Location via proxy:   [ UP ]  
[Report a bug]   [Manage cookies]                
Jurnal Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa, Vol. 8 2016 eISSN:0127- 8886 ISU-ISU FIQH DI PUSAT PEMINDAHAN MANGSA BANJIR: KAJIAN PERINTIS DI DAERAH TEMERLOH, PAHANG1 FIQH ISSUES AT FLOOD RELIEF CENTERS: AN EXPLORATORY STUDY IN TEMERLOH DISTRICT, PAHANG Irwan Mohd Subri (Ph.D)2, Wan Mohd Fazrul Azdi Wan Razali3, Walid Mohd Said4, Nisar Mohammad Ahmad (Ph.D)5, Amir Shaharuddin (Ph.D)6, Mohd Aizuddin Abdul Aziz7, Mohd Azhar Ibrahim Residi8, Mohd Nur Adzam Rasdi9, Syadiyah Abdul Shukor (Ph.D)10 & Bilal Jailani11 ABSTRAK Penghujung tahun 2014, Malaysia khususnya di pantai Timur telah dilanda banjir besar yang luar biasa. Mangsa-mangsa yang dipindahkan dan ditempatkan di pusat penempatan banjir melebihi dua ratus ribu orang. Kajian perintis ini dijalankan bertujuan untuk mengumpulkan isu-isu berkaitan fiqh di pusat pemindahan mangsa banjir di daerah Temerloh, Pahang. Kajian yang bermatlamatkan penerokaan ini menggunakan kaedah kualitatif. Para penyelidik telah menjalankan temu bual tidak berstruktur terhadap enam puluh orang responden di lima buah pusat pemindahan mangsa banjir di daerah Temerloh, Pahang. Pemilihan responden dibuat menggunakan kaedah persampelan mengikut kesenangan (convenience sampling). Hasil kajian menunjukkan terdapat 10 tema isu fiqh yang dibangkitkan oleh mangsa-mangsa pusat pemindahan banjir. Isu aurat dan percampuran lelaki dan perempuan merupakan isu yang paling kerap dibangkitkan. Selain isu ini, terdapat juga isu-isu lain seperti isu solat fardu, isu solat Jumaat dan isu pengisian rohani dan bimbingan. Di bahagian perbincangan, penyelidik mengemukakan cadangan-cadangan penambah baikan kepada pihak pengurusan pusat pemindahan. Kata kunci: Fiqh, ibadah, Temerloh, banjir, isu. ABSTRACT At the end of 2014, Malaysia was hit by an extraordinary and massive flood which affected mainly on its east coast region. The victims, who accounted as more than two hundred thousand people were rescued and placed at flood relief centers. This pilot study was conducted to gather issues related to fiqh at relief centers in the Temerloh district, Pahang. This exploratory study used qualitative methods. The researchers conducted non-structered interviews with sixty respondents in five flood relief centers in Temerloh using convenience sampling technique. The results showed that there were 10 themes of fiqh issues raised by the people at the flood relief centers. The most frequent themes were the issues of covering aurah (intimate parts) and ikhtilat (intermingling between men and women). Besides that, there were also other issues such as the issue of the obligatory prayers, the issue of Friday prayer and the issue of the lack of religious and spritual guidance. The paper also suggested some ways to improve the situations. Keywords: Fiqh, ibadah, Temerloh, flood, issues. Artikel ini adalah sebahagian dapatan penyelidikan yang bertajuk “Model Pengurusan Fiqh Banjir” di bawah biaya geran FRGS Banjir, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). Kod: USIM/FRGS_FLOOD/FPQS-INFAD/32/50115. 2 Corresponding Author. Prof. Madya & Pengarah, Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia, Universiti Sains Islam Malaysia. irwan@usim.edu.my 3 Pensyarah, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia. wmfazrul@usim.edu.my 4 Pensyarah, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia. walid@usim.edu.my 5 Pegawai Penyelidik Sosial, Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia, Universiti Sains Islam Malaysia. nisar.usim@gmail.com 6 Prof. Madya & Dekan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia. amir@usim.edu.my 7 Guru Bahasa, Pusat Pengajian Teras, Universiti Sains Islam Malaysia. aizuddin@usim.edu.my 8 Pensyarah, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia. azhar@usim.edu.my 9 Pensyarah, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia. nuradzam@usim.edu.my 10 Pensyarah Kanan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia. syadiyahas@usim.edu.my 11 Pembantu Penyelidik, Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia, Universiti Sains Islam Malaysia. jbilal88@gmail.com 1 10 Jurnal Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa, Vol. 8 2016 eISSN:0127- 8886 PENDAHULUAN Penghujung 2014 menyaksikan peristiwa banjir besar yang melanda negeri-negeri pantai timur Malaysia dan juga Perak yang telah mengakibatkan kemusnahan harta benda, merosakkan infrastruktur awam, mengganggu struktur sosial dan aktiviti ekonomi, merencatkan perkhidmatan awam, memusnahkan sebahagian besar kawasan pertanian bahkan telah mengorbankan nyawa. Peristiwa banjir ini merupakan banjir paling besar yang pernah direkodkan dalam sejarah pantai timur dalam tempoh 30 tahun (Astro Awani, 2014). Kesan daripada bencana alam ini bukan sahaja menyebabkan penduduk terpaksa berpindah meninggalkan kediaman mereka ke pusat-pusat pemindahan mangsa banjir yang telah disediakan, bahkan ada antara mangsa yang tidak sempat berpindah kerana air naik mendadak dan terpaksa berlindung di bukit-bukit dan tempat tinggi sehingga air surut. Senario ini menyaksikan peningkatan mendadak dalam statistik pemindahan mangsa banjir seperti yang telah dicatatkan oleh Majlis Keselamatan Negara. Jumlah mangsa banjir yang telah dipindahkan di negeri Pahang mencecah 49,369 orang (BH Online, 2014). Jumlah keseluruhan mangsa banjir yang telah dipindahkan di negeri-negeri Pahang, Terengganu, Kelantan, Perak dan Johor ialah sebanyak 225,370 orang setakat 25 Disember 2014 (Mstar, 2014). Mereka dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan sementara yang terdiri daripada sekolah, kolej, masjid, dewan orang ramai dan sebagainya. Keberadaan mangsa-mangsa banjir di pusat-pusat pemindahan ini telah menimbulkan persoalan penting berkaitan isu-isu fiqh dalam pengurusan hal ehwal mangsa banjir. Antaranya isu percampuran antara lelaki dan perempuan yang tidak terkawal disebabkan oleh kapasiti pusat-pusat pemindahan yang kecil dibandingkan dengan jumlah mangsa yang terlibat. Bahkan terdapat pusat-pusat pemindahan yang turut dinaiki air hingga menyebabkan mangsa terpaksa bersesak-sesak dalam ruang yang kecil. Begitu juga dengan permasalahan ibadat seperti solat, aurat, pelupusan naskhah alQuran yang rosak akibat banjir, termasuklah isu pengambilan barangan dan makanan yang hanyut semasa banjir. TUJUAN KAJIAN Kajian perintis ini dijalankan bagi mengumpulkan isu-isu fiqh di pusat pemindahan mangsa banjir di daerah Temerloh, Pahang ketika dilanda banjir besar pada akhir 2014. Dengan adanya himpunan isu-isu fiqh ini, penyelidik berharap pihak berwajib dapat mempertingkatkan keberkesanan dan kualiti pengurusan bencana banjir khususnya dengan memberi perhatian terhadap isu-isu hukum Islam. Kebiasaannya, pihak berwajib cenderung memberi tumpuan lebih kepada pengurusan fizikal dan mental dalam kalangan mangsa banjir seperti seperti agihan makanan, kesihatan, keselamatan dan khidmat sukarelawan. Hakikatnya, isu-isu fiqh juga perlu diambil berat kerana ia melibatkan tanggung jawab khusus seseorang terhadap agamanya, seperti solat dan kaedah bersuci, serta adab-adab sosial dan privasi seperti aurat dan percampuran antara lelaki dan perempuan. Secara hipotesis, tidak ramai yang memahami isu-isu fiqh seperti ini, lalu menyebabkan pengabaian terhadap tanggung jawab agama dan menimbulkan ketidak selesaan dalam kalangan mangsa pusat pemindahan. Selain itu, penyelidik juga berharap himpunan isu-isu fiqh ini dapat memberi serba sedikit gambaran umum kepada penyelidikan berikutnya, sesuai dengan sifat penyelidikan ini yang lebih menjurus kepada penerokaan berbanding deskriptif dan penjelasan. Menurut Lim (2007), biasanya soalan bagi penyelidikan yang bersifat penerokaan belum mencapai tahap yang mantap. Fokus soalan kajian lebih pada “apa” berbanding “bagaimana” dan “mengapa”. Matlamat utama penyelidikan seperti ini adalah membentuk soalan kajian yang lebih berfokus dan signifikan untuk dijawab oleh penyelidikan akan datang. Oleh itu, penyelidikan perintis ini akan menjadi rujukan pelajar, ahli akademik dan pengkaji seterusnya dalam mengemaskan perancangan untuk mengumpul data, menyemak 11 Jurnal Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa, Vol. 8 2016 eISSN:0127- 8886 kesahan instrumen yang digunakan serta mengetahui kekangan-kekangan yang mungkin timbul dalam proses pengumpulan data. PENYELIDIKAN LEPAS Setelah diteliti penyelidikan-penyelidikan lepas berkenaan banjir, umumnya masih belum ada penulisan yang membincangkan secara khusus berkenaan isu-isu fiqh semasa banjir. Kebanyakan penyelidikan tertumpu kepada punca-punca dan cadangan penyelesaian kepada masalah banjir dari sudut sains dan ekologi bahkan terlalu sedikit kajian yang menyentuh berkenaan permasalahan hukum syarak ketika bencana. Antara rujukan yang menyentuh berkenaan aspek ibadat semasa bencana dan perubahan persekitaran ialah tesis sarjana tulisan Abdul Rahman Salman Nasr Dyat yang bertajuk “Athar al-Taghayyurat al-Bi’iyyah fi Aḥkam al-cIbadat al-Sharciyyah Dirasah Fiqhiyyah Muqaranah” (Dyat, 2010). Tesis ini membincangkan kesan perubahan cuaca dan persekitaran kepada hukum-hukum syarak. Penulis mendatangkan beberapa keadaan perubahan cuaca dan bencana termasuk peperangan yang mana keadaan perubahan ini memberi kesan kepada perubahan pelaksanaan beberapa ibadat asas seperti solat dan puasa. Antara yang dimuatkan dalam tesis ini ialah hukum berkenaan solat semasa hujan, jamak solat, melewatkan solat dan meninggalkan solat jumaat dan jemaah semasa hujan serta hukum solat semasa banjir di atas kenderaan yang bergerak tidak kira di daratan mahupun di atas air. Namun kupasan mengenai permasalahan ibadat ketika hujan dan banjir adalah terlalu ringkas dan kurang menyeluruh memandangkan fenomena ini kurang berlaku di negara-negara Arab. Seterusnya, Mohd Zulhafiz Said, Salfarina Abdul Gapor, Mohd Nazri Samian dan Abd Malik Abd Aziz dalam artikel mereka yang bertajuk “Konflik di Pusat Pemindahan Banjir: Kajian Kes di Daerah Padang Terap, Kedah” (Mohd Zulhafiz et al, 2013) telah menjalankan kaji selidik kepada 683 responden dan perbincangan dengan 30 orang penduduk tempatan bagi mengenal pasti konflik yang berlaku di pusat pemindahan banjir dan mencadangkan pendekatan terbaik untuk mengurangkan konflik yang berlaku akibat banjir. Di akhir kajian, mereka telah mencadangkan agar diadakan aktiviti bagi mengurangkan kadar tekanan yang timbul disebabkan banjir dan membantu menghilangkan trauma yang berlaku. Hal ini menyokong usaha pengkaji untuk menghasilkan satu manual atau modul untuk digunapakai semasa banjir sebagai memberi pengisian dan mengurangkan tekanan mangsa-mangsa banjir. Dari sudut ilmu Fiqh dan Usul Fiqh pula, Dr cAbid bin Muhammad al-Sufyaniyy (2009) dalam artikelnya yang dipetik daripada Majallat al-Usul wa al-Nawazil, menyebut tentang maksud nazilah dari sudut fiqh dan sifat-sifatnya, serta kepentingan ijtihad pada perkara-perkara nazilah. Nazilah menurut beliau ialah masalah yang berlaku secara realiti dan merupakan perkara baharu dan memerlukan kepada ijtihad bagi menentukan hukumnya. Beliau turut menggariskan sifat-sifat yang perlu ada pada sesuatu masalah untuk disebut sebagai nazilah. Sifat-sifat ini ialah baharu, realistik, dan bersangatan. Dan ijtihad pada perkara-perkara nazilah ini merupakan fardhu kifayah dan perlu ada pihak berwajib yang akan menjalankan tugas ini untuk mengelakkan semua berdosa. Imam Jalal al-Din Abdul Rahman al-Suyuti (1983) dalam kitab al-Ashbah wa alNaza’ir telah meletakkan beberapa garis panduan bagi kaedah-kaedah fiqh dalam menghadapi kesusahan dan mudarat, antaranya kaedah “al-masyaqqah tajlibu at-taysir” dan “al-darar yuzal”. Masyaqqah atau kesukaran yang akan menjadi sebab kepada keringanan dan dipermudahkan berdasarkan kaedah “al-masyaqqah tajlibu at-taysir” ini ialah masyaqqah yang melampaui had biasa dan tidak mampu ditanggung oleh manusia pada kebiasaannya, bahkan boleh memudaratkan diri seseorang dan menghalangnya daripada melakukan kerja amal yang berguna. Kaedah ini bermaksud kesukaran itu membawa kepada keringanan. Selain itu juga, kaedah ini bermaksud, apabila terdapat sesuatu kesusahan atau kesulitan dalam menunaikan dan melaksanakan perintah Allah SWT, perintah itu diringankan, tidak seperti asalnya. Berdasarkan kaedah tersebut terbentuknya semua hukum rukhsah atau keringanan dalam syariat Islam. Manakala kaedah “al-darar yuzal” pula bermaksud, 12 Jurnal Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa, Vol. 8 2016 eISSN:0127- 8886 apabila kita berhadapan dengan keadaan yang mendatangkan mudarat kepada diri, maka diharuskan pada waktu itu untuk melakukan perkara yang haram. Sebagai contoh, seseorang yang berada dalam keadaan tersangat lapar kerana tidak memperolehi makanan yang halal untuk tempoh masa yang agak lama. Pada waktu itu, dia boleh memakan makanan yang haram setelah dia berusaha sedaya-upaya mencari makanan yang halal. Keharusan memakan makanan yang haram itu disebabkan keadaannya pada waktu itu terdesak. Namun, keharusan itu hanyalah sekadar untuk melepaskan keadaannya dalam keadaan darurat dan dia tidak boleh mengambil kesempatan untuk berlebih-lebihan serta tidak cenderung untuk melakukannya melainkan kerana keadaan pada waktu itu memaksanya. Berdasarkan pemerhatian terhadap penyelidikan-penyelidikan ini, belum ada lagi penyelidikan yang cuba membincangkan secara khusus berkenaan isu-isu fiqh semasa banjir. Justeru, kajian perintis isu-isu fiqh semasa banjir ini dijalankan bagi mengisi kelompongan dalam sumber rujukan sedia ada, di samping bertujuan membantu pihak berkuasa agama dalam menghasilkan manual atau garis panduan berkaitan persoalan fiqh semasa banjir dan diedarkan kepada masyarakat atau pihak-pihak yang terlibat. METODOLOGI KAJIAN Kajian ini adalah sebuah kajian kualitatif. Penyelidik menggunakan instrumen temu bual tidak berstruktur untuk mendapatkan data berupa isu-isu berkaitan fiqh ibadah di pusat pemindahan banjir. Menurut Murray Thomas (2005), kebaikan kaedah temu bual adalah penemu bual boleh menerangkan dengan jelas maksud soalan atau kajian, sekaligus dapat mengelakkan salah tafsir dan salah anggap. Penyelidik menganggap instrumen ini paling sesuai dengan projek kajian ini kerana warga pusat pemindahan terdiri daripada ahli masyarakat daripada pelbagai latar belakang dan tahap pendidikan. Kepelbagaian ini berpotensi menimbulkan salah faham dan salah tafsir. Kaedah temu bual mampu mengatasi masalah ini kerana sebarang ketidak fahaman responden terhadap soalan yang dikemukakan akan diterangkan oleh penemu bual. Merriam (1998) menyatakan bahawa terdapat tiga jenis temu bual iaitu temu bual berstruktur, temu bual separa berstruktur dan temu bual tidak berstruktur. Manakala Nordin Tahir (2012) mengklasifikasikan temu bual kepada dua, iaitu berstruktur dan tidak berstruktur. Dalam kajian ini, penyelidik menggunakan kaedah temu bual yang tidak berstruktur. Hal ini kerana menurut Nordin Tahir, temu bual tidak berstruktur mementingkan penerokaan idea berbanding fakta-fakta. Penyelidik mengunakan hanya satu soalan yang bersifat terbuka (open-ended question) yang dinyatakan sebagai, “Adakah anda menghadapi apa-apa permasalahan ibadat ketika berada di pusat pemindahan banjir ini seperti taharah, solat atau aurat? Jika ya, sila nyatakan”. Melalui soalan ini, penyelidik cuba mendapatkan isu-isu fiqh yang berlegar di fikiran warga pusat penempatan banjir. Bagi mengumpulkan isu-isu fiqh ibadah yang tepat dari sumber asalnya, penyelidik telah mengunjungi 5 pusat pemindahan mangsa banjir yang ada di Temerloh. Jumlah pusat pemindahan yang ada di Temerloh adalah 62 buah (BH Online, 2014). Berikut adalah 5 pusat pemindahan yang dikunjungi: Bil. 1. 2. 3. 4. 5. Pusat Penempatan Dewan Dato’ Abdullah Kia Sekolah Sukan Pahang SMK Seberang Temerloh Sekolah Kebangsaan Mentakab Jaya Masjid Al-Muhajirin, Kampung Bukit Tingkat Sekolah Menengah Kebangsaan Paya Pulai, Jalan Maran 13 Mukim Kerdau Perak Mentakab Sanggang Bangau Daerah Temerloh Temerloh Temerloh Temerloh Temerloh Jurnal Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa, Vol. 8 2016 eISSN:0127- 8886 Populasi bagi kajian ini adalah mereka yang terlibat secara langsung dengan musibah banjir di daerah Temerloh, samada sebagai mangsa, atau sukarelawan yang datang berkhidmat, atau orang ramai yang berada di daerah Temerloh, atau pegawai badan keselamatan yang bertugas seperti polis dan bomba. Langkah mengenal pasti populasi sasaran yang tepat ini amat penting bagi menjamin kualiti sampel dan kualiti generalisasi dapatan daripada sampel ke populasi mengandungi keraguan (Lim, 2013). Penyelidik memilih 60 orang responden menggunakan teknik persampelan mengikut kesenangan (convenience sampling). Melalui kaedah ini, penyelidik telah memilih manamana mangsa di pusat-pusat pemindahan itu yang dirasakan sedia memberi kerjasama untuk ditemu bual. LIMITASI KAJIAN Proses pengumpulan data ini hanya melibatkan sebahagian kecil pusat pemindahan mangsa banjir, iaitu hanya 5 buah pusat daripada jumlah keseluruhan 62 buah pusat. Proses pengumpulan data ini hanya dapat dijalankan dalam tempoh dua hari sahaja, iaitu pada 2 dan 3 Januari 2015. Antara faktor utama yang menyumbang kepada keterhadan capaian seperti yang dinyatakan adalah kekangan masa dalam merancang dan menjalankan projek. Idea untuk menjalankan penyelidikan ini timbul apabila keadaan banjir di pantai Timur Malaysia semakin memburuk di penghujung Disember 2014. Pada 28 Disember 2014 (Ahad), para penyelidik telah merancang untuk menjalankan penyelidikan di di 5 buah pusat pemindahan mangsa banjir pada 2 dan 3 Januari 2015 (Jumaat dan Sabtu). Tempoh proses merancang dan mengumpul data hanya memakan masa 7 hari. Hal ini tidaklah pelik kerana penyelidikan ini berkait dengan satu fenomena yang datang secara tiba-tiba seperti musibah banjir. Selain itu, terdapat juga beberapa kelompongan pada data demografi responden. Daripada 60 orang responden, penyelidik hanya berjaya mendapatkan data demografi lengkap daripada 27 orang responden. Data yang lengkap meliputi 6 perkara iaitu jantina, umur, pusat pemindahan, status perkahwinan, pendidikan tertinggi dan status kerjaya. Walau bagaimanapun, kelompongan ini tidaklah menjejaskan keboleh percayaan dan tujuan penyelidikan ini kerana soalan penyelidikan (reseach question) yang digariskan tidak mempunyai kaitan yang kuat dengan data demografi. Penyelidikan ini hanya memberi fokus pada usaha mengenal pasti isu-isu fiqh yang berbangkit di pusat-pusat pemindahan mangsa banjir. DAPATAN KAJIAN DAN ANALISIS Analisis dimulakan dengan analisa demografi. Kategori yang dibincangkan pada responden melibatkan jantina, umur, pusat pemindahan, status perkahwinan, tahap pendidikan dan pekerjaan para responden. Deskriptif data bagi jantina respondent adalah seperti di Jadual 1. Sebanyak 31 responden terdiri daripada lelaki dan 28 responden adalah wanita membentuk 51.7% dan 46.7% masing-masing. Terdapat seorang responden yang tidak menyatakan jantinanya, iaitu 1.7%. Jadual 1: Jantina Responden Jantina Kekerapan % Lelaki 31 51.7% Perempuan 28 46.7% Tidak Dinyatakan 1 1.7% Jumlah 60 100.0% Berdasarkan Jadual 2, terdapat 23 orang berumur 36 hingga 45 tahun, iaitu sebanyak 38.3%, 22 orang berumur 46 tahun ke atas iaitu sebanyak 36.7%, umur 26 tahun hingga 35 tahun adalah 9 orang sebanyak 15.0% dan 18 hingga 25 tahun 6 orang iaitu 10.0%. 14 Jurnal Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa, Vol. 8 2016 eISSN:0127- 8886 Jadual 2: Umur Responden Umur Kekerapan % 18-25 6 10.0% 26-35 9 15.0% 36-45 23 38.3% 46 ke atas 22 36.7% Jumlah 60 100.0% Jadual 3 menunjukkan taburan responden di pusat-pusat pemindahan yang dikunjungi penyelidik. Kebanyakan responden terdiri daripada warga pusat pemindahan SMK Seberang Temerloh, iaitu sebanyak 41.7%. Terdapat 15 orang responden yang pusat pemindahannya tidak dapat dipastikan dan mereka membentuk 25.0%. Dewan Dato Abdullah Kia dan SK Mentakab Jaya masing-masing membentuk 10.0%, manakala responden dari pusat pemindahan SMK Paya Pulai hanya seramai 5 orang, iaitu 8.3%. Jadual 3: Pusat Pemindahan yang dihuni Responden Pusat Pemindahan Kekerapan % Masjid Al-Muhajirin 3 5.0 Dewan Abdullah Kia 6 10.0 SMK Seberang Temerloh 25 41.7 SMK Paya Pulai 5 8.3 SK Mentakab Jaya 6 10.0 Tidak Dinyatakan 15 25.0 Jumlah 60 100.0 Jadual 4 menunjukkan taraf perkahwinan responden. Sebanyak 71.7% responden telah berkahwin iaitu sebanyak seramai 43 orang, 8 orang bujang iaitu 13.3% dan 5 duda atau janda membentuk 8.3%. Terdapat 4 orang responden yang tidak menyatakan status perkahwinannya, iaitu 6.7%. Jadual 4: Status Perkahwinan Responden Status Perkahwinan Kekerapan % Bujang 8 13.3% Berkahwin 43 71.7% Duda/Janda 5 8.3% Tidak Dinyatakan 4 6.7% Jumlah 60 100.0% Bagi tahap pendidikan responden, seperti yang ditunjukkan di Jadual 5, 30.0% bersamaan 18 orang responden berkelulusan SPM/SPMV, diikuti 11 orang sebanyak 18.3% pemegang ijazah sarjana muda, 8 responden iaitu 13.3% berpendidikan sekolah rendah, SRP/PMR seramai 3 orang iaitu 5.0%, STPM/Diploma 1.7% iaitu 1 orang dan seorang Sarjana/Phd iaitu 1.7%. Daripada 60 orang responden, hanya 42 orang sahaja yang menyatakan maklumat tahap pendidikan mereka. Mereka yang tidak menyatakan maklumat tahap pendidikan ini adalah seramai 18 orang, iaitu sebanyak 30.0%. Jadual 5: Pendidikan Tertinggi Responden Pendidikan Tertinggi Kekerapan % Sekolah Rendah 8 13.3% SRP/PMR 3 5.0% SPM/SPMV 18 30.0% STPM/Diploma 1 1.7% Sarjana Muda 11 18.3% 15 Jurnal Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa, Vol. 8 2016 Sarjana/PhD Tidak Dinyatakan Jumlah 1 18 60 eISSN:0127- 8886 1.7% 30.0% 100.0% Dari segi pekerjaan responden, seperti yang ditunjukkan di Jadual 6, 22 orang atau 36.7% responden bekerja dalam sektor kerajaan, manakala sektor swasta membentuk 10 orang iaitu 16.7%. Terdapat 8 orang yang bekerja sendiri iaitu 13.3%, manakala yang tidak bekerja adalah 31.7% iaitu 19 orang. Terdapat seorang responden yang tidak menyatakan pekerjaannya, iaitu 1.7%. Jadual 6: Sektor Pekerjaan Responden Sektor Pekerjaan Kekerapan % Kerajaan 22 36.7% Swasta 10 16.7% Bekerja Sendiri 8 13.3% Tidak Bekerja 19 31.7% Tidak Dinyatakan 1 1.7% Jumlah 60 100.0% Dalam temu bual ini, maklum balas isu yang diterima adalah pelbagai dari sudut bilangan. Ada yang menyatakan satu isu, ada yang menyatakan dua, tiga, empat dan yang paling tinggi adalah lima isu. Jadual 7 menunjukkan taburan bilangan isu fiqh yang dinyatakan oleh responden. Majoriti responden, iaitu 25 orang memilih untuk menyatakan hanya satu isu fiqh sahaja. Peratusan mereka adalah 41.7%. Sebanyak 16 orang iaitu 26.7% memilih untuk menyatakan dua isu fiqh, manakala bilangan orang yang menyatakan 3 isu adalah 5 orang yang membentuk 8.3%. Bilangan orang yang menyatakan 4 isu fiqh adalah sama dengan bilangan orang yang menyatakan 3 isu. Hanya seorang responden yang menyatakan lima isu fiqh yang membentuk 1.7%. Terdapat 8 orang yang memberi respon tanpa menyatakan sebarang fiqh. Daripada jadual ini, dapatlah dirumuskan bahawa jumlah bilangan isu fiqh yang diterima adalah sebanyak 97 isu. Bilangan Isu 0 1 2 3 4 5 Jumlah Jadual 7: Bilangan Isu per Responden Kekerapan Peratus Kekerapan (%) 8 13.3% 25 41.7% 16 26.7% 5 8.3% 5 8.3% 1 1.7% 60 100.0 Jumlah Isu 0 25 32 15 20 5 97 Terdapat pelbagai pendekatan yang boleh digunakan untuk analisa. Meriam (1998) mencadangkan pendekatan analisis kandungan. Burn (1995) mengatakan bahawa analisis kandungan merupakan kaedah analisis yang sering digunakan dalam kajian kualitatif. Analisis kandungan digunakan untuk mengenal pasti tema, konsep dan makna. Bagi tujuan menganalisa data temubual dalam kajian ini yang melibatkan soalan bersifat terbuka (open-ended question), pendekatan Miles dan Huberman (1994) telah digunakan. Pendekatan ini mencadangkan agar data yang dipungut dalam bentuk transkrip temu bual atau nota lapangan dikurangkan ke saiz yang lebih relevan dengan soalan kajian menggunakan kaedah pengkategorian dan pengkodan. Matlamat pengkategorian dan pengkodan adalah bagi memperoleh satu set kategori yang dapat membina balik secara munasabah data yang dipungut (Lincoln & Guba, 1985). 16 Jurnal Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa, Vol. 8 2016 eISSN:0127- 8886 Berpandukan kaedah ini, penyelidik mengklasifikasikan respon-respon yang diterima kepada 10 tema (rujuk Jadual 8). Bil 1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 Jadual 8: Kekerapan Jawapan Tema Kekerapan Aurat dan percampuran antara lelaki dan 27 perempuan Solat fardu 21 Pengisian rohani dan bimbingan agama 14 Air dan taharah (bersuci) 11 Kecurian 10 Solat Jumaat 7 Kebersihan dan pengurusan najis 4 Menghormati azan 1 Pelupusan al-Quran 1 Pengurusan jenazah 1 Jumlah jawapan yang diterima 97 Peratus (%) 27.8 21.6 14.4 11.3 10.3 7.2 4.1 1.0 1.0 1.0 99.7 Berdasarkan jadual 8, tiga isu fiqh yang paling kerap dibangkitkan dan paling popular adalah: i. Aurat dan percampuran antara lelaki dan perempuan sebanyak 27.8%. ii. Solat fardu sebanyak 21.6%. iii. Pengisian rohani dan bimbingan sebanyak 14.4%. Ketiga-tiga isu ini membentuk 63.8% daripada keseluruhan 97 maklum balas. Selain itu, terdapat tiga isu yang tidak popular, iaitu isu menghormati azan, isu pelupusan Al-Quran dan isu pengurusan jenazah. Ketiga-tiga isu ini hanya membentuk 3.0% daripada keseluruhan 97 maklum balas. Isu yang sederhana popular pula adalah isu air dan taharah, isu kecurian dan isu solat Jumaat. Ketiga-tiga isu ini membentuk 28.8% daripada keseluruhan 97 maklum balas. PERBINCANGAN Terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada kemunculan isu-isu fiqh ini. Secara umumnya, faktor-faktor ini terbahagi kepada dua bahagian, iaitu faktor dalam kawalan dan faktor luar kawalan. Faktor dalam kawalan terbahagi kepada dua, iaitu faktor yang berpunca daripada kelemahan pihak pengurusan bencana dan faktor yang berpunca daripada kelemahan warga pusat pemindahan. Pembahagian ini dinyatakan di Rajah 1. Rajah 1: Faktor Kemunculan Isu Fiqh Ibadah Faktor Kemunculan Isu Fiqh Dalam Kawalan Kelemahan Pihak Pengurusan Luar Kawalan Kelemahan Mangsa Pusat Pemindahan Faktor Dalam Kawalan 17 Jurnal Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa, Vol. 8 2016 eISSN:0127- 8886 Antara faktor yang berpunca daripada kelemahan pihak pengurusan adalah kegagalan pihak pengurusan banjir dalam menerapkan elemen patuh syariah dalam model pengurusan bencana. Secara umumnya, patuh syariah dalam konteks pengurusan bencana bermaksud manual prosedur-prosedur kerja pihak pengurusan bencana memenuhi keperluan asas seorang muslim. Antara keperluan asas seorang muslim adalah kewajipannya menunaikan perintah agama seperti bersuci, solat lima waktu dan menutup aurat. Kegagalan penerapan elemen patuh syariah ini jelas kelihatan apabila pihak pengurusan tidak mengadakan solat jumaat di pusat pemindahan sedangkan hal ini amat mudah untuk dilakukan, malah akan memudahkan mangsa banjir untuk menghadiri solat Jumaat. Selain itu, pengasingan antara lelaki dan perempuan juga tidak dilakukan dengan baik apabila lelaki dan perempuan ditempatkan dalam satu ruang tanpa tabir pemisah. Sekurang-kurangnya, pihak pengurusan boleh mengusahakan tabir pemisah daripada langsir atau kanvas. Berdasarkan temu bual, isu aurat dan percampuran antara lelaki dan perempuan merupakan isu yang paling kerap dibangkitkan, iaitu sebanyak 27.8%. Pihak pengurusan juga tidak menyediakan khidmat konsultasi syariah terhadap warga pusat pemindahan dan hal ini menyebabkan ramai dalam kalangan mereka keliru dengan isu-isu agama yang berbangkit dalam situasi yang tidak menentu itu. Faktor kelemahan warga pusat pemindahan juga menyumbang kepada kemunculan isu fiqh ini. Antara faktor tersebut adalah kurang didikan dan kurang penghayatan agama. Ada dalam kalangan warga pusat pemindahan yang tidak menjaga aurat ketika tidur, sedangkan menjaga aurat adalah tanggung jawab individu. Hal ini menimbulkan ketidak selesaan terhadap sebahagian warga yang komited menjaga aurat dan pergaulan antara lelaki dan perempuan. Selain itu, terdapat juga beberapa kes kecurian seperti kecurian enjin sampan. Dalam situasi yang tidak menentu ini, tidak banyak yang boleh dibuat oleh pemilik harta-benda dalam melindungi harta benda mereka. Manusia yang kurang penghayatan agama mengambil kesempatan ini untuk melakukan jenayah. Dalam pada itu, terdapat sebahagian warga lelaki yang tidak menunaikan solat Jumaat kerana malas. Hal ini jelas menunjukkan kurangnya penghayatan agama dalam individu itu. Selain daripada itu, faktor tekanan emosi juga menyumbang kepada kemuculan isu-isu fiqh. Kebanyakan warga pusat pemindahan ini baru sahaja kehilangan harta-benda mereka yang mencecah ribuan ringgit. Mereka juga terpaksa meninggalkan kediaman mereka dan bersesak-sesak di pusat pemindahan. Hal ini berpotensi mendatangkan tekanan kepada mereka, lalu menjejaskan komitmen mereka dalam mematuhi suruhan agama. Jika mereka diberi bimbingan dan tunjuk ajar, mereka mampu mengawal emosi dengan baik lalu memberikan komitmen yang baik dalam mematuhi perintah agama. Faktor Luar Kawalan Antara faktor luar kawalan adalah ketidakbiasaan mangsa pusat pemindahan terhadap situasi bencana, lalu menyebabkan mereka tidak memahami isu-isu fiqh yang mungkin timbul dalam situasi banjir. Contohnya, ada warga yang keliru samada mereka dibenarkan solat jamak dan qasar atau tidak dibenarkan. Ada juga yang tidak menunaikan solat kerana was-was terhadap kebersihan tempat. Selain itu, ada responden yang mengatakan bahawa dia tidak memahami konsep ibadah mengikut kemampuan. Ketiga-tiga contoh ini berpunca daripada ketidakbiasaan mereka terhadap situasi pengurusan bencana. Faktor luar kawalan lain adalah ketidakmampuan untuk menunaikan kewajipan agama. Contohnya, ada responden yang menyatakan bahawa dia tidak mampu menunaikan solat Jumaat kerana tiada kenderaan untuk pergi ke masjid yang agak jauh dari pusat pemindahan. Ada juga wanita yang mengadu sukar untuk menjaga aurat di kawasan penempatan terbuka seperti dewan besar. Selain itu, ada responden yang membangkitkan masalah najis anjing apabila ada orang Cina yang membawa anjing peliharaan mereka ke pusat pemindahan. Pusat pemindahan memang menerima pelbagai jenis masyarakat samada Islam atau tidak Islam dan mereka dikumpulkan di satu tempat yang menyebabkan isu anjing ini sukar dielakkan. 18 Jurnal Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa, Vol. 8 2016 eISSN:0127- 8886 Cadangan Penambahbaikan Cadangan penambahbaikan ini tertumpu pada usaha mengatasi isu dalam kawalan. Hal ini kerana isu luar kawalan adalah isu yang tidak dapat dibendung lagi dan perlu diterima dan diakui oleh semua pihak. Kebanyakan faktor dalam kawalan yang dinyatakan mampu diatasi dan boleh diselesaikan dengan mudah jika pihak berwajib memberikan komitmen sebaiknya. Perkara yang paling penting adalah menyediakan konsultasi syariah terhadap seluruh warga pusat pemindahan. Hal ini boleh dilakukan dengan menempatkan sejumlah ilmuan agama di pusat pemindahan. Di samping memberi khidmat nasihat, mereka juga mampu mengetuai aktivitiaktiviti keagamaan seperti solat berjamaah, menjadi khatib solat Jumaat, mengadakan kelas-kelas bimbingan agama dan memberikan ceramah motivasi. Mereka juga mampu menasihat pihak pengurusan pusat pemindahan dalam hal-hal seperti pengurusan jenazah dan sistem penempatan agar aurat dapat dijaga sebaik mungkin dan percampuran antara lelaki dan wanita dapat diminimakan seminima mungkin. Antara pihak yang boleh mengambil bahagian dalam usaha ini adalah Jabatan Mufti Negeri, penceramah-penceramah agama yang mendapat tauliah dari Jabatan Mufti Negeri dan ahli akademik dari universiti-universiti yang diiktiraf. Pihak pengurusan juga perlu menyediakan buku panduan ibadah khusus untuk warga pusat penempatan. Segala isu yang timbul perlu disenaraikan dan diberikan jalan penyelesaian berdasarkan nas-nas sahih dan pandangan ulama terkini. Pihak pengurusan tidak boleh sekadar memberi tumpuan kepada bekalan makanan dan usaha menyelamat sahaja. Keadaan ketika itu memerlukan pihak pengurusan proaktif dalam memberi bimbingan kepada warga pusat pemindahan. Pihak berwajib seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) boleh memainkan peranan menggubal buku panduan ini untuk persediaan dan kemudahan pada masa akan datang. PENUTUP Kajian dalam bidang seumpama ini masih lagi di peringkat awal dan dalam fasa perkembangan. Kajian ini memerlukan lebih banyak perbincang-perbincangan lanjutan untuk menghasilkan solusi yang menyeluruh, tepat dan komprehensif. Hasil kajian yang dilaporkan ini masih lagi berada dalam peringkat penerokaan dan hanyalah sumbangan kecil dalam bidang yang menjadi fardu kifayah kepada seluruh umat Islam di Malaysia. Kajian yang bersifat penerokaan sering terdedah kepada kekaburan dan ketidak jelasan. Menurut Lim (2007), penyelidikan yang bermatlamatkan penerokaan jarang menghasilkan data yang signifikan apatah lagi teori. Matlamat utama penyelidikan seperti ini adalah membentuk soalan kajian yang lebih berfokus dan signifikan untuk dijawab oleh penyelidikan akan datang. Secara umumnya, penyelidikan ini berjaya menghuraikan serba sedikit keadaan dan situasi sebenar mangsa pusat pemindahan banjir berkenaan isu fiqh dalam ibadah. RUJUKAN Buku c Abd al-Rahman Salman Nasr Dyat. 2010. Athar al-Taghayyurat al-Bi’iyyah Fi Ahkam alc Ibadat al-Sharciyyah Dirasah Fiqhiyyah Muqaranah. Tesis Sarjana dalam Fiqh Perbandingan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Islam Gaza. Al-Suyuti, Jalal al-Din. 1983. al-Ashbah wa an-Nazacir. Cet. 1. Beirut: Dar al-Kutub alc Ilmiyyah. Burn. R. B. 1995. Introduction to Research Methods. Melbourne: Longman. Lim, Chong Hin. 2007. Penyelidikan Pendidikan: Pendekatan Kualitatif Dan Kuantitatif. Shah Alam: McGraw-Hill (Malaysia) Sdn. Bhd. Merriam, S.B. 1998. Qualitative Research and Case Study Applications in Education (2nd ed.). Thousands Oaks, Califf: Sage. 19 Jurnal Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa, Vol. 8 2016 eISSN:0127- 8886 Miles, M.B., & Huberman, A.M. 1994. Qualitative Data Analysis (Second Edition). Thousand Oaks, CA: Sage. Murray Thomas, R. 2005. Teachers Doing Research: An Introductory Guidebook. New York, NY: Pearson. Jurnal Al-Sufyaniyy, cAbid bin Muhammad. 2009. Macna Al-Nawazil wa Al-Ijtihad Fih. Majallat alUsul wa al-Nawazil, Tahun 1, Cet. 1. T.tp: t.pt. Mohd Zulhafiz Said, Salfarina Abdul Gapor, Mohd Nazri Samian dan Abd Malik Abd Aziz, 2013. Konflik di Pusat Pemindahan Banjir: Kajian Kes di Daerah Padang Terap, Kedah. GEOGRAFIA OnlineTM, Malaysia Journal of Society and Space 9. Issue 1. Internet Astro Awani, 2014, http://www.astroawani.com/berita-banjir/banjir-terburuk-di-guamusang-dalam-tempoh-30-tahun-50817 (diakses pada 25 Ogos 2015). BH Online, 2014, http://www.bharian.com.my/node/26064 (Diakses pada 25 Ogos 2015) Mstar, 2014, http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2014/12/29/banjir-kelantanburuk/ (diakses pada 25 Ogos 2015) Nordin Tahir, 2012, http://www.amaljaya.com/guru/wp-content/uploads/2012/03/bab-9membina-instrumen-kajian.pdf (diakses pada 28 Ogos 2015). 20