Location via proxy:   [ UP ]  
[Report a bug]   [Manage cookies]                

Penulisan Esei

Unduh sebagai docx, pdf, atau txt
Unduh sebagai docx, pdf, atau txt
Anda di halaman 1dari 5

1

PENULISAN ESEI

Sastera Melayu merupakan suatu khazanah yang perlu dipelihara dan dipelajari oleh
generasi pada hari ini. Hal ini demikian kerana sastera-sastera ini mempunyai nilai estetik
dan nilai murni yang terkandung di dalamnya yang mencirikan indentiti sebenar masyarakat
Melayu misalnya drama yang mula popular digunakan di negara kita pada hari ini bagi
tujuan hiburan. Perkataan drama sebenarnya berasal dari perkataan Greek iaitu “dran”
bermaksud melakukan atau melakonkan. Konsep drama ini boleh dilihat dengan lebih
terperinci melalui pandangan beberapa tokoh seperti Hashim Awang dalam Andika Aziz
Hussin (2019), mendefinisikan drama sebagai jenis sastera yang tercipta untuk dipentaskan
atau dilakonkan dan pelakon melakonkan aksi-aksi yang ditetapkan dan melafazkan dialog
yang disediakan. Zakaria (2001) dalam Ismail Mohd Noh (2007) pula mendifinisikan drama
sebagai sebuah karya sastera dalam bentuk dialog yang dipentaskan oleh pelakon
manakala pementasan drama pula dikenali sebagai pertunjukan teater. Analisis terhadap
pengertian drama daripada kedua-dua pandangan ini, menyimpulkan bahawa drama
merupakan satu genre kesusasteraan yang dihasilkan dalam bentuk dialog dengan
menyatukan seluruh unsur seni yang ada. Kejayaan drama bukan setakat bergantung pada
aspek lakonan semata-mata, tetapi bergantung kepada skrip drama itu sendiri.

Jika ditelusuri dari sudut akar umbinya, perkembangan drama bermula dari Greek
pada sekitar 500 S.M dimana tujuannya adalah untuk pemujaan. Pada tahun 534 S.M,
drama mula dipertandingkan sekaligus menjadikan Thespis di Athens sebagai pemenang
(Abdul Rahman Napiah, 1987). Drama ini terus mengalami transformasinya seiring dengan
peredaran zaman. Fungsi drama dan unsur baru seperti muzik, dekorasi, tata cahaya mula
diselitkan dalam mementasan drama pada abad ke 19. Drama ini seterusnya diperluaskan
ke seluruh dunia termasuklah Malaysia yang bermula pada tahun 1950. Perkembangan ini
dapat dibahagikan kepada tiga zaman iaitu zaman tradisional yang terkenal dengan
makyung, boria, main puteri, wayang kulit, dan lain-lain (Faziah Sulaiman, 1995). Kemudian,
berlaku perubahan ke zaman transisi iaitu drama bangsawan dan sandiwara yang mewarnai
dunia drama Melayu. Menjelang tahun 1950-an, pementasan drama berakhir dan digantikan
dengan sandiwara. Kemudian, muncul pula drama moden yang berbentuk realisme,
surealisme dan absurd yang menggarap persoalan kemiskinan, pendidikan, moral, nilai-nilai
sosial, dan sebagainya, sesuai dengan zaman selepas kemerdekaan. Hal ini jelas
membuktikan bahawa tranformasi yang dialami menjadikan fungsi drama lebih pelbagai dan
unsur-unsur moral menjadi satu tarikan dalam penyampaian drama.
2

Fungsi drama yang bermula dari tujuan hiburan ini seterusnya diperkembangkan lagi
bagi tujuan pendidikan. Pengajaran drama merupakan salah satu aspek yang merentas
kurikulum kerana boleh diaplikasikan sebagai pendekatan atau teknik pengajaran dan
pembelajaran dalam semua mata pelajaran. Aktiviti berunsurkan drama ini bermanafaat
kepada murid-murid kerana mereka akan meneroka dan meraih pelbagai kemahiran baik
secara langsung mahupun secara tidak langsung. Sebagai contohnya, melalui aktiviti
berdialog dengan menggunakan skrip, akan mengasuh murid-murid membaca dan bertutur
dengan menggunakan intonasi dan sebutan yang betul dan jelas seterunya mengasah
kreativiti murid untuk melakonkan gaya yang bersesuaian dengan dialog. Corak pengajaran
dan pembelajaran ini amat berkait rapat dengan falsafah pembelajaran Konstruktivisme.
Pendukung teori ini seperti Dewey, Piaget, Vysgotsky dan Bruner (Adenan Ayob, 2012)
mempercayai bahawa dalam proses pembelajaran, peranan utama seharusnya dimainkan
oleh murid itu sendiri. Seseorang murid dianggap telah mengalami proses belajar sekiranya
beliau berjaya membina kefahaman kendiri tentang ilmu atau idea baru melalui pengalaman
sedia ada atau skemata.

Oleh hal yang demikian, penyampaian drama yang berkesan amat penting bagi
memastikan mesej yang ingin disampaikan dapat diterima umum. Penekanan terhadap asas
vokal dan pengucapan amat penting dalam penguasaan drama. Bahagian asas vokal dan
pengucapan ini meliputi pernafasan, vokal, pengucapan dan variasi vokal. Teknik
pernafasan yang betul misalnya teknik pernafasan drama melalui perut akan membantu
untuk memberikan daya tahan nafas yang lebih lama dan kurang menggangu pergerakan
pelakon (Akhi Muhammad Aiyas, 2010). Pernafasan yang baik ini seterusnya akan
melahirkan lontaran vokal yang jelas dan bersesuaian dengan situasi yang dilakonkan dan
latihan asas vokal perlu dibuat seblum memulakan lakonan. Bagi melancarkan lagi dialog
yang diucapkan, lenturan alat-alat pengucapan merupakan perkara yang perlu dikuasi dan
dilatih dengan cukup. Variasi vokal adalah tatatingkat yang tertinggi yang merangkumi tona
suara, nada, lingkungan, infleksi, kekuatan, akadar atau tempo dan irama merupakan aspek
yang perlu ditekankan bagi menghasilkan vokal yang pelbagai. Dalam proses pengajaran
dan pembelajaran, asas vokal dan pengucapan ini harus ditekankan kepada murid khasnya
bagi murid yang kurang menguasai kemahiran bertutur dengan menggunakan teknik drama
ini, guru akan lebih mudah untuk melatih kemahiran bertutur murid-murid.
3

Selain menguasai asas vokal dan pengucapan tersebut, teknik-teknik lakonan amat
penting untuk diketahui bagi memantapkan gaya lakonan yang ingin dilakukan. Terdapat
dua perkara asas lakonan yang dapat membina dan menjadikan pelakon itu kelihatan
realistik iaitu pembinaan emosi dan psikologi watak dan pembinaan luaran watak dalam
drama (Mana Sikana,1985). Pembinaan emosi dan psikologi watak mengkehendaki
seseorang pelakon mengendalikan dan menguasai emosinya. Hal ini penting untuk
memberikan warna dan mempengaruhi tubuh, tingkah laku, ekspresi muka, pernafasan dan
seterusnya membawa kepada pembinaan luaran watak. Pembinaan luaran watak dalam
drama merupakan sifat fizikal seperti rupa watak tersebut, perawakan, bahasa tubuh dan
suara (Mana Sikana, 2006). Apabila seorang pelakon berjaya menggunakan kedua-dua
teknik lakonan ini, maka lakonan akan menampakkan ciri yang sebenar melalui
penghayatan emosi dan pembinaan luaran watak yang bersesuaian menghidupkan lagi
keadaan.

Kesediaan sebelum berlakon juga pelru diberikan penekanan bagi memastikan


pelakon membuat persipan yang secukupnya. Kemahiran fizikal sangat penting untuk
mengaplikasikan karya drama yang dapat ditunjukkan melalui gerak yang terlihat, gerak
yang jelas, gerak yang mudah difahami dan gerak menghayati. (Said Halim Said Nong,
1998). Gerakan-gerakan ini akan membantu pelakon untuk menggunakan bahasa badan
yang sesuai agar tidak terlihat kaku. Latihan-latihan ini hendaklah dilaksanakan secara
berterusan sesuai dengan watak yang dilakonkan contohnya bila pelakon gagal untuk
menghayati wataknya. Maka, latihan imaginasi boleh dibuat dengan cara membayangkan
sesuatu benar-benar belaku. Oleh itu, penghayatan terhadap perwatakan itu akan dapat
dipupuk.

Pementasan drama juga amat berkait rapat dengan improvisasi iaitu lakonan
spontan dalam situasi yang tidak dirancang (Fazilah Husin, 2007). Improvisasi ini boleh
mengisahkan sesuatu kejadian atau situasi dalam kehidupan harian atau imaginasi dan
seterusnya membolehkan pelajar mencipta dialog dan melakukan sesuatu aksi secara
spontan mengikut arahan yang ditetapkan atau berdasarkan daya imaginasi atau kreativiti
mereka sendiri. Aktiviti improvisasi dapat menjadi satu latihan untuk meningkatkan daya
imaginatif dan kreatif pelajar dalam menggunakan bahasa yang baik dan berkesan.
Improvisasi juga dapat meningkatkan daya penghayatan pelajar agar lebih peka terhadap
objek, situasi dan peranan yang ditentukan dan seterusnya dapat mengelakkan pelakon
daripada terlupa skrip atau kehilangan idea sewaktu menyampaikan drama.
4

Tuntasnya, drama merupakan satu bentuk sastera yang cukup menarik dan
kompleks. Penekanan terhadap asas lakonan dan asas vokal serta pengucapan menjadikan
sesuatu drama itu lebih menarik dan tidak bersifat statik. Penyelitan unsur-unsur seperti
pembinaan watak dan improvisasi yang dilakukan menjadikan lakonan lebih realistik dan
menarik. Latihan-latihan fizikal juga ditekankan bagi memberi impak yang optimum semasa
berlakon dan mampu membiasakan pelakon dengan watak yang sebenar. Oleh itu,
pembelajaran drama sebagai sebahagian daripada pembelajaran sastera di sekolah pada
masa ini tidak seharusnya berasaskan teori semata-mata sebaliknya amalan praktikal perlu
ditekankan dalam aspek pengajaran drama bagi memberi pendedahan secara terus kepada
murid dan seterusnya menjadikan sesi pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah lebih
menyeronokkan dan efektif.
5

Rujukan:

Abdul Rahman Napiah. (1987). Drama Moden Malaysia: Perkembangan dan Perubahan.
Kuala Lumpur: Percetakan Sais Baru Sdn. Bhd.
Adenan Ayob. (2012). Kaedah Pengajaran Bahasa Melayu. Petaling Jaya: Oxford
Fajar Sdn. Bhd.
Akhi Muhammad Aiyas. (2010). Kesan Penggunaan Drama dalam Pendidikan. Diakses
pada 12 Februari 2019 daripada https://www.scribd.com/document/28130528/Kesan-
Penggunaan-Drama-Dalam-Pendidikan
Akhi Muhammad Aiyas. (2010). Peranan Drama dalam Pendidikan. Diakses pada 12
Februari 2019 daripada https://www.scribd.com/document/28130526/Peranan-
Drama-Dalam-Pendidikan

Andika Aziz Hussin. (2019). Kepentingan Pengajian Drama dan Teater di Institusi Pengajian
Tinggi. Diakses pada 12 Februari 2019 daripada https://www.researchgate.net/
publication /330619662_Kepentingan_Pengajian_Drama_dan_Teater_di_Institusi_
Pengajian_Tinggi

Faziah Sulaiman. (1995). Drama Dalam Pendidikan Bahasa. Kuala Lumpur:Bahagian


Pendidikan Guru.
Fazilah Husin. (2007). Teater Eksperimental Melayu: Satu Kajian Bentuk Dan Struktur Teks
Dramatik. Pulau Pinang:Universiti Sains Malaysia
Ismail Mohd Noh. (2007). Lakonan dan Kemahiran Asas Lakonan. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mana Sikana (1985). Kaedah Kajian Drama. Kuala Lumpur: Karya Bestari.
Mana Sikana. (2006). Drama Melayu Tradisional, Moden dan Pascamoden. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.

Said Halim Said Nong. (1998). Drama Melayu Televesyien Malaysia: Satu Penilaian
Perkembangan dan Peranan. Selangor: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Anda mungkin juga menyukai