Location via proxy:   [ UP ]  
[Report a bug]   [Manage cookies]                
Pergi ke kandungan

Paksaan

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Paksaan (Jawi: ڤقساءن) atau dures (دورس) adalah perbuatan memaksa pihak lain untuk bertindak tanpa rela, dengan menggunakan ancaman, ganjaran, atau ugutan ataupun bentuk lain tekanan atau kekerasan. Tindakan tersebut digunakan untuk menganggu atau campur tangan dalam kebebasan seseorang untuk membuat pilihan, memaksa mangsa untuk bertindak dengan cara yang dikehendaki.[1][2]

Paksaan mungkin fizikal atau mental, melibatkan amang, kesakitan fizikal atau kecederaan psikologi untuk meningkatkan keberkesanan ancaman. Ancaman bahaya kemudian boleh mendorong kerjasama atau pematuhan daripada orang yang dipaksa. Penyeksaan merupakan salah satu contoh pencederaan paksa yang paling ekstrem, iaitu dikenakan sehingga mangsa memberikan maklumat yang dikehendaki.

Ringkasan

[sunting | sunting sumber]

Tujuan paksaan adalah untuk menggantikan matlamat seseorang dengan matlamat yang lebih lemah yang diinginkan oleh pihak yang memaksa agar mangsa terima. Oleh sebab ini, ramai ahli falsafah sosial menganggap paksaan sebagai bertentangan dengan kebebasan.[3]

Terdapat pelbagai bentuk paksaan yang dibezakan: pertama berdasarkan jenis kecederaan yang diancamkan, kedua mengikut matlamat dan skopnya, dan akhirnya menurut kesannya, yang pada mana implikasi undang-undang, sosial, dan etika kebanyakannya bergantung.

Paksaan fizikal adalah bentuk paksaan yang paling biasa dipertimbangkan, yang mana apa yang mungkin diancam ialah mengakibatkan sesuatu terhadap mangsa, ahli keluarga mereka, atau harta benda. Antara contoh yang digunakan ialah mengacukan senjata untuk memaksa mangsa supaya patuh dan jika ia ditentang boleh menyebabkan penyerang mencederakan atau membunuh mangsa.

Tentera bersenjata di banyak negara menggunakan skuad penembak untuk mengekalkan disiplin dan menakut-nakutkan orang ramai atau pihak lawan supaya tunduk atau patuh dengan senyap. Walau bagaimanapun, terdapat juga bentuk paksaan yang tidak bersifat fizikal, yang mana apa yang diancamkan tidak semestinya mengguna kekerasan. Byman dan Waxman (2000) mentakrifkan paksaan sebagai "perbuatan mengguna ancaman kekerasan, termasuk mengguna kekerasan itu secara terhad untuk menyokong ancaman itu, untuk mendorong pihak lawan berkelakuan berbeza daripada yang sepatutnya."[4] Dalam banyak kes, paksaan tidak mengakibatkan kemusnahan harta benda atau kematian kerana matlamatnya adalah kepatuhan mangsa.

Pematuhan melalui kesakitan

Pematuhan melalui kesakitan merujuk kepada penggunaan rangsangan yang menyakitkan untuk mengawal atau mengarah sesuatu organisma.

Tujuan utama kaedah ini adalah untuk mengarahkan tindakan subjek, yang mana kesakitan akan dikurangkan atau dihentikan apabila subjek mematuhi arahan yang diberikan. Ini memberikan insentif kepada subjek untuk melaksanakan tindakan yang diminta.[5]

Rangsangan kesakitan boleh dilakukan secara manual dengan kekasaran dan dengan menekan bahagian tubuh yang sensitif terhadap kesakitan. Hiperektensi (memanjangkan anggota badan secara berlebih-lebihan) atau hiperlenturan sendi (memulas sendi sehingga sakit) juga mungkin digunakan.[6] Alat seperti penyebat, belantan, senjata perenjat elektrik, atau bahan kimia seperti gas pemedih mata atau penyembur lada juga sering digunakan.[7]

Psikologi

[sunting | sunting sumber]

Dalam paksaan psikologi, ancaman kecederaan berkaitan dengan hubungan mangsa dengan orang lain. Contoh yang paling jelas ialah peras ugut, yang mana ancamannya ialah penyebaran maklumat yang memudaratkan. Walau bagaimanapun, banyak jenis lain juga wujud, seperti "peras ugut emosi" yang biasanya melibatkan ancaman penolakan cinta atau dipandang rendah oleh rakan sebaya, atau mewujudkan perasaan serba salah dengan menayangkan kemarahan atau kesakitan seseorang yang mangsa menyayangi atau menghormati.

Perbezaan paksaan dan dures

[sunting | sunting sumber]

Dures, khususnya untuk terjemahan duress, merujuk kepada tekanan, terutamanya fizikal atau ancaman, yang memaksa seseorang melakukan sesuatu dengan cara tertentu. Tindakan yang dilakukan akibat dures biasanya tidak sah, seperti kontrak yang diperolehi melalui dures. Dalam undang-undang jenayah, dures memberikan pembelaan kepada tertuduh jika tindakan mereka dilakukan kerana diugut bunuh atau kecederaan parah, tanpa mengira jika tertuduh sedar perbuatan itu salah. Namun, dures tidak boleh menjadi pembelaan utama dalam tuduhan membunuh, kecuali bagi seseorang yang telah membantu pembunuhan. Ancaman yang tidak semestinya berlaku dalam masa terdekat, tetapi cukup efektif, boleh dianggap sebagai dures. Pembelaan ini tidak terpakai jika orang yang dituduh gagal mencari alternatif lain untuk mengelakkan ugutan.

Paksaan, khususnya bagi terjemahan coercion, juga satu bentuk pembelaan. Skopnya ialah penggunaan paksaan fizikal atau mental. Akan tetapi, ia dahulu terutamanya digunakan untuk isteri yang melakukan jenayah kerana tekanan suami, seperti tekanan moral, ekonomi dan fizikal. Jika seseorang isteri dibebaskan atas alasan paksaan, suaminya mungkin bertanggungjawab atas tuduhan yang dikenakan. Namun, paksaan perlu dibuktikan untuk dipakai. Suruhanjaya Undang-undang 1977 mengesyorkan pemansuhan belaan paksaan ini.[1]

Dures digunakan secara lebih umum dan merupakan pembelaan yang boleh dipakai dalam situasi tertentu manakala paksaan lebih khusus dan memerlukan bukti untuk diterima sebagai pembelaan.

  1. ^ a b Kamus undang-undang: bahasa Inggeris - bahasa Melayu (ed. Cet. ketujuh). Shah Alam: Fajar Bakti. 2005. ISBN 978-967-65-2759-2.
  2. ^ Lembaga Penyelidikan Undang-undang, penyunting (2008). Kamus undang-undang. Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan: International Law Book Services. ISBN 978-967-89-1858-9.
  3. ^ Bhatia, K. L. (2010). Textbook on Legal Language and Legal Writing (dalam bahasa Inggeris). Universal Law Publishing. ISBN 978-81-7534-894-3.
  4. ^ Byman, Daniel L.; Waxman, Matthew C.: Kosovo and the Great Air Power Debate, International Security, Vol. 24, No. 4 (Spring, 2000), pp. 5–38.
  5. ^ Terrill, William; Paoline, Eugene A. (March 2013). "Examining Less Lethal Force Policy and the Force Continuum: Results From a National Use-of-Force Study". Police Quarterly. 16 (1): 38–65. doi:10.1177/1098611112451262. S2CID 154365926.
  6. ^ "USMC Martial Arts Gray Belt Instructor Manual". Dicapai pada 30 April 2015.
  7. ^ Simpson, Fiona (2 March 2020). "Fall in YOI staff linked to restraint increase". Children and Young People Now. 2020 (3): 14–15. doi:10.12968/cypn.2020.3.14. S2CID 253113380 Check |s2cid= value (bantuan).

Bibliografi

[sunting | sunting sumber]

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]