Exists
Exists | |
---|---|
Berasal dari | Johor Bahru, Johor, Malaysia |
Genre | Pop Rock |
Tahun aktif | 1991—kini |
Syarikat rakaman |
|
Laman sesawang | |
Ahli | Mamat - vokal Ezad - vokal Along - gitar utama Ajai - keyboard Musrad - bass Ujang - dram |
Exists merupakan sebuah kugiran pop rock terkenal Malaysia yang juga popular di Singapura dan Indonesia. Kumpulan muzik remaja yang berasal dari Johor Bahru ini mula mencipta nama pada akhir tahum 1991[1] menerusi album debut mereka, EXIST. Dengan jualan album pertama mereka yang mencecah 250,000 unit, dengan sekelip mata mereka telah mencapai puncak populariti dalam industri muzik tempatan, malah lagu Untukmu Ibu juga membawa tuah kepada mereka kerana berjaya mara ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu ke-7. Kumpulan ini juga telah memasuki peringkat akhir Anugerah Juara Lagu sebanyak empat kali iaitu pada tahun 1992, 1994, 2002 & 2003 dengan dua vokalis yang berbeza. Mereka mempunyai lapan album studio serta lima album kompilasi sejak dari tahun 1991.
Sejarah dan latar belakang
[sunting | sunting sumber]1991-1992 : Kemunculan Awal
[sunting | sunting sumber]Kumpulan Exist telah ditubuhkan pada tahun 1991 di Johor Bahru, Johor oleh seorang pengurus artis di syarikat rakaman Jojo's Production pada ketika itu iaitu Mohd Johan bin Abd Aziz. Jojo's Production yang berpusat di Bangunan Abu Kassim, Bandar Baru Uda ketika itu merupakan satu nama besar yang telahpun melahirkan salah satu gergasi rock dari selatan tanah air iaitu Mega sejak tahun 1989 selain pernah menganjurkan konsert tour yang melibatkan Search & Mega.
Segalanya bermula apabila Johan Aziz telah menziarahi rumah kakak iparnya di Mersing pada Hari Raya Aidilfitri. Di rumah itulah beliau terdengar seseorang sedang bermain solo lagu Isabella dengan gitar elektrik memandangkan ketika itu lagu tersebut mencetuskan fenomena di Malaysia dan negara-negara jiran. Dari situlah Johan mendapat tahu bahawa orang yang bermain gitar itu ialah anak saudaranya, Azhrul Nasir (Along) yang ketika itu berusia 13 tahun dan Johan telah meminta kebenaran daripada bapa Along untuk membawa Along tinggal bersamanya di Johor Bahru untuk menubuhkan sebuah kumpulan muzik. Setahun kemudian, barulah Along berpindah ke Johor Bahru untuk meneruskan persekolahannya di sana di bawah jagaan Johan.
Kemudian, Along dan Johan telah memulakan usaha untuk mencari anggota-anggota lain bagi melengkapkan penubuhan kumpulan muzik yang terdiri daripada kalangan remaja. Hasilnya, mereka mendapat lima anggota berusia belasan tahun iaitu Musa Radhi@Musa (Bass, 19 tahun), Mohd Ali Kamarudin@Mamat (Vokal, 13 tahun), Mohd Faizal Maas@Ajai (Keyboard, 16 tahun), Shah Nizam Abdul Halim@Shah (Gitar - 2nd lead, 17 tahun) dan Saharudin Saniman@Ujang (Dram, 18 tahun). Pada asalnya, mereka menamakan kumpulan ini sebagai Axis yang membawa maksud paksi, namun disebabkan wartawan sebuah syarikat penerbitan akhbar tersilap menulis nama kumpulan mereka sebagai Exist, mereka akhirnya mengambil keputusan untuk terus mengekalkan nama Exist yang bermaksud ada/wujud di mana mereka mahukan kumpulan ini popular dan terus wujud sampai bila-bila.
Kumpulan ini kemudiannya telah beberapa kali memulakan sesi rakaman album pertama di Lion's Studio, Singapura pada bulan Mei 1991. Menariknya dalam album ini, Along dan Shah telah bersepakat untuk membahagikan permainan gitar solo lagu-lagu Exist dengan Along bermain solo untuk 6 daripada 10 lagu iaitu Rahsia Pohon Cemara, Janji Bidadari, Sebelum Terlewat, Kerana Cinta, Kuman H.I.V dan Gema Muzik manakala Shah pula mengambil 3 lagu untuk beliau bermain solo iaitu Untukmu Ibu, Hidupan Fantasi dan Meniti Cita-Cita. Satu lagi lagu mereka, Langkah Seiringan merupakan satu-satunya lagu Exist yang telah menggabungkan idea dan sentuhan dua gitar solo daripada Along dan juga Shah.
Setelah sesi rakaman album pertama memakan masa selama hampir 7 bulan, maka siaplah album pertama mereka yang diberi judul EXIST, edaran BMG Pacific dan mula dipasarkan pada Disember 1991. Album ini telah memperkenalkan nama Exist apabila album yang hit dengan lagu Untukmu Ibu, Rahsia Pohon Cemara dan Langkah Seiringan berjaya mencuri hati peminat dengan mencatatkan jualan yang membanggakan dengan melebihi 250,000 unit di Malaysia. Kejayaan album pertama ini telah melayakkan mereka untuk menerima anugerah platinum berkembar pada tahun 1992. Di samping itu, lagu Untukmu Ibu berjaya mara ke peringkat akhir Juara Lagu '92.
1993-1994 : Pengunduran Shah, Album Anugerah, Konflik & Pengunduran Mamat
[sunting | sunting sumber]Pada tahun 1992 yakni selepas album EXIST dipasarkan, dugaan mula menimpa mereka apabila salah seorang gitarisnya, Shah menarik diri dari Exist dan kemudiannya mengikut pengurus mereka, Encik Johan yang terlebih dahulu keluar dari Jojo's Production. Meskipun demikian, Exist tidak mencari gitaris baharu kerana merasakan muzik Exist masih padat walaupun hanya berlima sahaja. , dua lagu hit mereka iaitu Untukmu Ibu dan Rahsia Pohon Cemara tercalon ke separuh akhir Muzik-Muzik 1992 yang menyaksikan format pembahagian genre bersasar diperkenalkan buat pertama kalinya pada tahun tersebut. Namun, hanya lagu Untukmu Ibu sahaja yang mara ke peringkat akhir Juara Lagu 1992 dalam kategori Rock di mana tewas kepada lagu Di Alam Fana Cintamu oleh Kumpulan Fotograf.
Pada tahun berikutnya (1993), Exist bekerjasama dengan Mohamed Ali atau Mat Penang untuk menerbitkan album kedua dengan rakaman dijalankan di Form Recording Studio, Singapura di mana kesemua anggota Exist bertindak menyusun dan memainkan sendiri alat muzik mereka. Akhirnya, album yang diberi judul Anugerah mendarat di pasaran pada penghujung tahun 1993 di bawah edaran BMG Pacific. Album kedua Exist ini sekali lagi meledakkan nama mereka di persada muzik tanah air dengan mencatatkan jualan melebihi 100,000 unit dengan beberapa lagu hit, antaranya Janji Padamu, Anugerah, Nota Di Lautan Sepi serta sebuah lagu ciptaan Saari Amri iaitu Terpaksa. Selain itu, lagu Anugerah ciptaan Along & Baiduri sebagai penulis lirik juga berjaya mara ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu 1994 untuk kategori Pop Rock.
Namun disangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Kelemahan Jojo's Production dalam menguruskan artis-artis mereka termasuklah Exist dan senior mereka iaitu Mega telah menyemarakkan rasa tidak puas hati dalam kalangan anggota Exist itu sendiri yang sememangnya mahukan kebebasan dalam berkarya. Keadaan bertambah parah apabila pihak pengurusan cuba untuk melaga-lagakan anggota Exist sendiri. Sedar akan hal tersebut, anggota Exist mengambil keputusan untuk keluar dari Jojo's Production.
Tindakan berani Exist itu ternyata menimbulkan masalah baharu apabila pihak pengurusan terdahulu telah memfailkan saman terhadap mereka atas alasan kononnya Exist telah melanggar kontrak rakaman, sekaligus lagu-lagu Exist yang telahpun siap dirakamkan di King Studio, Petaling Jaya tidak berjaya dikeluarkan sebagai album ketiga mereka. Keadaan bertambah genting apabila vokalis mereka, Mamat termakan dengan janji-janji manis yang diberikan oleh Jojo's Production dan mula mengambil keputusan untuk bergerak solo, sekaligus meninggalkan Exist.
1995-2000 : Kehadiran Ezad & Kemuncak Karier
[sunting | sunting sumber]Bagi Exist pula, keputusan Mamat untuk bergerak solo mengecewakan mereka kerana nama Exist sering meniti di bibir para peminat khususnya remaja. Biarpun begitu, mereka harus menempuh dugaan tersebut dan perlu mencari vokalis baharu kerana mereka telahpun menandatangani kontrak rakaman bersama BMG Music. Dalam kekalutan tersebut, vokalis kumpulan Mega iaitu Rahmad yang kebetulan singgah ke rumah anggota Exist di Selayang mencadangkan mereka untuk menguji bakat seorang remaja dari Alor Setar, Kedah bernama Mohd Rohaizad Mohd Lazim atau lebih dikenali sebagai Izad. Selain Izad, Exist turut membuat uji bakat terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia atas saranan pihak pengurusan pada ketika itu. Setelah diteliti dan dibuat pertimbangan, akhirnya Exist sepakat untuk memilih Izad sebagai vokalis baharu Exist biarpun memakan masa selama hampir setahun akibat kes mahkamah yang melibatkan meteka dengan pengurusan terdahulu. Dengan terpilihnya Izad, ejaan namanya juga diubah menjadi "Ezad" untuk disesuaikan dengan nama Exist. Mereka kemudiannya memasuki studio untuk memulakan proses rakaman sambil beberapa buah lagu dari album yang tidak berjaya dikeluarkan sebelum ini dirakam semula dengan vokal Ezad. Akhirnya, album ketiga Exist yang diberi judul Diammu Gunung Berapi mula mendarat di pasaran pada tahun 1995 di bawah label BMG.
Pemilihan Ezad sebagai vokalis baharu Exist ternyata tidak sia-sia apabila album tersebut meletup dengan mencatatkan jualan yang membanggakan biarpun Exist masih lagi terpalit dengan beberapa isu terutamanya melibatkan hakcipta beberapa buah lagu dalam album tersebut dengan syarikat rakaman terdahulu selain kadar jualannya yang agak perlahan ketika album ini dipasarkan. Album ketiga Exist yang dibungkus semula dengan judul Mencari Alasan untuk pasaran Indonesia pada tahun 1996 turut meletup di sana dengan rekod sebanyak 600,000 unit. Kehadiran Ezad telah memberi sinar baharu buat Exist untuk terus menempa nama dalam industri muzik tanah air dan menepis dakwaan sesetengah pihak yang menganggap bahawa populariti Exist akan terkubur setelah bertukar vokalis.
Bermula dari album keempat iaitu Jangan Gentar pada tahun 1997, mereka telah menukar nama Exist kepada "Exists" dengan huruf “S” ditambahkan dalam ejaan seolah-olah sebagai satu tanda bahawa mereka mahu peminat peka tentang kewujudan Exists di dalam industri muzik tanah air dengan kekuatan, keazaman dan penghasilan album yang disenangi oleh peminat. Album keempat Exist pula yang dibungkus kedua semula dengan judul Buih Jadi Permadani untuk pasaran Indonesia pada tahun 1998 turut meletup di sana dengan rekod sebanyak 600,000 unit. Tetapi semasa album tersebut dilancarkan, Ajai telahpun meninggalkan Exists untuk memulakan kerjaya solonya sebagai penyanyi, komposer dan jurutera muzik di salah sebuah syarikat rakaman tanah air. Pengunduran Ajai tidak melemahkan semangat Exists biarpun mereka terpaksa bergerak dengan hanya 4 orang di dalam kumpulan. Setahun selepas itu, Exists muncul dengan album kelima mereka yang berjudul Mutan tahun 1998 di mana lagu hitnya ialah Dirantai Digelangi Rindu ciptaan Eddie Hamid. Lagu itu berjaya mara ke Separuh Akhir Muzik Muzik 14.
Setelah Exists menyepi seketika dari sebarang penghasilan album, pada tahun 2000, mereka telah mengeluarkan album kompilasi Best of Exists yang memuatkan lagu-lagu hit dari album Exist sehingga album Mutan. Album ini turut memuatkan dua lagu baharu yang berjudul Bunga dan Tak Ku Biar. Lagu Bunga yang dicipta oleh Allahyarham J.S. Kevin dan lirik oleh Musrad (Musa Exists) mendapat sambutan yang memberangsangkan dan mara ke Separuh Akhir Muzik Muzik 15. Album kompilasi ini merupakan album terakhir Exists di bawah label BMG Music sebelum keluar daripada syarikat tersebut pada tahun yang sama.
2001-2007 : Album Ada & Era Baharu Exists
[sunting | sunting sumber]Selepas menyepi selama dua tahun tanpa album studio baharu, Exists telah berhijrah ke NAR Records dan kembali dengan album terbaru yang berjudul Ada pada tahun 2001. Album ini boleh dikatakan sebagai album studio terbaik untuk kumpulan Exists dan menarik pengaruh dari The Beatles. Album yang terjual melebihi 80,000 unit ini popular dengan dua buah lagu mereka iaitu Jesnita ciptaan Harun Ahmad dan Julia ciptaan Along. Kedua-dua lagu tersebut berjaya memasuki Separuh Akhir Muzik Muzik 17. Sayangnya hanya lagu Julia sahaja yang berjaya mara ke pentas akhir. Dalam masa yang sama, Exists juga banyak membantu kumpulan nasyid Hijjaz dalam menyusun muzik untuk anak-anak didiknya iaitu In-Team dan UNIC yang kebetulan menggunakan NAR Records sebagai pengedar album-album terbitan Hijjaz Records.
Album studio ketujuh mereka, Seperti Dulu diterbitkan sendiri oleh semua anggota Exists. Album ini telah memenangi album Pop Rock Terbaik di Anugerah Industri Muzik ke-11. Lagu Percayakan Siti dan Seperti Dulu mara ke Separuh Akhir Muzik Muzik 18, namun hanya lagu Percayakan Siti ciptaan G-nola & lirik oleh Loloq yang berjaya layak ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu 2003.
Pada tahun 2004, mereka mengeluarkan album studio kelapan mereka berjudul Paragon dengan lagu hit Dengan Atau Tanpamu (ciptaan Munif Hijjaz), Hilang Dalam Ramai dan Kau Jadikan Tandanya. Pada tahun berikutnya kemunculan Exists semakin tenggelam kerana banyak munculnya artis-artis baharu pada ketika itu. Namun begitu, mereka tidak mudah patah semangat, malah mereka cuba untuk mengekalkan populariti mereka dengan mengeluarkan album kompilasi berjudul Exists : Special Edition pada tahun 2006. Turut dimuatkan dalam album ini, lagu ciptaan Tam Spider iaitu Buat Kita (Kasih Seharum Mawar) dan lagu ini menjadi hit serta kerap diputarkan di radio pada ketika itu.
Pada tahun 2007, mereka mengeluarkan album kompilasi yang berjudul Hits Rakaman Semula di mana album ini memuatkan lagu-lagu hit Exists yang dirakamkan semula dengan nafas baharu. Album ini juga merupakan album pertama Exists yang diterbitkan di bawah label mereka sendiri iaitu Ada Exists Sdn. Bhd.
2007-kini : Kontroversi, Pengunduran Vokalis & Exists Reunion
[sunting | sunting sumber]Perselisihan faham adakalanya tidak dapat dielakkan lebih-lebih lagi apabila bergerak dalam satu kumpulan. Kontroversi yang melanda antara anggota Exists kian berpanjangan dan ini telah menyebabkan vokalisnya, Ezad berundur dari kumpulan tersebut. Exists kemudiannya memilih semula Joey yang ketika itu sudahpun menjadi pelakon dan pelawak untuk memenuhi projek Exists.
Exists kemudiannya mengeluarkan album kompilasi berjudul Keunggulan pada tahun 2008 yang memuatkan lagu-lagu hit kumpulan tersebut dari tahun 1991 sehingga tahun 2006. Selain itu, album ini turut memuatkan 2 buah lagu baharu nyanyian Joey iaitu Aku Denganmu dan Cinta Terindah serta sebuah lagu baharu nyanyian Ezad bersama penyanyi Mimie Haris iaitu Di Sebalik Rahsia Cinta, nyanyian asal kumpulan Metropolitan. Namun, kemasukan Joey tidak dapat mengembalikan populariti kumpulan Exists, apatah lagi mereka terpaksa bersaing dengan kumpulan-kumpulan indie yang kian menguasai pasaran muzik tempatan pada ketika itu. Namun beberapa tahun kemudian, hubungan Exists dan bekas vokalisnya, Ezad kembali terjalin dan masing-masing telah melupakan peristiwa hitam yang pernah menghantui hidup mereka sepanjang bergelar artis.
Pada tahun 2016, mereka telah mengadakan konsert Throwback Exists yang berlangsung di Far East Square, Singapura. Pada kali ini, Ezad bergabung dengan Along, Ujang dan Musrad untuk bersama-sama dalam konsert tersebut dan persembahan mereka mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada peminat di sana.
Selepas beberapa siri perbincangan diadakan, akhirnya Exists membuat kemunculan semula buat pertama kalinya bersama Ezad, Mamat, Ajai dan Shah di Anugerah Meletop Era pada 21 April 2019. Kemunculan Exists bersama bekas-bekas anggotanya ternyata mengubat kerinduan para peminat terhadap kumpulan rock yang telah tertubuh sejak anggotanya masih berusia belasan tahun lagi.
Ahli kumpulan
[sunting | sunting sumber]Penyanyi
[sunting | sunting sumber]- Mohd Ali bin Kamarudin (Mamat) (1991-1995, 2019-kini)
- Vokalis pertama kumpulan Exists (dahulunya Exist) pada tahun 1991. Mamat merakamkan dua buah album bersama Exists iaitu Exist dan Anugerah, sebelum meninggalkan kumpulan tersebut pada tahun 1995 untuk bergerak secara solo. Beliau membuat kemunculan semula bersama Exists ketika konsert Exists Reunion pada tahun 2019.
- Mohd Rohaizad bin Mohd Lazim (Ezad Lazim) (1995-2007, 2019-kini)
- Vokalis Exists yang menggantikan Mamat pada tahun 1995. Bakat nyanyian Ezad mula dikesan oleh Rahmad (penyanyi kumpulan Mega) ketika Rahmad menjadi juri jemputan untuk pertandingan akhir Bintang RTM peringkat negeri Kedah pada tahun 1994. Selain bergelar vokalis Exists, Ezad juga mula mengambil peranan sebagai pemain gitar bersama Along sekitar tahun 2001/2002, di mana beliau sering menyanyi sambil bermain gitar dalam kebanyakan persembahan Exists. Beliau merupakan tunjang utama Exists bersama Along, Musa dan Ujang. Sepanjang penglibatan beliau dalam Exists, Ezad telah merakamkan lapan buah album studio bersama Exists, iaitu album Diammu Gunung Berapi (1995), Jangan Gentar (1997), Mutan (1998), Ada (2001), Seperti Dulu (2003), Paragon (2004), Special Edition (2006) dan Hits Rakaman Semula (2007). Beliau bergerak bersama Exists selama dua belas tahun sebelum meninggalkan kumpulan tersebut pada tahun 2007. Selepas hampir tujuh tahun beliau meneruskan kerjaya seni sebagai penyanyi solo, Ezad pernah dipanggil semula bersama Exists untuk menjayakan beberapa buah persembahan antaranya, Exists Reunite Showcase bersama Joey dan Exists di Hard Rock Cafe Melaka (24 Ogos 2014), The Blue Jeans Concert bersama kumpulan MAY dan Blues Gang di Panggung Sari, Istana Budaya (23 Oktober 2015) dan konsert Throwback Exists di Far East Square, Singapura (Disember 2016), sebelum kembali bersatu bersama Exists untuk konsert Exists Reunion pada tahun 2019.
- Zulkifli bin Daud (Joey) (2008-2017)
- Vokalis Exists yang menggantikan Ezad pada tahun 2008 dan sempat menghasilkan album kompilasi Keunggulan bersama kumpulan tersebut. Selain menyanyi, Joey juga merupakan seorang pelakon.
Pemuzik
[sunting | sunting sumber]- Azhrul bin Nasir (Along, G-nola)
- Pemain gitar utama Exists sejak tahun 1991 sehingga kini. Juga merupakan seorang komposer dan penulis lirik. Selain bermain gitar, Along juga mengambil peranan sebagai pemain keyboard setelah Ajai meninggalkan Exists pada tahun 1998. Merupakan tunjang utama Exists bersama Musrad.
- Shah Nizam bin Abdul Halim (Shah)
- Pemain gitar Exists bersama Along pada tahun 1991. Sempat bersama Exists dalam album sulung mereka sebelum meninggalkan kumpulan tersebut pada tahun 1992.
- Mohd Faizal bin Maas (Ajai)
- Pemain keyboard Exists pada tahun 1991. Sempat bersama Exists dalam empat buah album terawal mereka sebelum meninggalkan kumpulan tersebut pada tahun 1998 untuk mengembangkan kerjaya seni beliau secara solo. Juga merupakan seorang penyanyi, komposer dan penulis lirik.
- Musa bin Radhi (Musa, Musrad, Mus Ra)
- Pemain bass dan ketua kumpulan Exists sejak tahun 1991. Seperti Along, Musrad juga merupakan seorang komposer dan penulis lirik. Merupakan tunjang utama Exists bersama Along.
- Saharudin bin Saniman (Ujang)
- Pemain dram Exists sejak tahun 1991. Merupakan salah seorang pemain dram tersohor tanah air.
Garis Masa
[sunting | sunting sumber]Diskografi
[sunting | sunting sumber]Album studio
[sunting | sunting sumber]- Exist (1991)
- Anugerah (1993)
- Diammu Gunung Berapi (1995)
- Jangan Gentar (1997)
- Mutan (1998)
- Ada (2001)
- Seperti Dulu (2003)
- Paragon (2004)
Album kompilasi
[sunting | sunting sumber]- Dulu Dan Sekarang (1994)
- Best of Exists (2000)
- Special Edition (2006)
- Hits Rakaman Semula (2007)
- Keunggulan (2008)
Album pasaran Indonesia
[sunting | sunting sumber]- Mencari Alasan (1996)
- Buih Jadi Permaidani (1998)
- Dirantai Digelangi Rindu (1999)
- The Best of Exists (2001)
Single
[sunting | sunting sumber]Tak Berakhir (2019)
Anugerah dan pencalonan
[sunting | sunting sumber]Tahun | Anugerah | Kategori | Nota | Keputusan |
---|---|---|---|---|
2002 | ||||
Anugerah Era 2002 | Carta Era | Jesnita (13 Minggu) | Menang | |
Lagu Rock Pilihan | Jesnita | Tercalon | ||
2003 | Anugerah Planet Muzik 2003 | Album Terbaik | Ada | Tercalon |
Lagu Terbaik | Julia | Tercalon | ||
Kumpulan Paling Popular | Tercalon | |||
Duo/Kumpulan Terbaik | Tercalon | |||
Anugerah Era 2003 | Lagu Rock Pilihan | Percayakan Siti | Menang | |
Band Pilihan | Menang | |||
Muzik Video Pilihan | Seperti Dulu | Tercalon | ||
Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2003 | Artis Duo/Kumpulan Popular | Menang | ||
2004 | Anugerah Industri Muzik ke-11 | Album Pop Rock Terbaik | Seperti Dulu | Menang |
Album Terbaik | Seperti Dulu | Tercalon | ||
Anugerah Planet Muzik 2004 | Album Terbaik | Seperti Dulu | Tercalon | |
Lagu Paling Popular | Seperti Dulu | Tercalon | ||
Kumpulan Paling Popular | Menang | |||
Duo/Kumpulan Terbaik | Tercalon | |||
2005 | Anugerah Era 2005 | Band Pilihan | Tercalon |
Anugerah lain
[sunting | sunting sumber]- Anugerah Emas Platinum Berkembar album : Exist (1992)
- Anugerah Jualan Cakera Emas album : Diammu Gunung Berapi (1995)
- Anugerah Jualan Cakera Emas album : Jangan Gentar (1997)
- Anugerah Jualan Cakera Emas album : Mutan (1998)
- Anugerah Jualan Cakera Emas album : Best of Exists (2000)
- Juara 100 Terhangat Di Era 2002 (Jesnita)
- Anugerah Majalah URS 2004 - Kumpulan Paling Popular
Pencapaian
[sunting | sunting sumber]Anugerah Juara Lagu (Peringkat Akhir)
[sunting | sunting sumber]Tahun | Judul Lagu | Kategori | Komposer | Penulis lirik |
---|---|---|---|---|
1992 | Untukmu Ibu | Rock | Rahim Othman | Megat Ismail |
1994 | Anugerah | Pop Rock | Along Exists | Baiduri |
2002 | Julia | Pop Rock | G-Nola | Loloq |
2003 | Percayakan Siti | Pop Rock | G-Nola | Loloq |
Muzik-Muzik (Separuh Akhir)
[sunting | sunting sumber]Muzik Muzik | Judul Lagu | Kategori | Komposer | Penulis lirik |
---|---|---|---|---|
Separuh Akhir Muzik Muzik 7 | Rahsia Pohon Cemara | Rock | LY | LY |
Separuh Akhir Muzik Muzik 14 | Dirantai Digelangi Rindu | Balada | Eddie Hamid | Man Toba |
Separuh Akhir Muzik Muzik 15 | Bunga | Balada | J.S. Kevin | Musrad |
Separuh Akhir Muzik Muzik 17 | Jesnita | Pop Rock | Harun Ahmad | Fauziah Hashim |
Separuh Akhir Muzik Muzik 18 | Seperti Dulu | Pop Rock | G-Nola | Musrad |
Konsert
[sunting | sunting sumber]- Konsert di Hard Rock Cafe Melaka (2014)
- Konsert "Throwback Exists" di Singapura (2016)
- Konsert Minggu Ini (KMI) : "Exists Reunion" - 6 Julai (2019), Auditorium Perdana, Angkasapuri, Kuala Lumpur.
- Konsert Exists Reunion by Shiraz Project - 28 September (2019), Stadium Malawati, Shah Alam.
- Konsert Exists Reunion by Shiraz Project - 5 Oktober (2019), MES Theatre, MediaCorp, Singapura.
- Konsert "Resolusi Exists" - 18 November (2022), Zepp KL
- Konsert "Exists Reunion Tour" - 14 Januari (2023), Singapore.
- Konsert - 3 Jun (2023), Dewan Filharmonik Petronas (DFP).
- Konsert EXISTS x Orkestra - 22 Disember 2023, Mega Star Arena Kuala Lumpur
- Konsert "Exists Reunion" - Unplugged by Shiraz Projects - 24 Februari 2024, The Star Theatre, The Star Performing Arts Centre Singapura
- Hausboom Music Festival 2024 - 5 & 6 Oktober 2024,KL Base
Trivia
[sunting | sunting sumber]- Pada hari ini selepas hampir 30 tahun ditubuhkan, Exists mampu berbangga kerana berjaya menghasilkan tenaga-tenaga profesional yang kini mempunyai nama besar dalam industri muzik Malaysia.
- Mamat dan Ezad kini bergelar penyanyi lelaki solo terkenal dalam genre pop rock dan balada.
- Along dan Musrad kini aktif sebagai pencipta lagu dan penerbit album. Selain mencipta lagu untuk kumpulan Exists, mereka turut memberikan hasil karya mereka kepada artis-artis terkenal yang lain.
- Along dan Musrad merupakan pasangan anak saudara dan bapa saudara di mana Musrad adalah adik kepada bapa Along. Mereka berdua merupakan orang yang bertanggungjawab menubuhkan Exists selain menjadi nadi utama syarikat Ada Exists Sdn. Bhd. yang ditubuhkan pada 2000.
- Along dan Shah kini tergolong dalam kelompok gitaris terbaik di Malaysia selain Kid Search, Joe Wings, Man Kidal, Shahrul Ekamatra, Joe Burnmarks, Hillary Ang dan Opie Bloodshed kerana kebolehan mereka bermain gitar dengan baik.
- Ajai mencipta nama sebagai penyanyi, penggubah lagu dan penerbit album serta memiliki syarikat rakaman sendiri bernama Wake The Baby Sdn. Bhd. Ajai juga mempunyai restoran beliau sendiri yang diberi nama Asam Pedas Hirup dan restoran yang cukup popular dengan asam pedas Johor ini beroperasi di Taman OUG Parklane, Kuala Lumpur.
- Selepas meninggalkan Exist, Shah telah menubuhkan kumpulan Slam pada tahun 1993 dan kumpulan yang diterajui penyanyi Zamani ini masih menjadi sebutan ramai sehingga kini. Beliau juga kerap menjadi pemuzik undangan mengiringi konsert-konsert besar, majlis-majlis anugerah, program-program televisyen serta rakaman album artis-artis tempatan.
- Shah juga merupakan suami kepada Mazlena Morat atau Ina yang merupakan bekas penyanyi utama kumpulan Freshies.
- Ujang juga kini merupakan antara pemain dram terkemuka tanahair. Ujang juga kerap dilihat bersama Shah ketika mengiringi persembahan artis-artis ternama dan turut menjadi sessionist untuk rakaman album artis-artis tempatan.
- Pada awal kemunculannya, Exists merupakan junior kepada kumpulan Mega di mana mereka telah bernaung di bawah label Jojo's Production di Johor Bahru pada ketika itu.
- Ezad mendedahkan bahawa beliau sebenarnya adalah peminat tegar Exists di awal kemunculan mereka dan turut membeli album pertama kumpulan tersebut.
- Along juga telah menubuhkan sebuah band projek yang diberi nama Gerilia. Kumpulan ini turut dianggotai oleh adik Along sendiri iaitu Aie yang juga pemain dram kumpulan Spider.
- Selain dari Wings dan Mega, Exists merupakan kumpulan pop rock yang pernah menyertai pertandingan akhir Juara Lagu TV3 dengan dua vokalis yang berbeza iaitu dua kali sewaktu era Mamat (lagu Untukmu Ibu & Anugerah) dan dua kali sewaktu bersama Ezad (lagu Julia & Percayakan Siti).