Usman Awang
Usman Awang | |
---|---|
Lahir | Wan Osman bin Wan Awang 12 Julai 1929 Kota Tinggi, Johor, Malaya British (kini Malaysia) |
Meninggal dunia | 29 November 2001 Kuala Lumpur, Malaysia | (umur 72)
Tempat pengebumian | Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara |
Nama pena | Tongkat Warrant |
Pekerjaan | Penulis |
Genre | Fiksyen, sajak, cerpen, novel |
Dato' Usman Awang (12 Julai 1929 - 29 November 2001) ialah seorang Sasterawan Negara Malaysia. Terkenal dengan nama penanya Tongkat Warrant, beliau ialah seorang penyair dan ahli drama yang prolifik ketika hayatnya. Usman Awang juga dikenali dengan nama Adi Jaya, Amir, Atma Jiwa, Manis, Pengarang Muda, Rose Murni, Setiabudi, U.A., Zaini dan barangkali lain-lain lagi. Dalam tahun 1991, beliau telah dianugerahi Darjah Kebesaran Dato’ Paduka oleh Sultan Perak Darul Ridzuan yang membawa gelaran Dato’.
Kehidupan awal dan kerjaya
[sunting | sunting sumber]Usman lahir di Kampung Tanjung Lembu, Kuala Sedili, Kota Tinggi, Johor, pada 12 Julai 1929. Beliau diberi nama Wan Osman Wan Awang tetapi menukar namanya ke Usman Awang. Ibunya bernama Halimah, telah meninggal dunia sewaktu beliau masih kecil lagi. Ayahnya seorang nelayan yang mencari dan menjual rotan pada waktu musim tengkujuh. Usman melalui alam kemiskinan semasa alam kanak-kanaknya yang menyebabkan beliau hanya mampu belajar setakat darjah enam sahaja.
Pendidikan yang diterima oleh Usman Awang hanyalah setakat Darjah 6 Sekolah Melayu sahaja. Kemiskinan tidak membenarkannya mengecap kejayaan dengan lebih jauh dalam bidang pendidikan walaupun dia sangat gemar membaca sejak kecil lagi. Beliau bersekolah di Kuala Sedili (1936), Mersing (1937) dan Bandar Maharani (1940) hingga lulus Darjah 6.
Ketika Jepun menjajah Malaya bermula dari tahun 1942, Usman Awang ialah seorang anak tani di Segamat. Tidak lama kemudian beliau menjadi buruh paksa Jepun selama 6 bulan di Singapura. Beliau berjaya melepaskan diri dan pulang ke Segamat. Usman Awang pernah menjadi ‘budak pejabat’ di Pejabat Taliair Segamat. Kemudian, beliau memasuki Botai iaitu pasukan polis Jepun, tetapi selepas beberapa minggu menjalani latihan, pihak Jepun menyerah kalah.
Usman Awang menjadi anggota polis apabila Inggeris kembali memerintah semula pada tahun 1946. Beliau menjalani latihan di Johor Bahru sebelum menjalankan tugasnya di Melaka. Pada tahun 1951, beliau berhenti dan berhijrah ke Singapura dan bekerja sebagai pembaca pruf dengan Melayu Raya selama enam bulan sebelum menjadi pemberita. Sesudah itu, beliau bekerja di Mingguan Melayu sebagai sidang pengarang.
Pada tahun 1952, Usman Awang mendapat tawaran bekerja di Utusan Melayu sebagai sidang pengarang akhbar Utusan Kanak-Kanak. Beliau diangkat menjadi pengarang Utusan Zaman dan majalah Mastika selepas itu. Pada tahun Malaya mencapai kemerdekaan, Utusan Melayu berpindah ke Kuala Lumpur. Usman Awang turut serta berhijrah dengan memegang jawatan yang sama. Dalam tahun 1961, beliau terlibat dalam peristiwa pemogokan Utusan Melayu. Akibatnya beliau berhenti dan menganggur seketika.
Pada tahun 1962, Usman Awang bekerja di Penerbitan Federal selama lapan bulan. Kemudian beliau berkhidmat sebagai sidang pengarang di Dewan Bahasa dan Pustaka. Jawatan pertamanya adalah sebagai sidang pengarang untuk majalah Dewan Bahasa. Kemudian beliau menjadi pengarang untuk majalah Dewan Masyarakat, Dewan Sastera dan Dewan Budaya. Jawatan yang disandang beliau ketika itu ialah Pegawai Penyelidik Kanan. Usman kemudian ditukarkan ke Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Sastera. Mulai Mei 1982 beliau menjadi ketua bahagian ini sehingga persaraannya pada bulan Julai 1985.
Selepas bersara daripada Dewan Bahasa Dan Pustaka, Usman Awang bergiat cergas dalam beberapa pertubuhan masyarakat. Antaranya ialah Persatuan Persahabatan Malaysia-Cina. Sementara itu dalam tahun 1991, beliau dilantik sebagai Ahli Jemaah Kolej Selatan. Perlantikan ini disifatkan oleh beliau sebagai pemangkin ke arah meningkatkan hubungan antara kaum dalam proses pembentukan satu bangsa Malaysia. Jawatan ini dipegang hingga tahun 2001. Selain itu beliau dilantik sebagai Penasihat Sastera Maybank mulai 1991 hingga 2001.
Sumbangan
[sunting | sunting sumber]Usman Awang mula membentuk namanya dalam dunia persuratan Melayu Moden dengan menulis sajak. Sajak-sajaknya sentiasa segar, kukuh serta akrab dengan akar budi Melayu dan perikemanusiaan. Beberapa buah sajaknya menjadi bahan yang amat menarik. Bukan sahaja di kalangan masyarakat terbanyak yang cintakan puisinya tetapi menjadi mainan bibir di kalangan anak-anak sekolah pada waktu itu dalam sebarang upacara mendeklamasi sajak. Antara sajaknya yang cukup popular adalah “Pak Utih”, “Ke Makam Bonda”, “Nasib Buruh”, “Bunga Popi”, “Gadis Di Kuburan”, dan “Salam Benua”.
Usman adalah di antara penyair Melayu yang berhasil mengekalkan semangat dan harmoni pantun di dalam sajak-sajaknya. Dengan menggunakan kata-kata biasa dalam penulisannya, beliau pintar menjalin kata-kata itu hingga menjadi begitu indah dan berkesan tanpa melemahkan makna yang hendak disampaikan. Inilah di antara keistimewaan yang ada pada Usman Awang.
Ketokohan Usman Awang menonjolkan kerana perwatakan peribadinya yang lemah lembut dan mesra, dan simpatinya terhadap golongan bawahan yang miskin dan manusia yang malang. Usman adalah seorang seniman yang berjiwa rakyat.
Usman Awang pernah diundang melawat Amerika Syarikat, Indonesia, Filipina, China dan Rusia, sebagai salah seorang penyair terkenal dari Malaysia. Beberapa buah karyanya telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris, China, Jepun, Korea, Perancis, Thai, Czechkoslovakia, Danish, Tamil, Itali, Rusia dan lain-lain. Beliau di anggap sebagai seorang yang berjiwa besar dalam bidang sastera yang tidak jemu-jemu memperkayakan budaya negara.
Beliau telah dilantik sebagai salah seorang anggota Panel Hadiah Karya Sastera dan juga telah dianugerahkan gelaran “Pejuang Sastera” oleh Perdana Menteri pada 29 Mei 1976. Mulai tahun 1979, kerana ketokohan, pengalaman dan dedikasinya, beliau dilantik menjadi setiausaha kepada Panel Anugerah Sastera, sebuah badan kehormat yang tertinggi di tanah air.
Dalam tahun 1982 Usman Awang telah dipilih menerima SEA Write Award. Pada 11 Ogos 1983 Usman dianugerahkan pula Ijazah Doktor Kehormat (Persuratan) oleh Universiti Malaya. Usman Awang juga adalah penerima Anugerah Sastera Negara bagi tahun 1983. Akhbar Berita Harian telah menganugerahi Usman Awang Zamalah Sastera dalam tahun 1985 iaitu untuk kategori Penulis Terkenal (Veteran). Anugerah ini bertujuan mengadakan kemudahan berkarya dan memberikan sumbangan kepada perkembangan kesusasteraan tanah air. Dalam tahun 1995 beliau diberi Anugerah Penyair Johor. Antara karya-karya terkenal beliau adalah :-
Novel : Tulang-Tulang Berserakan
Cerpen : Untuk Malaya Merdeka, Turunnya Sebuah Bendera, Kami Yang Terlibat dan lain-lain.
Drama : Muzika Uda dan Dara, Degup Jantung, Malam Kemerdekaan, Tamu Di Bukit Kenny, Matinya Seorang Pahlawan – Jebat, Serunai Malam dan lain-lain.
Sajak : Pak Utih, Ke Makam Bonda, Salam Benua, Gadis Di Kuburan, Kekasih, Bunga Popi dan lain-lain.
Dalam kegiatan dan organisasi penulis tanahair, sumbangan dan penyertaan Usman Awang amat dirasakan. Beliau banyak terlibat secara aktif dalam banyak aktiviti penulis. Bukan saja hidupnya sebagai pencipta karya yang asli dan halus tetapi juga sebagai penggerak yang berani memberi inspirasi dan semangat kepada ramai penulis muda. Sejak tahun 1950-an beliau merupakan salah seorang pengasas Ikatan Persuratan Melayu Melaka (IPM), Setiausaha Angkatan ASAS 50 [1] di Singapura dan Ketua PENA yang pertama (1962-1965). Beliau juga adalah salah seorang yang mengambil daya inisiatif untuk mengadakan Hari Puisi, Cempaka Berbunga, Malam Gema Puisi dan Gentar Rasa di Panggung Anniversary, Manifestasi Dua Seni dan banyak lagi aktiviti lain. Kumpulan Puisi “Keranda 152” dan “Telok Gong” juga adalah daya usaha Usman Awang bersama penyair lain.
Ketokohan Usman Awang dalam Melayu Moden, khususnya sajak dan drama, amat banyak diperkatakan. Maka itu nama Usman Awang paling terkenal kepada semua pengkaji dan peminat sastera melayu di pelbagai peringkat dan golongan, di dalam atau luar negara. Kejayaannya mempertahankan dirinya sebagai seorang penyair dan budayawan yang terus kreatif memberikan rasa keteguhan terhadap tradisi baru sastera melayu. Beliau adalah seorang penyair yang tidak pernah luntur dan dapat menyesuaikan diri dalam pelbagai zaman dan situasi.
Penulisan
[sunting | sunting sumber]Dalam bidang penulisan beliau lebih terkenal dengan lebih 200 puisi dan drama. Antara judul sajak yang sinonim dengan Usman Awang ialah
- Bunga Popi
- Gadis Kecil
- Ke Makam Bonda
- Kekasih
- Kurang Ajar
- Pak Utih
- Suara Dari Pusara
Dramanya yang terkenal ialah:
- Matinya Seorang Pahlawan
- Tamu Bukit Kenny
- Serunai Malam
- Malam Kemerdekaan
Drama muzikalnya ialah "Uda dan Dara". Hanya ada satu novel karya Usman Awang iaitu "Tulang-Tulang Berserakan" (terjemahan ke dalam bahasa Rusia oleh Alla Rozhanskaya dengan judul "Tam Gde Ikh Nastigka Pulya" - Di sana mereka kena peluru - Moscow, 1984)
Dato' Dr. Usman Awang juga pernah menggunakan nama pena Adi Jaya, Amir, Atma Jiwa, Manis, Pengarang Muda, Rose Murni, Setiabudi, U.A., dan Zaini.
Pada tahun 1983, beliau dianugerahkan gelaran "Sasterawan Negara", SEA Write Award 1982 dan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan Universiti Malaya 1983 serta Zamalah Sastera 1985. Pada tahun 1991 dianugerahi Darjah Kebesaran Dato' Paduka oleh Baginda Sultan Perak yang membawa gelaran Dato'.
Hasil penulisan
[sunting | sunting sumber]Berikut ialah hasil penulisan beliau dan kajian tentangnya :
- Enslaved souls : jiwa hamba : Institut Terjemahan Negara Malaysia, 2009.
- Turunnya sebuah bendera : UA Enterprise, 2007.
- Key concepts in Usman Awang's short stories : developing a critical tradition / Mohamad Mokhtar Hassan. : DBP, 2006.
- Kami yang terlibat : DBP, 2006.
- Seorang penyair, sebuah benua rusuh : biografi Usman Awang / Muhammad Haji Salleh: DBP, 2006
- Tulang-tulang berserakan : UA Enterprise, 2006.
- Sasterawan negara Usman Awang / Zurinah Hassan.: DBP, 2006.
- Usman Awang dalam esei dan kritikan/ penyelenggara Halilah Haji Khalid : DBP, 2004
- Yang bernama cinta memuatkan puisi "Kekasih" : Utusan Publications & Distributors, 2002.
- Koleksi terpilih sasterawan negara Usman Awang / penyelenggara Dinsman: DBP, 1995.
- Selected plays by Usman Awang : DBP, 1995.
- Puisi-puisi pilihan (Edisi pelajar) : DBP, 1994.
- Matinya seorang pahlawan : Jebat = : Death of a warrior : Jebat / Usman Awang ; terjemahan oleh Rahmah Bujang : DBP, 1992.
- Puisi-puisi pilihan Usman Awang ; untuk Tingkatan 6 / Rahman Shaari: Fajar Bakti, 1992
- Gelombang : (sajak-sajak pilihan 1949-60) : DBP, 1988.
- Drama-drama pilihan Sasterawan Negara Usman Awang : DBP, 1987.
- Berkenalan dengan pengarang Usman Awang / Mana Sikana.: Pustaka Siswa Moden, 1986.
- Usman Awang : penyair ulung.: Berita Publishing, 1986.
- Panduan menulis cerpen / diselenggarakan oleh A. Bakar Hamid & Usman Awang. : DBP, 1984.
- Tamu di Bukit Kenny : DBP, 1984.
- Sikap dan pemikiran Usman Awang / diselenggarakan oleh Dinsman dan Sutung Umar RS.: Fajar Bakti, 1983.
- Salam benua = Greetings to the continent : DBP, 1982.
- Degup jantung.: Pustaka Melayu Baru, 1981.
- Titian zaman : antologi puisi pilihan / disusun dan dibicarakan oleh Usman Awang & Ismail Ahmad.: DBP, 1980.
- Muzika Uda dan Dara : DBP, 1976.
- Three South East Asian plays/ Usman Awang dll
- Gadis dan Ayat Suci (1950)
Sifat ketokohan
[sunting | sunting sumber]Dato' Usman merupakan seorang penulis yang berani menyatakan sikap dalam hal-hal besar yang menimpa negara. Baginya, seseorang hanya layak digelar penulis apabila sudah berani menyatakan sikap. "Kalau tak berani tak payah jadi penulis."
Antara lain, Dato Usman pernah berkata “Saya menentang prejudis terhadap bahasa Melayu ini. Saya hampa kerana pemimpin negara sendiri yang tidak percaya kepada kemampuan bahasa kebangsaan.”
Meninggal dunia
[sunting | sunting sumber]Pada tanggal 29 November 2001, pada bulan Ramadhan, beliau meninggal dunia setelah lama menghidap penyakit jantung. Beliau ketika itu berusia 72 tahun. Usman meninggalkan empat anak, Haslina (57 tahun), Iskandar (44 tahun), Mohamad Yamin (40 tahun) dan Mayawati (29 tahun). Isteri Allahyarham, Hasnah Den telah meninggal dunia pada 5 Februari 1999. Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan selepas solat Zuhur di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Bukit Kiara, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur di mana bersemadinya dua Sasterawan Negara, Keris Mas dan kini Tongkat Warrant.[2] Penulis-penulis yang mengenali beliau turut hadir, antara lain Dr Anwar Ridhwan, Sutung Umar RS, Dato A. Samad Said, Dato Baha Zain, Dato Shanmugalinggam dan Profesor Muhammad Haji Salleh.
Sekolah Kebangsaan Dato Usman Awang di Johor telah dinamakan bersempena dengan nama beliau.
Terjemahan ke dalam bahasa Rusia
[sunting | sunting sumber]- Usman Awang. Kami Yang Terlibat. Penterjemah B. Parnickel. - in: Vostochny Almanakh (Almanak Timur), Vip. 5. Moscow: Goslitizdat, 1962, hlm. 259-267
- Usman Awang. Bidak-Bidak; Sebuah Coretan; Kenangan Jauh. - in: U Obochini Shosse. Rasskazi Sovremennih Malayskih Pisatelei (Di Tepi Jalan. Cerpen Penulis Melayu Moden). Penusun dan penterjemah B. B. Parnickel. Moscow: Vostochnaya Literatura, 1963.
- Usman Awang. Budi. Penterjemah B. B. Parnickel - in: Dobroe Delo. Rasskazi Pisatelei Malayzii i Singapura (Budi. Cerita Pendek Penulis Malaysia dan Singapura). Penyusun dan prakata B. B. Parnickel. Alma-Ata: Zhazushi, 1973.
- Usman Awang. Bidak-Bidak; Tugas; Matinya Seorang Perempuan. Penterjemah B. Panickel, T. Dorofeeva, V. Sigaev. - in: Sovremennaya Malayziyskaya Novella (Cerpen Malaysia Moden). Penyusun V. Sigaev, B. Parnickel. Prakata B. Parnikel. Moscow: Progress, 1977.
- Usman Awang. Pak Utih. Penterjemah V. Braginsky - in: "Pamir", 1977, № 1, hlm. 76-77.
- Usman Awang. Pak Utih. Penterjemah V. Braginsky - in: Izbrannie Proizvedeniya Poyetov Azii (Karya Pilihan Penyair Asia). Moscow: Vostochnaya Literatura, 1981.
- Usman Awang. Tam Gde ih Nastigla Pulya. Povest' i Rasskazi (Tulang-Tulang Berserakan. Novel dan Cerpen-Cerpen). Penyusun dan prakata B. Parnickel. Moscow: Vostochnaya Literatura, 1981 [kandungan:Tulang-Tulang Berserakan (novel). Penterjemah A. Rozhanskaya; Mogok. Kempen Pilihanraya. Tontonan. Sambil Lalu (cerpen). Penterjemah T. Dorofeeva]
- Usman Awang. Pak Utih; Kambing Hitam; Balada Tentang Pembunuhan Beringin Tua di Pinggir Jalan. Penterjemah Marina Eliseeva. - in: Ruchei. Traditsionnaya i Sovremennaya Malayskaya Poezia (Sumur di Ladang. Puisi Melayu Tradisional dan Moden). Penyusun dan prakata B. B. Parnickel. Moscow: Krasnaya Gora, 1996. ISBN 5-87647-006-6
- Usman Awang. Bunga Popi; Balada Tentang Pembunuhan Beringin Tua; Suara dari Pusara - in: Pokoryat' Vishinu. Stikhi Poetov Malayzii i Indonezii v Perevodah Victora Pogadaeva (Bertakhta di Atasnya. Puisi Penyair Malaysia dan Indonesia Dalam Terjemahan Victor Pogadaev). Moscow: Klyuch-S, 2009. ISBN 978-5-93136-089-8
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ Syed Husin Ali. "Asas 50 dan cita-cita kemasyarakatannya" – Bengkel Asas 50 dan Sastera Melayu Moden (22–23 Aug 1980). Kuala Lumpur: DBP, 1980
- ^ Ismail, Azman (30 November 2001). "Usman Awang meninggal dunia". Utusan Malaysia. Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-03-10. Dicapai pada 5 Julai 2016.
Bibliografi
[sunting | sunting sumber]- Usman Awang. - in: V. A. Pogadaev. Malayziya. Karmannaya Entsiklopedia (Malaysia. Ensiklopedia Saku). Moscow: "Muravei-Guide", 2000, hlm. 322-323. ISBN 5-8463-0115-0
- Pogadaev, Victor. “Bapa Sastera Melayu Moden”. - in: “Berita Harian”, 5.12.2001.
- Pogadaev, Victor. “‘Dari Bintang ke Bintang’ papar kekuatan puisi Usman”. - in: ”Berita Harian”, 16.03.2002.
- Zurinah Hassan, Sasterawan negara Usman Awang. Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka, 2006. ISBN 9789-8362-9164-6
- Muhammad Haji Salleh. Seorang Penyair,Sebuah Benua Rusuh:Biografi Usman Awang. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2006.
- Usman Awang : penghubung sastera moden dengan akar tradisi. Editor, Hamzah Hamdani. Johore Baru: Yayasan Warisan Johor, 2003. ISBN 9832440041, ISBN 9789832440048
- Halilah Haji Khalid. Usman Awang dalam esei dan kritikan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2004.