Location via proxy:   [ UP ]  
[Report a bug]   [Manage cookies]                
Pergi ke kandungan

Samarkand

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Sudut Masjid Samarkand
Peta Uzbekistan menunjukkan lokasi Samarqand dan bandar-bandar lain

Samarkand (Uzbek: Samarqand, Самарқанд, Tajik: Самарқанд, Parsi: سمرقند, Turki: Semerkant, Rusia: Самарканд) ialah bandar kedua terbesar di Uzbekistan dan antara bandar tertua di Asia Tengah. Ia dikenali sebagai Maracanda pada tahun 4 Sebelum Masihi (SM) dan merupakan ibu kota kepada Sogdiana dan ditakluk oleh Iskandar Zulqarnain (atau Alexander Agung) pada tahun 329 SM. Kemudian, ia diperintah oleh orang Turki Asia Tengah pada 6 Masihi (M), Arab (8M), Samanid dari Iran (9-10M) dan pelbagai puak dari Turki (11-13M) sebelum dirampas oleh Dinasti Khwarezm Shah (awal 13M) dan dimusnah oleh penakluk Mongol, Genghis Khan. Selepas pemberontakan terhadap pemerintahan Mongol (1365), Samarkand muncul sebagai pusat kepada Empayar Timurlang (Tamerlane) yang mengubah bandar ini kepada pusat ekonomi dan budaya yang terpenting di Asia Tengah.

Samarkand ditakluk orang Uzbek pada 1500 menjadi sebahagian daripada entiti politik Empayar Mongol di Bukhara. Menjelang kurun ke-18, ia mengalami kemerosotan dan ditinggalkan di antara tahun 1720-1770. Ekonominya bangkit semula selepas ia menjadi pusat wilayah Empayar Rusia (1887). Di antara tahun 1924-1936, ia menjadi pusat kepada Republik Sosialis Soviet Uzbekistan. Pada hari ini, Samarkand mengandungi sebuah kota lama yang wujud sejak Zaman Pertengahan dan juga sebuah seksyen baharu yang telah dibina selepas penaklukan oleh Rusia pada kurun ke-19.

Pelan lama kota ini terdiri daripada jalan raya yang bertumpu ke arah tengah kota dari enam pintu yang berasal daripada dinding kota sepanjang 5 batu (8 km) yang dibina sejak kurun ke-11. Dinding dan pintu ini telah diroboh oleh orang Rusia tetapi pelan asal yang wujud sejak Zaman Pertengahan masih utuh hingga kini. Kota lama ini memiliki sebahagian daripada monumen seni bina terbaik Asia Tengah dari kurun ke-14 hingga kurun ke-20 termasuk beberapa bangunan yang telah wujud sejak Samarkand menjadi ibu kota Empayar Timurlang. Antaranya adalah Masjid Bibi-Khanom (1399-1404), sebuah bangunan yang diarah dibina oleh isteri Timurlang berbangsa Cina, dan makam Gur-e Amir, yang merupakan makam Timurlang dan dibina sekitar 1405. Terdapat juga makam Ak Saray yang mengandungi fresko dalaman menakjubkan yang dibina pada pertengahan kurun ke-15; Dataran Rigestan yang merupakan dataran awam menarik dan berhadapan beberapa Madrasah - antaranya diasaskan oleh cucu Timurlang iaitu ahli falak Ulugh Beg (1417-20), yang menjadi asas kepada pembinaan Madrasah jenis Shirdar (1619-1635/36) dan jenis Tilakari (pertengahan kurun ke-17). Ketiga-tiganya menyempadani dataran ini daripada tiga penjuru. Samarkand juga memiliki makam, Madrasah, dan Masjid yang wujud antara kurun ke-15 dan kurun ke-17 tetapi ia tidak setanding bangunan yang dibina semasa pemerintahan Timurlang.

Letaknya di bahagian tengah, tepatnya di Wilayah Samarqand. Pada tahun 2005, bandar ini memiliki jumlah penduduk seramai 412,300 orang. Bandar ini telah didirikan sejak 700 SM lagi.

Bandar kembar

[sunting | sunting sumber]
Kota Negara
Indonesia Banda Aceh Indonesia[1]
AfghanistanBalkh Afganistan
Iran Nishapur Iran
Pakistan Lahore Pakistan
Peru Cusco Peru
Tajikistan Khujand Tajikistan
Tunisia Kairouan Tunisia
Turki Istanbul Turki
Turki İzmir Turki
Turkmenistan Mary Turkmenistan
Ukraine Lviv Ukraina
Uzbekistan Bukhara Uzbekistan
  1. ^ "Banda Aceh - Samarkand". Diarkibkan daripada yang asal pada 2012-03-29. Dicapai pada 2011-11-29. Unknown parameter |dead-url= ignored (bantuan)