Location via proxy:   [ UP ]  
[Report a bug]   [Manage cookies]                
Pergi ke kandungan

Belangkas

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Belangkas
Limulus polyphemus
Pengelasan saintifik
Alam:
Filum:
Subfilum:
Order:
Superkeluarga:
Keluarga:
Limulidae

Belangkas ialah sejenis haiwan artropod dalam order Xiphosura keluarga Limulidae[2][3] yang hidup di laut masin dan sedikit di paya air tawar. Ia dalam kumpulan Chelicerata yang paling dekat dengan araknid seperti labah-labah, sengkenit dan kala jengking.[4][5][6]

Belangkas mudah ditangkap di tepi pantai kerana tidak menggigit.

Peristilahan

[sunting | sunting sumber]

Nama belangkas (Jawi: بلڠکس) asalnya dipakai kepada spesies Tachypleus gigas yang betina, pasangan jantan spesies ini dipanggil koncor (Jawi: ‏‎‎کونچور) atau keroncor (Jawi: ‏‎‎کرونچور).[7] Keroncor juga dipakai untuk spesies Carcinoscorpius rotundicauda di Singapura.[8]:74

Belangkas betina juga dipanggil mimi (Jawi: ميمي) yang dipinjamkan daripada kata bahasa Jawa ꦩꦶꦩꦶ mimi.[9]

Taksonomi

[sunting | sunting sumber]

Nama keluarga Limulidae datang daripada genus Limulus yang dijejak daripada kata bahasa Latin limulus "menjeling"[10] atau "senget sedikit".[11]

Ada empat spesies belangkas yang masih wujud:[1][3][12]

Gambar Nama umum Nama saintifik
Belangkas besar Tachypleus gigas
Belangkas padi Carcinoscorpius rotundicauda
Belangkas tiga duri Tachypleus tridentatus
Belangkas Atlantik Limulus polyphemus

Tachypleus gigas, T. tridentatus dan Carcinoscorpius rotundicauda ditemukan di perairan Hindi-Pasifik, Limulus polyphemus ditemukan di perairan pantai timur Amerika Utara dan Amerika Tengah.[12]

Badan seekor belangkas dibahagikan kepada tiga iaitu bahagian insang (prosomal), bahagian toraks yang bercangkerang (epitosimal) dan ekor (telson).[13]

Carcinoscorpius rotundicauda spesies belangkas yang paling kecil manakala Tachypleus tridentatus spesies yang paling besar.[12] Badan belangkas yang betina kira-kira 20–30% lagi besar daripada badan koncor.[14]

Bentuk badannya mirip ketopong dipakai seorang askar dan juga mempunyai ekor yang panjang dan tajam. Ia boleh mencapai saiz sehingga 51 cm (20 inci). Mata belangkas lebih peka kepada cahaya pada waktu malam berbanding pada waktu siang.[15]

Bahagian bawah seekor belangkas.

Kaki-kaki seekor belangkas terletak di bawah badannya. Ia ada sepasang kaki depan untuk mengaut makanan masuk ke dalam mulutnya, dan lima pasang kaki belakang yang untuk menggerakkannya. Mulutnya terletak di tengah pasang-pasang kakinya.[16] Mana-mana anggota kaki dan ekornya yang patah atau putus dapat tumbuh semula, cengkerangnya yang meretak boleh kembali pulih.[17] Ia juga mempunyai sistem keimunan yang baik.

Darah belangkas berwarna biru disebabkan oleh kehadiran ion tembaga (II) dalam protein hemosianin yang diguna pakai oleh belangkas untuk mengangkut oksigen dalam badan.[18]

Pemakanan

[sunting | sunting sumber]

Belangkas mencari makan cacing, siput laut dan ikan kecil di dasar laut.[19]

Pembiakan

[sunting | sunting sumber]

Belangkas dan keroncor mengawan apabila berlakunya fasa bulan purnama pada setiap bulan.[6] Keroncor melekap atau berkepit pada bahagian bawah badan atau opistosoma belangkas untuk melepaskan beninhya ke dalam telur-telur belangkas, kedua-dua pasangan berenang menuju kawasan pasang surut dekat muara sungai atau tepi pantai untuk bertelur.[20][21]

Pasangan betina menggali lubang di pasir pantai untuk menelur dalamnya. Setiap lubang digali mempunyai kira-kira 200-400 telur.[20] Telur-telurnya disenyawakan keroncor dalam 20 hingga 30 minit sewaktu bertelur, sangkaknya ditimbus dengan pasir apabila air laut menyurut. Telur belangkas mengambil masa 42 hingga 56 hari untuk menetas bergantung kepada suhu, spesies dan tahap kemasinan air laut.[6]

Anak-anak belangkas menjadi dewasa selepas 10 hingga 12 tahun.

Sebagai sumber makanan

[sunting | sunting sumber]

Daging dan telur belangkas halal dimakan orang Islam.[22]

Masyarakat Melayu di Kota Tinggi, Johor memasak belangkas dalam lauk asam pedas dan sambal tumis.[23] Ia juga boleh dimakan dengan hanya memanggang atau membakarnya sahaja. Namun begitu untuk ia bukan sesuatu yang mudah kerana belangkas terdapat sejenis toksin yang boleh memberikan ketidakselesaan kepada deria (pening) atau mabuk. Hanya bahagian tertentu sahaja boleh dimakan dan hanya seseorang yang benar-benar tahu sahaja tahu cara menyediakan makanan laut dari belangkas ini.

Nilai perubatan

[sunting | sunting sumber]

Darah belangkas mengandungi amebosit yang mempunyai peranan sama seperti sel darah putih yang melindungi badan organisma verterbra melawan patogen. Amebosit-amebosit darah ini digunakan untuk menghasilkan lisat yang digunakan untuk mengesan endotoksin bakteria atau virus.[24] Kit antitoksin menggunakan belangkas telah berkembang di Eropah, Amerika Syarikat, Jepun dan Asia Barat sejak 1988.[23]

Darah belangkas berharga RM17,500 atau USD5,000 seliter di Amerika Syarikat. Untuk mendapatkan seliter darah tersebut, nelayan perlu menangkap 115 ekor belangkas bersaiz kecil di Semenanjung Malaysia atau hanya 45 ekor di perairan Sabah yang bersaiz lebih besar. Darah biru belangkas disedut keluar tanpa perlu membunuh belangkas tersebut. Sarjana Sains Akuakultur Institut Akuakultur Tropika Universiti Malaysia Terengganu telah lama menyelidik nilai perubatan belangkas ini. Universiti Malaysia Terengganu sedang memohon geran sebanyak RM3 juta untuk tujuan penyelidikan dan merancang untuk membina sebuah makmal bernilai RM10 juta untuk menghasilkan kit anti-toksin untuk dipasarkan. 500 nelayan di Semerak, Pasir Puteh, Kelantan dibantu bagi menternak belangkas. Para nelayan terbabit dijangka mendapat pendapatan RM 1200 sebulan apabila projek ternakan ini berjaya.[23]

Hubungan dengan manusia

[sunting | sunting sumber]

Peribahasa dalam masyarakat Melayu iaitu 'macam belangkas' bermaksud lelaki dan perempuan yang bergerak bersama-sama ke mana-mana sahaja. Kita akan temui belangkas di laut cetek dalam keadaan berdua-dua iaitu seekor jantan dan seekor betina. Terdapat juga kepercayaan masyarakat Melayu yang menyatakan bahawa hantu takut pada belangkas kerana terdapat ekor yang tajam padanya.

Bentuk ekornya yang panjang dan segi tiga turut dilanjutkan untuk bilah senjata yang panjang seperti pedang.[9]

  1. ^ a b Sekiguchi, K. (1988). Biology of Horseshoe Crabs. Science House. ISBN 978-4-915572-25-8.
  2. ^ a b "Limulidae Leach, 1819". World Register of Marine Species. Institut Marin Flanders. 2023. Dicapai pada 17 Januari 2023.
  3. ^ a b Vestbo, Stine; Obst, Matthias; Quevedo Fernandez, Francisco J.; Intanai, Itsara; Funch, Peter (May 2018). "Present and Potential Future Distributions of Asian Horseshoe Crabs Determine Areas for Conservation". Frontiers in Marine Science. 5 (164): 1–16. doi:10.3389/fmars.2018.00164.
  4. ^ Chliboyko, J. (April 2008). "Crabby Ancestors". Canadian Geographic. m/s. 25.
  5. ^ Lamerato, Amanda (2001). "Limulus polyphemus". Animal Diversity Web. Muzium Zoologi Universiti Michigan. Dicapai pada 17 Januari 2023.
  6. ^ a b c Mohamad Faizul Mat Isa (16 Januari 2021). "Belangkas: Potensi dan Masa Depan". Utusan Borneo. Dicapai pada 17 Januari 2023 – melalui Universiti Putra Malaysia.
  7. ^ "Limulus moluccanus". Kamus Bahasa Melayu. Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia. 2017.
  8. ^ Smedley, N. (Julai 1929). "Malaysian King-Crabs". Bulletin of the Raffles Museum. 2: 73–78. Dicapai pada 21 Januari 2023 – melalui Muzium Sejarah Alam Semula Jadi Lee Kong Chian, Universiti Nasional Singapura.
  9. ^ a b Wilkinson, Richard James (1932). "belangkas". A Malay-English dictionary (romanised). I. Mytilini, Yunani: Salavopoulos & Kinderlis. m/s. 106 – melalui TROVE, Perpustakaan Negara Australia.
  10. ^ Lewis, Charlton T.; Short, Charles (1879). "līmŭlus". A Latin Dictionary. Perseus Digital Library.
  11. ^ Heard, Willie (Fall 2001). Coast (PDF). Project Oceanography. m/s. 81–91. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 19 February 2017. Dicapai pada 5 July 2008.
  12. ^ a b c "About the Species". The Horseshoe Crab. Ecological Research & Development Group. 2003. Dicapai pada 17 Januari 2023.
  13. ^ "Anatomy: Topographic Characteristics". The Horseshoe Crab. Ecological Research & Development Group. 2003. Dicapai pada 17 Januari 2023.
  14. ^ Zaldívar-Rae, J; Sapién-Silva, R.E.; Rosales-Raya, M.; Brockmann, H.J. (2009). "American horseshoe crabs, Limulus polyphemus, in México: open possibilities". Dalam Tanacredi, J.T.; Botton, M.L.; Smith, D.R. (penyunting). Biology and Conservation of Horseshoe Crabs. Springer. m/s. 97–113. ISBN 9780387899589.
  15. ^ Palumbi, Stephen R.; Palumbi, Anthony R. (2014). The Extreme Life of the Sea. Oxfordshire, England, UK: Princeton University Press. m/s. 25. ISBN 9781400849932.
  16. ^ "Anatomy: Bottom View". The Horseshoe Crab. Ecological Research & Development Group. 2003. Dicapai pada 17 Januari 2023.
  17. ^ Castillo Y, Garabedian LA (26 April 2007). Limb Regeneration in Horseshoe Crabs (PDF) (Tesis). Worcester Polytechnical Institute.
  18. ^ "Anxious Arthropods". Ohio History. 25 September 2014. Diarkibkan daripada yang asal pada 29 Mac 2020. Dicapai pada 29 Mac 2020.
  19. ^ "Horseshoe Crabs". MarineBio Conservation Society. 18 Mei 2017. Dicapai pada 17 Januari 2023.
  20. ^ a b Faridah Mohamad (13 April 2021). "Pepatah Berkepit Macam Belangkas: Satu Tinjauan Saintifik". Majalah Sains. Dicapai pada 25 Februari 2023.
  21. ^ "Facts About Horseshoe Crabs and FAQ". Suruhanjaya Pemuliharaan Hidupan Liar dan Ikan Florida. 2023. Dicapai pada 25 Februari 2023.
  22. ^ Mohamad Razif (8 Januari 2017). "Irsyad Al-Fatwa Ke-162 Hukum makan belangkas dan telurnya". Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Dicapai pada 17 Januari 2023.
  23. ^ a b c Syarifah Hunaini Syed Ismail (5 Julai 2007). "Belangkas Berpotensi Besar Dalam Bidang Perubatan". Bernama. Diarkibkan daripada yang asal pada 30 September 2007.
  24. ^ "The horseshoe crab and public health". HorseshoeCrab.org. Dicapai pada 21 Januari 2023.

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]
  • Kategori berkenaan Belangkas di Wikimedia Commons