supaya kekal hidup selama yang boleh di kalangan makhluk-makhluk yang mengalami Samsara (Sanskrit) untuk membimbing mereka sepanjang kegiatan kesedaran mereka. Upacara rasmi hari tahun baru diakhiri dengan upacara selamat tinggal kepada Yang Suci yang kemudian pulang ke kediamannya.

Hari kedua Losar dikenali sebagai Tahun Baru Raja (gyal-po lo-sar) kerana hari ini secara rasminya ditempah untuk perhimpunan sekular di dewan Keunggulan Samsara dan Nirvana. Yang Suci dan kerajaannya bertukar ucapan dengan para pembesar dari dalam dan luar biara, termasuk pelawat dari negara asing.

Mulai hari ketiga hingga hari akhir, orang ramai dan para sami mula bersuka-ria dalam musim perayaan. Di kebanyakan kawasan di Tibet, Losar disambut selama 15 hari atau lebih, manakala di India sambutannya cuma tiga hari, dan di negara lain pula, perayaan Losar hanya sehari.

Losar juga disambut di Nepal dan India kerana wujudnya tumpuan penganut agama Buddha yang besar di negeri-negeri Arunachal Pradesh, Sikkim, dan Kashmir.[6] Puak Monpa di Tawang dan Memba di lembah Menchukha, negeri Arunachal turut menyambut Losar, tetapi kaum Memba menyambutnya setahun lebih awal daripada kaum-kaum lain yang menyambutnya.

  1. ^ Rywiki.tsadra.org
  2. ^ Rywiki.tsadra.org
  3. ^ BBC - Religion & Ethics - Losar, bbc.co.uk
  4. ^ About Buddhist Holy Days Diarkibkan 2007-09-02 di Wayback Machine, hayagriva.org.au
  5. ^ Rywiki.tsadra.org
  6. ^ "Leh-ladakh.com". Diarkibkan daripada yang asal pada 2016-03-03. Dicapai pada 2011-02-02.

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]