Esei PLC
Esei PLC
Esei PLC
0 PENGENALAN
Professional Learning Community (PLC) yang juga dikenali sebagai Komuniti Pembelajaran
Profesional (KPP) telah mula diperkenalkan di Malaysia sejak tahun 2011. KPP merupakan
sebahagian daripada inisiatif dalam meningkatkan kualiti guru di bawah NKRA (Bidang
Keberhasilan Utama Negara) yang bertujuan untuk meningkatkan pengajaran guru dan
pembelajaran murid di sekolah-sekolah di seluruh negara. KPP telah lama dilaksanakan di
negara-negara barat sebagai usaha untuk memberi nilai tambah kepada kemahiran mengajar
guru. Pelaksanaan KPP menekankan kolaborasi dan kerjasama dalam pasukan dan dapat
memberikan impak yang besar kepada peningkatan kemahiran mengajar guru. Konsep
pembelajaran guru KPP terbentuk daripada idea Senge (1990) yang menegaskan bahawa
organisasi pembelajaran penting untuk meningkatkan kerjasama dan perubahan bagi sesebuah
organisasi. Dalam kata lain, sesebuah organisasi pembelajaran perlu menekankan usaha
secara bersama-sama dalam komuniti.
Hord (2004) pula telah mendefinisikan KPP sebagai komuniti profesional yang belajar. Hal
ini bermaksud, guru di sekolah serta para pentadbir pengurusan sekolah perlu sentiasa mencari
dan berkongsi apa sahaja kaedah atau pendekatan yang berkaitan dengan pembelajaran guru.
Guru perlu belajar ilmu mengajar yang baru atau memberi tambah nilai kepada corak
pengajaran lama bagi menghasilkan pengajaran yang lebih berkesan dan berkualiti. Dalam hal
ini, guru perlu mencari ilmu mengajar secara konsisten, dikongsi bersama-sama serta
diamalkan agar murid memperoleh manfaat (Barth, 2006).
Menurut pengkaji tempatan Zuraidah Abdullah (2012), KPP digambarkan sebagai komuniti
yang membentuk budaya belajar dalam kalangan warga sekolah. Hal ini bermaksud, semua
orang dalam komuniti sekolah belajar, bukan semata-mata murid sahaja. Setiap individu dalam
komuniti sekolah memainkan peranan masing-masing dan bertanggungjawab antara satu sama
lain untuk menambah baik kekurangan yang ada dalam komuniti.
Secara amnya, PLC merujuk kepada usaha para pendidik yang komited dan bekerja secara
kolaboratif serta berterusan untuk membuat inkuiri atau kajian tindakan bagi mencapai prestasi
yang lebih baik untuk murid-murid mereka (Dufour, Eaker & Many, 2006). Pelaksanaan KPP
secara konsisten dapat membantu guru belajar cara mengajar secara sistematik melalui aktiviti-
aktiviti yang relevan. Pada akhirnya, peranan KPP dapat menambahbaik cara guru mengajar
agar murid dapat belajar dengan sempurna serta dapat meningkatkan pencapaian mereka
menerusi aktiviti pembelajaran.
2.0 PRINSIP DAN STRATEGI KOMUNITI PEMBELAJARAN PROFESIONAL (PLC)
Prinsip asas PLC adalah berdasarkan kepada tiga idea utama iaitu memastikan
pembelajaran murid, budaya kolaboratif dan fokus kepada pengajaran (Dufour, 2004). Pertama
ialah guru bukan sahaja memastikan murid-murid diberi pengajaran bahkan memastikan
murid-murid belajar. Justeru, murid-murid yang lemah dalam pembelajaran akan diberi
bimbingan dan pemulihan. Contohnya ialah dengan memberi bantuan kepada murid-murid yang
lemah dalam pembelajaran dengan segera tanpa bergantung pada kelas tambahan atau kelas
pemulihan. Idea kedua ialah kebudayaan kolaboratif. Kolaboratif yang kuat dalam KPP
merujuk kepada proses sistematik di mana guru menjalankan tugas bersama untuk
menganalisis dan menambahbaikkan amalan murid-murid di dalam kelas. Guru-guru bertugas
dalam kumpulan dan beramalan pembelajaran secara kumpulan. Proses ini dikatakan dapat
meningkatkan pencapaian murid-murid. Idea ketiga ialah berfokus kepada pencapaian. Setiap
warga di sekolah bekerjasama untuk menambahbaik pencapaian murid-murid secara rutin.
Setiap guru mengambil bahagian dalam proses mengenalpasti tahap pencapaian murid-murid,
menentukan matlamat dan bekerjasama mencapai matlamat tersebut serta membuktikan
pencapaian setelah melalui proses penambahbaikan.
Bagi strategi dalam PLC, terdapat lima strategi utama dalam PLC iaitu dialog reflektif
(reflective dialogue), penswastaan amalan (de-privatization of practice), fokus secara kolektif
terhadap pembelajaran murid (collective focus on student learning), kolaborasi (collaboration)
dan norma dan nilai dikongsi bersama (shared norms and values).